Mingguan Malaysia, 30 Mei 2010
Belum apa-apa lagi MCA telah membuat tuntutan dua kerusi senator yang telah ditinggalkan oleh dua ahli jawatan kuasa mereka yang telah dilantik sebelum ini. Pada MCA kerusi senator itu hak mereka, mesti diganti setelah disokongkan atas apa jua alasan. Sabarlah dahulu. Berilah PM untuk memikirkan siapa yang layak dilantik sebagai senator.
Saudara baru seperti Cina Muslim pun ramai juga malah melebihi bilangan artis, tetapi mereka tidak pernah mendesak kerajaan BN untuk memberikan kerusi senator, walaupun minoriti lain yang jauh lebih kecil juga mendapat kerusi senator. Ini kerana, kita menghormati keputusan kerajaan untuk melantik mereka yang benar-benar layak, bukan berasaskan kepada kuota parti semata-mata. Jika berasaskan kuota, ramai lagi yang layak. Jangan terlalu memikirkan bangsa sendiri yang mahukan more power more say, tidakkah lebih baik kita perkasakan dulu kekuatan dalaman dan moral parti, more integrity more say
Begitu juga dengan MIC, tidak semena-mena parti nyamuk ini mahu mengkaji kedudukan mereka dalam BN gara-gara kumpulan serpihan yang tidak sehaluan dengan pimpinan mereka, Gerakan Anti Samy (GAS). Mereka menuduh UMNO bersubahat dengan GAS untuk menjatuhkan presiden mereka. MIC merasakan mereka terlalu kuat. Apakah mereka tidak sedar bahawa selama ini parti nyamuk inilah yang paling bernasib baik? Tidak ada kawasan yang mereka adalah majoriti tetapi wakil mereka tetap ada dalam dewan rakyat dan dewan negara serta berjawatan dalam kabinet.
Majoriti Melayu sanggup memejam mata mengundi mereka dengan menafikan calon sendiri, semata-mata untuk menjaga semangat setiakawan. Ini tidak termasuk bilangan rumah ibadat yang begitu banyak berselerak dan penguasaan ekonomi beberapa bandar strategik yang diwakilinya sehingga mengenepikan pribumi. Selain dari Kelang, cuba tinjau di pasar Hutan Melintang, Bagan Datoh, boleh dikatakan dikuasai mereka sepenuhnya. Maklumlah wakil rakyat mereka terdiri daripada ultra kiasu.
Kita janganlah terlampau ultra kiasu. Parti komponen BN ini tidak wajar bertindak seolah-olah seperti atau mewakili suara parti ultra kiasu. Cubalah bersyukurkan dengan apa yang ada, yang mungkin tidak ada pada orang lain, tetapi ada pada kita. Janganlah terlampau mengada-ngada kerana ia bertentangan dengan konsep wasatiyyah atau berimbang, konsep baru yang akan diperkenalkan dan selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri. Mungkin ada kalangan kita yang tidak memahami istilah Arab ini.
Baru-baru ini, kami telah dipanggil oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memperhalusi konsep ini. Saya amat bersyukur sekali kerana pimpinan negara mengajak rakyat bersama-sama berbincang sesuatu dasar sebelum ianya dilaksanakan. Itulah sebenarnya jalan yang terbaik, kerana demokrasi itu adalah dari rakyat untuk rakyat. Berilah peluang kepada suara keramat ini untuk menyuarakan pendapat. Pendapat mereka adalah pendapat akar umbi kerana mereka merakyat walaupun tidak menjadi wakil rakyat. Kekuatan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perlu digembeling, barulah kita boleh jadi kuat. Rasulullah SAW selalu menilai kekuatan dan meraikan pandangan para sahabat, walaupun Baginda seorang Rasul. Tanpa rakyat siapalah kita. Terima kasih Dato’ Seri Jamil Khir.
Pada saya, konsep wasatiyyah ini bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang mahu melahirkan masyarakat berimbang (sederhana), berteraskan perlembagaan persekutuan. Seperti gagasan 1Malaysia, konsep ini bukanlah sama rata dan sama rasa atau terletak di tengah-tengah seperti tidak miskin atau tidak kaya, tidak terlalu panas atau terlalu sejuk, persimpangan antara syurga dan neraka, tidak pandai atau tidak bodoh yakni sederhana sahaja. Tuntutan wasatiyyah mahukan kita menjadi umat yang terbaik. Boleh menjadi kaya-kaya tetapi jangan sampai hilang pedoman sehingga lupa tanggungjawab kepada Maha Pencipta and makhluk yang dicipta. Boleh membangun, jangan sampai pembangunan itu merosakkan akal budi manusia dan alam sekeliling.
Pada saya, konsep ini juga selari dengan tuntutan semua agama, tidak hanya kepada agama Islam. Lawan kepada wasatiyyah adalah ultra atau ekstrim, termasuk kumpulan ultra kiasu. Kita tidak boleh terlalu mengejar dunia sehingga mengabaikan akhirat. Begitu juga sebaliknya, terlalu mengejar akhirat, sehingga melupakan dunia. Apapun, kena berimbang. Nabi pernah menegurkan beberapa sahabat yang terlalu mementingkan akhirat sehingga melupakan nikmat dunia, misalnya tidak mahu berkahwin kerana ada yang menganggap perkahwinan itu hanyalah mainan dunia sehingga boleh melalaikan tanggungjawabnya kepada pencipta. Tetapi Nabi juga berkahwin, bermakna dunia adalah jambatan ke akhirat. Jadikanlah kehidupan dunia sebagai yang terbaik untuk mendapat habuan di akhirat.
Kata-kata George Carlin patut dijadikan renungan dalam memahami konsep wasatiyyah: The paradox of our time in history is that we have taller buildings but shorter tempers, wider Freeways, but narrower viewpoints. We spend more, but have less, we buy more, but enjoy less. We have bigger houses and smaller families, more conveniences, but less time. We have more degrees but less sense, more knowledge, but less judgment, more experts, yet more problems, more medicine, but less wellness.
Ingatan Carlin ini patut dijadikan panduan. Kehidupan terbaik adalah kehidupan yang penuh bermakna di dunia ini, dengan menjadi hamba yang taat kepada segala perintah dan menjauhi laranganNya. Kehidupan di dunia jangan sampai melalaikan tanggungjawab kita terhadapNya kerana, kerja itu adalah ibadah. Maksud ibadah tidak hanya terhad kepada amalan-amalan spiritual atau ritual, tetapi juga melibatkan fizikal atau jasmani. Apa juga tindakan kita di dunia adalah ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran agama. Bekerja, berkeluarga, makan minum, bermain, riadah dan segala tindakan kita seharian termasuk aktiviti di bilik air adalah ibadah jika dikerjakan dengan betul.
Pendek kata, mendapatkan yang terbaik itu dalam kehidupan seharian, dalam apa jua bidang, tanpa melupakan tanggungjawab kita kepada Pencipta dan juga sesama manusia, serta menjaga segala amanahNya di muka bumi ini, bersekali dengan amar makruf nahi mungkar, adalah dalam lingkungan maksud wasatiyyah atau berimbang. Negara maju berteraskan integriti dan moral yang tinggi akan dapat dilahirkan. Barulah kita merealisasikan maksud “Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur” negara makmur yang mendapat keampunan Allah SWT (Surah Saba’ ayat 15).
Allah telah menetapkan syarat bahawa untuk menjamin kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang mapan, sesebuah negara mestilah seperti yang di sebutkan dalam Surah Al A’raaf, ayat 96 yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Justeru, sifat ikhlas harus menjadi tunjang konsep ini. Firman Allah dalam Surah Al Bayyinah, ayat 5, yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.
Hakikatnya ialah perjuangan untuk menegak kebenaran adalah suatu yang sukar. Tiada jalan mudah untuk ditempuh. Surah At Taubah, ayat 42, bermaksud: Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.
Memang menjadi tabiat semulajadi manusia jika membuat sesuatu pekerjaan, dia mahu melihat natijahnya dengan segera. Firman Allah dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat 37, bermaksud: Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya.
