Thursday 22 July 2010

Pelacur, Anjing Dan Kehidupan

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w
Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

APAKAH SYURGA MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).
Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!
read more “Pelacur, Anjing Dan Kehidupan”

Habis manis sepah dibuang

Mingguan Malaysia 18 Julai 2010)

Sejak akhir-akhir ini laman blog saya terus mendapat hits yang tinggi dari dalam dan luar negara. Setiap minggu, komen-komen yang diberikan sehingga melebihi 200. Ada yang tidak faham bahasa Melayupun, cuba untuk memahaminya, supaya mereka turut dapat memberikan komen dan maklum balas. Saya ucapkan terima kasih. Seperti biasa, kumpulan ultra kiasu terus menerus menyerang untuk melemahkan semangat saya agar berhenti menulis.

Paling menarik perhatian adalah pandangan yang mahukan saya menjadi jambatan, penghubung antara orang Cina dengan Islam. Bukannya merosakkan hubungan tersebut, dengan tulisan-tulisan saya didakwa merosakkan imej Islam dan dakwah, sehingga Islam dipandang rendah oleh rakan sebangsa.

Agak malang juga mereka yang memberi komen. Hanya melihat saya sebagainya seorang ‘muallaf’ semata-mata, bukan kepakaran bidang yang saya miliki iaitu politik dan kerajaan. Saya sarankan mereka yang ingin membaca pandangan saya sebagai ‘muallaf’ dan dakwah, supaya membeli dan membaca majalah al-Islam setiap bulan. Di situ pembaca akan melihat bagaimana saya bertindak sebagai jambatan (bridge) antara Islam-bukan Islam.

Tetapi tidak dalam kolum Mingguan Malaysia. Kolum ini lebih menonjolkan kepakaran silang budaya politik dan peradaban yang saya miliki dan kaji selama ini. Justeru, kita perlu bezakan antara individu ‘muallaf’ dengan bidang kepakaran, adalah dua perkara yang berbeza. Bidang kepakaran adalah tempat untuk mengasah bakat dan ilmu yang telah ditimba sebelum ini, seperti mana kita menulis jurnal akademik, perlu berasaskan kajian dan fakta.

Bila saya menyentuh dan menyindir serba sedikit bangsa saya, itu bukan bermakna saya menghina dan merendah-rendah mereka, seolah-olah lupa asal-usul. Saya sedar siapa saya dan saya bangga dengan kurniaan itu. Sememangnya saya tidak boleh menjadi Melayu. Malah, saya berbangga peradaban bangsa saya, kerana bangsa saya tidak pernah menjajah bangsa lain, walaupun mereka boleh berbuat demikian dengan kekuatan yang ada. Buktinya hubungan China – ‘kerajaan’ Melayu Melaka ribuan tahun dahulu.

Inilah perkara yang saya selalu hujahkan. Berbeza dengan penjajah Inggeris, di mana ada kesempatan, di situlah mereka menjajah dan mencari peluang, berpegang kepada prinsip 3G, Gospel, Gold and Glory.

Bangsa saya tidak sedemikian sifatnya. Saya tidak mahu bangsa saya meniru kebongkakan penjajah. Biarlah kita mengikut resmi padi, makin berisi, makin merunduk. Hubungan harmonis zaman dahulu kala mesti kekalkan tanpa mengguris hati dan perasaan orang lain. Tidak ada pergaduhan dan penjajahan, yang ada hanya interaksi perdagangan sehingga berlaku asimilasi, akulturasi, akomodasi dan integrasi. Melalui proses ini, hubungan dan kefahaman mereka menjadi semakin mantap antara satu sama lain. Lihatlah perwatakan Baba Nyonya, berbeza sekali dengan ultra kiasu.

Inilah perkara yang mesti diwujudkan kembali, bukan menghidupkan kembali prinsip 3G penjajah yang bongkak itu. Saya tidak kata, 3G itu salah, tetapi biarlah berpada-pada. Apa yang kita mahu di bumi bertuah ini. Agama (gospel) telahpun kita dapat dan bebas diamalkan tanpa gangguan, hatta bilangan rumah penyembahannya melebihi berkali ganda daripada rumah ibadat Islam. Pun begitu masih tidak bersyukur lagi sehingga ada yang cuba berdakwah dan memurtadkan umat Islam yang ternyata bercanggah dengan perlembagaan. Perkara inilah yang menimbulkan sensitiviti umat Islam.

Begitu juga dengan kekayaan (gold). Walaupun, tidak semua yang kaya, hakikatnya bukan Islam menguasai lebih banyak melebihi dari umat Islam. Maka, sudah sampai masanya kita membantu mereka yang masih belum berjaya, bukannya membawa kekayaan itu ke seberang laut. Ketika susah dahulu, orang menolong kita, sudah sampai masanya kini kita membalas balik jasanya itu.

Kekayaan yang dimiliki ini bukan hanya dapat dilihat pada wang ringgit, tetapi kekayaan warisan pusaka nenek moyang terus dikekalkan seadanya tanpa diganggu-gugat. Masihkah kita tidak berpuas hati? Apakah belum mencukupi? Tidakkah kita perlu berpada-pada? Supaya ada umat Islam tidak terasa didominasi kerana mereka mengambil pendekatan tidak mendominasi.

Hal yang sama juga kita dapat lihat kepada kemegahan (glory). Hari ini, ke manapun bangsa saya pergi, mereka terus berjaya kerana mereka begitu kuat berusaha. Saya amat memuji sifat ini. Inilah sifat Islam yang sepatutnya ada pada umat Islam. Tetapi jangan sampai kelihatan seperti Belanda minta tanah? Tidak pernah merasa cukup. Itu yang menjadikan orang lain terasa hati, seolah-olah dipinggirkan di bumi sendiri.

Perkara inilah yang selalu saya bangkitkan untuk diperhatikan dan dipertimbangkan bersama. Keadaan yang ada di negara kita tidak pernah berlaku di tempat lain. Bukankah ini syurga kepada kita? Buatlah kajian dan perbandingan untung nasib kita dengan negara lain. Kenapa setiap kali perlu dipertikaikan? Kita tidak pernah puas. Jangan bertindak seperti Yahudi di Palestin. Disebabkan hak-hak umat Islam yang telah tergadai dan dinodai di bumi sendiri, kita lihat pertikaian Palestin-Yahudi tidak ada penghujungnya sehinggalah hak umat Islam dipulangkan di bumi sendiri. Keadaan ini sudah hampir sama di sini.

Inilah peringatan demi peringatan yang selalu saya titipkan supaya kita sedar diri. Saya menjadi sebegini, sebab saya amat memahami mereka. Sejak dari kecil saya membesar bersama mereka. Kerana kesempitan hidup mereka terpaksa menggadaikan harta kesayangan mereka. Akhirnya kita juga yang menjadi kaya. Mereka juga yang miskin.

Saya yakin saya lebih memahami mereka daripada ultra kiasu, sehingga saya dituduh tidak memahami bangsa sendiri. Tidak mengapalah kalau begitu. Saya tidak kisah sama ada saya diterima atau tidak, oleh bangsa saya, kerana saya masih boleh hidup tanpa bangsa. Tetapi saya tidak boleh hidup tanpa Islam.

Dahulu umat Islam diam, hari ini mereka kembali bangkit. Mereka tidak mahu kekayaan negara ini terus dikaut orang lain. Mereka mahu ianya dikongsi secara bersama kerana inilah bumi yang mereka ada, warisan nenek moyang.

Perkongsian ini mesti dilakukan sekiranya kita ingin melihat masa depan yang lebih gemilang tanpa prasangka. Jika tidak, masalah tidak akan selesai dan kita tidak akan menang. Hari ini kelihatan kita tidak mahu berkongsi, tetapi terus menentang. Kita mahu menjadi ekslusif bukan inklusif. Tidakkah inklusif lebih baik daripada ekslusif?

Artikel saya minggu lepas dicabar dengan mendedahkan perbuatan seks kalangan orang Islam dan umat Islam yang menjadi hamba seks di Bangladesh. Saya diminta oleh puak ultra kiasu ini supaya pergi ke Bangladesh membebaskan hamba seks kalangan umat Islam. Berulang kali saya telah sebut, saya tidak mahu membuka pekung di dada, sebab saya kenal dan tahu cara hidup rakan sebangsa.

Ultra kiasu tidak perlu membawa statistik hamba seks kalangan umat Islam di Bangladesh. Hamba seks di negara kita sendiri yang begitu banyak berleluasa termasuk pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan mengautkan kekayaan, perlu dijaga dahulu. Siapakah yang melakukannya? Kita tidak kisah perbuatan tersebut haram atau tidak, yang penting boleh buat duit dan menjadi kaya raya.

Kita mengambil sikap tidak kisah isu ini. Berapa ramai wanita bukan Islam yang menjadi korban hasil nafsu buas lelaki. Hidup bersekedudukan tanpa kahwin. Saya berani mengatakan bahawa dari kalangan anak muda dan anak gadis mereka, hampir 100 peratus daripada mereka telah melakukan seks bebas sebelum berkahwin secara sah. Itupun bernasib baik jika mereka berkahwin. Jika tidak, orang lain turut menjadi mangsa kerana mendapat teman yang telah ditebuk tupai. Saya masih percaya mereka yang memberi komen dalam blog saya turut melakukan perkara yang sama. Mereka tidak kisah mendapat teman hidup yang telah ditebuk tupai, kerana selepas itu, mereka boleh menyimpan berpuluh-puluh mistress kerana bagi mereka tidak berdosa, asalkan niat baik.

Dengan sebab itu, jangan kita keterlaluan menghina orang Melayu yang terlibat dalam gejala sosial dan seks bebas. Berpada-padalah. Kita paparkan seks bebas yang berlaku di kalangan orang Melayu. Pada saya, itu bukanlah perkara pelik sebab ramai lagi umat Islam yang tidak melakukan seks bebas berbanding kita. Semua bukti ini dalam genggaman saya. Statistik umat Islam yang terlibat dan didedahkan dalam media bagi saya ada baiknya, sebab umat Islam amat sensitif dengan perbuatan haram ini dan mahu mencari jalan penyelesaian.

Sedangkan bukan Islam merasakan ia tidak penting. Tetapi, bila anak luar nikah tidak dapat dibinkan bapanya, kita menyalah kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Namun, bila kerajaan bertolak ansur dengan memenuhi tuntutan dan desakan itu, kita gigit dan kutuk kerajaan habis-habis, bukannya mahu berterima kasih. Adakah tindakan ini wajar?

Jika bilangan anak luar nikah yang menjadi tanda aras, saya fikir bilangannya anak luar nikah umat Islam tidaklah membimbangkan sangat. Berbanding dengan ‘anak luar nikah’ bukan Islam yang digugurkan sejak awal atau menggunakan alat pencegah hamil. Jika dibiarkah seperti mana yang dilakukan oleh anak gadis Islam, paling ramai anak luar nikah adalah orang bukan Islam.

Itupun nasib baik jika mereka bertangungjawab. Ada yang terus ditinggalkan, habis manis sepah dibuang. Justeru, jangan lah menuding jari seolah-olah orang Islam sahaja yang ketagih dan suka seks. Puak ultra kiasu boleh ambil gambar remaja melakukan perbuatan sumbang tersebut dan dilinkkan ke blog saya. Saya hanya tersenyum dan ketawa kecil. Pada saya, sekurang-kurang remaja-remaja ini berterus-terang, daripada melakukan secara diam-diam untuk tujuan ‘cover’. Tidakkah perbuatan tersebut lebih hipokrit?

Kita tidak boleh menutup bangkai, baunya pasti keluar. Ketika itu, terbongkarlah segala skandal demi skandal seks lucah. Tidak mustahil yang memberi komen itupun berzina dahulu sebelum berkahwin. Maklumlah, mereka berpegang kepada janji hati baik, niat berkahwin ada.

Kita jangan terlalu menyerang untuk melindungi sesuatu. Saya berterus terang sebab saya tahu apa yang berlaku. Saya tidak hipokrit. Saya mengenal bangsa saya dahulu sebelum orang lain. Janganlah anggap saya jahil tentang bangsa saya. Lagipun saya kajian PhD berkaitan persepsi bangsa saya terhadap bangsa lain. Dapatan yang saya paparkan bertujuan untuk menyelamatkan bangsa saya bukan untuk memusnahkannya. Masihkah saya jahil soal bangsa saya? Yang berkokok berderai-derai, ekor bergemulang tahi itu ada membuat kajiankah? Jangan asyik pandai bercakap dan mengambil kesempatan?

Mungkin hari ini, kita melihat umat Islam tidak bersatu. Tetapi saya yakin satu hari nanti mereka pasti akan bersatu. Ketika mereka bersatu nanti, bayangkan jika mereka mengambil pendekatan membalas dendam, apakah yang akan tinggal pada kita? Ingatlah bangsaku, kasihku terhadapmu amat tinggi sebab kita adalah dari satu generasi yang sama. Bangsa berdarjat dan terhormat, tetapi jangan sampai kita menjadi bongkak kerana sikap bongkak akan menghancurkan kita dan anak cucu cicit kita.

Namun, saya yakin jika ditakdirkan umat Islam kembali bangkit dan menjadi kuat, mereka tidak akan melakukan sedemikian terhadap kita sebagaimana yang kita lakukan terhadap mereka. Agama Islam yang suci dan mulia, tidak sama sekali mengajar umatnya menganiayai atau menghina orang lain.

Malah Islam amat menjaga darjat orang lain. Sejarah Islam membuktikan, Islam tidak akan menyerang jika tidak diserang. Malah Islam sentiasa melindungi kepentingan bukan Islam sehingga sampai pada tahap yang sukar untuk dibayangkan.

Saya masih teringat, bagaimana hebatnya orang Islam merawat tentera Kristian (bukan Islam) ketika mereka tewas dalam Perang Salib pimpinan Sallahuddin Al-Ayubi. Umat Islam tidak pernah mahu membalas dendam meskipun sebelum itu, umat Islam pernah dibunuh, disiksa dan disembelih sehingga darahnya sampai ke paras lutut ketika itu.

Kenapa umat Islam tidak memperlakukan sedemikian rupa? Jawapannya mudah, inilah indah Islam. Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya berlaku zalim kepada bukan Islam, kecuali bukan Islam sengaja mencari pasal dengan orang Islam.

Saya teramat yakin, apabila Islam tertekan dan ditekan, satu hari nanti, Islam pasti akan bangkit. PAS dan UMNO pasti akan bersatu. Mungkin hari ini kita masih belum melihat hasilnya, tetapi masa akan menentukannya.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Habis manis sepah dibuang”

Tuesday 13 July 2010

Hukum Ulama Sertai Parti Politik?

Soalan: Yang amat saya kasihi Dr Asri, sehari dua ini heboh masyarakat mengulas tentang ulama muda menyertai parti tertentu. Alhamdulillah, saya mewakili kebanyakan rakyat Malaysia bersyukur kerana Dr. Asri yang kami sanjungi tidak mengambil tindakan yang sama. Tapi saya hendak tanya Dr, apakah pandangan Dr Asri tentang ulama yang menyertai pertubuhan politik yang tidak memperjuangkan Islam dan terlibat dengan banyak perbuatan-perbuatan tidak baik? Maaf jika soalan ini berbau politik.

Fazalina, Tanah Merah.

Jawapan DR MAZA: Saudari Fazalina, terima kasih atas penghormatan saudari dan rakyat Malaysia yang lain. Doakan agar saya dapat memilihkan langkah betul lagi diredhai Allah dalam kehidupan ini. Soalan yang saudari kemukakan itu adalah berkaitan Islam, maka ia hendaklah dinilai dengan pertimbangan al-Quran dan al-Sunnah, bukan pertimbangan emosi. Hukum dan pendapat agama hendaklah bebas dari cengkaman sentiment tertentu, sebaliknya berpijak atas fakta dan dalil. Apa yang akan saya kemukakan adalah kadar kefahaman saya terhadap dalil-dalil dalam hal ini. Pohon keampunan kepada Allah jika ia tersasar dari kebenaran. Maka, pendapat saya dalam hal ini seperti berikut;

1. Setiap pertubuhan atau kerajaan atau badan mempunyai dasar atau tujuannya yang tersendiri. Di samping slogan yang dilaungkan, kita juga hendaklah melihat bagaimanakah keadaan atau suasana di dalamnya. Meletakkan slogan yang baik atau islamik mungkin mudah, tetapi menghayatinya bukanlah semudah slogan yang dilaungkan. Ada pertubuhan atau kerajaan yang tidak berslogan Islam, tetapi suasana kebaikan dalamnya terbuka luas. Demikian sebaliknya.
Maka, penilaian terhadap sesuatu kumpulan atau parti atau pemerintahan hendaklah dilihat dari berbagai sudut. Maka, saya katakan hukum penyertaaan mana-mana individu ke dalam apa-apa pertubuhan atau parti atau kerajaan bergantung kepada beberapa perkara utama; pertama: niat, kedua: peranan, ketiga: kemampuan dan kadar kebaikan dan keburukan dalam penyertaan tersebut.

2. Ertinya, jika niatnya untuk kebaikan atau mendapat keredhaan Allah, maka itu suatu ibadah. Jika untuk mendapat habuan dunia, maka ia bukanlah kebaikan yang diterima Allah bahkan akan merosakkan orang lain. Sehingga jika seseorang menyertai parti atau kerajaan yang berslogankan Islam pun, jika niatnya salah, ia tidak mendapat pahala bahkan mungkin mendapat dosa. Hal ini kita dapat lihat bagaimana Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan menteri pembendaharaan Mesir, padahal Raja Mesir ketika itu bukan seorang muslim. Sistem yang dipakai juga, bukan syariat Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan” (Surah Yusuf, 55-56).

3. Setelah niatnya betul, hendaklah dia mengetahui apakah peranan yang hendak dimainkan. Jika kumpulan atau kerajaan yang tidak sertai itu tidak Islamik atau menyanggahi prinsip-prinsip keadilan dan kebaikan, apakah peranan yang dia boleh mainkan untuk membaiki suasana tersebut atau menyampaikan mesej Islam ke dalamnya. Kata al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H):
“Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, pembaikian dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia. Demikian juga hukumnya pada hari ini. Sekiranya seseorang insan tahu mengenai dirinya, bahawa dia dapat menegakkan kebenaran dalam kehakiman dan hisbah, sementara tiada seseorang pun yang sesuai dan setanding dengannya maka jawatan itu fardu `ain ke atas dirinya. Wajib dia mengendali dan memintanya. Dia juga hendaklah memberitahu sifat-sifat yang melayakkannya iaitu ilmunya, kemampuannya dan lain-lain” (Tafsir al-Qurtubi, 9/21, Beirut: Dar al-Fikr).
Demikian kita, jika dirasakan penyertaan kita dalam mana-mana badan atau kerajaan dapat menegakkan kebenaran atau mengelakkan kezaliman dengan kadar yang termampu, maka penyertaan itu mendapat pahala. Jika tiada siapa yang mampu lakukan kecuali kita, maka ia merupakan satu kewajiban.
4. Jika badan yang disertainya itu dipenuhi kemungkaran dan tiada peranan dalam mengubah atau mengurangkannya, maka penyertaaan ke dalamnya adalah dosa. Ini disebabkan dia menambahkan kemeriahan golongan mungkar. Allah berfirman: (maksudnya)
“Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka” (Surah al-Nisa: 140).

5. Setelah betul niatnya, dan jelas peranannya, hendaklah dia mengukur kadar kemampuan diri dalam memainkan peranan tersebut. Jika dia tahu bahawa dia tidak akan mampu mengubah atau mengurangkan kemunkaran tersebut, maka dia diharamkan menyertai kumpulan atau organisasi munkar itu. Jika dia tahu dia mampu dengan kadar peranan yang ingin dia mainkan, maka itu suatu perjuangan menyampaikan mesej Islam. Nabi Yusuf a.s tidak mengubah seluruh sistem kerajaan Mesir ketika itu tetapi dia berjaya menegakkan kebaikan dan keadilan dalam menguruskan khazanah kekayaan Mesir. Rakyat Mesir mendapat kebaikan dari kedudukan Yusuf a.s.

6. Ertinya, penyertaan ke dalam organisasi yang tidak Islamik bukanlah semestinya sehingga mampu mengubah keseluruhan sistem. Raja Najasyi Habsyah bernama Ashamah bin Abjar beriman dengan Nabi s.a.w tetapi beliau mengepalai Kerajaan Kristian Habsyah. Beliau tidak mampu mengubah kerajaannya, tetapi mampu melindungi sahabah-sahabah yang berhijrah mencari perlindungan di Habsyah dan menegakkan asas-asas keadilan untuk rakyatnya. Nabi s.a.w berutus surat dengan Najasyi, tetapi baginda tidak memerintahkan Najasyi meninggalkan kerajaannya dan berhijrah ke Madinah. Nabi memujinya, sekalipun beliau mati di Habsyah ketika mentadbir sebuah kerajaan Kristian. Sabda Nabi s.a.w
“Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. (Riwayat al-Bukhari).

7. Berikutnya hendaklah difikir dan ditimbang sehalus-halusnya kadar maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) yang akan terhasil dari penyertaan tersebut. Jika kebaikan mengatasi keburukan maka itu sewajarnya dilakukan. Jika sebaliknya, wajib dihindari. Namun dalam menilai maslahah dan mafsadah itu hendaklah berteraskan ilmu, teliti dan warak.
8. Apa pun, keikhlasan niat, tahu peranan, ada kemampuan dan penilaian yang matang adalah syarat penting dalam hal ini. Dalam Islam apa yang tidak mampu dibuat semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya. Setiap orang hendaklah menilai kadar baik dan buruk bagi setiap tindakan yang diambil berteraskan keredhaan Allah. Kita berdoa agar Allah membimbing kita semua ke jalan yang diredhaiNya.
read more “Hukum Ulama Sertai Parti Politik?”

Fatwa Para ‘Ulama Berkenaan Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban – SUATU TUNTUTAN ATAU KEPALSUAN?

Bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban (15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

'Solat Sunat' Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21] Dalam kitab al-Sahihain (Bukhari & Muslim) diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.” Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya... Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik. Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai. Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan berterusan.’” Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Jumaat: 10/10/2003
read more “Fatwa Para ‘Ulama Berkenaan Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban – SUATU TUNTUTAN ATAU KEPALSUAN?”

Isu Hakim Wanita: Kita Wajar Terbuka

Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Ramai yang meminta saya memberikan pandangan berhubungan perlantikan hakim wanita di mahkamah syariah baru-baru ini. Sebahagian mereka ini terpengaruh dengan pendapat yang agak ‘keras’ yang hanya membenarkan Islam itu dilihat dalam kerangka sesebuah mazhab sahaja, lalu tanpa penelitian atau kesederhanaan menghukum haram, sesat, dosa dan berbagai lagi.

Sedangkan kita sepatutnya melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas yang meliputi semua aliran mazhab, pendapat dan pandangan ilmiah dari mana sahaja ia berasal. Apa yang penting penghujahannya hendaklah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta mengikuti garis panduan ilmu yang ditetapkan. Di samping bersedia menerima perbezaan dalam perkara-perkara yang boleh kita berbeza. Saya ingin menyentuh hal ini dalam nota-nota berikut;

1. Isu hakim wanita adalah persoalan yang sarjana Islam berbeza pendapat mengenainya. Kita sebagai muslim hendaklah bebas dari fanatik mazhab, sebaliknya dengan takwa kepada Allah ingin mencari apa yang paling kukuh penghujahannya di sisi garis panduan ilmu. Penerimaan sesuatu hujah atau alasan juga berbeza antara satu sama lain, berdasarkan kepada kadar ilmu dan pemikiran, juga dimensi tempat dan masa. Berlapang dada mendengar setiap hujah dengan penilaian yang adil dan takwa adalah sikap seorang muslim yang baik.

2. Tujuan asas kepada penghakiman bukannya soal gender, tetapi keadilan. Jika lelaki pun tetapi tidak adil apa ertinya? Maka, yang mesti ditegaskan dalam hal ini adalah bagaimana hendak mencapai keadilan dalam hukuman. Itulah maqsad atau tujuan sesuatu penghakiman. Apakah jika wanita menjadi hakim akan menyebabkan kurang adil dari lelaki? Dari segi realiti hari ini ada wanita yang menjadi hakim di mahkamah sivil di negara ini bahkan di dunia seluruhnya. Apakah dengan jelas terbukti bahawa mereka tidak dapat bertindak secara adil? Jika tiada bukti, asas larangan dalam masalah ini adalah lemah.

3. Dalam al-Quran, dalam Surah al-Naml Allah menceritakan tentang Permaisuri atau Ratu negara Saba’ (dikenali oleh sejarah sebagai Balqis) telah mengepalai kerajaan yang besar, yang bertindak dengan cara yang lebih bijak dari menteri-menteri lelaki dalam kerajaannya.

Firman Allah menceritakan hal ini: (setelah membaca surat itu), Ratu Saba’ berkata: “Wahai para pembesar negara! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri”. Ratu itu berkata lagi: “Wahai para pembesar negara, berilah pendapat kamu kepadaku mengenai perkaraku ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir (memberi pendapat)”. Mereka menjawab: “Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan”. Ratu itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. Dan sesungguhnya aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita”. (Surah al-Naml: ayat 29-35).
Di sini al-Quran meriwayatkan kebijaksaannya membuat keputusan sehingga akhirnya membawa Ratu Saba’ itu beriman dengan Nabi Sulaiman a.s. Kisah wanita yang bijak ini dirakamkan oleh al-Quran tanda wanita juga mampu membuat keputusan yang baik.

4. Dalam sejarah keilmuan, isteri-isteri Nabi s.a.w seperti ‘Aishah, Umm Salamah, Hafsah dan selain mereka telah mengeluarkan berbagai fatwa yang diguna pakai oleh umat Islam ketika zaman mereka dan selepas mereka. Walaupun ada sedikit perbezaan antara fatwa dan penghakiman kes, namun dalam banyak hal, asasnya sama.

5. Sejarah juga merakamkan, Aishah r.a. pernah mengepalai angkatan dalam gerakan menentang pemberontak yang membunuh Khalifah Uthman r.a dan akhirnya terlibat dengan Perang Jamal. Aishah juga yang memutuskan keputusan-keputusan penting dalam krisis tersebut. Ia lebih besar dari isu nikah dan talak. Ia membabit masa depan dan politik umat Islam. Turut bersama ‘Aishah r.a. sahabah-sahabat Nabi s.a.w yang besar seperti Zubair bin ‘Awwam dan Talhah bin ‘Ubaidillah. Mereka tidak membantah tindakan ‘Aishah mengepai isu-isu ini walaupun sesetengah kurang bersetuju beliau keluar meninggalkan kediamannya, disebabkan beliau isteri Nabi s.a.w.

6. Kaedah penghakiman hari ini juga berbeza dengan masa lampau. Hakim tidak lagi bergantung kepada ijtihad beliau sepenuhnya, sebaliknya berasaskan enakmen-enakmen bertulis yang tersedia ada. Apatah lagi, mahkamah syariah di negara ini bukan untuk mengendalikan kes-kes jenayah berat yang mana itu berada di bawah mahkamah sivil. Ertinya, tugasan hakim mahkamah syariah di negara ini tidak seberat mahkamah sivil dan tidak sebeban hakim-hakim zaman dahulu. Jika bebanan hakim-hakim dahulu antara punca sebahagian sarjana mengharamkan mereka memegang jawatan tersebut, hal ini tidak wujud dalam konteks mahkamah syariah negara ini.

7. Wanita dalam negara ini sudah terdedah kepada banyak pengetahuan yang menyaingi kaum lelaki. Walaupun dari segi emosinya tetap tidak sama, namun persekitaran atau environment telah menjadikan mereka menyaingi kematangan lelaki dalam banyak hal. Maka, adanya perbezaan antara wanita-wanita pada zaman fatwa ulama-ulama silam yang mengharamkan mereka menjadi hakim dengan wanita hari ini yang terdedah kepada pendidikan dan persekitaran yang baru.

8.Banyak kes-kes perkahwinan yang menganiyai wanita disebabkan penangguhan kes yang begitu lama, juga mungkin kurang faham atau prihatin hakim lelaki terhadap keadaan wanita. Perlantikan hakim wanita dalam kes-kes rumahtangga mungkin boleh mengelakkan hal-hal tersebut. Kita wajar melihat soal politik, perundangan dan kemasyarakat dalam kerangka syariah yang lebih luas yang dapat memenuhi keperluan masa dan tempat.

9.Oleh kerana dalam banyak keadaan emosi mempengaruhi wanita, seperti mana ia juga mempengaruhi lelaki dalam perkara-perkara tertentu. Maka, jika hendak dilantik, pemilihan yang teliti dan amanah wajib dipastikan.

10.Kesimpulannya, saya bersetuju hakim mahkamah syariah dilantik dalam kalangan wanita dengan syarat-syaratnya. Saya juga menasihati semua pihak termasuk diri sendiri agar mengelakkan pendapat yang tidak mengambil kira keserasian text dan context. Barangkali, sebahagian pendapat silam itu, ada konteksnya yang tersendiri. Sedangkan kita hendaklah melihat isu-isu kehidupan ini dalam konteks yang semasa sebelum dipadankan dengan sesuatu nas atau text yang barangkali lahir dalam konteks yang berbeza.
read more “Isu Hakim Wanita: Kita Wajar Terbuka”

Shahidan tak jadi bertanding

KANGAR - Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Serentak itu Shahidan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa untuk merebut jawatan tersebut.

"Saya telah bertemu Tengku Abdullah minggu lalu dan menyatakan hasrat pengunduran saya itu dan baginda mengucapkan terima kasih," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Namun, Shahidan menjelaskan kepada Tengku Abdullah, bahawa beliau akan bertanding jika baginda menarik diri.

"Saya yakin baginda akan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak kerana baginda adalah individu yang layak," ujar beliau.

Beliau menegaskan penarikan diri daripada bertanding bertujuan supaya pimpinan baru nanti akan memberi perubahan agar FAM maju.

Sebelum ini, Tengku Abdullah mengumumkan bersedia kembali memikul tanggungjawab selaku Timbalan Presiden FAM.

Baginda bertitah, ia merupakan tawaran yang sukar ditolak setelah dicalonkan semula untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

FAM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan serta pemilihan kepimpinan tertinggi pada 31 Julai ini untuk penggal 2010 hingga 2014.

Dengan pengumuman Shahidan, dua jawatan Timbalan Presiden FAM kini menjadi rebutan lima calon selain Tengku Ahmad Shah iaitu penyandang jawatan itu, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut bertanding ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.
read more “Shahidan tak jadi bertanding”

Sunday 11 July 2010

Menahan lukah di pergentingan

Mingguan Malaysia 11 Julai 2010

Kedatangan bulan Julai sentiasa terpahat dalam memori. Bermulanya penulisan saya secara tetap dalam akhbar Mingguan Malaysia. Kini telah genap setahun. Minggu hadapan, buku saya akan akan berada di pasaran, hasil kompilasi artikel-artikel sebelum ini, bertajuk Nasib Melayu di Bumi Melayu. Saya amat mengharapkan para pembaca dapat menerima buku ini yang diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, dengan hati terbuka. Sebenarnya banyak lagi buku dan artikel di pasaran yang lebih kontroversi tetapi kita terima atas prinsip menghormati kebebasan bersuara.

Kebenaran kadang kala amat pahit untuk ditelan. Saya tidak menafikan cetusan minda dan karya saya telah menimbulkan kontroversi. Ada yang suka, tidak kurang pula yang mencerca. Malangnya, yang mencerca jarang berhujah secara profesional, melainkan kutukan dan penghinaan yang amat menyakitkan. Saya menerimanya, biarlah orang mahu kata apapun, saya tidak kisah. Saya lebih mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia.

Penulisan saya dikatakan tidak akademik, tidak mencerminkan ‘kedoktoran’ dan ‘keintelektualan’ saya dan macam-macam kutukan lagi. Ratusan ribu maki hamun dan cacian dalam internet sudah tidak larat untuk dibaca. Hatta komen dalam blog saya sendiri, saya tidak kuasa memadamkannya. Biarlah kita memahami mentaliti ultra kiasu ini. Lagipun dosa pahala cacatan tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

Saya tidak pernah memaki hamun sesiapa. Tidak juga saya membalas balik cacian dan makian mereka kerana saya tidak mahu dilihat sama seperti mereka.

Matlamat saya jelas, saya hanya mahu umat Islam bersatu. Saya tidak mahu melihat umat Islam terus berkelahi, sedangkan orang lain bertepuk tangan. Saya mahukan kita mempercayai saudara sendiri berbanding orang lain. Saya yakin orang lainpun sebegitu. Mereka lebih percaya orang sendiri, berbanding orang lain. Lumrah manusia, mereka mula mempercayai orang lain hanya apabila berada dalam keadaan tersepit. Inilah realiti politik Malaysia. Tidak perlulah saya membuat perbandingan lagi kerana akan mengeruhkan suasana.

Teringat pesanan guru saya agar mengurangkan konflik ketika menulis, tetapi perbanyakkan kerjasama, penyatuan dan persamaan atau cohesion. Adalah satu kerugian jika banyak menimbulkan konflik. Lagipun ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Inilah panduan setiap kali saya menulis. Malangnya, ia sengaja diputarbelitkan. Contoh-contoh konflik yang kecil, diperbesarkan untuk mendapat perhatian dan simpati. Apa boleh buat, spesis ini memang sentiasa ada untuk melemahkan semangat.

Mereka seolah-olah tidak boleh disentuh lagi. Mereka sahaja yang dilihat sebagai pejuang rakyat, orang lain tidak. Mereka juga adalah ‘jaguh’ menentang ‘korupsi dan penyelewengan’ yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional sahaja. ‘Korupsi dan penyelewengan’ mereka seolah-olah tiada.

Perjuangan inilah yang didakwa sangat mendapat sokongan rakyat yang telah diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum 2008. Mereka dikatakan sudah berbeza, lebih terbuka, telah banyak berubah dan semakin dekat dengan Islam. Baguslah kalau begitu. Maka segeralah laksanakan ‘perubahan’ itu. Sama-sama kita membina negara ke arah sejahtera. Saya teramat ingin untuk melihat dan merasai percikan ‘perubahan’ yang cuba diketengahkan itu agar saya boleh membuat pilihan.

Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.

Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.

Saya tidak pernah kata semua tindak tanduk Umno betul? Saya mengakui masalah yang juga berserabut dalam Umno seperti korupsi, politik wang dan politik saling jatuh-menjatuhi. Saya selalu tegur, bacalah buku yang akan diterbitkan itu.

Persoalannya, wajarkah dengan masalah dalam Umno menyebabkan kita tolak semuanya apa yang ada di dalam Umno? Adakah nikmat yang kita kecapi ini, langsung bukan hasil kerja Umno? Adakah semua harta dan kekayaan negara hanya jatuh kepada kroni Umno? Jika ia jatuh ke tangan kroni sekalipun, apakah ia tidak menguntungkan orang lain yang menjadi pengeluar utama? Tidakkah ultra kiasu yang turut menjadi kaya, adalah juga hasil daripada sistem kroni yang berjalan selama ini?

Ramai rakan saya dalam Umno sanggup belot, menggadaikan prinsip dan maruah dengan berpaling tadah kepada ultra kiasu, semata-mata untuk mendapatkan tender dan projek. Mereka sanggup menjadi sikitol semata-mata untuk cari makan. Adakah memberikan tender dan projek kepada mereka tidak kroni namanya? Bentangkanlah tender dan projek yang diterima mereka di setiap majlis perbandaran negeri-negeri yang dikuasai pakatan? Saya amat yakin semuanya adalah kroni. Paling tidakpun tender dan projek diberikan kepada mereka yang telah belot kepada Umno. Apakah ia satu tindakan yang wajar? Janganlah mengatakan dulang paku serpih.

Perdana Menteri hari ini cuba sedaya melakukan perubahan selaras dengan gagasan 1Malaysia, tetapi semuanya ditolak. Pada masa sama, mereka tidak malu-malu menuntut. Saya yakin tuntutan peruntukan sebanyak satu billion untuk sekolah vernakular dalam RMK-10 suara bersama. Betapa malangnya nasib sekolah agama, berapa billion yang diperolehi dalam RMK-10. Kita tunggu dan lihat nasib umat Islam yang termaktub dalam perlembagaan ini.

Sebelum kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka, pihak kerajaan perlu membuat audit ke atas akaun persatuan-persatuan berkaitan sekolah vernakular ini yang memperolehi dana dan bantuan daripada luar bernilai jutaan ringgit dalam simpanannya. Banyak cara yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar memberikan sumbangan bagi mengelakkan diri dari membayar cukai dengan menyalurkan wang ke sekolah ini. Secara tidak langsung, kerajaan telahpun membantu mereka apabila cukai syarikat disalurkan kepada pertubuhan yang dikecualikan cukai dan seterusnya cukai itu disalurkan ke sana.

Atas semangat cohesion, saya bersetuju dengan peruntukan satu billion, malah lebih dari itupun boleh, dengan syarat kerajaan mengambilalih semua sekolah ini dan diserapkan ke dalam pendidikan nasional yang lebih sejajar dengan gagasan 1Malaysia agar terbina sebuah negara bangsa yang utuh, tanpa menafikan hak mempelajari bahasa ibunda. Termasuk juga memberi pengikhtirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan syarat mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Malangnya, ia terus ditentang kerana kita lebih takut silibus yang ditetapkan itu tidak diterima oleh negara China dan Taiwan.

Namun demikian, walaupun kerajaan tidak mengikhtirafnya, mereka masih lagi tidak rugi apa-apa, kerana syarikat-syarikat swasta yang rata-rata dikuasainya terus menerima mereka. Pendek kata, persoalan sama ada diikhtiraf atau tidak, langsung tidak timbul. Makna tersurat dan tersirat cukup mudah, tidak diterima pun dapat, diterima, lagi banyak dapat.

Saban hari mereka asyik menyalahkan kerajaan walaupun ‘kesalahan’ itu mungkin datang dari orang lain. Semua tidak betul. Misalnya, wajarkah kita menyalahkan kerajaan hanya kerana anak bekas pejuang kemerdekaan tidak mahu menyerahkan dokumen sejarah hampir 150 kotak kepada muzium negara atau arkib negara, sebaliknya memberikannya kepada Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) di Singapura?

Kita boleh bawa kuda ke tepi kolam, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air. Kita terlalu banyak bersangka buruk. Kerana sangkaan buruk inilah sehingga kita terpaksa dan sanggup mencadangkan supaya muzium atau arkib bangsa sendiri lebih banyak diwujudkan daripada yang sedia ada? Adakah tindakan ini membawa kepada cohesion? Inilah hasil yang kita tuai setelah 53 tahun mencapai kemerdekaan.

Jika kita benar-benar sayang kepada negara, sekurang-kurangnya buatlah salinan dan serahkan kepada Arkib Negara. Sayang sekali, kita lebih mempercayai negara lain daripada negara sendiri.

Hari ini, tanpa disedari ataupun kita menyedari, kita sebenarnya memelihara duri dalam daging. Kita ibarat menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan di saat-saat sukar.

Terbaru, parti nyamuk yang terasa dirinya kuat menggugut mahu keluar daripada BN jika terbukti Umno terlibat menentang ketuanya. Pada saya, silakanlah, adapun menyusahkan, pergi, lagi menyenangkan. Budi baik orang lain langsung tidak dikenang, seolah-olah melepaskan anjing tersepit.

Sama juga adik-beradik parti nyamuk baru-baru ini dalam Mesyuarat Agong mereka menuntut jawatan menteri penuh diberikan walaupun ahlinya hanya sekelumit. Siapakah yang patut berkorban untuk memberi kerusi tersebut? Saya tidak yakin parti-parti komponen BN akan memberi laluan. Bukti menunjukkan bahawa sikap ultra kiasu amat kuat, bila kosong sahaja kerusi senator, sepantas kilat mereka sudah ada calon untuk menggantikannya. Akhirnya, nanti kerusi Umno juga yang akan terlepas. Kawasan Parlimen Gerik sudah menyaksikan segalanya.

Apapun, saya dapat simpulkan, setiap sudut yang rugi adalah umat Islam. Semakin banyak parti-parti politik ditubuhkan untuk menyertai BN, kerusi orang Islam hanya satu iaitu Umno. Sedangkan bukan Islam yang menyertai BN mengimpikan jawatan menteri atau kuasa mesti dikongsi bersama mereka. BN adalah alat untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan. Atas semangat cohesion kita terus memberi, tetapi jarang menerima.

Tidak cukup dengan itu, mereka terus mengasak untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet seperti Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya, Menteri Dalam Menteri dan sebagainya. Mereka sentiasa merancang mahukan lebih dan lebih. Malangnya, umat Islam merancang saling jatuh-menjatuhi antara satu sama lain, sama ada di dalam parti atau di luar parti.

Inilah politik ultra kiasu yang mesti ditangani oleh Umno yang memimpin BN hari ini. Jika Umno sanggup beralah, kenapa orang lain tidak? Saya teringat komen rakan blog, kenyataan yang dikeluarkan tidak menyembuhkan luka yang ada, tetapi semakin menyakitkan luka yang sedia ada. Akhirnya luka semakin mendalam.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Menahan lukah di pergentingan”

Sunday 4 July 2010

Beza antara kawan dan sahabat

Mingguan Malaysia 4 Julai 2010

Sebelum ini Pas amat yakin bahawa rakan sekutunya parti ultra kiasu sudah faham akan Islam dan menerima konsep negara Islam serta mungkin tidak mustahil untuk memeluk Islam. Itulah harapan Pas yang menggunung tinggi. Sayangnya Pas agak kurang memahami psiki ultra kiasu telah diceraikan sebelum ini dan kini merujuk kembali kononnya untuk menguasai Putrajaya.

Untuk memahami parti ultra kiasu ini, mungkin Pas boleh meminta pendapat daripada beberapa kalangan Cina Muslim yang menjadi ahlinya. Dengan syarat, Cina Muslim itu mesti jujur dengan ilmu dan tidak ultra kiasu. Sebab ramai juga Cina Muslim yang turut terikut-ikut dengan rentak ultra kiasu disebabkan latar belakang pendidikan perkauman yang mereka terima.

Hakikatnya, pendirian ultra kiasu tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang meskipun mereka berada dalam satu pakatan. Minggu lalu, pemimpin veteran parti ultra kiasu yang tidak berserban, secara terang menentang sebarang usaha dan percubaan Pas untuk menjadi Malaysia sebuah negara Islam apatah menjalankan undang-undang Islam. Pada beliau, walaupun berada dalam satu pakatan, ia bukanlah bermakna mereka menerima dasar Pas. Jawapan ini sudah jelas kepada Pas agar membuka mata dan minda. Siapakah kawan, siapakah lawan dan siapakah sahabat?

Saya yakin jika Pas berbincang dan bersahabat dengan Umno tentang hal ini, tidak mungkin Umno akan menolak bulat-bulat, sebab Umno juga adalah parti orang Islam. Ramai kenalan saya dalam Umno yang mahukan Islam. Yang kurang berminat dengan Islam pula, amat pantang jika kita kata mereka kafir, sebab dalam hati mereka masih ada iman. Paling tidak pun, Umno akan jawab, negara Islam telahpun diisytiharkan, cuma perlaksanaannya memerlukan sedikit masa.

Sebahagian undang-undang Islam sebenarnya telah dan sedang berjalan, walau tidak sepenuhnya. Yang penting pada saya, bawalah berbincang. Jangan terlalu bersangka buruk sesama bangsa dan seagama. Sedangkan Nabi ampunkan umat, inilah pula perbalahan antara sahabat semacam adik-beradik. Janganlah menolak persahabatan kerana terlalu ingin berkawan. Berkawan hanya sekadar di pinggiran, atau mungkin sampai di tangga rumah. Jika terpancar keikhlasannya mungkin boleh dipelawa masuk ke dalam rumah. Tetapi bersahabat bukan sahaja boleh di pimpin ke dalam rumah, malah boleh dibawa sampai ke bilik. Begitulah rapatnya hubungan sahabat berbanding kawan. Tetapi jangan melakukan perbuatan di luar tabie bila bersahabat.

Berkawan dengan memang perlu berhati-hati, apatah lagi dengan musang berbulu ayam. Kegilaan mereka kepada pentadbiran Umar Abdul Aziz bukanlah tiket untuk mengatakan bahawa kawan kita sudah insaf atau sudah dekat dan mahu kepada Islam. Sejarah menunjukkan ia tidak sedemikian. Janganlah mudah cair sehingga musuh tidak dapat dibezakan sama ada sekadar untuk berkawan atau bersahabat.

Saya yakin kepimpinan Pas selepas ini akan berkata, lebih baik berkawan dengan musuh, daripada bersahabat dengan sahabat seagama yang menolak Islam. Persoalannya, mana lebih baik? Berkawan dengan musuh yang jelas menentang Islam atau menghulurkan tangan dengan sahabat yan masih ada ruang untuk menerima Islam? Saya tidak berkawan dengan ultra kiasu, tetapi ramai juga bukan ultra kiasu yang memeluk Islam di tangan saya. Ingin saya bertanya kepada Pas, sekian lama berkawan dengan ultra kiasu, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam kerana terpikat dengan keislaman yang telah ditunjukkan oleh Pas? Sejauh mana dakwah Pas berkembang kepada mereka? Adakah mereka semakin dekat dengan Islam atau semakin memusuhi Islam? Cuba tanya soalan ini kepada pemimpin veteran ultra kiasu itu?

Pas selalu berhujah, Umno adalah punca segala kejahatan di muka bumi ini, seolah-olah tidak ada langsung kebaikannya. Dengan makna, Umno itu syaitan = neraka dan Pas itu malaikat = syurga. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka terlalu baik? Pemerintahan mereka sahaja yang betul, orang lain salah?

Saya tidak nafikan ada berlaku pengurangan jenayah dan maksiat sepanjang Pas memerintah Kelantan, tetapi ia masih berlaku, termasuk yang pelik-pelik. Mungkin alasan Pas sebab kerajaan pusat tidak membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan. Realitinya, negara-negara Islam yang cuba melaksanakan Islam pun masih lagi tidak dapat membendung gejala ini sepenuhnya, walaupun itulah pilihan terbaik. Bermakna, fenomena ini tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya, selagi manusia bernama manusia, tidak lari daripada kesilapan. Mereka bukan malaikat, mereka ada nafsu. Undang-undang hanya mampu mencegah dan mengurangkannya. Agak mustahil untuk menghapuskannya ke tahap sifar, apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan.

Justeru, adakah wajar kita mengatakan bahawa semua kejahatan dan kemaksiatan yang berlaku hari ini disebabkan oleh Umno? Pihak lain tidak langsung bersalah? Buatlah kajian. Negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak kurang tinggi kadar jenayah dan masalah sosial, selain Wilayah Persekutuan dan Johor. Bermakna, ini adalah fenomena globalisasi yang mesti ditangani bersama bukan saling salah menyalah.

Saya selalu dengar Pas amat yakin ultra kiasu mula menyokong dan memahami Islam serta perjuangan Pas setelah lama berkawan. Pada anggapan Pas, yang tidak bersetuju dengan dasar Islam hanyalah pemimpin-pemimpin veteran ultra kiasu. Golongan muda ultra kiasu tidak seperti golongan veteran ultra kiasu. Mereka dikatakan lebih lunak, terbuka dan mahu kepada Islam. Benarkah anggapan itu? Janganlah kerana mereka sudah berani mengibarkan bendera Pas ketika pilihan raya, itu menjadi petanda bahawa mereka menerima dasar Islam Pas. Ya, saya tidak menafikan perubahan parti ultra kiasu berbanding dahulu. Tetapi janganlah terlalu terpedaya dengan berhujah berasaskan bendera sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dilihat, terutama sejarah parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu menerima Islam.

Jika itulah tanggapan Pas, saya pun akan mengatakan, generasi veteran Umno semakin hampir kepada penghujungnya. Generasi muda akan mengambil alih. Saya yakin generasi muda Umno mahukan Islam. Apakah kita akan terus mengatakan bahawa selagi namanya Umno selagi itulah Umno tidak akan berubah dan menolak Islam? Adakah Pas begitu tega menolak anak orang Pas yang turut menjadi ahli dan pemimpin Umno, dan memuji anak orang Umno yang menyertai Pas?

Saya bimbang kita terlalu perasan dan syok sendiri. Hakikat yang sebenar masih belum tentu. Saya amat yakin bahawa pandangan ultra kiasu terhadap Pas, negara Islam dan hudud tidak pernah berubah. Sesiapa yang mengkaji sejarah dan ilmu sosialisasi politik, akan tahu kebiasaannya pandangan sebegini telah diturunkan dari generasi kepada generasi. Sama juga isu bangsa dan bahasa yang telah saya bahaskan sebelum ini.

Apakah Pas sudah lupa isu perlantikan Menteri Besar Perak selepas Pakatan Rakyat mendapat majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2008? Masihkah kita anggap itu adalah pandangan peribadi veteran ultra kiasu dan bukannya pandangan parti ultra kiasu?

Apabila parti ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pakatan ketika itu, mereka sudah ada calon MB mereka sendiri. Nasib baik ada Sultan Perak yang berkuasa memilih siapakah yang layak menjadi MB Perak. Lantas, Nizar Jamaluddin diperkenan oleh Baginda Sultan walaupun kerusi Pas adalah yang sedikit dalam pakatan. Jika tidak, sudah tentu rakyat Perak bermenteribesarkan parti ultra kiasu kerana itulah cita-cita mereka selama ini selain berjaya menguasai Pulau Pinang. Kes yang sama berlaku selepas ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pilihan raya tahun 1969. Parti ini begitu ghairah telah menuju ke istana untuk mendapat perkenan Tuanku Sultan supaya dilantik menjadi MB. Namun, ditolak oleh Tuanku Sultan.

Perlantikan Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak sebenarnya tidak dapat diterima oleh parti ultra kiasu ketika itu, hanya kerana Nizar itu adalah Pas. Jika Nizar masih meneruskan cita-cita Pas untuk menegakkan pemerintahan Islam di Perak, saya amat yakin parti ultra kiasu akan menjatuhkan Nizar. Jika cara itu tidak berjaya, mereka pasti bertindak keluar daripada pakatan tersebut.

Persoalannya, kenapa ultra kiasu dapat menerima Nizar dan mempertahankannya habis-habisan selepas Nizar dipecat setelah tidak lagi mendapat majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak? Saya yakin para pembaca sudah ada jawapannya.

Justeru, kenyataan pemimpin veteran ultra kiasu baru-baru ini tidaklah mengejutkan. Adalah amat mustahil bagi ultra kiasu untuk berkompromi dalam hal ini. Jika ultra kiasu berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika Pas berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri. Inilah dilema pakatan tidur sebantal, mimpi lain-lain. Pakatan ini ibarat kosmetik, cantik di luar, berserabut di dalam.

Ultra kiasu tetap berpendirian Malaysia adalah sebuah negara sekular. Mereka akan terus mengumpulkan bukti dan hujah. Antaranya adalah petikan kata-kata Tunku Abdul Rahman dan keputusan Mahkamah Agung 1988 yang telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Apakah Pas tidak sedar bahawa Barisan Alternatif yang diwujudkan pada pilihan raya umum 1999 gagal disebabkan oleh isu negara Islam dan hudud?

Matlamat ultra kiasu yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN. Bukannya menghormati dasar Pas. Pas hanya alat untuk memenuhi nafsu serakah mereka. Nik Aziz tidak perlu meminta pendapat veteran ultra kiasu untuk menilai pemerintahan di negerinya. Walaupun tidak dinafikan ada kebaikan, mereka tidak akan pernah mengakui, kerana di hati mereka tidak pernah ada bulan seperti yang didakwa Nik Aziz sebelum ini. Ditakdirkan BN tumbang nanti, pasti Pas akan terpinggir kerana ultra kiasu lebih yakin dengan sekutu bulan sabit yang mirip kepada sosialis.

Justeru, tidak perlulah Pas menjaja dalam ceramahnya bahawa generasi ultra kiasu telah menerima dasar-dasar Islam.

Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh. Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Beza antara kawan dan sahabat”