Sunday 22 August 2010

(siri 2)Hukum-Hakam Berbuka Puasa Semasa Musafir


Soalan: Assalamualaikum Dr yang dihormati, saya terlibat dengan tugasan kerja yang boleh dikatakan kebanyakan hari saya ‘out station’ yang membabitkan perjalanan yang jauh. Kadang-kadang keluar negara. Oleh kerana saya musafir, saya solat jamak dan qasar. Saya baca al-Quran (terjemahan) menyatakan orang musafir pun boleh buka puasa. Saya rasa kadang-kadang amat letih dalam tugas, memang rasa nak buka puasa. Cuma ada orang beritahu saya bahawa orang yang kebanyakan hari musafir seperti pilot kapalterbang atau driver bas tidak boleh buka puasa. Ada pula kata tak boleh buka melainkan jika betul ‘dah teruk’. Lepas itu jika buka pun sekali makan sahaja, lepas itu tidak boleh makan lagi kerana menghormati bulan puasa. Betulkah Dr huraikan masalah ini?

Sham, Seremban.

Jawapan Dr MAZA: Wa’alaikumussalam wbt, saudara Shams. Islam adalah agama Allah yang memberikan kemudahan kepada penganutnya. Ia bukan syariat yang membebankan, bahkan ia satu syariat yang penuh rahmah untuk membolehkan penganutnya taatkan Allah dalam kadar yang mereka mampu. Solat jamak dan qasar, begitu juga iftar (berbuka puasa) semasa musafir adalah antara ‘rukhsah’ (kelonggaran) yang Allah berikan untuk hamba-hambaNya. Berhubung dengan hukum berbuka puasa semasa bermusafir maka saya jawab seperti berikut;

1. Keizinan iftar (berbuka puasa) apabila seseorang itu bermusafir adalah dari nas al-Quran dan al-Sunnah, bukan pendapat mana-mana pihak. Maka, tiada siapa yang boleh membatalkan keizinan yang tertinggi ini. Firman Allah (maksudnya):

“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini memberikan keizanan untuk mereka yang bermusafir berbuka puasa. Maka ia merangkumi setiap yang bermusafir, samada dia sering bermusafir, atau jarang bermusafir, tidak menjadi persoalan. Keizinan diberikan kepada sesiapa yang bergelar musafir. Ertinya, apabila dia boleh mengqasarkan solat kerana musafir, dia juga mendapat kelonggaran berbuka puasa pada bulan Ramadan.

2. Samada dia merasa beban dalam musafirnya ataupun tidak, dia tetap mendapat kelonggaran berbuka. Ini kerana ‘illah (paksi) hukum dalam hal ini adalah safar (permusafiran). Sekalipun mungkin di zaman kini bagi yang menaiki kapalterbang mewah tidak merasai apa-apa beban, namun dia tetap dikira sebagai seorang musafir, maka dia mendapat kelonggaran ini. Apa yang penting, dia wajib menggantikannya pada hari-hari lain.

3. Pada asalnya, kelonggaran bererti dia mempunyai pilihan. Jika dia mahu dia boleh mengambil kelonggaran tersebut dan digantikan puasa pada hari yang lain. Jika dia enggan dia boleh terus berpuasa. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya:

“Aku bermusafir bersama Rasulullah s.a.w dalam bulan Ramadan. Orang yang berpuasa tidak mempertikaikan yang berbuka, dan yang berbuka pula tidak mempertikaikan yang berpuasa” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, bagi seseorang yang bermusafir semasa Ramadan dia boleh membuat pilihan yang paling baik untuk dirinya. Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:

“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim)

4. Para ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:

“Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.

5. Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi s.a.w melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi s.a.w menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda s.a.w. Dalam riwayat al-Bukhari:

“Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!”.

Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa.

6. Jika Nabi s.a.w menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa boleh menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.

7. Dikiaskan dalam hal ini, mereka yang sakit yang mungkin akan menjadi mudarat jika terus berpuasa, maka mereka wajib berbuka. Jangan ada yang membahayakan diri dengan meninggalkan rawatan dan ubat semata-mata kerana ingin berpuasa pada bulan Ramadan. Allah yang mewajibkan puasa Ramadan itu, Allah itu juga telah mewajibkan berbuka bagi hamba-hambaNya yang dalam mudarat. Maka taatilah Allah dalam kedua arahan tersebut. Apa yang penting, wajib menggantinya apabila mampu, atau membayar fidyah bagi yang terus tidak berkemampuan.

8. Para ulama seterusnya berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan suatu puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian. Kata Abdullah bin Masud r.a:

“Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat al-Baihaqi).

Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan.

9. Namun, hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.

10. Maka, seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.

No comments: