Friday, 24 August 2012

Hentikan Polemik Hudud 1


Soalan 4: Timbul persepsi mengatakan mengapa hudud perlu diberi keutamaan sekarang ini sedangkan masalah ekonomi negara belum selesai, masalah sosial kian menjadi-jadi, masalah pendidikan yang tidak sekata, boleh dikatakan masih ada perkara yang tidak selesai. Mengapa hendak meletakkan hudud ini sebagai prioriti utama dalam situasi sekarang ini.
Jawapan:
Masalah sekarang ini ialah pengertian hukum Islam itu disempitkan. Apabila isu ini dibawa ke pentas-pentas politik dan orang yang membicarakannya mendakwa bahawa hukum Islam tidak ditegakkan, maka persepsi masyarakat adalah mereka membayangkan bahawa hukum Islam itu seolah-olah hanya hudud sahaja, tiada cabang yang lain. Sedangkan ayat yang dibacakan tadi,
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Ertinya: “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu perkara, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (surah Al-Ahzaab, 33: 36)
Perkataan ‘perkara’ ataupun ‘urusan’ di dalam ayat tersebut dibawakan oleh Allah SWT dalam bentuk yang bersifat umum. Dalam istilah tatabahasa arab ia dipanggil nakirah. “Amran” bererti apa jua perkara, jadi ia termasuk dalam cabang Islam yang tiga yang telah saya nyatakan di awal tadi. Kata Syaikh Abdul Wahab Khallaf di sana ada isu akidah, syariah, akhlak. Jadi urusan agama ini merangkumi tiga aspek yang besar itu, maka jangan kita sempitkan pengertian tersebut dengan mencanang ke serata tempat bahawa negara kita tidak melaksanakan hukum Islam, menggambarkan seolah-olah kerajaan pada hari ini mengenepikan sama ada keseluruhan hukum Islam ataupun cabangnya. Kita perlu lebih adil ketika berbicara tentang hal yang seperti ini.
Al-‘adalah (keadilan) juga kita bawakan sama ada dari sudut tadbir urus dan juga dalam erti percakapan, perbualan, dan juga dalam melontarkan sesuatu pendapat dan pandangan.
Saya tertarik apabila sebentar tadi YB Dr. Dzul membawakan surah Al-Muthaffifin, saya ingin membawa surah Al-Muddatstsir yang datang lebih awal ketika Nabi SAW dilantik menjadi rasul setelah turun surah Al-‘Alaq di mana Nabi pada ketika itu pulang ke rumah dalam keadaan baginda berselimut kemudian turun firman Allah SWT,
يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ وَلاَتَمْنُن تَسْتَكْثِرُ وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ
Ertinya: “Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan! dan Tuhanmu agungkanlah! dan pakaianmu sucikanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah.” (surah Al-Muddatstsir, 74: 1-7)
Ayat tersebut menceritakan tugas pertama Nabi SAW, iaitu untuk bangkit dan memberi peringatan. Seperti itu juga yang perlu kita lakukan sama ada orang politik, bukan orang politik, ilmuan atau agamawan, kita harus bangkit dan beri peringatan.
Cuma apakah fokus paling utama dalam tugas memberi peringatan? Iaitu “wa Rabbaka fakabbir” Tuhan kamu agungkanlah Dia. Maka fokus utama kita adalah kepada akidah. Akidah adalah al-awlawiyat (keutamaan) sampai bila-bila.
Ini hubungkait akidah yang perlu kita terjemahkan dalam tindakan. Sebab itu tindakan akan mencerminkan adakah akidah kita cemerlang, murni, ataupun tidak. Contohnya sabda Nabi di dalam hadis,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Ertinya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Maka orang yang percakapannya tidak dijaga, memfitnah, menuduh, mengeluarkan perkataan buruk dan sebagainya, itu tidak mencerminkan akidahnya baik, cemerlang dan murni. Bukan mengatakan akidahnya rosak tetapi ia tidak mencerminkan akidah yang murni kerana ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah dan beriman kepada Hari Akhirat adalah orang yang berkata baik ataupun berdiam diri.
Jadi itu tugas dakwah yang pertama. Seperti mana juga Nabi mengutus Muadz bin Jabal ke Yaman, pesan Nabi kepadanya,
إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فليكن أول ما تدعوهم إليه شهادة أن لا إله إلا الله
Maksudnya: “Kamu akan mendatangi Ahli Kitab, maka hendaklah kamu jadikan perkara pertama untuk kamu seru manusia kepadanya adalah persaksian Laa-ilaaha-illallaah.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Para ulama berbincang mengapa Nabi berpesan pesanan yang seperti ini kepada Muadz bin Jabal. Ini adalah untuk menggambarkan bahawa ahli kitab merupakan golongan yang cerdik pandai. Maka golongan yang cerdik pandai, yang boleh berfikir dengan cara yang baik, maka perkara pertama yang perlu didahulukan dan disampaikan kepada mereka adalah persaksian Laa-Ilaaha-illallaah, bahawasanya tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan cara yang benar melainkan Allah SWT.
Itu perkara pertama iaitu akidah. Perkara kedua, “dan pakaianmu sucikanlah ia.” Perkataan sucikan ini terbahagi kepada dua pengertian; iaitu pakaian yang bersifat zahir, dan pakaian yang bersifat batin.
Pakaian zahir adalah penampilan diri termasuk imej, karakter, karisma, dan ia merangkumi semua. Apa yang Allah SWT sebutkan di dalam Al Quran tentang ciri-ciri pemimpin yang ideal,
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Ertinya: “Sesungguhnya orang yang paling layak untuk kamu jadikan pemimpin adalah orang yang kuat lagi amanah.” (Al-Qashshah, 28: 26-28)
Ini menggambarkan penampilan dari sudut luaran yakni fizikalnya, kemampuan dan kekuatan yang ada padanya. Adapun pengertian pakaian yang kedua adalah pakaian ketakwaan yakni ciri-ciri dalamannya, hubungannya dengan Allah SWT rentetan daripada usaha untuk mengangkat dan mengagungkan Allah SWT.
Juga disebut dalam ayat seterusnya, perbuatan-perbuatan dosa seperti menyembah berhala itu tinggalkanlah. Ini sekali lagi membuktikan bahawa asas perjuangan dakwah Islam bermula daripada akidah.
Maka apabila kita berbicara isu persepsi yang dilontarkan dalam isu hudud di samping di sana ada isu ekonomi dan isu-isu lain, dari satu sudut kita perlu katakan ia benar, kerana membenarkan syariat Islam adalah sebahagian daripada intipati akidah.
Walaubagaimanapun, dalam banyak-banyak cabang hukum Islam ini kita perlu melihat kepada dua perkara. Pertama kepada keutamaan dan kedua kepada kemampuan. Islam agama yang sangat adil, Islam melihat daripada seluruh aspek.
Dalam menilai keutamaan, sudah semestinya kita mendahulukan keutamaan akidah. Saya bersetuju apabila dikaitkan isu pentadbiran, pemerintahan yang diterjemahkan dalam surah Al-Muthaffifin tadi dengan akidah. Sebab itu jika dilihat dalam Kitab Al-Imarah iaitu kitab berkenaan pemerintahan di dalam buku-buku hadis dan akidah, ia diletakkan dibawah topik ataupun bab yang berkaitan dengan iman dan akidah.
Kitab Syarhus Sunnah karangan Imam Al-Barbahari rahimahullah adalah berkaitan dengan prinsip akidah Ahlus Sunnah. Isu pemerintahan juga dibicarakan di dalam kitab tersebut, menunjukkan bahawasanya isu yang berkaitan dengan pentadbiran dan pemerintahan serta hubungkaitnya dengan keadilan ada kaitan secara langsung dengan akidah dan prinsip Islam.
Jadi isu hudud ini merupakan isu akidah, bukan isu remeh ataupun kecil, cuma keutamaan perlu digandingkan sekali dengan kemampuan. Mampukah kita mempraktikkannya dalam keadaan sekarang? Keutamaan kita adalah apa yang kita sudah miliki dan kita harus tunaikan dan laksanakan terlebih dahulu.
Polemik hudud yang dibesar-besarkan ini seperti fatwa. Fatwa bermaksud sesuatu pandangan atau kenyataan yang dikeluarkan berdasarkan sesuatu urusan atau perkara yang berlaku. Seperti ayat Al Quran yang turun, ada sebab dan peristiwa di sebalik turunnya sesuatu ayat itu. Sebab itu Allah SWT turunkan Al Quran dengan pelbagai cara, antaranya melalui isu dan peristiwa. Begitu juga isu hudud ini dibicarakan kerana ia mula dibangkitkan.
Jadi kita tidak boleh melarang orang untuk berbicara tentangnya, dan kita juga tidak boleh menyuruh orang berbicara kerana kepentingan politik masing-masing. Kita perlu lebih adil dan tegas dalam membicarakan isu-isu yang berkaitan dengan agama. Wallahua’lam.
Soalan 5: Seringkali kedengaran kenyataan pemimpin-pemimpin baik PAS ataupun UMNO di media-media; Hudud untuk umat Islam. Ketepikan sudut penentangan hudud daripada bukan Islam sama ada DAP, MCA dan sebagainya kerana Melayu yang beragama Islam adalah majoriti di Malaysia. Tetapi yang amat mengecewakan adalah dari sudut penyampaian hudud, contohnya dari agensi kerajaan dan PAS, kita lihat di radio, televisyen, seminar, atau forum kurang memberikan penjelasan tentang hal ini. Semua pemimpin komited hendak melaksanakan hudud tetapi apa yang keluar di media adalah mengenai kekejaman hudud. Jadi apa reaksi ustaz dengan situasi seperti ini.
Jawapan:
Saya melihat ini sebenarnya merupakan kelemahan kedua-dua pihak. Kadangkala ada yang menekan tanpa melihat kepada persekitaran ataupun waqi’. Kita hendaklah melihat daripada seluruh aspek. Saya tertarik dengan satu contoh yang mungkin keluar topik tetapi ada kaitan dengan apa yang sedang kita bincangkan.
Contohnya isu Rohingya. Malaysia sebenarnya sebuah negara yang paling banyak di Asia yang menerima pelarian Rohingya, 70,000 orang kita terima masuk ke negara kita. Begitu juga isu Syria dan sebagainya. Tetapi kadangkala ada dibangkitkan mengapa kerajaan tidak memberikan satu pendirian atau mengambil tindakan yang tegas untuk isu-isu seperti ini.
Saya bukan hendak membincangkan isu ini, tetapi ini soal kita perlu melihat melalui kacamata yang luas dan lebih besar, antaranya isu hubungan diplomatik. Perhatikan bagaimana Nabi SAW ketika dalam peristiwa Hudaibiyah, ketika baginda menandatangani perjanjian Hudaibiyah yang jelas berat sebelah, lebih kepada memenuhi kepentingan orang arab Jahiliyah.
Perjanjian itu ditandatangani bersama Suhail bin ‘Amr. Anak kepada Suhail bin ‘Amr yang bernama Abu Jandal telah memeluk Islam, dan dalam perjanjian Hudaibiyah itu dinyatakan secara bertulis bahawasanya sekiranya ada orang Makkah masuk ke Madinah, orang Madinah wajib menghantar orang Makkah pulang. Sekiranya orang Madinah masuk ke Makkah, orang Makkah berhak menahan orang Madinah dan tidak membenarkannya pulang ke Madinah.
Abu Jandal yang baru memeluk Islam melihat Nabi SAW dan mengatakan beliau ingin mengikut Nabi SAW ke Madinah. Nabi tidak mengizinkan kerana berpegang kepada perjanjian tersebut, dan para sahabat menggambarkan perasaan tidak puas hati kepada Nabi SAW walaupun tidak melalui suara tetapi melalui tindakan, wajah, dan kesedihan mereka. Ini yang kita katakan tadi bahawa hubungan diplomatik perlu dijaga untuk maslahah yang lebih besar. Untuk kita laksanakan sesuatu dan menyatakan suatu pendirian, kita perlu melihat dari sudut kaca mata yang sangat luas. Kita tidak boleh sempitkan hal yang seperti ini.
Sebab itu apabila kita hendak berbicara tentang hudud, pihak Umno, Pas, ataupun media perlu membicarakannya secara terbuka dan menyeluruh. Contoh yang turut dibangkitkan iaitu isu hendak dilaksanakan hudud kepada orang Islam sahaja dan bukan kepada orang bukan Islam. Sedangkan ia dibincangkan di kalangan para fuqaha secara rinci satu persatu. Jadi mana mungkin kita ingin mengambil langkah hukum ini untuk orang tertentu sahaja dan tidak melibatkan orang lain. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan. Sebab itu saya berpendapat jangan kita asyik berbicara tentang hukumannya, tetapi kita juga perlu bicarakan tentang hikmahnya, kaedah perlaksanaannya, perinciannya, kesesuaiannya, realiti masyarakat yang ada pada hari ini, dan kita tidak boleh terlalu gelojoh. Sabda Rasulullah SAW,
التَّأَنيِّ مِنَ اللهِ وَ العُجْلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Ertinya: “Sifat perlahan-lahan (sabar) berasal dari Allah. Sedangkan sifat gelojoh itu berasal dari syaitan.” (riwayat Abu Ya’la dan Baihaqi. Syaikh Al Albani menilai hadis ini hasan)
Media kerajaan menyekat perbincangan hudud
Dari sudut dakwaan bahawa media dan kerajaan pusat menyekat perbincangannya, sebenarnya apabila Pas membangkitkan isu yang seperti ini di pentas-pentas politik atau ceramah yang bersifat menghukum kerajaan yang sedia ada, kita tidak nafikan manusia ada kategori-kategorinya; ada yang alim (berilmu), jahil, dan beberapa kategori jahil iaitu jahil murakkab dan sebagainya tetapi kita ambil dua kategori asas sahaja iaitu alim dan jahil.
Orang jahil apabila melihat dan menilai sesuatu, dia menilai dengan apa yang ada di persekitarannya. Saya tidak mengatakan semua orang Umno itu jahil atau semua orang Pas itu jahil, atau semua orang Umno alim dan semua orang Pas itu alim. Masing-masing di kalangan mereka ada orang yang mengetahui dan ada orang yang tidak mengetahui.
Cuma apabila dilontarkan di pentas-pentas ceramah, contohnya suatu ketika dahulu masyhur perkataan-perkataan seperti siapa yang tidak melaksanakan hukum Allah bererti dia kafir, yang pada hari ini saya kira ia tidak lagi kedengaran secara serius. Cuma apabila keluar kenyataan-kenyataan seperti itu, pihak kerajaan yang memerintah sudah semestinya beranggapan bahawa isu ini merupakan isu agama yang dipolitikkan. Kita membawa Tuhan ke dalam pentas politik.
Sebab itu muncul pula perbincangan adakah politik perlu dipisahkan dari agama ataupun tidak. Dan sekiranya Pas konsisten menetapkan politik itu sebahagian daripada agama, saya menyetujuinya cuma persoalannya adalah politik yang bagaimana? Sudah semestinya politik yang memelihara akhlak, politik yang berteraskan akidah dan syariah, bukan politik memaki hamun, melontar persepsi, menuduh, membuka keaiban orang dan sebagainya.
Jadi kita perlu ada prinsip dalam berpolitik. Jangan sahaja kita mengatakan politik tidak dapat dipisahkan dari agama tetapi kita sendiri yang bertindak dan berpolitik bukan dengan cara kehendak agama. Itu satu poin yang sangat penting kerana apabila perkara berkaitan syurga dan neraka dipolitikkan, mendakwa bahawa menyokong parti tertentu akan memperoleh pahala, ini satu isu yang serius tidak kira ia datang dari parti mana. Kalau orang mengatakan sokong Umno dapat pahala pun kita perlu bicarakan.
Mengapa perlu kita mengaitkannya dengan pahala dan dosa, seolah-olah kita mengambil alih tugas Allah SWT. Soal pahala, dosa, syurga dan neraka kita serahkan kepada Allah SWT. Apa yang boleh kita katakan ialah sesiapa yang melakukan kebaikan maka dia berhak mendapatkan ganjaran pahala. Namun sekiranya perkara ini dibawa masuk ke pentas politik, saya kira ia satu pertandingan yang tidak sihat. Ia menggunakan agama, syurga dan neraka sebagai satu kepentingan.
Maka apabila timbul persepsi-persepsi yang seperti inilah saya kira kurang perbincangan dalam hal dan isu yang seperti ini. Tetapi akhir-akhir ini ia mula dibicarakan secara ilmiah. Orang seperti YB Dr. Dzul sendiri yang cuba mengeluarkan perbincangan hudud ini dari sudut terlalu politik kepartian kepada perbincangan yang bersifat ilmiah, dan ilmuan-ilmuan yang lain turut bertindak seperti ini maka saya kira disebabkan hal ini, isu ini mula mendapat liputan media. Namun masih ada pihak tertentu yang masih tidak kunjung sudah mengambil kesempatan dengan menjadikan isu ini sebagai isu politik yang dipolemikkan dan ini satu suasana yang tidak sihat. Wallaahua’lam.
sumber -fathul bari 

No comments: