Sunday 2 August 2009

Shahidan bersama skuad Perlis


KUALA LUMPUR – Nizaruddin Yusof menutup tirai Liga Super musim ini dengan dua jaringan yang bukan sahaja berjaya menjulang dirinya untuk ditabal sebagai penjaring terbanyak dengan 18 gol malah meletakkan Perlis selaku naib juara di belakang Selangor.

Gol Nizaruddin pada minit ke-53 dan 79 itu cukup untuk membolehkan Perlis menewaskan Polis Diraja Malaysia 2-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam walaupun pada satu ketika ketinggalan hasil jaringan pemain lawan, Khairul Azwan Abdullah pada minit ke-51.

Malang bagi pencabar Nizaruddin untuk merebut gelaran Kasut Emas, Mohd. Ashaari Samsudin apabila dia hanya mampu menjaringkan satu gol ketika Terengganu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, Ashaari yang terikat 16 gol dengan Nizaruddin, mencipta jaringan pada minit ke-21 sebelum S. Kunalan menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-84.

Kedah pula menduduki tempat ketiga musim ini selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Ini diikuti Johor FC di tempat keempat selepas pasukan bertaraf kelab itu menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang.

Terengganu pula di tempat kelima diikuti Kelantan, Negeri Sembilan, KL PLUS, Kuala Muda Naza, Perak, UPB-MyTeam, Pulau Pinang, Pahang dan PDRM.

Kedudukan mutakhir itu diperoleh selepas turut mengambil kira keputusan perlawanan yang menyaksikan KL PLUS menewaskan Kuala Muda Naza 5-0 di Stadium KLFA Cheras dan Perak seri 1-1 dengan UPB-MyTeam di Stadium Perak, semalam.

sumber-utusan