Thursday 29 April 2010

JANGAN BERPUTUS ASA UNTUK BERDOA

Oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus


SABAN hari umat Islam di seluruh pelosok dunia memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan segala permohonan diperkenankan-Nya. Namun tidak semua doa daripada seseorang insan itu termakbul. Lantaran itu, sesetengah pihak tertanya-tanya kenapa doanya itu tidak berhasil sedangkan Allah telah berfirman:
Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Ghaafir: 60)


Disebabkan perasaan kecewa kerana tanggapan bahawa permohonannya itu seakan-akan tidak dimakbulkan, maka timbul perasaan putus asa. Sehingga ada yang meninggalkan amalan berdoa yang sebenarnya merupakan salah satu ibadah yang dimuliakan Allah. Nabi SAW bersabda:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah dibanding doa”. (riwayat Tirmidzi)


Hakikatnya, Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Adil dan Dia sentiasa mengotakan janji-janji-Nya. Namun hamba-hamba-Nya adakalanya gagal untuk memahami hikmah di sebalik segala keputusan Allah. Kita merasakan apa yang dipinta daripada-Nya itu merupakan yang terbaik untuk diri kita sedangkan Allah lebih mengetahui segala-galanya dan setiap keputusan-Nya itu memiliki hikmah yang adakalanya tidak disedari oleh seseorang insan.


Ada ketikanya apabila Allah tidak memperkenankan sesuatu permintaan hamba-Nya disebabkan kerana Allah ingin memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dipinta.


Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan sebuah doa yang tidak berisi dosa dan permintaan untuk memutuskan silaturahim melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya salah satu dari tiga perkara: Allah akan segera memakbulkan doanya atau Allah akan menyimpan doanya sebagai pahala di akhirat atau Allah akan menghindarkan dirinya dari keburukan semisalnya. Mereka berkata: Kalau begitu kami harus memperbanyakan berdoa. Nabi bersabda: Apa yang Allah kurniakan kepada kalian lebih banyak dari yang kalian minta”. (riwayat Imam Ahmad)


Begitulah resam seorang insan yang selalu lupa tentang apa yang telah dikurniakan Allah yang hakikatnya lebih banyak berbanding permintaannya yang dianggapnya tidak dimakbulkan itu. Malah menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa ada waktunya Allah menggantikan apa yang dipinta oleh hamba-hamba-Nya itu dengan menghindarkan diri mereka dari ditimpa kemalangan ataupun apa-apa jua bentuk musibah.


Ada ketikanya Allah menangguhkan untuk memperkenankan sesuatu permintaan dan dikurniakan sebagai ganti berupa ganjaran pahala di akhirat yang tentu sekali akan lebih memberi manfaat yang besar kepada hamba-hamba-Nya.


Insan tetap insan yang sebagaimana telah kita semua sedia maklum terbelenggu dengan pelbagai kelemahan. Kenapa tatkala merasakan Allah seperti tidak memperkenankan doa-doanya, seseorang insan itu tidak terlebih dahulu melihat kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.


Bagaimana mungkin Allah ingin menjawab permintaannya itu sekiranya seseorang itu sentiasa bergelumang dengan perbuatan maksiat serta meninggalkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:
“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu harus mengerjakan segala yang baik (makruf) dan meninggalkan segala yang keji (mungkar), atau jika tidak Allah pasti akan menurunkan seksa ke atas kalian, nanti bila kalian berdoa tidak akan dimakbulkan”. (riwayat Tirmidzi)


Tidak dapat dinafikan kelalaian seseorang dalam menurut perintah Allah dan juga tewasnya seseorang dengan godaan hawa nafsu merupakan penyebab utama terhalangnya kurniaan kebaikan (seperti mudah termakbulnya doa) daripada Allah terhadap hamba-hamba-Nya. Firman-Nya:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya. (al-Ra’du: 11)


Mana mungkin Allah SWT akan memperkenankan sesuatu permohonan jika hamba-hamba-Nya tidak mempedulikan perkara halal dan haram dari segi sumber rezeki, pemakanan dan pakaian-pakaiannya dalam kehidupan seharian. Firman Allah:
Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.(al-Mukminun: 51). Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (al-Baqarah:172).


Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap:
Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan. (riwayat Imam Muslim)


Sikap terburu-buru sesetengah insan dalam meminta doanya agar dimakbulkan segera sehinggakan wujud perasaan putus asa apabila permintaan tersebut tidak tercapai merupakan antara faktor yang menyebabkan terhalangnya doa itu diterima oleh Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda:
Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku. (riwayat Imam al-Bukhari)


Sewajarnya setiap insan tidak putus harapan dalam berdoa dan tetap memperbanyakkan amalan berdoa. Keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya juga merupakan faktor yang dapat mempermudahkan termakbulnya doa.



Sekiranya doa itu diyakini sebagai ibadah maka hendaklah kita menghadapkan doa itu ikhlas hanya kepada Allah SWT tanpa sebarang perantaraan yang bertentangan dengan syarak dan tatacara berdoa itu juga hendaklah bersesuaian dengan sunah Rasulullah agar ia diterima oleh Allah SWT. Doa itu hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah dan dengan suara yang perlahan. Firman-Nya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (al-A’raaf: 55)



Justeru, hendaklah setiap insan melazimkan diri mereka dengan berdoa. Pada masa yang sama hendaklah setiap insan itu juga berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dalam menurut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya agar ia dapat memudahkan termakbulnya doa.
read more “JANGAN BERPUTUS ASA UNTUK BERDOA”

Hadith Palsu Tentang Adab Potong Kuku


Soalan:
Soalan dari email:

Benar ke hadis berkaitan memotong kuku seperti attachment di bawah nie ? Kita selalu mendengar hal ini dalam masyarakat kita. Kalau ustaz ada maklumat mengenai hadis ini mohon dapat dikongsi, supaya dapat ana betulkan sahabat yang forward kan e-mail ini.




RAHSIA MEMOTONG KUKU RASULULLAH S.A.W BERSABDA: YANG ERTINYA: Barang siapa yang mengerat kukunya pada ;

* Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan..
* Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.



Jawapan:

Berdasarkan pencarian saya, ini yang diketemui:


من قلم أظفاره يوم السبت خرج منه الداء ، ودخل فيه الشفاء ، ومن قلم أظفاره يوم الأحد خرجت منه الفاقة ودخل فيه الغنى ، ومن قلم أظفاره يوم الاثنين خرجت منه العلة ودخلت فيه الصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الثلاثاء ، خرج منه البرص ، ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الأربعاء خرج منه الوسواس ، والخوف ودخل فيه الأمن والصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الخميس خرج منه الجذام ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الجمعة دخل فيه الرحمة ، وخرج منه الذنوب


Maksudnya: "Sesiapa yang memotong kukunya pada hari sabtu, keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penyembuhan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari ahad, keluar daripadanya kefakiran dan masuk ke dalamnya kekayaan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari isnin, keluar daripadanya penyakit dan masuk kepadanya kesihatan, sesiapa yang mengerat kuku pada hari selasa, keluar daripadanya al-Baros dan masuk ke dalamnya al-'Afiah, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari rabu, keluar daripadanya was-was dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari khamis, keluar daripadanya al-Jadam dan masuk kepadanya al-'Afiah dan siapa yang mengerat kukunya pada hari jumaat, masuk kepadanya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa."

Darjat Hadith


1. PALSU (al-Maudhuaat, Ibn Jauzi, 3/226)
2. PALSU, di dalam sanadnya ada para pemalsu hadith dan rawi-rawi yang majhul (al-Fawa-id al-Majmu'ah, oleh al-Syaukani. m.s. 197)
3. Di dalam sanadnya ada Nuh bin Abi Maryam yang ditohmah dengan pendustaan (Tartib al-Maudhuaat) - Sila lihat takhrij hadith dari laman dorar.net

al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani pula di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhuah ada menyebut hadith:


من قلم أظافيره يوم الجمعة قبل الصلاة ، أخرج الله منه كل داء ، وأدخل مكانه الشفاء والرحمة


Maksudnya: "sesiapa yang mengerat kukunya pada hari jumaat sebelum menunaikan solat, Allah mengeluarkan daripadanya penyakit dan menggantikan tempat penyakit itu dengan ppenyembuhan dan rahmat." Hadith ini menurut penilaian al-Albani adalah hadith yang terlalu lemah (ضعيف جدا)- Sila lihat Silsilah al-Dhoiefah, m.s. 36, bil. hadith: 2021, cetakan pertama Maktabah al-Maarif al-Riyadh.

al-Hafidz al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah m.s. 422 menyebut:

لم يثبت في كيفيته ولا في تعيين يوم له عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء

Maksudnya: "Tidak thabit tentang kaifiatnya (memotong kuku), tidak thabit juga tentang menentukan hari untuk memotong kuku dari Nabi S.A.W. sesuatu hadith pun."

Adapun tentang jari mana yang hendak didahulukan ketika memotong kuku, al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (10/345) menyebut:

لم يثبت في ترتيب الأصابع عند القص شيء من الأحاديث .... وقد أنكر ابن دقيق العيد الهيئة التي ذكرها الغزالي ومن تبعه وقال : كل ذلك لا أصل له ، وإحداث استحباب لا دليل عليه ، وهو قبيح عندي بالعالم ، ولو تخيل متخيل أن البداءة بمسبحة اليمنى من أجل شرفها فبقية الهيئة لا يتخيل فيه ذلك . نعم ، البداءة بيمنى اليدين ويمنى الرجلين له أصل وهو (كان يعجبه التيامن)

Maksudnya: "Tidak thabit dalam tertib jari-jari ketika memotong kuku sesuatu hadithpun... Ibn Daqiq al-'Ied telah mengingkari bentuk (memotong kuku) yang telah disebut oleh al-Ghazali dan orang yang mengikutnya, dengan berkata: "Semua cara-cara itu tidak ada asalnya, dan untuk mengatakan ia suatu yang digalakkan, ianya suatu yang tidak ada dalilnya, ia merupakan suatu yang tercela di sisiku, sekiranya seseorang menggambarkan, cara memotong kuku dimulakan dengan jari telunjuk tangan kanan disebabkan kemuliaannya, maka jari-jari yang lain, dia tidak akan dapat menentukannya dengan cara itu. Ya! memulakan dengan yang kanan samaada tangan ataupun kaki itu ada asalnya, kerana Nabi S.A.W. suka memulakan sesuatu dengan sebelah kanan."

wallahu a'lam.

sumber-bin-sahak.blogspot.com
read more “Hadith Palsu Tentang Adab Potong Kuku”

Menguji kematangan pilihan raya

Mingguan Malaysia 25 April 2010

Setiap kali ada pilihan raya sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), penduduk kawasan terlibat akan bersorak gembira kerana mereka akan mendapat peruntukan sana sini dan boleh menuntut itu dan ini. Tidak cukup dengan itu, ada yang begitu berani menggugut untuk mengundi parti lain atau berpaling tadah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagi parti yang mahukan kemenangan, sudah tentu peruntukan disalurkan kerana jentera tidak akan bergerak tanpa habuan. Kawasan terbabit akan mendapat jalan baru, tar baru, tapak sekolah baru, kemudahan sekolah baru, pelbagai projek pembangunan baru dijanjikan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Tidak salah, cuma kadang kala naik sebu telinga mendengarnya. Namun, apakan daya inilah realiti budaya politik kita yang diharapkan akan berubah.

Jika ianya berterusan, selepas ini saya bimbang, rakyat saban hari akan berdoa kepada Tuhan supaya wakil rakyat mereka meninggal dunia atau mati cepat. Logiknya mudah, apabila berlakunya kematian wakil rakyat seperti parlimen Hulu Selangor ini, maka PRK akan diadakan. Kawasan tersebut tiba-tiba menjadi meriah. Episod menagih janji dan menunaikan janji, serta tuntut menuntut pun bermula. Sekelip mata kita akan dapat melihat perubahan wajah fizikal kawasan yang terbabit. Begitulah yang berlaku di parlimen Hulu Selangor, antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat.

Tidak kurang yang mendapat keuntungan segera hasil kemeriahan tersebut. Hotel dan rumah tumpangan penuh, makanan habis dijual di restoran-restoran dan berbagai lagi. Sebelum ini ramai yang tidak buat kisah keadaan Hulu Selangor kerana satu pihak telah menang, dan satu pihak lagi telah kalah, sehinggalah wakil rakyatnya meninggal dunia. Sepatutnya yang menang menjaga kawasan, yang kalah memantau. Keadaan berlaku sebaliknya.

Budaya ini menunjukkan bahawa seolah-olah pilihan raya adalah medan untuk mendapatkan sesuatu habuan, bukannya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan ke arah lebih baik daripada yang sebelumnya. Trend ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dalam kehidupan berpolitik dan berpilihan raya berbanding dengan negara maju.

Di negara maju, pilihan raya adalah medan untuk mencari ‘pemimpin terbaik’ yang mampu membawa perubahan dan pembangunan dalam pelbagai aspek sama ada fizikal mahupun spiritual mengikut lunas demokrasi. Pemimpin terbaik yang dimaksudkan mereka yang benar-benar terserlah kewibawaannya terutama dari segi semangat patriotism dan kenegaraan yang tinggi. Misalnya, penerimaan Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat oleh mereka yang rata-ratanya berkulit putih. Bezanya, di barat mungkin mereka tidak berapa kisah jika pemimpin mereka minum arak atau rosak akhlaknya. Bagi yang penting adalah wibawa dan karisma, tetapi norma sebegini tidak dapat diterima oleh masyarakat kita apatah orang Islam. Kita mahukan pemimpin yang baik dalam semua aspek, fizikal dan spiritual atau jasmani dan rohani.

Secara peribadi, saya dapat menerima ketelusan barat mengendalikan pilihan raya tetapi menolak calon yang rosak akhlaknya untuk bertanding dalam pilihan raya walaupun mereka berwibawa. Ini kerana, kebiasaannya tabiat merokok, minum arak, berjudi dan berzina mempunyai unsur-unsur ketagihan, kecuali mereka benar-benar telah ‘bertaubat’. Kadang kala sukar juga untuk mempercayai pengakuan ‘taubat’ seseorang manusia selagi manusia itu tidak beriman sepenuhnya kepada Allah SWT. Ibarat kata pepatah Melayu, anjing jika sudah biasa makan tahi, tak dapat makan, hidu pun jadi. Hendaknya biarlah kita benar-benar bertaubat. Janganlah hari bertaubat, esok berjahat kerana berhajat lebih hina daripada menjadi penjahat.

Apapun, faktor peribadi dan latar belakang seseorang amat dititik beratkan oleh Islam apatah lagi jika ia hendak menjadi pemimpin kepada masyarakat. Pemimpin mesti menjadi role model. Mereka mesti kelihatan baik luar dan dalam. Sebaik-baiknya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan minum arak. Pada masa sama kewibawaan hendaklah juga terserlah.

Isu arak di negeri Selangor ini bukanlah isu baru. Kita telah dengar sebelum ini bagaimana parti ultra kiasu begitu marah kepada penguatkuasa bila mereka bertindak merampas arak yang dijual di kawasan majoriti Islam. Kita dapati parti ultra kiasu tidak dapat menerima hakikat ini. Mereka mengkritik hebat tindakan penguatkuasa dan serta merta mengeluarkan arahan supaya menghentikan tindakan tersebut. Sedangkan tujuannya adalah baik iaitu melarang orang Islam daripada minum arak. Kepada orang bukan Islam mereka boleh minum dan mandi arak, tidak siapa larang selagi tidak mengganggu ketenteraman awam. Dengan sebab itu, saya tidak berminat untuk mengulas perkara ini lebih panjang kerana semuanya telah faham, apatah dijadikan bahan untuk menyerang peribadi seseorang seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kempen pilihan raya, sebaik-baiknya kita tidak menyerang peribadi seseorang calon yang bertanding kerana perbuatan tersebut adalah tidak professional. Mereka yang diserang akan bertindak sama menyerang peribadi lawannya itu. Akhirnya berlakulah episod serang menyerang peribadi sehingga yang tidak kena mengena dengan pertandingan dalam pilihan raya turut terpalit sama. Inilah budaya kita. Kita yang makan nangka, orang lain pula yang kena getahnya. Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Tidakkah lebih molek jika kita berkempen dan berhujah dengan menilai perubahan sesebuah kawasan itu setelah kepimpinan beralih tangan? Saya lebih suka kita berpegang kepada kata-kata ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang

Dalam konteks parlimen Hulu Selangor, kita sedia maklum bahawa kawasan ini mula membangun ketika Tan Sri Muhammad Taib menjadi menteri besar Selangor. Pada saya, jika pemilihan calon tidak berasaskan kuota parti, beliau adalah yang paling sesuai untuk bertanding di sana berbanding calon lain, sekiranya tidak ada kontroversi . Jasa beliau amat besar kepada penduduk Hulu Selangor. Saya tidaklah mengatakan bahawa Hulu Selangor masih penuh hutan tanpa beliau, tetapi itulah hakikatnya, biarlah kita berterus terang. Justeru, dalam pemilihan calon, kita perlu mencari calon yang menghampiri ketokohan Muhammad Taib, kerana tanpa beliau, Hulu Selangor mungkin masih hulu lagi.

Inilah kritiria utama yang perlu dilihat dalam memilih calon. Apatah lagi ketika berkempen. Sepatut medan pilihan raya ini digunakan untuk menilai keberkesanan wakil rakyat serta tanggungjawabnya. Adakah wakil rakyat yang dilantik benar-benar mewakili rakyat atau indah khabar dari rupa. Adakah kerja wakil rakyat ini hanya melihat masalah rakyat ketika pilihan raya?

Bandingkan perubahan kawasan tersebut sebelum ini dengan dua tahun lalu setelah kepimpinan bertukar tangan. Adakah terdapat perubahan yang ketara atau sekadar penerusan agenda pembangunan sebelum ini semata-mata? Inilah sepatutnya yang dinilai oleh pengundi-pengundi di sana, bukannya meminta itu dan ini serta menyerang peribadi seseorang. Masyarakat yang matang harus pandai berhujah dan menepis hujah dengan hujah, bukannya menyerang dan menggugut sesuatu yang tidak ada kaitannya dengan prestasi seseorang. Kita harus rasional dan bukan emosional.

Kita perlu menilai adakah kepemimpinan dua tahun kebelakangan ini telah mengotakan janji-janji pilihan raya mereka atau cakap tidak serupa bikin. Saya fikir perbincangan sebegini lebih bermanfaat dan membangun minda berbanding pemikiran pandir yang hanya mahukan habuan dan tuntuan. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Amat sukar untuk kita pergi lebih jauh. Kita tidak proaktif tetapi lebih action-oriented.

Satu lagi perkara yang menjadi asas menguji kematangan dalam pilihan raya ialah bagaimana menanamkan nilai keikhlasan dalam berjuang seperti pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berjalan kaki dan bersusah payah merempuh onak duri berkempen ke sana ke mari tanpa mengharapkan imbuhan. Diri mereka sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Berbanding dengan kita hari ini, keadaan sudah mula berubah. Kita sudah tidak mampu untuk berpanas di pondok panas. Dalam kepada kita hanya terbayang imbuhan dan wang besar. Pemikiran sebegini adalah cerminan kepada kemajuan yang akan dicapai. Kita akan menghadapi kesukaran memacu kemajuan menjelang 2020, disebabkan cara kita berfikir masih belum maju. Sebab dalam kepala kita mereka hanya ada projek, habuan dan peruntukan, bila berlaku PRK atau PRU.

Kita perlu berubah sebelum rebah seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan. Barulah kita akan berjaya. Kita akan kalah jika tidak ada keikhlasan. Jika menangpun, kemenangan itu hanya bersifat sementara. Tidak kekal lama. Masalah pasti akan berulang dan berulang. Kita tidak habis-habis akan menjadi mangsa.

Kita hendaklah menanamkan semangat kepada pengikut kita bahawa ganjaran yang paling besar bukan wang tetapi pahala. Pahala hanya boleh dianugerahkan oleh Alla SWT. Itulah jaminan kesenangan di dunia dan akhirat. Inilah juga semangat pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjaga sampai sampai ke pagi, bekerja tanpa kenal erti lelah, hanya kerana mereka mengharapkan habuan syurga. Saya yakin kita boleh pergi ke arah itu, pokoknya kita jangan mudah cair dengan habuan dunia, walaupun tidak nafikan ianya penting.

Ramai yang masih tidak faham bahawa pilihan raya sebenar bukanlah untuk menukarkan kerajaan kerana kerajaan tidak pernah bertukar. Kerajaan telah wujud semenjak wujudnya negara bangsa. Kita tidak boleh menukar kerajaan. Kita hanya boleh menukar parti yang memerintah kerajaan atau ruling party. Adalah salah bila kita menyebut kerajaan pembangkang atau bukan pembangkang. Kerajaan tidak pernah membangkang. Yang membangkang atau menyokong adalah parti yang memerintah kerajaan.

Justeru, sudah sampai masa kita mendidik rakyat apa yang betul, apa yang salah, bukannya siapa yang betul, siapa yang salah. Biarlah rakyat yang menghakimi apa yang betul apa yang salah di Hulu Selangor pada hari ini. Adakah wakil rakyat sebelum ini telah mengotakan janji-janji mereka atau janji tinggal janji?

Dalam sistem demokrasi, kemenangan pilihan raya tidak cukup, sekiranya tidak mendapat dua pertiga majoriti seperti berlaku pada hari ini. Akibatnya parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik. Banyak perkara tertangguh disebabkan berlaku boikot-memboikot dalam sidang parlimen sehingga tidak menampakkan kematangan. Justeru, kemenangan dua per tiga adalah amat penting. Dalam mendapatkan kemenangan ini, calon yang berwibawa hendaklah diketengahkan berasaskan kehendak majoriti. Pada saya, jika kaum minoriti tidak mempunyai kawasan majoriti mereka, maka tidak perlu bertanding. Lebih elok kiranya wakil mereka dilantik sebagai senator daripada bertanding dalam pilihan raya. Itulah lebih membawa manfaat dalam menentukan kemenangan dua pertiga.

Kepada pengundi Hulu Selangor, selamat mengundi dan buatlah pilihan yang bijak. Masa depan Selangor berada di tangan anda. Saya pasti saudara semua boleh menilaikan antara kaca dengan permata.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Menguji kematangan pilihan raya”

Friday 23 April 2010

BERSAMA SAYA DI PILIHANRAYA KECIL ULU SELANGOR
















read more “BERSAMA SAYA DI PILIHANRAYA KECIL ULU SELANGOR”

Memenangi hati rakyat

Mingguan Malaysia 18 April 2010

Ketika membentangkan kertas kertas bicara sosial dalam Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konfucius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere. Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi-nabi dalam Islam, kerana kata-kata langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.

Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara otomatik, mereka akan diterima rakyat.

Pemimpin mesti ada rasa malu untuk memimpin jika mereka mempunyai masalah peribadi dan masalah keluarga, kerana kehadiran mereka tidak perlukan, malah merosakkan agama, bangsa dan negara. Sikap menerima keburukan dan berusaha untuk menutupnya, hanya akan mengundang kehancuran. Ingatlah kita boleh menutup kemarahan manusia, tetapi kita tidak dapat menutup kemurkaan Allah SWT. Kadangkala saya bimbang jika bala turun disebabkan oleh perbuatan kita, adakah orang baik yang tidak bersalah akan terselamat! Apa yang saya tahu, bila bala turun, semuanya akan terpalit, walaupun orang tidak bersalah itu tidak melakukan kejahatan tersebut. Justeru, fikirkanlah secara mendalam sebelum berjahat dan menjadi penjahat.

Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.

Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’. Adapun fasal nama itu tergantung kepada hati. Kalau membuka masjid sekalipun jika hati tiada ikhlas kerana Allah melain kerana puji dan sebagainya termasuk dalam jumlah riak dan mencari nama. Tiada satu faedahnya di akhirat walaupun seribu masjid dibuat. Bangsa kita tidak boleh maju dengan masjid sahaja, jikalau orang yang memenuhi masjid itu jahil dan bodoh, atau orang yang tidak layak hidup di dunia ini.

Kedua, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan menggugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat (basic need). Cuma apa yang berlaku hari ini, kita mahu menambah apa yang telah kita dapat. Pada hemat saya, buat sementara ini, lupakanlah tindakan mendesak buat sementara waktu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.

Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan dengan menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.

Ketiga, mengikhtiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara ini bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian. Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara ini hanya akan mengundang musibah kepada BN.

Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ianya berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya? Jika orang Melayu tuan, saya tidak fikir hanya 8 orang sahaja yang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita. Justeru, tidak perlulah lagi isu sebegini dimanipulasikan.

Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.

Justeru, tindakan mengungkit-ngungkit hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 hanya kemarahan orang Melayu. Sedangkan kita tahu bahawa hak-hak tersebut tidak langsung menyekat orang bukan Melayu untuk terus berjaya. Malah apa yang kita lihat, bukan Melayu semakin berjaya, manakala kejayaan Melayu dan bumiputera masih menjadi tanda tanya. Adakah sebenarnya mereka benar-benar berjaya?

Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.

Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak Pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama-agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.

Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.

Misalnya, hukuman sebat ke atas umat Islam tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia adalah hal ehwal dalaman dan keluarga umat Islam. Biarkan umat Islam menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan orang lain. Sama ada ia bercanggah dengan hak asasi manusia atau tidak, itu bukan hak orang bukan Islam untuk menentukannya. Serahkanlah kepada umat Islam yang telah cuba mengambil pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut mereka sesama sendiri. Hormatilah keputusan ini.

Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.

Secara peribadi, saya amat bersyukur dan memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah mengubah cara sambutan hari pahlawan di tugu negara kepada sambutan yang lebih Islamik dengan mengambil kira pendapat ulamak dan cendekiawan Islam seperti yang telah disuarakan sekian lama. Baru inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Memenangi hati rakyat”

Sunday 4 April 2010

Berubah sebelum parah

Mingguan Malaysia, 4 April 2010

Sejak akhir-akhir ini krisis dalaman MCA mewarnai politik negara. Liputan demi liputan diberikan seolah-olah MCA adalah sebuah parti yang amat berpengaruh di kalangan orang Cina. Pada saya, MCA tidaklah sekuat mana berbanding parti-parti politik yang lain terutama parti ultra kiasu. Parti ultra kiasu telah berjaya mengalihkan perhatian dan minat ahli-ahli parti MCA dan Gerakan kepada mereka. Dengan sebab itu, tsunami politik dan pilihan raya 2008 adalah petunjuk yang amat jelas bahawa sokongan orang Cina telah beralih arah kepada ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ditakdirkan pilihan raya umum berlangsung hari ini, belum tentu ahli MCA dan Gerakan mengundi calon mereka dalam pilihan raya. Kenapa? Inilah psiki yang mesti kita fahami.

Parti ultra kiasu telah berjaya memanipulasikan dan mengekspoitasikan isu sehingga menyerlahkan kehebatan mereka seolah-olah kelihatan sebagai jaguh rakyat. Mereka berjaya melindungi sifat ultra kiasu mereka disebabkan oleh kelemahan kita sendiri sehingga diambil kesempatan oleh mereka.

Jika sejak dahulu kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, maka sudah tentu tsunami politik ini tidak akan berlaku. Ayat keramat ini sebenarnya telah diamalkan pemimpin terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Pada mereka, politik bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi politik adalah untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara, agar kepentingan rakyat terpelihara.

Hari ini segelintir kita sudah jauh berubah. Politik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa diperalatkan untuk mendapatkan dan mengumpul harta kekayaan. Kita berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menikam bangsa dan rakan sesama sendiri. Semata-mata kerana dengan adanya kuasa, segala dapat diperolehi dan kemahuan nafsu dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin lalu dapat dilihat (to be seen) sebagai pemimpin yang tidak menimbunkan harta. Mereka berjiwa rakyat dan hidup matinya semata-mata adalah untuk rakyat, berpaksikan kepada ajaran agama. Rakyat didahulukan dalam sebarang hal, dengan mengambil kira rakyat yang memilih kita untuk naik ke puncak teratas. Tanpa rakyat siapalah kita hari ini. Justeru, kita perlu pulangkan kembali amanah yang dipikul ini kepada rakyat dengan menjaga kebajikan dan keselamatan mereka. Biar rakyat kaya, pemimpin hidup serba sederhana. Biar rakyat tahu, kekayaan mereka disebabkan oleh pemimpin yang bekerja dengan ikhlas dan sentiasa low profile bukannya berlagak tidak tentu pasal. Jejak langkah inilah yang patut kita contohi kerana ia selari dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW.

Sehingga ke akhir hayat Baginda, laungan ummati, ummati dan ummati, tetap berkumandang. Ini menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW yang teramat kuat kepada umatnya, berpaksikan Cinta Agungnya kepada Allah SWT. Kecintaan yang amat mendalam inilah yang telah menyelamatkan agama, bangsa dan negara serta dunia secara keseluruhannya.

Sebahagian besar harta Nabi habis digunakan untuk perjuangan Islam demi kepentingan rakyat tercinta. Begitu juga dengan pimpinan para sahabat. Islam yang kita nikmati hari ini adalah juga hasil daripada perjuangan mereka. Baginda ternyata teramat berjaya merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ramai rakyat jelata yang menjadi kaya raya dijana menyokong bersama-sama perjuangan dan inspirasi Baginda. Baginda tidak dilihat menimbunkan harta. Pengorbanan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Siapalah kita jika ajaran Baginda tidak sampai ke Nusantara. Apakah mungkin kita menjadi seadanya? Ingatlah, hari ini kita hebat disebabkan oleh Islam datang kepada kita. Mengubah cara hidup kita yang dahulunya jahil, kini menjadi umat terpelihara. Jika ditakdirkan kita masih Hindu-Buddha, apakah keadaannya sama seperti hari ini?

Hari ini segelintir kita sudah mulai jauh dari perjuangan Baginda dan pemimpin terdahulu? Keadaan kelihatan sudah mula terbalik. Kita lebih berseronok dengan kuasa. Kuasa boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, isteri mewah dan sebagainya, sehinggakan perjuangan sebenar tergadai. Akhirnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita asyik marahkan orang lain kerana mengambil kesempatan. Persoalannya, kenapa kita biarkan orang lain mengambil kesempatan hasil daripada kelemahan kita sendiri?

Saya tidak fikir orang lain akan mengambil kesempatan, jika kita memperlihatkan kehebatan dan kekuatan kita. Kita tidak mudah dijual beli. Kita mempunyai prinsip perjuangan yang jelas memartabatkan agama, bangsa negara serta menjauhi sifat-sifat mazmumah. Hari ini kalau kita mahu menjadi juara rakyat, memenangi hati rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya, pemimpin mesti dalam dilihat melakukan kebaikan, berjuang untuk rakyat, baik akhlaknya dan menyayangi agamanya.

Biarlah rakyat yang kaya, pemimpin tidak seberapa nampak terlalu kaya. Bukannya pemimpin kaya, rakyat di bawah hidup menderita. Kenapa hari ini parti ultra kiasu dan sekutunya berjaya mengaburi hati rakyat? Rakyat yang kaya berada di belakang mereka menyokong penuh aspirasi mereka, menampakkan mereka seolah-olah tidak berada. Sedangkan kita tahu, mereka juga tidak kurang kayanya. Sistem yang sedia ada turut membantu mereka menjadi kaya. Cuma, mereka pandai cover, menutup kelemahan dengan mengaburinya melalui kebaikan yang dipublisitikan secara besar-besaran. Kebaikan dan pertolongan mereka diperlihatkan, dimasukkan ke dalam laman-laman web mereka. Bantuan kepada sekolah agama dan jabatan agama diperbesar-besarkan, dengan mengatakan peruntukannya sebelum ini lebih kecil. Saya tidak nampak penambahan peruntukan itu perlu diperbesarkan. Ia semata-mata dilakukan untuk mencairkan hati kita. Logiknya mudah, jika peruntukan lebih kecil, sudah tentu hati kita tidak cair. Saya yakin peruntukan dikatakan lebih besar jauh lebih kecil jika kita dapat angka yang sebenar peruntukan yang disalurkan untuk orang mereka yang disengaja disenyapkan. Strategi licik perlu difahami seperti yang saya tulis minggu lalu.

Masa masih belum terlambat dalam merealiasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ingatlah kata-kata keramat Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh diubah. Umat Islam hari ini mengalami krisis identiti untuk mengubah perangai supaya menjadi lebih baik. Sedangkan kita tahu perangai boleh diubah jika telah ada kesedaran dan matlamat hidup.

Cuba kita amati betul-betul amanat yang pernah disampaikan oleh almarhum Tun Dr. Ismail, katanya, UMNO perlu membetulkan lemahnya kefahaman parti-parti lain serta lemahnya komitmen mereka kepada struktur politik yang telah dibina. Dalam pilihan raya 1969 persoalan sensitif tentang Bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu menjadi hambatan kepada Perikatan umumnya dan menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Lalu kita maktubkan isu-isu itu dalam Perlembagaan sebagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan dalam bentuk apapun oleh pembangkang. Dengan itu kelemahan rakan-rakan kita dilindungi. Pada masa akan datang, MIC dan MCA tidak boleh memandang kepada UMNO dan berkata mereka menghadapi kesulitan dengan isu-isu tersebut, sebab mulai sekarang isu-isu itu tidak akan menyusahkan mereka lagi. Kita akan mensyaratkan persetujuan tentang perlaksanaan dasar dan kurangkan masa yang digunakan untuk menjelaskan kepada sesama kita isu-isu yang sudah diterima sebagai dasar Perikatan. Kita harus tumpukan perhatian pada perlaksanaan Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya serta perlindungan Hak Istimewa Melayu, dan mempertahankan kewarganegaraaan kaum bukan Melayu. Tiga isu ini harus menjadi asas perbincangan yang terus terang dan ikhlas antara ketiga rakan dalam Perikatan, agar kita dapat mencapai kemenangan yang munasabah dalam pilihan raya akan datang. Tetapi kalau kita balik kepada perangai lama dan bercakap tanpa berterus-terang dan tanpa keikhlasan, dan kita “sembunyikan masalah kita di bawa tikar”, saya rasa Perikatan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang. Kalau kita tidak mencapai kesepakatan seperti itu, lebih baik kita bubarkan sahaja perkongsian ini daripada meneruskan pakatan yang hidup segan mati tak mahu (Ooi Kee Beng, 2007).

Amanat ini walaupun sudah lama, ternyata sudah menampakkan kebenarannya. Kontrak sosial yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seolah-olah telah dicabuli dan kita rela membiarkannya. Pada kita, kontrak sosial mengurangkan sokongan bukan Melayu, sedangkan kita jarang mengkaji kesan positifnya dan perasaan orang Melayu sendiri. Apakah kita lupa peringatan yang telah diberikan oleh sarjana barat seperti Comber (2007) dan Faaland (2005)?

Menurut Faaland, orang bukan Melayu sebenarnya memahami maksud kontrak sosial yang sebenar yakni mereka bertanggungjawab untuk membantu orang Melayu memasuki alam perniagaan dan perdagangan. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. Sayangnya, bukan Melayu tidak tampil dengan bantuan sebenar kepada orang Melayu dalam sektor swasta. DAP, MCA, Gerakan dan Pertubuhan dan Persatuan Cina mahupun MIC, tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawanan, program dan projek untuk membantu orang Melayu agar terbentuk satu identiti kepentingan di kalangan kumpulan kaum, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya lagi, bukan Melayu mendiskriminasikan orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberikan sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding kaum lain. Orang Melayu hanya diberikan jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberikan kepada bukan Melayu hak-hak yang tidak terpisah di bawah perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Namun, janji-janji ini pun kini dinafikan sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu.

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menggadaikan prinsip untuk merealisasikan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Apa yang penting, perangai kita mesti berubah. Pemimpin mesti dapat dilihat sebagai juara rakyat, dengan bertindak mengikut landasan kebenaran berpaksikan kepada perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama. Yakinlah, Allah bersama-sama orang yang benar. Berubahlah sebelum parah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Berubah sebelum parah”

Catitan cabaran silam gerakan pembaharuan

Antara perkara yang paling buruk yang menimpa negara ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini mempunyai kaitan dengan persoalan 'kuasa agama' seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya yang lepas. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya.

Atau, mereka mungkin melabel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah. Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah Melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan. Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za'ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.

Di'cop'

Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di'cop' sebagai 'kaum muda' atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab. Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za'ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Za'ba pernah menyebut: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor mereka yang dahulu kala itu.

Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

Za'ba juga berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya. Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta. Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan. Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain. Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya. Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid dan pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26).

Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuwannya. Beliau sendiri merupakan tokoh pembaharuan di Indonesia yang terlibat membangunkan Gerakan Muhammadiyyah, Indonesia. Bahkan beliau sering membantu pergerakan pembaharuan Islami Tanah Melayu. Antara usahanya yang terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika yang memusuhi gerakan pembaharuan. Setiap mereka yang berminat dengan gerakan pembaharuan patut membaca buku Prof Hamka Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor.

Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85). Kata Prof Hamka juga: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda!

Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009). Katanya juga:

“Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na'am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).

Nasib golongan Pembaharuan

Nasib golongan pembaharuan agak tersisih bukan disebabkan kekurangan jasa dan penolakan masyarakat tetapi kegagalan mereka 'mengampu' pihak berkuasa. Itu yang saya sebut kegagalan menggabungkan kuasa agama dengan kuasa politik. Dengan itu mereka ditindas.

Sumbangan mereka sangat besar. Kebanyakan nilai-nilai keterbukaan dan kemerdekaan minda yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan mereka. Walaupun saya secara peribadi bukannya bersetuju dengan semua idea mereka. Namun merekalah yang menentang pemikiran sempit, adat-istiadat yang menyanggahi syarak dan fanatik mazhab tanpa asas yang benar. Merekalah yang membebas kongkongan terhadap kaum wanita disebabkan fanatik mazhab dan adat Melayu. Mereka yang memecah paksaan perkahwinan dan wanita tidak boleh keluar belajar. Mereka yang
menggerakkan idea-idea kemerdekaan dan mengasaskan institusi-institusi pendidikan. Merekalah yang melebarkan Islam kepada pelbagai bidang.

Sumbangan mereka menggerakkan idea penentangan terhadap penjajahan sangat besar. Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana. Banyak adat-istiadat Melayu yang dianggap tidak serasi dengan Islam menyebabkan mereka sukar untuk mengikut kehendak telunjuk sultan dan raja. Pendirian mereka yang berterus terang dengan prinsip-prinsip Islam itu menyebabkan sukar untuk mereka berdamping dengan raja-raja Melayu. Ruang ini telah diambil oleh golongan penentang mereka untuk mengisi jawatan-jawatan agama dan mendampingi istana-istana untuk menindas gerakan pembaharuan. Hal ini disebutkan oleh Prof Hamka dalam bukunya 'Ayahku' yang menceritakan perjuangan pembaharuan ayahnya.

Kata Hamka: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi'i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu 'melotot' serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi'i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 162, Selangor: Pustaka Dini 2007).

Enggan mengampu

Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama. Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan.

Pada hari ini kita lihat pemakaian tali leher tidak diharamkan. Namun semasa zaman perkembangan pembaharuan dahulu tali leher diharamkan. Apabila tokoh-tokoh pembaharuan menyatakan tali leher tidak haram, mereka ditentang. Namun apabila didapati sultan memakainya, terus fatwa golongan penentang pembaharuan dikeluarkan bahawa tali leher tidak haram jika ada keperluan (lihat: Hamka, Teguran Suci dan Jujur Kepada Mufti Johor, 48-49).

Berlindung

Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah. Banyak amalan istana yang akan dipertikaikan oleh tokoh-tokoh pembaharuan. Penentang pembaharuan mengambil kesempatan ini. Mereka melupakan berbagai amalan khurafat di istana dan rakyat, kemunduran akal dan harta masyarakat Muslim, unsur-unsur feudalism yang menyanggahi jiwa merdeka Islam dan berbagai lagi. Bagi mereka semua itu kecil dibandingkan usaha menentang golongan pembaharuan yang mengajak umat berfikir dan terbuka minda. Bagi mereka itu akan mengancam kedudukan mereka dalam masyarakat yang mana mereka selama ini boleh berkata apa sahaja tanpa dicabar.

Sedangkan gerakan pembaharuan menentang taklid buta. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 65).

Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana. Cumanya, Inggeris sering memantau penentangan mereka terhadap penjajahan.

Hari Ini

Perjuangan para reformis sudah banyak berhasil walaupun mereka menjadi korban kezaliman kuasa. Banyak perubahan telah berlaku. Hari ini sudah tidak seteruk semalam. Pun begitu masih ada persamaannya. Pembaharuan umat atau tajdid (renewal) masih diperlukan. Kejumudan kembali atau masih mengongkong kita. Seruan agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta membebaskan diri dari taklid tanpa faham masih diperlukan.

Ya, penindasan terus berlaku. Cumanya, yang agak istimewa di era ini golongan pembaharuan mempunyai media alternatif dan internet untuk pandangan mereka disebarkan. Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini. Internet memboleh banyak hujah disampaikan dan idea disalurkan. Istana sepatutnya tidak berpihak dan mendengar dari semua aliran. Namun, dalam banyak keadaan, itu belum berlaku. Kepada Allah kembali segala urusan.

Semoga tajdid di era baru lebih kemas dan bertenaga!!

read more “Catitan cabaran silam gerakan pembaharuan”