Sunday, 14 March 2010

Di sebalik resolusi Perhimpunan Agung MCA

Mingguan Malaysia, 14 Mac 2010

Dalam kekusutan dan kekecohan MCA berhadapan dengan masalah dalamannya, Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir pada 7 Februari 2010, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi serta budaya. Antara resolusi yang diluluskan sebulat suara yang menarik perhatian saya adalah mengenai penambahan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, perubahan dan inovasi pengkongsian kuasa Barisan Nasional (BN), penambahan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di semua sekolah persendirian Cina. Satu lagi resolusi yang paling saya tidak dapat terima ialah campurtangan mereka dalam hukuman sebat yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah. Sikap mencampuri urusan rumah tangga orang lain boleh dikira biadab ketika mana rumah tangga sendiri berantakan. Tidakkah mereka sedar bahawa selama ini umat Islam di negara ini, tidak pernah campurtangan sama sekali dalam urusan orang bukan Islam. Licik sungguh mereka ini, sesuatu yang dirasa ‘menggugat’ kedudukan mereka didesak habis-habisan manakala yang boleh diambil kesempatan dan peluang disokong tanpa berbelah bahagi seperti gagasan 1Malaysia, yang pada pandangan mereka berasaskan konsep sama rata dan sama rasa.

Termenung seketika memikirkan tuntutan sebegini setelah sekian lama bersama BN dan berkawan dengan UMNO. Kawan tidak menjaga kawan, kadangkala jadi lawan. Ketika kawan lemah, ambil kesempatan, bertindak seperti gunting dalam lipatan. Serba sedikit saya dapat membaca maksud tersirat dan tersurat permintaan dan desakan mereka itu. Saya telah ulas panjang lebar mengenai kedudukan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, mungkin mereka boleh baca apa yang telah saya tulis sebelum ini (Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010). Tidakkah kita dapat melihat ramainya orang Islam (Melayu) dalam perkhidmatan awam dan pembolotan bukan Melayu dalam ekonomi sebagai situasi menang-menang atau win-win? Kenapa masih belum puas?

Mengenai inovasi dan perubahan struktur perkongsian kuasa dalam BN, saya dapat melihat mereka mahukan jawatan tinggi dalam BN seperti pengerusi BN, timbalan BN, setiausaha agung BN, bendahari BN dan jawatan penting lain BN digilirkan. Selepas itu, jawatan-jawatan ini akan digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet termasuk jawatan PM dan TPM dan sebagainya di kemudian hari. Perkara ini bukanlah isu baru, ia telah dibangkitkan sekian lama oleh parti ultra kiasu yang lain, cuma masih belum menjadi realiti.

Sejak dahulu lagi perjuangan mereka tidak pernah padam. Jika dahulu jawatan menteri kewangan pernah disandang oleh mereka. Hari ini mereka mahu kembali mendapat jawatan tersebut dan jawatan yang lebih senior. Cuma, saya menyeru nilaikanlah toleransi yang berlaku, berapa ramai calon bukan Melayu yang telah dilantik menjadi senator dan diberikan jawatan menteri, walaupun mereka kalah dalam pilihan raya. MCA pula begitu beruntung kerana mereka menang pilihan raya di kawasan majoriti Melayu. Saya akan tabik MCA dengan sepuluh hari jika MCA atau Gerakan dapat mengalahkan parti ultra kiasu dalam pilihan raya di kawasan majoriti bukan Melayu.

Jika parti-parti komponen BN ini boleh menang, ketika itu mereka mungkin wajar mendesak dan mengemukakan tuntutan kepada kerajaan. Jika tidak, tak payahlah kemukakan tuntutan sedemikian, jagalah masalah dalaman parti terlebih dahulu. Janganlah hendak menjadi jaguh ketika sokongan bukan Melayu telah beralih kepada ultra kiasu. Saya begitu teruja untuk melihat parti komponen BN ini dapat merebut kembali Pulau Pinang jika mereka mampu. Saranan bekas presiden Gerakan ada betulnya. Parti-parti politik ini perlu menumpukan perhatian untuk membina kekuatan dalaman dan meraih sokongan dahulu sebelum bercita-cita tinggi untuk merampas Pulau Pinang daripada ultra kiasu. Apapun, mereka masih tidak rugi apa-apa kerana pulau tersebut masih lagi berada dalam genggaman orang yang sama kerana tindakan dan desakan mereka tidak banyak beza.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk. Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional. Persoalannya bakat dan pembangunan nasional bagaimanakah yang ingin dipupuk? Di manakah bakat-bakat tersebut? Apakah mereka berperanan besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa? Rujuk artikel saya pada 31 Januari 2010 dan 22 November 2009. Kenapa tidak dibincangkan langsung akan kepentingan sekolah satu sistem (SSS) yang mana semua pelajar dapat dikumpulkan dalam satu tempat tanpa menafikan hak untuk belajar bahasa ibunda? Saya fikir sudah tibanya parti-parti politik ini berbincang akan modus operandi dan operasi SSS demi masa depan negara. Jangan ketepikan langsung kepentingan SSS dalam pembinaan negara bangsa, berbanding dengan hanya kepentingan bangsa. Saya akan bersetuju dengan pengikhtirafan sijil ini jika banyak masa diperuntukan untuk pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan bahasa kebangsaan.

Berapa banyakkah lagi sekolah seperti ini hendak dibina? Buatlah kajian dahulu tentang keberkesanan, kebolehan dan pencapaian BM dalam peperiksaan dan komunikasi. Begitu juga dengan semangat cintakan kepentingan nasional sebelum mendesak kerajaan bina yang baru. Setelah menonton rakaman debat antara ketua pemuda MCA dan Khoo Kay Kim, baru saya sedar betapa kiasunya parti ini seolah-olah tidak bezanya dengan parti ultra kiasu yang satu lagi. Sebagai timbalan menteri pelajaran beliau sepatutnya berhujah dengan lebih akademik bukannya beremosi. Hujah yang mengatakan pelajar sekolah vernakular hanya enam tahun berada di sekolah rendah, berbanding mereka lebih lama di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi adalah hujah yang ultra kiasu. Seolah-olah kita menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Apakah kita tidak belajar psikologi atau terlebih belajar sains? Tanyalah kepada sesiapapun, zaman kanak-kanak adalah tahap yang paling kritikal. Pepatah ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkinkah dia berpegang kepada melentur buluh biarlah dari buluhnya. Hujah menegakkan benang yang basah ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Saya ingin mengajak mereka yang kiasu ini supaya datang ke sekolah saya dan lihat bagaimana keadaan pelajar di sekolah di sini setelah dilentur sejak kecil di sekolah vernakular. Buat pemerhatian ke atas kelas peralihan, penguasaan BM dan pergaulan mereka. Saya tidak faham adakah mereka yang pandai berkata-kata pernah pergi ke sekolah yang di bawah seliaannya sendiri. Jangan asyik pergi ke sekolah sendiri sahaja. Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat secara telus akan keberkesanan semua sekolah ke arah pembinaan negara bangsa berasaskan perlembagaan negara. Sebenarnya, kajian telahpun dibuat, tetapi kita mengambil sikap endah tak endah sebab hasil kajian tidak menyebelahui kita. Apapun selesaikan dahulu masalah dalaman parti, selepas kita boleh berbincang dan berdebat di tempat yang agak neutral.

Saya tidak nampak ada masalah dengan pengikhtirafan ke atas UEC. Mungkin mereka agak sukar untuk mereka mencari pekerjaan di sektor awam, tetapi pengambilan mereka ke dalam sektor swasta boleh dikatakan tidak ada halangan langsung, walaupun mungkin mereka gagal dalam BM. Mereka ibarat kek panas, maklum sahajalah sektor swasta tidak memerlukan kelayakan BM untuk bekerja di sana, terutama akhbar-akhbar ultra kiasu. Apakah mungkin perkara ini juga yang menyebabkan bilangan mereka tidak bertambah di sektor awam? Pendek kata, sama ada sijil UEC ini tidak ikhtiraf atau tidak, tidak banyak bezanya. Sikap menambah yang telah dapat, patut dipuji, tetapi janganlah ditambah sehingga membukit mengakibatkan orang lain merasa diketepikan? Buatlah kajian sama bagaimana sekolah jenis ini boleh meningkatkan idealism pembinaan negara bangsa.

Resolusi yang menggesa semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) mengubah suai silibus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya juga tidak dapat lari dari sikap ultra kiasu. Resolusi ini memperlihatkan bahawa selama ini sejarahawan kita telah memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Saya ingin bertanya, di bahagian manakah yang telah diputar-belitkan. Selaku pensyarah dalam bidang politik dan kerajaan yang berkait rapat dengan sejarah, saya teramat ingin melihat fakta sejarah manakah yang didakwa diselewengkan? Adakah kita mempunyai niat tersembunyi untuk mengubah fakta sejarah supaya lebih berpihak kepada kita? Sejarah tetap sejarah, ia akan terus kekal sampai bila-bila. Janganlah diubah fakta tersebut semata-mata untuk menggembirakan diri sendiri. Susah-susah sangat, tanyalah Khoo Kay Kim. Beliau adalah pakar daripada segala pakar dalam bidang sejarah. Malangnya pakar sejarah ini ditolak sama sekali oleh mereka yang banyak bercakap ini.

MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW). Nasihat saya, MCA tidak perlu gatal tangan untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam, kerana orang Islam lebih arif dengan kehidupan mereka sendiri. Jagalah rumahtangga sendiri dahulu yang sedang berantakan. Lagipun orang Islam tidak pernah sama sekali campurtangan dalam urusan orang lain. Kenapa perlu menyakitkan hati orang Islam?

Jauh sungguh bezanya sokongan mereka terhdap gagasan 1Malaysia. Bila dirasa menguntungkan maka disokong tanpa berbelah bahagi. Namun sebaliknya bila dilihat ada kerugian dan pengurangan, maka akan ditentang habis-habisan. Sikap ultra kiasu ini tidak ada bezanya langsung dengan parti ultra kiasu. Logo sahaja berlainan, perjuangan tetap sama. Suara mereka tetap tidak berubah. Ini yang saya selalu katakan bersatu dalam senyap. Di luar ada yang lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk, laksana adik-beradik. Strategi inilah yang telah mencairkan parti politik yang memerintah. Mungkinkah selepas ini mereka akan menyokong pula cadangan untuk mengadakan pilihan raya majlis perbandaran seperti yang dicadangkan oleh negeri yang perintah oleh ultra kiasu itu? Maklumlah kawasan bandar lebih ramai dihuni oleh pengikut-pengikutnya.

Saya yakin selepas ini parti-parti komponen BN yang lain akan membuat tuntutan yang hampir sama atau mungkin lebih ekstrim, jika kita terus melayan tuntutan dan desakan parti yang sedang berkecamuk ini. Kadangkala simpati saya terhadap UMNO, selaku parti tunggal Melayu Islam, mereka terpaksa mendengar dan menerima semua desakan dan rintihan parti-parti komponen BN yang rata-ratanya tidak Islam. Siapakah sebenarnya yang akan mendengar dan melayan rintihan UMNO yang ada berkeinginan untuk menegakkan kepentingan bangsa dan agamanya? Apakah mungkin PAS dan PKR mahu mendengar dan berkongsi beban ini atau terus-menerus mahu menuduh dan menyalahkan UMNO?

Kita sepatutnya belajar daripada strategi orang lain. Apa jua masalah yang melanda, suara dan desakan mereka tetap senada. Berbeza sungguh dengan parti-parti Melayu. Bergaduh seolah-olah tidak ada noktahnya, sehingga terlepas pandang agenda bangsa dan agama.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

No comments: