Sunday, 22 August 2010

JAWAPAN ISU BUANG BAYI

Jawapan isu buang bayi

TERLALU banyak telah diperkatakan tentang gejala pembuangan bayi. Semakin kerap pula bayi ditemui dibuang baik dalam keadaan masih bernyawa mahu pun telah mati. Pelbagai cadangan dikemukakan - yang terbaru penubuhan tabung DNA dan sebelum ini mengenakan hukuman mati mandatori kepada si pelaku. Diselitkan juga gesaan supaya kembali kepada ajaran agama sebagai penyelesaian tuntas kepada masalah tersebut.

Persoalannya, mampukah kesemua cadangan itu terutama yang mengetengahkan hukuman mati ke atas pesalah membuang bayi menyelesaikan masalah tersebut. Akan berkurangkah kes pembuangan bayi jika cadangan tersebut dilaksanakan atau sesuaikah kesalahan tersebut dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau Seksyen 307 kanun yang sama.

Merujuk isu pembuangan bayi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sedang menyusun agenda untuk melangsungkan muzakarah pakar bagi membincangkan mekanisme terbaik ke arah membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Adakah muzakarah seumpama itu mampu melontarkan resolusi baru dan berkesan supaya tidak mengulangi cadangan-cadangan lama yang dikemukakan sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin ketika ditemui menarik perhatian tentang usaha tersebut sambil mengakui bahawa mesti ada kelainan dan perbezaan dalam perbincangan yang melibatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang itu.

Beliau melihat aspek cegah sebelum parah terutama dari sudut kekeluargaan dan masyarakat sebagai mekanisme paling berkesan untuk menangani gejala pembuangan bayi.

Jadi apa kelainan yang mahu diketengahkan oleh IKIM?

Zaleha mengupas lanjut sambil merujuk kepada tumpuan muzakarah yang yang bakal memfokuskan kepada lima aspek penting iaitu psikologi, sosiologi, agama, pertubuhan bukan kerajaan dan akhirnya undang-undang.

Ditanya mengapa perundangan menduduki tempat terakhir, beliau merujuk kepada penyelidikan usaha negara-negara barat menangani isu buang bayi yang menunjukkan betapa undang-undang tidak menawarkan jawapan kepada permasalahan tersebut.

''Kita kena faham keadaan dan persekitaran baru kita boleh lihat apa undang-undang terbaik untuk menyelesaikan kes buang bayi,'' katanya yang jelas tidak bersetuju terhadap cadangan mengenakan hukuman mati mandatori bagi kesalahan tersebut.

Ditanya mengapa beliau berbeza pandangan dengan kebanyakan orang yang mengalu-alukan cadangan tersebut, Zaleha yang berlatarbelakangkan bidang perundangan berkata, mereka yang tidak mengetahui tentang undang-undang memang akan bersetuju.

Ini kerana, katanya, mereka mengharapkan hukuman yang ketat dapat mengurangkan kes buang bayi.

Malah, kajian yang dijalankan University of California, Berkeley dalam 13 bahasa menunjukkan pencegahan lebih berkesan berbanding pelaksanaan undang-undang.

Mengulas lanjut, katanya, semua pihak perlu membuka pemikiran kepada aspek-aspek lain sebelum memuktamadkannya dengan undang-undang.

Paling penting jelas Zaleha adalah kefahaman tentang bentuk jenayah buang bayi yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan jenayah bunuh, justeru adalah tidak adil jika ia mahu dibicarakan dan dihukum di bawah peruntukan udang-undang yang sama.

Ditanya apa perbezaan buang bayi dengan jenayah bunuh sehingga tidak melayakkan si pesalah dihukum di bawah Seksyen 302, katanya, dalam kes buang bayi, kajian menunjukkan elemen penting adalah keadaan emosi si ibu yang tidak matang. Keadaan itu mendorong mereka melakukan tindakan di luar batas kewarasan dan ia bukan dirancang secara terperinci sebagaimana jenayah bunuh yang dihukum di bawah Seksyen 302 kerana membunuh secara dirancang berserta niat untuk melakukan jenayah tersebut.

''Kajian kes menunjukkan remaja yang hamil ini menafikan kehamilan mereka. Secara psikologi apabila keadaan itu berlaku, mereka tidak akan mengalami simptom kehamilan.

''Apabila tiba saat melahirkan, rasa sakit bersalin disimpulkan sebagai mahu membuang air besar sebab itu kelahiran sering berlaku di dalam tandas,'' katanya.

Apabila bayi dilahirkan diiringi bunyi tangisan maka akan berlaku situasi panik, maka ada kemungkinan mulut bayi ditutup kononnya untuk mengelak suara tangisan didengar oleh orang lain.

Selain itu, katanya, kajian juga menunjukkan kebiasaannya remaja yang terlibat dalam kes buang bayi tidak mempunyai ciri-ciri penyelesai masalah.

Disebabkan keadaan itu, kalangan remaja yang hamil luar nikah dan bertindak membuang bayi tidak terfikir untuk menggugurkan kandungan.

Menafikan

Zaleha membangkitkan persoalan menarik. Biar pun semakin banyak kes buang bayi ditemui, tetapi sebanyak mana pula ibu atau bapa bayi berjaya ditemui atau dijejaki sehingga hukuman mati mandatori mau dilaksanakan ke atas mereka.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, hubungan gadis dengan bapa kepada bayi sangat rapuh malah ada kalangan lelaki yang tidak mengetahui langsung bahawa teman wanitanya hamil. Kajian juga menunjukkan persamaan lain dalam kes buang bayi adalah latar belakang si pelaku yang sama seperti berasal daripada keluarga miskin dan juga berpecah-belah.

Ditanya pendekatan yang telah dilaksanakan negara barat, beliau berkata, antaranya menggalakkan perancang keluarga seperti pengambilan pil, pengedaran kondom, membenarkan pengguguran dan menubuhkan pusat penyerahan bayi tanpa menyoal siapa bapa atau ibu bayi tersebut.

Terdapat 45 buah negara telah menggubal undang-undang Safe Haven antara lain bertujuan memudahkan gadis-gadis terlanjur menyerahkan bayi mereka tanpa perlu bersoal-jawab. Biarpun ramai menganggap undang-undang tersebut mampu mengelakkan pengguguran atau pembuangan bayi namun ia langsung tidak menyelesaikan isu pokok.

''Undang-undang itu tidak membantu mengurangkan kes pembuangan bayi, sebaliknya jumlah bayi yang diserahkan di pusat penyerahan semakin tinggi.

''Tetapi bagi mereka itu adalah lebih baik, seolah-olah antara dua kemungkaran, kemungkaran yang satu ini kurang sikit tahapnya,'' katanya.

Namun usaha yang digerakkan oleh barat tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara ini, justeru Zaleha melihat pendekatan memantapkan institusi keluarga dengan cara yang terpilih sebagai pilihan terbaik.

Dalam hal itu, beliau menarik perhatian tentang kesediaan ibu bapa memberi kasih sayang tanpa bersyarat kepada anak-anak sehinggakan jika mereka terlanjur disebabkan pengaruh luar, ibu bapa tidak teragak-agak untuk menerima.

''Kalau anak cacat fizikal kita terima, kalau anak cacat mental kita terima tetapi kenapa anak cacat akhlak kita tak terima.

''Sebab itu dalam kempen mengukuhkan institusi keluarga, ini yang kita mesti tekankan. Kita kena tukar pandangan ibu bapa tentang kasih sayang bersyarat yang menyebabkan anak-anak berasa terpinggir dan membawa haluan sendiri,'' katanya.

Ditanya bukankah pendekatan tersebut akan menggalakkan lagi anak-anak melakukan kegiatan tidak bermoral, beliau berkata, langkah itu mesti disertakan dengan elemen akujanji tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan. Seperkara lagi usaha tersebut hanya sesuai dilaksanakan jika ibu bapa telah benar-benar melakukan yang terbaik dalam proses membesarkan anak-anak.

Zaleha melihat isu buang bayi sebagai sangat kompleks dan menuntut beberapa pendekatan, paling penting usaha mengenal pasti individu, keluarga serta masyrakat yang berisiko tinggi. Katanya, bukan remaja saja yang menjadi sasaran dalam kempen kesedaran sebaliknya ibu bapa dan masyarakat mesti diberi perhatian. Ini kerana, katanya, latar belakang kebanyakan kes menunjukkan persamaan dari segi faktor iaitu ibu bapa bermasalah dan masyarakat setempat yang tidak prihatin menggalakkan lagi percambahan gejala buang bayi.

Begitu juga peranan kerajaan yang sepatutnya menyegerakan pelaksanaan beberapa perkara seperti menyekat pornografi yang dikenal pasti sebagai salah satu faktor mendorong remaja malah murid sekolah rendah mahu mencuba melakukan seks.

Sehubungan itu, beliau amat berharap muzakarah pakar yang bakal menemukan kira-kira 20 pakar dalam pelbagai bidang pada akhir Oktober ini dapat membentuk satu pandangan serta resolusi yang benar-benar berkesan untuk menangani jenayah buang bayi yang semakin membimbangkan.

No comments: