Sunday, 1 May 2011

Tips Mengundi Dalam Pilihanraya

Tips Mengundi Dalam Pilihanraya

TIPS MENGUNDI DALAM PILIHANRAYA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Ramai yang bertanya tentang siapakah yang patut mereka undi dalam piliharaya akan datang, atau yang sedang berlangsung di Sarawak sekarang. Soalan-soalan ini muncul kerana kebanyakan generasi muda hari ini belum membuat keputusan parti pilihan.

Ia patut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, kerana rakyat sudah mula bebas dari cengkaman fanatik atau sokong secara membuta tuli. Jika sikap ini dipimpin ia akan melahirkan rakyat yang tidak boleh diperbodohkan dan sentiasa sedia untuk membuat perubahan berdasarkan potensi yang dipamir oleh setiap parti yang bertanding.

Dalam salah satu artikel yang lepas, saya telah menjelaskan bahawa undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan. Jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala. Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi dia terus mengundi juga, maka dia mendapat dosa.

Allah SWT telah memerintahkan kita memberikan amanah kepada yang layak. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Bagaimanapun di sini saya ingin menyebut beberapa langkah atau panduan penting bagi seseorang pengundi muslim juga mungkin boleh dimanfaatkan oleh non-muslim dalam konteks negara kita ini;

1. Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon berkenaan.

Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar bertindak atas ilmu, bukan kejahilan. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).

Maka, setiap individu yang hendak pergi mengundi wajib mempunyai maklumat tentang calon yang hendak dipilih. Jika pengundi itu sudah tua atau tidak mampu mencari maklumat sendiri, dia hendaklah bertanya kepada pihak yang dia yakini dapat memberikan maklumat yang benar.

2. Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih dari seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka.

Dalam negara kita, kadang-kala ruang mendengar dari kesemua pihak secara adil sukar diperolehi, terutama bagi kawasan pendalaman. Namun, jika kita berusaha, kita mungkin boleh mendapat maklumat dari kesemua pihak tentang apa yang hendak dan mampu calon berkenaan lakukan.

Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab. Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya)

“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.

3. Seseorang muslim hendaklah memilih calon yang paling layak di sudut al-quwwah (kemampuan) dan al-amanah (amanah/ketelusan). Jika seseorang calon memiliki kemampuan diri sebagai pemimpin dan nilai amanah yang menjadikan dia akan bersikap telus dengan jawatan yang dipilih, maka calon itu layak dipilih. Jika yang bersaing dengannya itu tiada nilai kemampuan dan amanah, wajib untuk undi diberikan kepada calon yang mempunyai ciri-ciri yang layak.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).

4. Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya, kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman, latar pendidikan, dan sebagainya. Inilah sikap Ulul Albab yang diajar oleh al-Quran, sentiasa memilih yang terbaik.

Maka, setelah mengenali calon, mengenali hasrat sesebuah itu juga penting. Ini kerana, seseorang calon biasanya terikat dengan halatuju partinya.

5. Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang paling ringan”.

Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk, maka kita memilih apa yang mudarat atau bahayanya itu paling minima. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah: 217).

Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat meminimakan bahaya.

6. Menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang tersurat dan tersirat di sebalik parti yang disertai oleh seseorang calon juga adalah penting. Ini kerana, biasanya –walaupun tidak semua- penyertaan individu ke dalam sesebuah pertubuhan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan nilai diri individu tersebut.

Justeru, jika kita gagal mengetahui tentang latar calon, kita boleh menilai parti yang disertainya. Jika rekod parti itu buruk, maka kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w:

“Orang mukmin tidak akan disengat dari satu lubang sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Jika semua calon gagal diketahui latarbelakang mereka, dan tiada pula rekod yang buruk bagi parti mereka, hendaklah dibuat diteliti matlamat dan manifesto yang ditawarkan. Hendaklah dibandingkan mana yang lebih telus dan bermanfaat untuk rakyat dan negara. Inilah konsep Ulul Albab.

8. Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Ini kerana Allah dan rasulNya memerintahkan kita memberikan amanah kepada sesiapa yang layak sehingga Nabi s.a.w sendiri memberikan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah. KECUALI jika kita dapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada pada peribadi calon, maka ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak diundi kerana dilihat tidak berkemampuan. Ini balik kepada ciri-ciri al-Quwwah dan al-Amanah yang disebutkan sebelum ini.

read more “Tips Mengundi Dalam Pilihanraya”

Friday, 29 April 2011

Kuasa Politik dan Kuasa Agama

Kuasa Politik dan Kuasa Agama

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau ‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ’senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teks al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w:

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w:

“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya…

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…

read more “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”

Sunday, 24 April 2011

Video Lucah Dan Dosa Politik

Video Lucah Dan Dosa Politik

VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w

“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).

video.jpg

- Gambar Hiasan

Aib Peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.

Firman Allah(maksudnya):

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Bukan Bukti Asas

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.

Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Berbeza Dengan Kes Kezaliman

Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.

Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah: (maksudnya)

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Tidak Perlu Suruhanjaya

Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).

Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…

Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Ingatan

Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).

Bangkit Generasi Baru!

Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

read more “Video Lucah Dan Dosa Politik”

Wednesday, 2 March 2011

Hidupkan Istilah ‘Wang Pembayar Cukai’ Dalam Media


HIDUPKAN ISTILAH ‘WANG PEMBAYAR CUKAI’ DALAM MEDIA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar. Seringkali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut ‘kerajaan bermurah hati membantu’.

Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka. Maka di sini disebutkan beberapa perkara;

i. Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung. Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai. Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

money1.jpg

ii. Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau PR atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar. Istilah ‘wang pembayar cukai’ atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat.

Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”. Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

iii. Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat. Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seolah-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari ‘harta persendirian’ tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik. Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau isytiharkan dalam kempen politik mereka.

iv. Sesebuah kerajaan BUKAN dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat. Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

v. Istilah ‘taxpayers money’, atau ‘taxpayers fund’ atau ‘taxpayers dollar’ sering digunakan dalam media negara maju apabila memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan. Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.

read more “Hidupkan Istilah ‘Wang Pembayar Cukai’ Dalam Media”

Saturday, 19 February 2011

Yayasan POK dan Kassim Berkhidmat Untuk Rakyat

YPK sedia taja tiket 50 pelajar balik ke Mesir teruskan pengajian


Shahidan Kassim menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Perlis yang menuntut di Mesir pada Majlis Kesyukuran di Kuala Perlis, semalam.


KANGAR 17 Feb. - Yayasan Pok dan Kassim (YPK) bersedia menaja tiket penerbangan ke Mesir untuk 50 pelajar dari negeri ini kembali ke negara itu bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kos berke-naan yang dijangka menjangkau RM100,000 akan memberi keutamaan kepada pelajar kursus perubatan yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kos yang ditanggung YPK hanyalah satu pertiga daripada sejumlah 159 pelajar Perlis yang menuntut di Mesir tetapi terpaksa kembali ke Malaysia akibat pergolakan politik di negara berkenaan.

Sehubungan itu, Shahidan meminta kerjasama kerajaan negeri dan Baitulmal negeri bersama-sama menaja tiket penerbangan balik ke Mesir bagi pelajar-pelajar lain.

"Kita masih belum tahu harga sebenar penerbangan balik ke Mesir untuk seorang pelajar kerana kosnya berubah-ubah.

"Saya difahamkan dengan keadaan yang masih belum stabil di negara itu, harga tiket boleh melambung sehingga RM2,000 bagi setiap orang," katanya.

Beliau ditemui selepas Jamuan Makan Malam Meraikan Pelajar-Pelajar Mesir oleh YPK yang dihadiri kira-kira 150 pelajar berkenaan di sini malam tadi.

Sementara itu, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis Mesir (KPPM), Syed Aisam Syed Idris berkata, harga bagi tiket penerbangan sehala ke negara berkenaan sebelum ini ialah RM1,400 namun dengan penggantungan operasi Egypt Air, harga tiket boleh menjangkau antara RM1,600 sehingga RM2,000.

Beliau berkata, pada masa ini pelajar Perlis yang mengambil kursus perubatan di Mesir dan kembali ke negara ini berjumlah kira-kira 50 orang.

Syed Aisam turut berterima kasih kepada YPK dan kerajaan Malaysia bertungkus lumus membantu pelajar Malaysia di Mesir semasa Operasi (Ops) Piramid.

"Kami amat berterima kasih dengan keprihatinan mereka yang bersengkang mata tanpa rehat membantu kami sehingga selamat kembali ke negara ini dan juga kepada YPK yang sudi menaja penerbangan balik sebahagian daripada kami untuk kembali ke Mesir," ujarnya.

Namun Syed Aisam menambah, semua pelajar masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kedudukan mereka untuk kembali ke negara berkenaan.

read more “Yayasan POK dan Kassim Berkhidmat Untuk Rakyat”

Monday, 31 January 2011

Manfaatkan Tahun Baru Cina

Mingguan Malaysian 30 Januari 2011

Tahun Baru Cina menjelang tiba. Malah, bahangnya begitu dirasai apabila limau mandarin diagih-agihkan ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang sehinggalah hari pengundian pada hari ini.

Ramai yang bertanya bolehkah umat Islam bersama-sama orang Cina menyambut Tahun Baru Cina. Saya ingin menegaskan di sini, boleh. Tidak timbul masalah selagi kita pandai menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.

Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah digalakkan jika mahu menyambutnya demi dakwah, terutama saudara Muslim Cina yang telah memeluk Islam.

Hari raya orang Cina adalah Tahun Baru Cina. Berbeza dengan Islam, tahun baru Islam dikenali sebagai tahun baru hijrah atau Maal Hijrah, tidak akan kaitan dengan hari raya. Manakala hari raya dalam Islam adalah hari raya puasa dan hari raya kurban. Dari segi signifikannya, sambutan hari raya lebih membawa banyak erti, kerana nasnya jelas, berbanding sambutan tahun baru.

Bagi orang Cina, tahun baru membawa signifikan yang cukup bermakna. Jika mahu melihat orang Cina berhenti bekerja atau cuti rehat, tahun baru akan menyaksikan segala. Selebihnya masa setahun digunakan untuk bekerja. Kerja keras tanpa kenal erti penat. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh umat Islam, jika mahu dipandang hebat. Malangnya, ada yang hanya bekerja sehari, mahu hidup sebulan atau setahun, dengan menggunakan jalan pintas seperti mengambil rasuah.

Sebagai Cina Muslim, saya tidak ketinggalan, saban tahun ‘menyambut’ tahun baru bersama-sama ahli keluarga seperti ibu tercinta dan sanak saudara. Matlamatnya tidak lain, dakwah. Sambutan ini penting untuk menunjukkan bahawa apabila memeluk Islam, kita tidak menjadi ekstrim atau meninggalkan cara hidup lama yang tidak bertentangan dengan Islam.

Walaupun menjelang sambutan Tahun Baru Cina, ada upacara sembahyang. Itu hanya sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang, tidak ada kaitan dengan agama. Sebagai Cina Muslim, kami tidak campur tangan dalam upacara tersebut.

Dakwah

Pada saya, daripada menyambut tahun baru Masehi, lebih baik kita menyambut Tahun Baru Cina. Kerana impak dakwahnya lebih besar dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia. Lagipun cara sambutannya tidaklah seghairah menyambut tahun masehi yang penuh dengan hiburan.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Boleh menyambutnya jika tahu menjaga adab sopan. Apa yang menyedihkan, setiap tahun menjelang masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan sehingga tidak menampakkan nilai keilmuan dan ketimuran.

Justeru, jika ada pilihan antara dua perayaan ini, saya lebih prefer untuk ‘menyambut’ tahun baru Cina kerana signifikan dakwahnya lebih besar serta menyumbang kepada matlamat gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Sebenarnya cara orang Islam dan orang Cina mengira atau menghitung hari atau tahun baru pendekatan yang hampir sama, walaupun cara sambutan berbeza. Kalendar Islam dan kalendar Cina disebut sebagai kalendar kamari (bulan) atau kalendar lunar, yakni berasaskan kepada peredaran bulan.

Perayaan Tahun Baru Cina lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).

Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada tahun baru Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru.

Terdapat berbagai versi cerita bagaimana binatang ini dipilih. Antaranya, lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Gautama Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja berkumpul.

Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.

Ada yang percaya mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Tahun ini pula jatuh pada tahun arnab.

Tidak perlulah saya huraikan sama ada tahun arnab membawa tuah atau tidak, kerana tidak semua mempercayainya, apatah kita sebagai umat Islam. Takdir, ajal maut, susah senang adalah di bawah qada dan qadar Allah. Kita hanya berusaha, Tuhan sahajalah yang menentukannya. Tetapi yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha orang yang ingin merubah hidup, tidak kira pada tahun apa sekalipun.

Namun, jika ada orang Cina percaya kepada untung nasib tahun binatang yang silih berganti itu maka hormatilah kepercayaan hidup mereka.

Makan besar

Pada orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, permulaan tahun baru disambut pada waktu menjelang maghrib (kalendar kamari) dengan makan besar atau reunion dinner sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.

Makan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.

Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar.

Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Budaya ini juga turut diikuti orang Melayu ketika menyambut hari raya dengan warna ang pau yang berbeza (hijau).

Budaya

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun, hari kesembilan (juga tahun baru bagi orang hokkien) dan kelima belas atau ‘Chap Goh Mei’ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Islam tidak melarang menyambut perayaan budaya ini. Begitu juga memakan yee sang menggunakan sepit, dan makanan yang lain, selagi mana ia halal. Inilah universaliti Islam. Meniru atau mengikut budaya atau cara hidup orang lain tidak salah. Kerana kejadian berbangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT. Selagi mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam, selagi itu kita boleh raikan. Termasuk menggantung lampu tanglung.

Jangan pulak jika ada saudara kita Cina Muslim yang menggantung lampu tanglung, kita tuduh mereka tidak Islamik kerana saya belum pernah melihat orang Arab berhari raya menggantung lampu pelita, lampu ketupat dan bulan bintang. Ini adalah hanya budaya bangsa Melayu. Budaya setiap bangsa saling berbeza.

Bangsa Arab ada identiti lampunya tersendiri dan cara menghiasi rumah. Sama juga dengan seni reka bentuk masjid yang berkubah dan tidak berkubah. Kita tidak boleh kata seni reka bentuk Pagoda tidak Islamik. Kerana senibina kubah yang ada rata-rata pada masjid hari ini bukan senibina Arab atau Islam tetapi seni bina Moorish-Indian. Justeru, di manakah senibina Islam? Jawapannya, universaliti Islam menerima segala bentuk budaya dan seni reka selagi tidak bercanggah dengan asas Islam. Dengan sebab itu, Islam tidak ada lambang khusus yang menentukan kita Islamik atau tidak. Yang penting iman dan takwa. Lambang tidak penting seperti orang Yahudi.

Berbangsa-bangsa

Pendek kata, berbangsa-bangsa adalah ciptaan Allah SWT. Allah yang menjadi Melayu, Cina, India, bumi putera Sabah Sarawak dan semua bangsa di dunia ini. Mereka ada cara hidup dan budaya sendiri. Tidak salah mengamalkan jika tidak keterlaluan atau bercanggah dengan Islam.

Cuma satu sahaja saya ingatkan supaya umat Islam tidak terlibat dalam hiburan melalaikan, walaupun tidak salah kita meraikan bersama atas semangat 1Malaysia. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 51 yang bermaksud “Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.

Ingatan Allah SWT ini amat jelas supaya kita tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka” (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Justeru, pada saya menyambut tahun baru Cina tidak salah, kerana ia adalah perayaan 1Malaysia. Tetapi pandai-pandailah menjaga batas-batasnya. Sama juga menyambut Hari raya puasa dan hari raya korban adalah ibadah. Tetapi jika cara kita sambut sehingga terkeluar dari norma-norma Islam, maka ibadah akan bertukar kepada padah. Pahala bertukar kepada dosa. Pendek kata, bukan soal perayaan itu yang menjadi masalah tetapi cara kita menyambut perayaan tersebut. Jika kita isi dengan hiburan yang melalaikan sudah tentu sambutan yang awalnya bersifat ibadah, tidak mendatangkan pahala lagi melainkan dosa dan musibah.