Namun mengikut fitrah perjuangan, sesuatu natijah tidak dapat dilihat atau diperolehi dalam masa yang singkat. Mereka yang mahu menyertai sesuatu perjuangan perlu menerima hakikat ini agar mereka tidak berasa kecundang sekiranya apa yang diperjuangkan itu tidak membuahkan hasil dalam masa yang singkat.
Mereka yang mengharapkan kejayaan dalam masa yang singkat biasanya menjadi mangsa cita-cita dan mudah kecewa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah contoh yang jelas. Kita janganlah terlalu kecewa kerana dasar ini masih belum mencapai matlamatnya walaupun tempoh masanya telah tamat. Dua puluh tahun adalah jangka masa yang singkat. Kekuatan dan kelemahan hendaklah dijadikan panduan untuk menggubal Model Ekonomi Baru (MEB) yang sedang hangat diperkatakan hari ini.
Saya telah dijemput beberapa kali dalam wacana model ini. Apa yang saya lihat di kalangan pakar-pakar ekonomi kita mahu memperlihatkan dan menunjukkan ‘kehebatan’ mereka sehingga memingkirkan dasar afirmatif yang menjadi tunjang kepada DEB sebelum ini. Apabila mereka membuat sesuatu dasar, mereka mahu dilihat nampak hebat dan dapat diterima semua, sehinggakan perkataan atau roh Islam langsung tidak disebut. Kita seolah-olah takut untuk memasukkan unsur-unsur afirmatif yang berpihak kepada Islam dan Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan kerana takut mengguris perasaan orang lain. Sedangkan adakah orang lain begitu menjaga perasaan kita? Pada kita, memasukkan kedua-dua unsur ini dianggap sesuatu yang sensitif. Justeru, tidak hairanlah kadangkala agama dan identiti sendiri merempat di bumi sendiri.
Misalnya program Colours of Malaysia, kenapa tidak gunakan perkataan ‘Warna warni Malaysia. Tidakkah ia nampak lebih gah? Hina sangatkah bahasa kebangsaan ini? Adakah kata-kata ‘Warna-warni Malaysia’ tidak bersifat international? Pernahkah kita bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak ada negara lain di dunia ini yang terlalu mendewa-dewakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan mereka, tanpa menolak kepentingan bahasa lain? Kementerian Pelancongan perlu memahami semangat 1Malaysia yang sebenar.
Kepentingan bahasa kebangsaan mesti didahulukan, berbanding bahasa lain, barulah menepati wasatiyyah. Pelik juga kadangkala, adakah kita ingin mengajar para pelancong yang rata-rata memahami bahasa Inggeris? Sampai bilakah kita mahu memperkenalkan budaya sendiri? Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku di negara lain seperti Thailand dan Indonesia, kerana mereka amat kuat jatidirinya. Dengan sebab itu, kita lihat semua program dan produk luar dialihbahasakan dalam bahasa mereka sendiri.
Konsep wasatiyyah tidak boleh terlalu mendewa-dewakan identiti orang lain. Ilmu dan identiti negara bangsa harus menjadi tunjang. Tanpa ilmu dan identiti, apa jua konsep dan gagasan yang dikemukakan sukar untuk diterima. Lebih-lebih lagi jika ianya dipolitikkan.
Kadangkala sedih juga mendengar bila mana kita sanggup menyediakan sejumlah RM3 juta untuk tabung dana pembelaan artis untuk membantu warga seni. Tertanya-tanya saya, adakah hanya artis layak dibantu? Bagaimana dengan tabung kebajikan akademik, sejarawan, budayawan, karyawan, wartawan dan sebagainya? Apakah mereka tidak menyumbang kepada kerajaan dan negara?
Kenapa bila disebut sahaja artis kita begitu beriya-iya dengan berbagai pertandingan itu dan ini, serta anugerah yang hebat-hebat? Namun, bila sebut sahaja ilmuan dan agamawan, penuh dengan seribu tanda tanya? Bukan tiada, tetapi masih kurang. Saya amat mengharapkan konsep wasatiyyah akan dapat mengimbangi semua perkara ini agar gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment