Saturday 27 February 2010

Bahana perkara remeh

Mingguan Malaysia, 28 Februari 2010

Saya merasa pelik kenapa umat Islam hari ini banyak membuang masa membincangkan dan membahaskan perkara yang remeh-temeh, sedangkan banyak lagi perkara penting dan serius yang perlu diteliti mendepani abad ke 21 ini. Isu- isu masa depan agama Islam dan survival umat Islam adalah antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian berbanding isu remeh-temeh seperti sama ada wajar atau tidak berarak, ketika menyambut maulidur rasul. Saya yakin semua rakyat Malaysia yang faham dan sudah tahu akan jawapannya. Kenapa perlu dibahaskan perkara yang sudah jelas, termasuk isu-isu lain seperti hukuman sebat ke atas wanita yang telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah dan pertikaian sesama sendiri yang tidak pernah habis.

Sempena keputeraan Rasulullah SAW, tidakkah lebih baik kita membincangkan sama ada umat Islam berakhlak mengikut Baginda atau tidak? Perpecahan umat Islam yang semakin menghancurkan dan banyak lagi perkara berkaitan dengan masa depan kita di bumi bertuah ini. Berarak atau tidak menjelang maulidur rasul, itu bukanlah soal akidah atau melibatkan hidup mati Islam. Yang lebih penting adalah pengajaran daripada sambutan tersebut. Apa guna sambutan di buat secara besar-besaran, sedangkan kesannya amat sedikit. Paling baik, sambutan hebat, kesannya juga hebat atau sambutan sederhana, kesannya juga hebat.

Janganlah berlaku sebaliknya, sambutan hebat, wang habis, impaknya kurang atau mungkin sedikit. Paling teruk, sudahlah sambutan tiada, ingatan terhadap Junjungan Besar semakin pupus. Apapun, sekurang-kurangnya sambutan maulidur rasul mengingatkan kita kepada perjuangan Baginda. Begitulah indahnya budaya masyarakat kita yang menunjukkan rasa dan cara kecintaan kepada Baginda SAW.

Kalau kita meninjau sirah, Baginda tidak pernah sama sekali membiarkan hidup sia-sia dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kehidupan Baginda adalah kehidupan yang berkualiti dalam setiap saat yang berlalu. Setiap detik digunakan bagi tujuan jihad fisabilillah, dalam erti kata memastikan Islam dan umatnya terus menjadi hebat, berketrampilan dan berkualiti. Lebih membanggakan lagi, Islam tersebar ke segala ceruk rantau dunia. Inilah kemantapan perjuangan Baginda yang mesti kita ikuti dan contohi.

Selain daripada kemantapan akidah, asas utama perlu dimulakan dengan ikatan perpaduan dan persaudaraan. Kedua-dua elemen adalah asas kekuatan. Kita hanya ada satu Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah rujukan kita bersama Al-Quran yang diwahyukan. Cara hidup dan peraturan yang dibawa terbukti mampu mencipta kegemilangan yang disanjungi dan kagumi dunia, tidak ada yang mempertikaikannya, termasuk bukan Islam. Ini kerana, cara hidup Baginda adalah yang terbaik sebagaimana Islam yang dibawa Baginda. Justeru, tidak timbul isu untuk mempertikaikan kredibiliti Baginda dari apa jua sudut sekalipun, untuk diikuti pada hari ini. Michael Hart (2007), menempatkan Baginda sebagai orang yang paling hebat di dunia berbanding tokoh-tokoh terhebat dalam sejarah tamadun dunia. Masihkah kita ragu-ragu?

Justeru, tidak timbul pertikaian sesama Islam berhubung isu atau masalah yang telah selesai dan telah ada jalan penyelesaiannya. Misalnya berkaitan hukuman sebat ke atas penzina dan peminum arak. Mahkamah syariah, sumber tertinggi perundangan Islam negara, berkaitan hal ehwal umat Islam, telah memutuskan, maka hormatilah keputusan tersebut. Kepakaran hakim-hakim yang amat arif dalam bidang mereka tidak sepatutnya dipertikaikan. Kenapa beberapa NGO wanita Islam seperti cacing kepanasan? Siapa yang kena sebat sebenarnya? Kenapa perlu membuang masa mengadakan protes sana protes sini. Kita seolah-olah bertindak bagi pihak orang bukan Islam. Mereka tidak perlu bertindak lagi kerana kita sudah jadi wakil. Kita menghina keputusan mahkamah dan agama sendiri. Apakah tindakan ini wajar? Tidakkah kita sedar bahawa mereka bertepuk tangan melihat kita semakin jauh dari agama dan sunnah Baginda. Tidak bersatu dan bersaudara dalam banyak perkara.

Apakah kita mahu terus membiarkan umat Islam terus melakukan maksiat tanpa diberikan pengajaran? Apakah kita takut nanti kalangan kita yang kena sebat dengan perlaksanaan hukuman tersebut? Kenapa terlalu beriya-iya memperjuangkan hak asasi manusia? Saya teramat ingin melihat kita turut memperjuangkan hak-hak Allah selain hak asasi manusia. Barulah kita boleh mendapat penghormatan orang lain. Saya tidak mengatakan bahawa hukuman yang sedang berjalan seratus-peratus mengikut syariat, tetapi sekurang-kurang sudah ada jalan perintis ke arah itu. Hormatilah, kerana ia di bawah bidang kuasa mereka yang pakar. Budaya merujuk pakar mesti dihidupkan supaya yang bukan pakar tidak memandai-mandai. Jika baca Quranpun masih merangkak-rangkak, eloklah bertanya kepada yang lebih arif. Jangan bertindak seperti jahil berlagak pandai, akhirnya memakan diri.

Pesalah mesti dihukum. Kita tidak boleh melepaskan mereka terus bermaharajalela. Seks bebas, arak, dan maksiat yang lain ibarat dadah, selalunya ketagih. Melepas yang bersalah adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam setelah proses kaunseling atau nasihat tidak meninggalkan kesan. Kemungkaran mesti dibenteras, jika tidak ia akan menjadi barah dalam masyarakat, seterusnya merebak merosakkan orang lain.

Inilah bentuk pemikiran yang dikatakan oleh Eleanor Roosevelt, Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people. Hari ini kita tidak habis-habis bincang pasal orang yang kita tidak suka, bukannya idea yang dibawanya. Idea atau perancangan ini pula ada baik dan buruknya. Yang baik diterima walaupun mungkin ia datang daripada musuh kita, manakala idea yang buruk bukan sahaja kita perlu menolak, malah pada masa sama kita perlu bersedia menentang. Misalnya, perancangan ultra kiasu dengan idea Malaysian Malaysia. Antara idea-idea mereka mahu menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam atas nama hak asasi manusia seperti seks bebas, arak, judi dan sebagainya. Kita tidak menghalang jika mereka mahu melakukannya, tetapi idea ini tidak akan membawa kebaikan umat Islam, malah akan menghuru-harakan negara. Maka kita perlu menolak dan bersedia untuk menghadapi mereka bila-bila masa, sama ada dari segi hujah, fakta dan tindakan. Sepatutnya kita membincang bahaya yang bakal menimpa jika kita biarkan idea-idea orang yang menentang Islam ini bermaharajalela, terutama kerosakan yang bakal diterima oleh orang kita.

Ini tidak, kita asyik menyalahkan orang, siapa benar, siapa salah. Membincangkan perkara yang kecil akan menjadikan minda kita kerdil, tidak kreatif dan inovatif. Ini tidak termasuk cara hidup kita yang lain seperti lebih suka membincangkan kehidupan artis-artis berbanding kehidupan para ilmuan dengan hasil kajiannya dan negarawan dengan pengalamannya. Di negara maju, para ilmuan, negarawan, usahawan dan professional yang benar-benar terbukti cemerlang akan disanjung. Martabatnya dipandang tinggi dan dijemput untuk mengajar di universiti dan diberikan anugerahkan gelaran profesor walaupun mungkin tidak ada penyelidikan yang dibuat. Penghargaan diberikan atas dasar ilmu dan pengalaman yang hebat sepanjang hidupnya.

Berbanding dengan kita, sudahlah budaya ilmu sedemikian tidak seadanya, malahan kita menggalakkan budaya memuja segelintir artis yang kehidupan mereka tidak habis-habis dilanda dengan kontroversi dan gosip-gosip yang tidak membangun minda. Perbincangan seperti ini hanya akan mematikan minda dan tidak menuju kepada kualiti hidup. Sudah sampai masa kita meniru cara pemikiran masyarakat maju yang meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat yang tinggi berbanding perkara lain yang tidak berfaedah. Bahan-bahan bacaan atau buku-buku yang dibaca oleh mereka juga berkualiti tinggi, berbanding dengan masyarakat negara membangun yang lebih suka membaca makalah hiburan dan berita-berita picisan.

Perlu diingat, jika kita membaca dan membincangkan perkara-perkara besar, secara tidak langsung minda kita menjadi lebih besar, seterusnya melahirkan umat berjiwa besar. Jika tidak, kita akan terus membuang masa dengan bertikai perkara yang remeh dan kerdil. Perkara besar yang seharusnya difokuskan oleh umat Islam hari ini adalah berkaitan dengan perpaduan umat Islam dan hala tuju umat Islam mendepani abad ke 21 serta kekuatan pertahanan dalam menghadapi ancaman musuh. Kita sepatutnya serius membincangkan perancangan musuh melalui gerakan freemason yang mahu mencairkan akidah dan memusnahkan umat Islam melalui pakatan mereka dengan beberapa parti pembangkang dan NGO sewaktu dengannya.

Gerakan ini nampaknya sudah masuk ke dalam individu dan pertubuhan orang Islam. Matlamatnya mahu memisahkan kehidupan beragama. Agama dianggap sebagai sesuatu yang merbahaya. Mengelakkan umat Islam daripada bersatu, pada masa sama mahu mematikan semangat jihad umat Islam. Jika dahulu sasaran freemason adalah Kristian, hari ini sasarannya adalah umat Islam setelah jatuhnya sistem sosialis.

Kejatuhan sistem sosialis telah memberikan masa depan yang cerah kepada freemason kembali bertapak kukuh pada akhir kurun ke 20. Sistem ekonomi diwujudkan dalam bentuk baru dan dinamakan sistem ekonomi kapitalis moden yang berselindung di sebalik nama globalisasi ekonomi. Nama globalisasi gunakan oleh freemasonry untuk penutup penjajahan order baru imperialis ke atas dunia Islam.

Fathi Yakan dan Yusuf Al-Qardhawi melihat globalisasi sebagai proses hegemoni atau penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial Amerika Syarikat ke atas dunia khususnya dunia Islam dan dunia ketiga melalui proses pembaratan dan ‘mengAmerikakan’ mereka. Mereka juga berjaya menipu negara-negara ini dengan istilah ekonomi tanpa sempadan atau ekonomi bebas dan terbuka.

Globalisasi ekonomi ini amat merbahaya disebabkan perancangan jahat freemasonry melalui teori 20-80. Hanya 20 peratus kekayaan negara Islam dimiliki dan selebihnya 80 peratus dibiarkan berada dalam kemiskinan. Tujuannya tidak lain untuk menguasai mereka. Langkah seterusnya gerakan ini ialah dengan melalaikan negara Islam sedang membangun dengan hiburan yang merosakkan. Media massa dan teknologi maklumat tanpa sempadan digunakan bagi menjayakan cita-cita mereka sehingga menyebabkan pusat-pusat hiburan berleluasa, nyanyian melalaikan dan pelacuran meningkat.

Kesimpulannya, apakah mungkin penentangan yang kuat terhadap undang-undang sebat dan mahkamah syariah Islam ada kaitannya dengan gerakan freemason yang sedang hangat diperkatakan hari ini? Kenapa yang mungkar seperti hiburan dan maksiat yang merosakkan tidak ditentang? Sama-sama kita fikirkan. Pada saya, tanpa disedari gerakan ini telahpun masuk ke dalam sesetengah individu dan pertubuhan umat Islam. Ini menyebabkan ada segelintir daripada kita sudah tidak sensitif lagi dengan masalah dan masa depan Islam dan umat Islam. Umat Islam bercakaran dan bertentangan sesama sendiri. Kita lebih kecoh dengan perkara kecil, berbanding perkara besar akhirnya fikiran menjadi kecil. Sedangkan kita tahu Rasul kita menuntut supaya kita sentiasa mengambil berat semua perkara besar berkaitan dengan kehidupan kita. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)”.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Bahana perkara remeh”

Mengapa Rasul Bersifat Insan?


Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Antara asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai’ basyariyyah). tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia.

Banyak pengikut agama cenderung untuk mensifatkan tokoh agama atau pengasas agama mereka dengan ciri-ciri ketuhanan atau malaikat atau super power bagi menggambarkan kehebatan tokoh atau pengasas agama berkenaan. Namun Islam tidak demikian. Nabi Muhammad dan sekelian para nabi disifatkan oleh al-Quran dengan ciri-ciri manusia seperti mana manusia lain, cumanya mereka ditabalkan menjadi rasul atau nabi, diberi wahyu dan kadang-kala diberi pertolongan dengan ayat atau mukjizat dalam keadaan yang getir.


Pun begitu dalam sepanjang sejarah para nabi, ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, diseksa, dicederakan, dizalimi dan berbagai-bagai derita yang lain yang selalu menimpa para pejuang. Mereka tidak digambarkan kebal, atau atau boleh terbang, atau sentiasa dapat menghadirkan perkara-perkara pelik sehingga manusia beriman kerana ketakutan kepada mereka. Jika ada pun pertolongan Allah yang disebut ‘ayat’ atau mukjizat, perkara tersebut bukannya selalu dan ia sentiasa pula akan dikaitkan dengan kebesaran Allah, bukan kekuatan diri mereka sendiri.

Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang muslim tanamkan dalam keimanan mereka. Firman Allah: (maksudnya)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.(Surah al-Kahf: 110).

Firman Allah lagi: (maksudnya)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.(Surah al-Anfal: 188).

Juga firmanNya: (maksudnya)

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan” (Surah al-Ra’d: 38).

Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini. Walaupun ciri-ciri keinsanan rasul ini telah menyebabkan sesetengah penentang rasul mengkritik mereka kerana mereka mempunyai sifat dan kehidupan yang sama dengan manusia biasa. Para penentang pula membayangkan para rasul dengan segala keajaiban. Al-Quran merakamkan kritikan mereka.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan mereka berkata: “Kenapa dengan Rasul ini ? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya” (Surah al-Furqan: 7).

Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad):

“Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi rasul”.(Surah al-Isra’: 95).

Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah s.a.w sentiasa menekan asas akidah ini? Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya.

Lihat apa yang berlaku kepada Nabi Isa bin Maryam a.s Kepercayaan atau pujian yang berlebihan membawa mereka menyangkatnya menjadi anak Tuhan. Demikian sesetengah aliran tarekat kerohanian yang melampaui batas dalam memuji guru atau ‘tok syeikh’. Sikap berlebih-lebihan memuji itu telah membawa mengagungkan guru atau syeikh melebihi tahap nabi, bahkan mensifatkan guru mereka dengan sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui yang ghaib dan seumpamanya.

Bahkan lebih buruk lagi mengheret mereka memohon hajat dan doa dari syeikh mereka sebagai perantaraan dengan Allah, bukan lagi hanya memohon kepada Allah. Sehingga ada yang apabila timbul hajat dalam akan memanggil nama wali itu dan ini. Sehingga nama dan gambaran wali atau syeikh mereka itu lebih mendahului jiwa mereka apabila timbul sesuatu hajat, bukan lagi Allah s.w.t.

Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang menjustifikasikan hal itu dan menyatakan itu disuruh oleh Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan itu sebenarnya ajaran Ahbash dan tarekat-tarekat yang memuja kubur. Jika para wali itu masih hidup pun mereka akan menentang hal ini.

Rasulullah s.a.w sendiri dalam hadis baginda daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki”. Maka baginda bersabda kepadanya: “Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan) : apa yang hanya Allah kehendaki”. (Riwayat Ahmad dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda juga mengingatkan kita:

“Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari).

Perkara yang kedua, jika rasul itu bersifat dengan sifat ketuhanan atau malaikat, bagaimana mungkin manusia biasa mampu mencontohi mereka, sedangkan mereka dihantar untuk menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia. Maka, tiadalah suri teladan dalam makan-minum, perhubungan suami isteri, teladan ketika gembira, ketika sedih, ketika marah, ketika lapar, ketika sakit, ketika ditindas dan berbagai lagi. Ini akan menjadi alasan untuk manusia tidak mencontohi rasul dan menyatakan bahawa kehidupan beragama yang diajar oleh para rasul itu tidak praktikal untuk diamalkan oleh manusia biasa. Alasan mereka kerana ciri-ciri fizikal yang dimiliki oleh para rasul itu tidak sama dengan manusia biasa.

Hingga mukjizat yang diberikan kepada para rasul itu pun bukan muncul dalam setiap keadaan. Dalam banyak keadaan para rasul menghadapi perjuangan mereka dengan segala usaha dan ikhtiar insani dan bertawakkal kepada Allah. Bacalah Surah Yusuf, lihat bagaimana tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ya’kub dan Yusuf. Mereka berusaha keluar daripada ranjau kehidupan itu dengan menerusi proses perjalanan kehidupan seperti mana insan yang lain. Cumanya, kita dapat melihat kesungguhan, tawakkal dan keimanan kepada Allah yang sungguh indah.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah dilontar sehingga cedera di Taif, dan cedera dalam peperangan Uhud. Batu-batu yang dilontar di Taif tidak bertukar menjadi tamar, dan pedang yang dihunuskan dalam peperangan menentang baginda tidak pula menjadi roti. Bahkan ada para nabi yang dibunuh oleh Bani Israil. Kesemua itu menutup ruang untuk manusia mengelakkan diri dari mengikuti jejak para nabi atas alasan mereka ‘super power’ atau tidak serupa dengan kita.

Kata al-Syeikh ‘Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.:

“Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka” (Ali al-Tantawi, Ta’rif ‘Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).

Lebih daripada itu kita lihat Allah jadikan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w ialah al-Quran. Ini kerana baginda adalah nabi yang terakhir. Al-Quran akan berterusan sehingga Kiamat, sedang mukjizat yang mempunyai kaitan dengan fizikal seseorang tidak akan dapat disaksikan lagi dengan ketiadaannya. Mukjizat tongkat Musa sudah tidak dapat disaksikan lagi. Begitu juga mukjizat Isa menghidupkan orang mati dengan izin Allah sudah tiada lagi.

Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad s.a.w dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.

read more “Mengapa Rasul Bersifat Insan?”

Tuesday 23 February 2010

Saman Fitnah: Asri Sedia Beri Keterangan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedia memberi keterangan di mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Nakhaie Ahmad.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti yang kukuh bagi menghadapi saman yang difailkan oleh Nakhaie semalam.

“Beliau nak saman saya tak mengapa, saya terima sahaja dan saya sedia untuk hadir ke mahkamah untuk beri keterangan.

“Saya boleh buktikan bahawa saya tak fitnah sesiapa,” katanya kepada mStar Online di sini,semalam.

Hari ini Nakhaie memfailkan saman fitnah berjumlah RM1.5 juta terhadap Mohd Asri dan tujuh yang lain termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian.

Nakhaie yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mendakwa, Mohd Asri telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu sidang media pada 1 November tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 November tahun yang sama.

Menurut Nakhaie, kenyataan fitnah itu telah memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Mohd Asri daripada menjadi YDP Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di institusi tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Asri menafikan beliau menyebut nama Nakhaie sebagai dalang bagi isu berkenaan.

“Saya tak pernah sebut nama beliau sebagai dalang, malah saya juga tidak pernah menuduh wujudnya penyelewengan dalam YADIM.

“Perkara biasa jika saya sebagai individu luar minta mana-mana pihak berkuasa seperti Jabatan Audit Negara minta untuk jalankan siasatan jika wujud penyelewengan,” katanya.

Selain itu Mohd Asri berkata, beliau akan mendedahkan kepada masyarakat mengenai maklumat sebenar apa yang berlaku pada sidang media berkenaan.

Menurutnya, masyarakat umum berhak mengetahui situasi sebenar bagi mengelakkan kekeliruan.

“Saya akan dedahkan maklumat seperti kenyataan media pada malam itu, masyarakat kena tahu keadaan yang sebenarnya.

“Dalam masa satu atau dua hari nanti saya akan masukkan maklumat berkenaan melalui laman web saya,” katanya.

sumber: Mstar Online

read more “Saman Fitnah: Asri Sedia Beri Keterangan”

Monday 22 February 2010

Ulasan Dr Mohd Asri Tentang Hukuman Sebat Wanita Di Penjara Kajang

Beberapa pihak telah mengulas tentang hukuman sebat yang dikenakan oleh pihak berkuasa agama ke atas beberapa orang wanita muslimah. Saya ditanya berulang kali tentang hal ini. Berikut adalah beberapa perkara penting yang ingin saya sentuh;

1. Sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi (zina dan meminum arak) adalah sebatan yang tidak mencederakan. Ini hendaklah dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau, sebaliknya sekadar pengajaran. Bahkan dalam hadis, ada yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.

Ini amat berbeza dengan sebatan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil. Jika sebatan yang dilaksanakan itu –inilah juga yang dimaklumkan oleh pihak berkenaan- tidak mencederakan, atau menimbulkan kesakitan yang melampau, maka ia sesuatu yang mempunyai unsur-unsur islamik, dan itu lebih baik dari memenjarakan mereka berbulan atau bertahun yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka. Membantah perlaksanaan hukuman tersebut adalah tidak wajar.


2. Persoalan yang patut juga diambil berat; bagaimanakah proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum? Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum. Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses situ bercanggah dengan nas-nas Islam.

Hal ini telah disebut oleh ramai sarjana sejak dahulu seperti al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), begitu juga Sayyid Qutb, Dr al-Qaradawi dan ramai yang lain. Para sarjana menyebut bahawa antara syarat Amar Makruf dan Nahy Munkar: An yakuna al-Munkar Zahiran min ghair tajassus (Hendaklah munkar itu zahir kelihatan tanpa intipan).

Bagi yang memahami bahasa Arab mereka boleh membaca bagaimana hampir semua tulisan berkaitan Amar Makruf dan Nahy Munkar yang ditulis oleh berbagai penulis meletakkan syarat tersebut. Sila lihat dalam internet begitu banyak artikel berbagai sarjana di peringkat antarabangsa yang mengingatkan tentang syarat ini. Hanya mereka yang primitive sahaja yang mengintip maksiat peribadi orang lain.

Saya telah tulis beberapa artikel tentang hal ini. antaranya artikel Bila Yang Nyata Dibiar, Yang Tersembunyi Dicari. Maka jika wanita-wanita tersebut dicemari hak mereka secara intipan lalu dihukum, maka itu menyanggahi ruh islami. Namun, jika mereka melibatkan diri dalam maksiat terbuka seperti di pusat-pusat hiburan, pentas-pentas lakunan dan seumpamanya, mereka layak dihukum.

3. Hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil (not only be fair but seen to be fair). Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi taukeh-taukeh atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak dalam kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.

Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan. Maka pihak berkuasa agama hendaklah jujur dengan rakyat, dan berani membawa empunya, atau pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun ‘kelompok yang dianggap kebal’ dalam negara ini.

4. Kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama. Nabi s.a.w dalam berbagai riwayat menunjuk cuba mengelak dari mengambil kes-kes zina dan memberikan berbagai alasan agar pelakunya tidak dihukum. Kes Maiz bin Malik dan berbagai yang lain menunjukkan baginda Nabi s.a.w tidak mahu kes-kes ini diteruskan ke peringkat hukuman, sebaliknya baginda mementing taubat individu berkenaan.

5. Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi ‘tangkap khalwat’ begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamirkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya. Pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi yang seperti ini hendaklah diambil tindakan kerana mencemarkan maruah agama yang mulia ini dan maruah orang lain.

6. Hendaklah dielakkan gambaran bahawa negara ini kerap menghukum wanita. Apakah mereka melakukan kesalahan bersendirian? Amat membimbangkan, imej Islam yang sering dikaitkan media Barat dengan Malaysia akan menyebabkan mereka menyangka ini merupakan cara Islam yang selalu menghukum wanita, dan tidak pula menonjolkan hukuman terhadap lelaki yang terbabit. Maka, hukuman terhadap lelaki-lelaki yang terbabit juga hendaklah diumumkan dengan jelas dan media diminta menyiarkannya bersama.

7. Beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman ini hendaklah berhati-hati. Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga bukan muslim, jangan mereka mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, itu boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara dalam negara yang harmoni ini.

8. Usaha menerapkan unsur-unsur Islam dalam negara ini merupakan satu usaha baik dan disanjung. Namun, dalam konteks negara moden, proses ini hendaklah dibuat dengan teliti dan berhati-hati. Negara beragama adalah tuntutan, tetapi negara autocratic agama amat menakutkan. Beberapa pengalaman Pakistan dan Afghanistan yang lepas patut diteliti. Maka, badan pemantau kepada perkembangan ini yang terdiri dari cendiakawan-cendiakawan muslim yang terbuka dan tidak sifat orthodoxy perlu diwujudkan untuk memberi pandangan balas kepada kerajaan.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin,
Penang, 22 Feb 2010

read more “Ulasan Dr Mohd Asri Tentang Hukuman Sebat Wanita Di Penjara Kajang”

Sunday 21 February 2010

Bertegas Perkara 152

Mingguan Malaysia, 21 Februari 2010

Saya bergegas pulang ke ibu kota pada 15.2.2010 untuk memenuhi jemputan GAPENA, KALAM dan PENA sebagai panelis Wacana Peradaban Bahasa Melayu sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun sedang bercuti Tahun Baru Cina, berpegang kepada prinsip bila mana berlaku pertembungan antara kepentingan negara dengan kepentingan bangsa, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Namun, alangkah hampa rasa hati kerana bilangan peserta yang hadir kurang dari 200 orang, sedangkan perkara yang dibincangkan merupakan masalah dasar negara. Di manakah sensitiviti kita sebagai warganegara di bumi tercinta ini? Tarikh 15.2 dipilih kerana mengambil roh perkara 152 perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan. Pelik sungguh memikirkan, kenapa berforum membincangkan sesuatu yang telah menjadi dasar negara? Kenapa tidak dilaksanakan sejak dahulu lagi?

Sungguh amat terharu memberikan pandangan dalam forum sebegini, apatah lagi mendengar beberapa pandangan panelis gandingan. Maklumlah BM selaku bahasa yang termaktub dalam perlembagaan tidak terdaulat di bumi sendiri. Kita sibuk dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris (BI) berbanding BM. Menggambarkan seolah-olah bahasa sendiri tidak penting. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghormati BM jika kita sendiri tidak serius untuk memartabatkan BM yang menjadi tunjang pembinaan sebuah negara bangsa?

Kita sanggup berbelanja sejumlah besar wang sehingga berbilion ringgit untuk memperkasakan BI, tetapi sejauhmanakah sejumlah yang sama atau lebih, digunakan untuk memperkasakan BM? Kita juga sanggup berhabis membeli komputer serta segala kelengkapan makmal BI dengan peralatan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran BI, tetapi adakah perkara yang sama disediakan untuk BM? Terkadangkala terlalu pahit juga untuk menyalah sekolah vernakular kerana bersikap acuh tidak acuh terhadap BM, sedangkan kita tidak serius menyediakan platform untuk memandaikan mereka dalam bahasa perpaduan ini.

Saya fikir tidak ada seorang pun yang akan menolak akan kepentingan BI dalam mendepani arus modenisasi dan globalisasi. Adalah suatu tindakan yang bodoh jika kita menolak tuntutan belajar bahasa asing, kerana ia amat dituntut oleh agama. Tetapi janganlah terlalu ghairah dengan bahasa asing sehingga bahasa sendiri berdagang di bumi sendiri. Di manakah slogan bahasa jiwa bangsa yang tersemat disanubari selama ini?

Apakah BI satu-satunya faktor yang akan menentukan kemajuan sesebuah negara atau sikap kita yang perlu berubah? Terkenang saya kepada beberapa buah negeri maju seperti Perancis, kita tidak akan dilayan jika berbahasa Inggeris di sana, tetapi negara mereka tetap maju. Di Jepun pula, selepas negara ini musnah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki 1945, mereka terus bangun dengan semangat kejepunannya. Hari ini, Jepun terus berada di persada dunia setanding dengan negara maju yang lain. Dalam kata lain, semangat sayangkan identiti dan bahasa jiwa bangsa telah melonjak negara mereka. Begitu juga dengan negara lain, mereka bangun dengan acuan jati diri dengan memperkasakan bahasa jiwa bangsa dari segala segi.

Kadangkala saya sendiri merasa terpukul, kenapa mesti sanggup bersusah payah mempertahankan BM, lagipun ia bukan bahasa ibunda saya? Kenapa perlu berhadapan dengan kutukan dan kritikan bangsa sendiri hanya semata-mata mempertahankan bahasa orang lain? Setelah difikirkan balik, baru saya sedar, rupa-rupanya semangat cintakan tanahair dan Islam mengatasi segala-galanya sehingga terlupa asal-usul sendiri. Saya tidak nampak ini satu dosa seperti yang dilabelkan oleh ultra kiasu.

Jika BI yang menjadi punca kelemahan anak bangsa kita, maka lakukan perubahan secara besar-besaran terhadap cara pengajaran dan pembelajarannya dari segi domain, kognitif, psikomotor, pedagogi dan berbagai aspek lagi, bukannya merubah asas sistem pendidikan itu sendiri. Kadangkala saya rasa pelik, kita begitu berani merubah sistem pendidikan kebangsaan yang melibat masa depan bangsa Melayu, tetapi kenapa kita tidak berani langsung menyentuh atau merubah struktur sekolah vernakular, sedangkan kita ada kuasa berbuat demikian berasaskan perkara 152 dan akta pelajaran 1996? Sehinggakan sampai ke peringkat menyeragamkan dan menambahkan kurikulum BM sekolah tersebut pun kita tidak boleh bertegas. Akhirnya sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi mangsa.

Saya amat kagum dengan kehadiran seorang profesor daripada Korea dalam wacana tersebut, yang begitu fasih berbahasa Melayu. Beliau mencadangkan agar tulisan jawi turut diperkasakan dalam usaha untuk memartabatkan BM. Katanya BM dan jawi amat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Tidakkah kita malu dan terpukul dengan pandangan seperti ini? Begitu juga dengan pandangan Dr. S. Nathesan Sellapan yang turut menjadi panelis wacana tersebut. Katanya, perjuangan mendaulatkan BM adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu sahaja. Ini bermakna, orang bukan Melayu mesti memikul tanggungjawab serupa seperti mana yang dilakukan oleh orang Melayu.

Persoalannya, bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan orang Melayu sendiri berbelah-bahagi dengan kedudukan bahasa mereka sendiri. Lihat sahaja, apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengembalikan semula pengajaran sains dan matematik dalam BM, berapa ramai NGO-NGO Melayu yang tampil menentang keputusan tersebut? Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita juga yang rugi.

Kenapa kita tidak bertindak seperti NGO-NGO bukan Melayu? Bila tiba soal mempertahankan bahasa ibunda dan sekolah mereka, tidak ada perkataan TIDAK, tanpa berbelah bahagi, mereka secara bulat bersatu hati. Bilamana ada ura-ura atau tindakan hendak mengubah karakter sekolah mereka, seperti penambahan waktu dan menyeragamkan silibus BM, mereka bersatu hati menentang. Keputusan kerajaanpun tidak dapat mengubah pendirian mereka. Akhirnya kerajaan yang terpaksa tunduk kepada desakan dan pendirian mereka. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri? Kenapa sikap ini tidak ada pada orang Islam?

Paling tidak, kita mengamalkan budaya merujuk pakar, seperti yang dilakukan oleh negara maju. Misalnya, jika kita sakit, maka rujuklah doktor perubatan, jangan pula merujuk kepada doktor falsafah. Begitu juga dalam bidang bahasa. Biarlah pakar-pakar bahasa yang menyelesaikan masalah bahasa jika terdapat kecacatan atau kekurangan dari segi perlaksanaannya. Ini tidak, yang bukan pakar beriya-iya benar mahu merubah sesuatu yang di luar kepakarannya, tanpa merujuk kepada pakar. Akhirnya, keputusan yang dibuat mula tersasar dan sedikit demi sedikit tamadun bangsa terhakis.

Lihat sahaja, papan-papan tanda, nama-nama kedai dan taman-taman perumahan, adakah ia mencerminkan perkara 152? Adakah mereka yang berada di Jabatan Perancang Bandar peka dengan jati diri seperti ini? Ini tidak termasuk kemudahan surau yang tidak disediakan, kalau ada pun surau diletakkan di kawasan parkir yang menjijikkan. Kadangkala saya rasa kagum bilamana barat lebih memahami kita daripada kita sendiri memahami diri sendiri. Kita lihat surau-surau Carrefour dan Tesco yang diletakkan di tempat yang cukup strategik, cantik dan bersih.

Tidakkah kita yang meluluskan bangunan ini sedar akan hakikat ini. Kita mahu banyak melihat dan mendengar nama-nama taman teratai, melor dan sebagainya, bukannya Ki Park, Monte Kiara, Country Height dan macam-macam Height lagi. Nama-nama barat dianggap sebagai ada standard, berebut-rebut kita membeli rumah di kawasan tersebut, nama-nama berbunyi BM dianggap lekeh. Adakah nama-nama ini mencerminkan semangat 1Malaysia dan perkara 152? Ini belum termasuk dominasi budaya asing yang telah menenggelam muzik, lagu, adat resam, dan seni budaya tempatan. Jika perkara-perkara kecil ini tidak terjaga, bagaimanakah perkara yang lebih besar akan terpelihara? Saya amat mengharap 1Malaysia benar-benar dapat menjunjung jati diri rakyat Malaysia.

Apapun, pendekatan top-down amat berkesan dalam menentukan hala tuju sesebuah negara, bukannya bottom-up. Kadangkala saya amat kagum dengan segelintir NGO yang begitu bersemangat memperjuangkan jati diri dan identiti negara bangsa, tetapi adakah ianya disokong dan didokong oleh semua pihak. Saya bimbang kita syok sendiri. Janganlah terlampau berpolitik sehingga mengenepikan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika begitulah keadaannya, saya amat khuatir kita akan pupus. Jangan hanya berpolitik sementara ada kuasa atau memerintah satu penggal atau lima tahun. Bila tidak terpilih lagi, kita duduk diam. Perjuangan bahasa jiwa bangsa adalah perjuangan seumur hidup bukannya action-oriented.

Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Bila orang lain yang mendominasi, kita menyalah mereka, sedangkan sendiri yang salah kerana terlalu alpa dan tidak mahu bertegas. Ke manakah Melayu dan Islam akan pergi jika kekuatan mereka semakin hilang? Apakah benar ramalan saya selama ini bahawa tamadun Melayu akan pupus di buminya sendiri jika mereka tidak ada lagi keyakinan kepada kekuatan diri sendiri tetapi lebih mempercayai kekuatan orang lain. Sedangkan kita tahu bahawa Allah memberikan kekuatan kepada setiap makhluk jadiannya, yang penting makhluk tersebut mesti bersyukur dan bukannya kufur nikmat?

Kadangkala saya terpinga-pinga melihat kita begitu prihatin dalam soal kepupusan sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan dan hak asasi manusia, tetapi kita tidak mempedulikan kepada pupusnya sesuatu bahasa dan kebudayaan bangsa. Apatah lagi kalangan kita yang terserkap mindanya tidak mahu ketinggalan bersama manusia yang dianggap maju. Atas nama globalissasi, mereka ini mudah akur, memberi laluan kepada tamatnya riwayat bahasa jiwa bangsa, malah turut memberi sumbangan ke arah mempercepatkan lagi proses itu. Sepatutnya mereka ini lebih waras lagi dengan bertindak sekurang-kurangnya sama dengan kumpulan penggiat alam sekitar dan hak asasi manusia itu.

Kebanyakan kita di dunia ketiga menganggap globalisasi itu sebagai suatu fenomena baru akibat ledakan teknologi maklumat atau pengaruh Barat, sehingga sanggup merubah segalanya seperti menggunakan BI dalam segala aspeknya. Kita mesti ingat, walaupun sekitar 50 peratus daripada orang Eropah mengetahui bahasa Inggeris dengan baiknya, namun mereka tidak meninggalkan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan sains dan matematik. Pemimpin Eropah seperti Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Rusia dan sebagainya, tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam komunikasi rasmi. Di United Kingdom sendiri, bahasa Wales dan Scotland, berasaskan bahasa peribumi daerah – Seltik, digunakan dalam kehidupan harian dan sistem pendidikan di peringkat tadika dan sekolah. Mereka mulai sedar betapa teruknya nasib bahasa yang dihimpit oleh dasar penginggerisan United Kingdom selama ini.

Sebaliknya, negara maju yang taksub dengan bahasa utama Amerika Syarikat dan United Kingdom, mula menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa lain seperti Arab, China, malah BM itu sendiri, untuk mengetahui psiki bangsa ini bagi tujuan ekonomi dan politik. Dasar pendidikan di negara ini membenarkan pendidikan menerusi kebudayaan sekurang-kurangnya di peringkat tadika dan sekolah rendah. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat komputer dan telekomunikasi hari ini seperti Microsoft, giat menterjemah segala keluaran atau produk dalam pelbagai bahasa di dunia atas alasan globalisasi.

Yang amat menyedihkan, reaksi kita hari ini kepada globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat berlainan daripada reaksi banyak pemimpin negara lain (termasuk negara maju) yang semakin menuju ke arah multi-budaya dan menonjol budaya sendiri. Malaysia semakin merendahkan budaya sendiri dan menuju ke arah eka-budaya yakni budaya barat. Janganlah kita menjadi negara Singapura yang mula menyesali tindakan mereka yang terlalu taksub dengan BI sehingga bahasa ibunda terpinggir dan mereka kini digelar sebagai Cina pisang (Chinese banana).


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Bertegas Perkara 152”

Melayu Dan Mamak Penang

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Isu perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut.

Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi’ul Awwal.

Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi’in dan tabi al-tabi’in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya.

Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris:

“Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.

Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng”(Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).

Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.

Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w.


- Gambar Hiasan

Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka. Namun apabila muncul zaman Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir, perayaan Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran diadakan. Sebab itu dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s.

Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian ia dihidupkan oleh beberapa pemerintah yang lain. Para ulama pula berbeza pendapat tentang hal ini. Ada yang membantah habis-habisan. Ada pula yang mengizinkan dengan bersyarat tidak mengadakan sebarang ibadah baru sempena Maulid, iaitu seperti solat Maulid, atau puasa maulid, atau seumpamanya. Sudah pasti mengingati maulid dengan mempelajari Sirah baginda, berdiskusi mengenainya dan mengingatkan tentang kepentingan menghayati perjuangan baginda, tidaklah salah.

Adapun Kerajaan Fatimiyyah, mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri. Mereka ingin berkempen kepada kekuatan aliran syiah mereka. Beberapa pemimpin sunni kemudiannya mengadakannya juga atas berbagai tujuan yang lain. Ia berlangsungan dalam kebanyakan negara sehingga dibawa ke negara kita ini.


- Gambar Hiasan

Melihat kepada sejarah perayaan maulid, maka jelas bahawa isu perarakan bukan isu pokok dalam ajaran Islam. Ia sangat sampingan. Bahkan perayaan itu sendiri antara amalan yang menimbulkan pro dan kontra sepanjang sejarahnya. Tidak mengadakan maulid tidak menjejaskan sebarang akidah atau amalan Islam. Tentu pasti, tidak berarak maulid tidak memberikan apa-apa kesan kepada kehidupan seorang muslim.

Cumanya, kita agak terkejut mengapa soal Islam dan umatnya cuba diuruskan oleh seorang pemimpin yang bukan Islam. Ini menimbulkan berbagai persoalan. Saya tidak fikir Ketua Menteri Pulau Pinang sampai ke peringkat perbahasan ilmiah seperti yang disebut kebanyakan sarjana tentang amalan maulid ini. Maka, apakah tujuannya? saya tidak jelas.

Namun masalah umat Islam Pulau Pinang lebih besar dari tidak dapat berarak maulid. Tidak berarak maulid bukan masalah. Apa yang menjadi masalah mereka terpinggir dan seakan ada usaha ingin menghalau mereka keluar dari pulau itu sejak sekian lama. Keadaan yang dicipta yang menghimpit kehidupan mereka di pulau tersebut sehingga mereka yang berkerja di situ lari mencari penempatan di Seberang Perai, atau Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Lonjakan harga rumah dan pengkhianatan sesama agama dalam pengurusan tanah dan harta telah bermula sejak sekian lamanya. Sebahagian yang bertempik sakan hari ini kononnya membela melayu Pulau Pinang, tangan mereka juga tidak lebih bersih daripada tangan-tangan kotor yang ada pada hari ini.

Bukan baru, atau setahun dua melayu terpinggir. Sudah lama. Malang sebuah negeri yang pernah dalam satu masa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang berasal darinya, tetapi umat Islam negeri tersebut sedang dihambat oleh suasana, rencana dan pengkhianat ‘orang lain’ dan sesama bangsa.

Sultan Muhammad Jiwa telah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris. Di situ segala bermula. Cumanya, disebabkan suasana yang lebih bebas dari kongkongan pemikiran feudal, negeri ini sejak dahulu terkenal dengan melahirkan atau memberi ruang kepada tokoh pemikir dan orang yang petah berbicara.

Saya puji bukan kerana saya orang Pulau Pinang. Semaklah sendiri. Namun ternyata, hambatan kuasa ekonomi lebih kuat dari ketajaman fikiran dan kepetahan lidah. Pemikiran-pemikiran yang baik pun tidak mampu menghadapi kekuatan dan pengkhianatan sesama bangsa atau agama. Bukan perarakan maulid yang menentukan survival ‘melayu Pulau Pinang’. Ya, ‘survival melayu’. Itulah bahasa yang sering mereka gunakan “melayu Pulau Pinang”. Saya antara orang kurang selesa dengan perkataan perkauman yang seperti itu. Sebutlah ‘umat Islam Pulau Pinang’. Dada agama jauh lebih luas dari kesempitan bangsa. Insan boleh menjadi muslim walaupun dia dilahir tidak muslim.

Namun, seorang bukan melayu tidak boleh bertukar menjadi melayu. Isu bangsa sentiasa sempit. Isu Islam sentiasa luas dan memberi rahmat untuk semua. Hakikatnya, yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah melayu tetapi ‘India Muslim’ Pulau Pinang. ‘Depa panggil mamak’.

Kedai mamak nasi kandar dan kedai emas ‘keling’ (india muslim) yang menyebabkan kita dapat melihat orang Islam berniaga di Pulau Pinang. Bukan tiada peniaga melayu tulen, tetapi tidak begitu banyak. Alhamdulillah, mamak Penang sudi untuk mereka dipanggil ‘orang melayu’. Maka, masih terdengarlah kewujudan melayu Pulau Pinang.


- Gambar Hiasan

Sudah lama isu bangsa cuba diangkat. Cukuplah wahai melayu semua parti politik. Kekuatan kita ialah Islam. Berjuanglah atas semangat Islam. Ia lebih merangkumi setiap individu dan lebih adil untuk semua insan. Melayu Pulau Pinang tidak akan bangkit sekadar perarakan maulid. Sudah sekian lama kita berarak, apa hasilnya?! Dapat kita beli tanah, lot kedai dan rumah di Pulau Pinang lebih banyak?!

Kembali melihat isu dengan kefahaman Islam yang tulen dan merancang sebagai seorang muslim, bukan sekadar seorang melayu. Orang lain merancang, kita juga mesti merancang. Kita mengharapkan kekuatan semangat Islam dan pertolongan Allah, bukan sekadar semangat bangsa dan keris Hang Tuah.

read more “Melayu Dan Mamak Penang”

Sunday 14 February 2010

Iktibar tahun harimau, bersyukur dengan yang ada

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina

Mingguan Malaysia, 14 Januari 2010

Apabila saya mengemukakan formula keadilan dan perpaduan mengikut statistik penduduk 60 – 40 (Islam – bukan Islam) berkaitan hak pembinaan rumah ibadat, agihan ekonomi dan politik dalam menyelesaikan masalah etnik dalam Mingguan Malaysia bertarikh 27.12.2009, saya dikecam, dihentam dan digodam. Pada saya, itulah formula keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Terbaru, Centre for Policy Initiative (CPI) yang diketuai oleh Lim Teck Ghee mahukan formula tersebut diguna pakai dalam perkhidmatan awam disebabkan oleh dominasi orang Islam dalam sektor ini, agar tidak berlaku zero sum game. Tidak ada seorangpun yang marah atau mengecam beliau, malah boleh dikatakan semua bersetuju.

Dahulu, formula ini ditentang, sekarang terhegeh-hegeh mahu ianya diterima. Inilah sifat yang perlu disisihkan untuk mendepani dunia yang makin mencabar. Bila rasa kurang, mahu ditambah. Bila sudah terlebih, didiamkan sahaja, kalau boleh mahu ditambah lagi sehingga membukit. Asyik mahu menang besar atau ultra kiasu. Siapakah yang sebenarnya mengamalkan zero some game? Saya yakin CPI sudah ada jawapannya.

Sebelum ini, parti-parti komponen BN yang tidak perlu saya sebutkan lagi, sibuk mendesak kerajaan mahukan sektor perkhidmatan awam mestilah mencerminkan populasi kaum iaitu penguasaan 25 peratus orang Cina, 15 peratus lain-lain kaum. Persoalannya, kenapakah formula ini tidak diaplikasikan dalam bidang ekonomi atau sektor swasta yang didominasi bukan Islam? Bukankah ini yang dinamakan keadilan?

Kajian demi kajian yang dilakukan, sudah memberikan jawapan bahawa bukan Melayu tidak berminat bekerja dalam perkhidmatan awam kerana gaji yang rendah. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar iaitu jawatan berpangkat tinggi. Dalam perkhidmatan polis misalnya, daripada 250 belia bukan Melayu yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan tinggi kepolisan berbanding jawatan pangkat rendah. Kajian ini sudah jelas menunjukkan psiki bangsa-bangsa yang ada di negara kita akan kecenderungan mereka. Cubalah fahami hakikat ini dan berlapang dada.

Ternyata, trend sengaja menonjolkan yang negatif atau yang masih belum cukup dengan sengaja menyembunyikan perkara yang positif, semakin menjadi-jadi. Golongan ini sengaja memejamkan mata akan sejarah perkhidmatan awam di negara ini, yang tidak dapat lari daripada perkara 154 perlembagaan persekutuan. Perkara ini menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Yang DiPertuan Agong untuk menentukan rizab bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan yang baginda fikirkan perlu. Menurut Mohd Suffian Hashim (1987), rasional perkara ini adalah pada awal kemerdekaan, bilangan orang bukan Melayu dalam perkhidmatan awam terlampau ramai, berbanding Melayu di buminya sendiri. Pada ketika itu, orang bukan Melayu lebih terdedah kepada pendidikan di bandar berbanding Melayu yang rata-rata berada di luar bandar.

Menurut kajian Comber (2007), penyertaan kaum bukan Melayu (Cina) tidak ramai hari ini dalam perkhidmatan awam, kerana mereka lebih terpesona kepada sektor korporat atau perniagaan sendiri. Ia dilihat sebagai satu kerjaya yang lebih baik berbanding makan gaji dalam sektor awam sekadar cukup makan. Lagipun, kaum ini berjiwa besar, bangga dengan tamadun mereka, tidak mahu diperintah dan lebih suka memerintah dengan berdikari. Psiki ini perlu difahami semua. Kajian juga menunjukkan wujud persepsi, adalah sukar untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana sektor ini telah dibolot oleh orang Islam atau persekitaran Melayu. Jika berjayapun mendapatkan sesuatu jawatan itu, terlalu sukar untuk mendapat kenaikan pangkat. Hujah ini turut disokong bahawa bukan Melayu agak tidak selesa bekerja dalam persekitaran Melayu, kerana asuhan atau sosialisasi politik mereka yang berbau perkauman seperti tempat tinggal, pendidikan, media dan sebagainya (Yew Yeok Kim, 1982). Tambahan pula, syarat kepujian dalam Bahasa Melayu adalah antara halangannya.

Sebenarnya, kerajaan telah memberi dan membuka peluang kepada bukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Kita lihat banyak muka-muka bukan Melayu memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam termasuk ketua setiausaha kementerian, jawatan-jawatan kanan dan sebagainya, berbanding sebelumnya. Tidakkah ini satu perubahan dan keterbukaan? Dalam sektor perbankan misalnya, banyak bank yang dipunyai oleh orang Islam, menampakkan bilangan bukan Melayu yang agak ramai berbanding dengan muka Melayu dalam bank bukan Melayu. Inilah satu satu ciri keterbukaan agama Islam. Saya minta Teck Ghee buat kajian berapa peratus orang Melayu diterima bekerja dalam syarikat bukan Melayu serta berapa ramai yang diperalatkan untuk melariskan jualan? Justeru, tidakkah wajar Melayu berada dalam perkhidmatan awam? Barulah menang-menang.

Isu yang dibangkitkan oleh CPI ini mengingatkan saya kepada bantuan RM15 juta diluluskan oleh kabinet untuk membantu ibu-ibu tunggal yang beragama Islam. Isu ini terus dimanipulasikan tanpa henti saban hari oleh penulis dan media ultra kiasu. Mereka mendesak kerajaan agar ibu-ibu tunggal bukan Islam mesti turut dibantu. Saya tidak menafikan bahawa kerajaan perlu membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi. Prinsip Islam amat jelas dalam menangani isu ini.

Selaku Yang DiPertua PIBG sekolah menengah majoriti bukan Islam, sayalah paling banyak meluluskan bantuan yuran sekolah ke atas pelajar bukan Islam berbanding pelajar Islam, kerana merekalah lebih ramai yang memerlukan bantuan setelah disiasat latar belakangnya. Jangan tuduh saya racis pulak, sekadar menyahut seruan 1Malaysia, tanpa mengambil kesempatan. Tidak salah membantu kafir zimmi, selagi mana mereka tidak menentang Islam. Yang dibimbangi ialah segelintir yang digelar kafir harbi, yang terang-terang menghina dan menentang Islam. Golongan ini tidak layak berada di bumi bertuah ini.

Saya tidak selicik ultra kiasu yang memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk memenuhi cita-cita mereka. Saya juga ingin melihat keadilan turut dipraktiskan sama di bawah negeri ultra kiasu yang mencanangkan mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz. Kenapa CPI tidak membuat kajian atau memberikan pandangan yang sama di negeri ultra kiasu tersebut dari segi agihan ekonomi. Tidakkah Khalifah Umar Abdul Aziz mahu melihat keadilan ini dilaksanakan? Termasuk gerai-gerai orang Islam yang sedang rancak dirobohkan? Kenapa dasar-dasar Umar Abdul Aziz tidak muncul-muncul? Saya ingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan dasar Middle Malaysia, termasuk think-tank mereka yang cuba berlagak seolah-olah bebas tanpa berpihak. Sebenarnya ada niat tersembunyi untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat ultra kiasu.

Saya menyarankan supaya kajian demi kajian dilakukan, berasaskan formula 60-40 dalam semua bidang dengan bertunjangkan perlembagaan, bukannya mengikut emosi dan mahu menjadi jaguh untuk mendapatkan 1 = 1. Semua pihak faham, bahawa pendapatan per kapita orang Islam masih ketinggalan berbanding dengan bukan Islam. Ini bermakna, dari segi logik, oleh kerana populasi Islam agak besar, sudah tentu lebih ramai kalangan mereka yang perlu dibantu berbanding dengan bukan Islam.

Sama juga dalam isu ekonomi, penguasaan bukan Melayu telah melebihi 70 peratus, bermakna, ibu tunggal bukan Melayu sudah tentu lebih banyak mempunyai peluang daripada ibu tunggal Islam. Lagipun cara hidup ibu tunggal Islam berbeza dengan kehidupan bukan Islam. Ibu tunggal bukan Islam boleh bekerja dalam semua sektor tanpa mengira halal haram. Tetapi ibu tunggal Islam ada batasannya. Mereka tidak boleh mencari rezeki di tempat-tempat subahat seperti kedai judi, arak, riba, kelab malam atau mendapatkan rezeki secara mungkar, walaupun saya tidak nafikan ada yang bekerja di tempat tersebut. Maknanya, peluang Islam agak terhad dalam bidang pekerjaan berbanding dengan bukan Islam.

Pada masa sama, orang Islam pula janganlah terlalu memilih kerja. Saya jarang melihat orang Melayu Islam dalam sektor perburuhan, berbanding buruh Indonesia. Sedih teramat sangat melihat belia remaja dan anak muda kita sanggup melepak dan membuang masa tanpa kerja. Namun, terasa bangga pula membaca berita sebahagian kecil orang Islam sanggup mencari rezeki dalam timbunan sampah sehingga kehilangan nyawa. Walaupun berita ini menyedihkan, tetapi semangat untuk mencari rezeki yang halal patut dipuji. Golongan sebeginilah yang mesti dilihat secara serius oleh kita semua dan dibantu melalui Dasar Ekonomi Baru serta tidak ketinggalan bantuan zakat. Sebenarnya tidak timbul masalah ibu tunggal dan kemiskinan, jika institusi zakat digerakkan sepenuhnya dengan telus.

Hari ini kita menghadapi masalah sebab ada segelintir orang Islam yang kaya mahu terus menjadi kaya tanpa menghiraukan orang lain. Sifat mahu jadi kaya adalah amat baik dan mulia. Tetapi harta itu milik Allah, ia harus dikongsi dengan orang lain atau menyelamatkan ibu-ibu tunggal. Jangan terlalu sibuk mengahwini segelintir artis yang mahu hidup mewah. Perkara ini perlu dihentikan. Masih ramai ibu ibu tunggal yang perlukan pembelaan dan boleh diselamat dengan membantu dan mengahwini mereka. Saya amat bangga melihat pemimpin negara dan isteri mereka sanggup turun padang membantu mereka yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya.

Saya fikir, sudah sampainya rakyat Malaysia yang berkemampuan tampil ke hadapan dan menjadi juara rakyat dalam isu ini. Jangan simpan harta banyak-banyak. Bila mati nanti, bukannya boleh dibawa ke kubur. Jika kekayaan digunakan untuk membantu anak bangsa, kekayaan tersebut akan terus berkembang dan mengembang. Jika tidak, kita akan terus dengar cerita hartawan Islam, kahwin cerai, kahwin cerai. Ada yang hari ini kahwin, esok bercerai atau sebulan bercerai. Perkahwinan adalah terlalu murni dan suci, bukan main-main. Janganlah habis manis sepah dibuang. Kita selalu disindirkan oleh bukan Islam kerana membenarkan poligami. Sedangkan poligami itu adalah sesuatu yang mulia sekiranya dijaga dengan baik, berbanding mereka tidak boleh berpoligami tetapi menyimpan perempuan atau mistres. Saya harap ultra kiasu tidak marah dengan hujah ini sebab mereka yang menghalalkan zina sebelum ini. Dalam membina 1Malaysia yang lebih baik, asas-asas ini perlu difahami.

Apapun, budaya mendesak dan menuntut apa yang orang Islam dapat, orang bukan Islam mesti dapat, perlu difikirkan secara rasional dan logik. Jika kita terima pakai formula ini, maka akhirnya nanti kita akan lihat setiap taman perumahan, ada 1 masjid, 1gereja, 1 kuil, 1 tokong dan setiap 1 untuk mereka yang tidak menyembah apa-apaun, walaupun sebenarnya mereka tidak memerlukan. Keperluan mesti dilihat dari segi sejarah bangsa, konsep asas beragama dan populasi penduduk, yang bertunjangkan perlembagaan. Barulah ini dinamakan keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya?

Inilah intipati gagasan 1Malaysia pada hemat saya. Jika tidak, nanti orang Islam akan menuntut kek ekonomi berasaskan formula 60-40. Sanggupkah bukan Melayu berkorban dan berkongsi dengan lebih 70 peratus penguasaan ekonomi mereka? Jika tidak sanggup, tidak perlulah mencari publisiti murahan sebegini. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan asyik menuduh orang lain yang merosakkan hubungan kaum di negara ini! Sebenarnya sifat ultra kiasu inilah punca kepada segala-galanya.

Akhirnya, kepada semua yang meraikan Tahun Baru Cina, saya ucapkan Gong Xi Fa Cai. Semoga kedatangan tahun harimau akan menurunkan sifat ultra kiasu harimau kepada kurang kiasu. Tahun harimau mengajar kita supaya lebih berhati-hati dalam segala aspek kehidupan. Hindari perasaan dendam dan iri hati, lebihkan sikap bersyukur dan menerima pendapat orang lain. Sikap ini akan menjadi kita tidak mudah jatuh, kerana sekali kita jatuh, mungkin kita sudah tidak berdaya untuk bangun kembali.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Iktibar tahun harimau, bersyukur dengan yang ada”

Mengenang Al-Imam Al-Syafi’i


Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.( Ibn Khallikan,Wafayat al-A’yan, 2/312).



- Gambar Hiasan

Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya‘ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)

Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi,Siyar A’lam al-Nubala` , 10/71-72).

Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi:

“Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/95).

Kata Muhammad Abu Zahrah:

“Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).

Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa` (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi s.a.w., mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik..” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah, www.qudsway.com/Links/Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.

Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana.

Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini ?!


- Gambar yang dikatakan tapak kaki Rasulullah s.a.w

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan:

“Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43).

Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.

Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditangkap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut:

“Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nubala, 10/9).

Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi s.a.w bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa,, 2/420).

Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.

Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan.

Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

read more “Mengenang Al-Imam Al-Syafi’i”