SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ
Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-’Asqalani r.h:
Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.
Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa’d dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat.” – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203.
Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama tersebut satu pesatu. Antara ringkasannya ialah:
1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa’d dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.
2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.
3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.
4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.
5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.
6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.
7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.
8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.
9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.
10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.
Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:
Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.
Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:
Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-rif karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.
PENGAJARAN DARI PERSELISIHAN INI
Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Tidakkah ia hanya akan menimbulkan kekeliruan? Bagi penulis, apabila kita ingin menyampaikan ilmu berkaitan agama kita hendaklah berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.
Walaupun sesuatu perkara yang ingin kita sampaikan itu bertentangan dengan pandangan majoriti masyarakat setempat. Namun, kita tetap mesti bersifat amanah demi menjaga ketulenan agama. Pengajaran yang dapat kita ambil dari pendedahan ini adalah:
1. Kita perlu mempertingkatkan kefahaman kita terhadap agama ALLAH. Jangan kita menelan bulat-bulat apa yang disuapkan oleh pihak lain terhadap kita. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran sebenar Rasulullah s.a.w agar dapat membezakan antara perkara hak dan batil. Hal ini hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan kita dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Ketahuilah bahawa menuntut ilmu itu diwajibkan ke atas setiap Muslim.
Sabda Nabi s.a.w:
“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.” – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 220.
ALLAH juga meninggikan darjat mereka yang memiliki ilmu melalui firman-NYA:
“ALLAH akan meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” – Surah al-Mujadilah: 11.
Ini merupakan ganjaran paling besar bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa jua bidang ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama. Sekiranya kita hanya berpuas hati dengan ilmu agama yang telah dipelajari ataupun yang telah kita warisi secara turun-temurun tanpa mempunyai niat untuk mempertingkatkannya, natijahnya kita hanya berpegang kepada pendapat bahawa tarikh peristiwa Israk dan Mikraj tersebut berlaku pada malam 27 Rejab kononnya menurut ijmak para ulama.
Oleh itu, dalami ilmu agama dari sumber sahih bersumberkan al-Quran dan sunnah menurut fahaman generasi salafussoleh. Siapakah generasi salafussoleh? Mereka adalah generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik generasi ialah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.
Inilah manhaj sebenar ahli sunnah wal jamaah, iaitu mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w sama ada berupa iktikad, ibadah, muamalah atau akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh generasi salafussoleh dan para pengikut mereka hingga ke hari ini.
2. Apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut.
Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada hari-hari ‘putih’, iaitu pada tarikh 14, 15 dan 16 setiap bulan, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.
Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain.
Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.
Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h:
“Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya.” – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry (edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah yang Dianggap Sunnah), ms. 153-154.
Ibn al-Haj al-Maliki r.h berkata:
“Antara bidaah yang diciptakan pada malam 27 Rejab adalah sambutan malam Israk dan Mikraj.” – Rujuk Kitab al-Madhkal karangan Ibn al-Haj, jil. 1, ms. 294.
3. Ulama ahli sunnah wal jamaah melihat pentingnya sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w dalam melakukan amal ibadah. Setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada Nabi s.a.w, ia tertolak walaupun dianggap baik.
Para ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Amat penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. yang tsabit.
Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, amal ibadah tersebut dianggap terbatal dan tidak diterima.
Firman ALLAH S.W.T:
“DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” – Surah al-Mulk: 2.
Maksud? ‘yang lebih baik amalannya’ adalah sebagaimana tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh r.h, iaitu:
“Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana ALLAH dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” – Dinukil daripada Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jil. 2, ms. 258.
Berlandaskan pada kaedah ini maka para ulama ahli sunnah wal jamaah menolak untuk mengkhususkan amalan tertentu pada malam 27 Rejab sempena peristiwa Israk dan Mikraj kerana Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan umatnya untuk melakukannya. Imam Ibn Nuhas al-Syafie r.h berkata:
“Sesungguhnya peringatan malam Israk dan Mikraj adalah bidaah yang besar dalam agama yang dibuat oleh Ikhwan al-Syayatin (sahabat-sahabat syaitan).” – Rujuk Tanbih al-Ghafilin karya Ibn Nuhas, ms. 379-380.
Sewajarnya umat Islam memastikan bahawa amal ibadah mereka benar-benar bebas dari syirik ataupun riak dan ia ikhlas hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan ALLAH. Di samping itu, kita juga wajib mengamalkan ibadah yang benar-benar berasaskan sunnah Nabi s.a.w dan bebas dari amalan-amalan bidaah kerana semua bidaah menyesatkan walaupun nampak seperti amalan yang boleh membawa kepada kebaikan.
Kita hendaklah benar-benar faham bahawa mencontohi Rasulullah s.a.w adalah bukti jelas menunjukkan kecintaan kita kepada ALLAH sebagaimana firman-NYA:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah aku, pasti ALLAH Mengasihi kamu serta Mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” – Surah Ali Imran: 31.
4. Ahli sunnah wal jamaah berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w wafat dan tidak memerlukan ciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w tidak termasuk sebahagian syariat agama maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian agama pada hari ini dan buat selama-lamanya.
Oleh itu, segala amal ibadah para ahli sunnah wal jamaah sentiasa berdalil kepada sunnah Nabi s.a.w yang tsabit dan meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan manusia serta hadis-hadis lemah atau palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga amalan-amalan bidaah mudah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.
Sekiranya pada zaman Rasulullah s.a.w masih hidup, baginda langsung tidak pernah menyuruh para sahabat menghidupkan malam 27 Rejab dengan amalan-amalan khusus sempena memperingati malam Israk dan Mikraj, maka dapat kita fahami bahawa hal tersebut bukan sebahagian dari agama pada hari ini dan selama-lamanya.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan tanda kebesaran ALLAH dan ia membuktikan betapa tingginya darjat sayyidul mursalin (penghulu segala rasul), iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w.
Firman ALLAH S.W.T:
“Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari masjidilharam (di Makkah) ke masjidilaqsa (di Palestin, yang KAMI berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” – Surah al-Israa’: 1.
Melalui peristiwa tersebut terdapat begitu banyak pelajaran yang begitu bermanfaat yang tidak selayaknya sekiranya ia hanya ingin diketengahkan pada tarikh 27 Rejab. Mari kita perhatikan beberapa pegajaran penting dari peristiwa tersebut secara ringkas:
a. Ia membatalkan fahaman bahawa ALLAH berada di mana-mana sebagaimana iktikad kelompok menyeleweng seperti Muktazilah dan Jahmiyah. Melalui peristiwa ini Nabi Muhammad s.a.w telah di angkat ke atas langit untuk bertemu dengan ALLAH. Ini membenarkan iktikad bahawa ALLAH bersemayam di atas ‘Arasy yang terletak di atas langit.
Firman ALLAH S.W.T:
“ALLAH yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian DIA bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain daripada ALLAH. Oleh itu, tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaan-NYA)?.” – Surah al-Sajadah (32) : 4.
Iktikad ini juga telah disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat termasuk Imam Syafie r.h. Imam al-Zahabi r.h telah menyebutkan di dalam kitabnya al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar bahawa Imam Syafie r.h pernah berkata:
“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga sebagaimana ia menjadi pegangan orang-orang yang aku lihat seperti Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah serta beriktikad bahawa ALLAH itu berada di atas Arasy-NYA yang terletak di atas langit-NYA.” – Rujuk kitab Manhaj Akidah Imam al–Syafie karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.
b. Melalui peristiwa inilah ALLAH telah memfardukan ibadah solat sebanyak lima waktu sehari. Ini membuktikan keagungan serta keistimewaan ibadah solat ini berbanding dengan ibadah-ibadah lain. Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.
c. Peristiwa ini juga membuktikan bahwa Rasulullah s.a.w memilki status yang lebih tinggi berbanding rasul-rasul yang lain. Ketika Israk baginda telah menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul, iaitu mengerjakan solat dua rakaat di dalam masjidilaqsa. Oleh itu, sewajarnya kita taat kepada ajarannya serta menghindari segala larangannya.
d. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan balasan ngeri yang dikenakan kepada penghuni neraka yang melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat dan manusia yang menyeru ke arah kebaikan namun dia sendiri tidak mengamalkannya.
e. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan keindahan syurga melalui peristiwa ini dan ia boleh dijadikan sumber motivasi untuk kita melakukan perkara-perkara yang makruf.
f. Melalui peristiwa ini juga kita dapat mempelajari nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri para sahabat. Ketaatan serta keyakinan tanpa berbelah-bahagi kepada Rasulullah s.a.w jelas kelihatan di dalam jiwa mereka apabila menerima berita yang dianggap tidak munasabah oleh golongan musyrik Makkah. Ketika dikhabarkan berita ini walaupun dianggap tidak logik oleh golongan musyrikin, namun Abu Bakar r.a hanya menjawab:
“Sesungguhnya aku telah membenarkan baginda terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa.” – Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.
Jawapan daripada Abu Bakar al-Shiddiq tentang peristiwa ini menunjukkan keyakinan serta ketaatan tanpa berbelah-bahagi kepada baginda. Walaupun baginda telah lama wafat, namun umat Islam pada zaman ini masih boleh menunjukkan ketaatan yang sama sebagaimana amalan generasi para sahabat dengan mematuhi segala perintah Rasulullah s.a.w dan menghindari segala larangan. Selain itu, dia perlu mengamalkan segala sunnahnya dan menjauhkan segala bentuk amalan bidaah, syirik, khurafat dan perkara lain yang membawa kepada kekufuran.
Perkara-perkara yang telah penulis gariskan di atas merangkumi hal-hal berkaitan akidah, ibadah, muamalah serta akhlak yang amat penting dan ia memerlukan penjelasan yang berterusan terhadap umat Islam keseluruhannya dan bukan sekadar menanti setahun sekali, iaitu pada tarikh 27 Rejab.
Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya:
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.
http://intisonline.com