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Kepada seluruh masyarakat Cina saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Cina, Gong Xi Fa Cai, maaf dipohon jika penulisan saya selama ini ada mengguris hati kalian.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Manfaatkan Tahun Baru Cina”

Saturday, 29 January 2011

Bertanyalah Sebelum Anda Ditanya

Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam pertemuan kita bulan ini, saya ingin memulakannya dengan berkongsi tiga ayat al-Qur’an dari surah al-Baqarah. Ia seperti berikut:
M
Ayat Pertama:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-Baqarah 2:30]

Ayat Kedua:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya).”
M
Allah berfirman: “(Jika demikian) ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Baqarah 2:260]
Ayat Ketiga:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” [al-Baqarah 2:186]

Ayat pertama berkenaan awal penciptaan manusia, ayat kedua berkenaan Nabi Ibrahim, ayat ketiga berkenaan umat Muhammad. Di antara ketiga-tiga ayat di atas, dapatkah para pembaca sekalian menangkap satu kesamaan?

Kesamaannya ialah, ia berbentuk pertanyaan atau soalan. Dalam ayat pertama para malaikat bertanya: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu……” Dalam ayat kedua Nabi Ibrahim bertanya: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Dalam ayat ketiga para sahabat Rasulullah bertanya: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku……

Di antara ketiga-tiga pertanyaan ini, dapatkah para pembaca sekalian menangkap satu kesamaan? Kesamaannya ialah mereka bertanya bukan kepada sebarangan orang, tetapi bertanya kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Pengajaran penting yang ingin saya sampaikan dari ketiga-tiga ayat di atas ialah berani untuk bertanya. Dalam ketiga-tiga ayat di atas, pertanyaan ditujukan kepada Allah, Tuhan yang Agung lagi Berkuasa. Sengaja Allah merakam pertanyaan-pertanyaan ini dalam al-Qur’an bagi menunjukkan keberanian para malaikat, Nabi dan para sahabat Rasulullah bertanya. Bertanya bukan untuk meremehkan, bertanya bukan untuk berdebat, akan tetapi bertanya untuk mengetahui dan memahami.

Berani Bertanya.

Ini menjadi topik saya pada bulan ini kerana pada pengamatan saya, sebahagian umat Islam takut atau segan-segan untuk bertanya. Mereka bukan takut kepada Allah, bukan takut kepada malaikat, para Rasul atau Nabi tetapi takut kepada manusia-manusia biasa yang memegang sehelai dua kelulusan kertas yang memberikan gelaran ustaz dan ustazah di sisi nama mereka. Ketakutan ini menyebabkan mereka mengangguk kepala kepada apa sahaja yang disampaikan oleh para agamawan tanpa berani untuk bertanya.

Bertanya yang saya maksudkan bukanlah untuk menunjukkan kehebatan diri atau meremeh dan berdebat dengan para agamawan. Ini dilarang oleh Rasulullah: “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.” [Shahih Ibn Hibban, no: 77].

Namun yang saya maksudkan ialah bertanya untuk mengetahui dalil dan hujah, agar apa yang dianggukkan itu benar-benar memiliki dasar dalam agama. Juga bertanya tentang sumber seperti nama tokoh dan kitab rujukan agar dapat disemak kembali demi memperoleh keyakinan yang lebih jitu. Tidak ketinggalan, bertanya untuk memahami atau membetulkan apa-apa salah faham. Ini adalah pertanyaan-pertanyaan yang terpuji yang patut dijadikan kebiasaan dan keberanian oleh semua umat Islam.

Berani untuk bertanya amatlah penting kerana pada masa kini terdapat segelintir agamawan yang menyampaikan hukum, ajaran dan petua agama tanpa berdasarkan dalil yang sahih. Atau mereka dengan mudah mengatakan “Ini adalah pendapat dalam Mazhab asy-Syafi’e” tanpa pendapat itu benar-benar berasal dari mana-mana tokoh asy-Syafi’eyyah. Bahkan ada yang menjadikan dalil akal di atas dalil wahyu, sunnah masyarakat di atas sunnah Rasulullah.

Para pembaca sekalian hendaklah berani bertanya sebelum anda sendiri kelak ditanya oleh Allah sebagaimana firman-Nya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [al-Isra’ 17:36]
read more “Bertanyalah Sebelum Anda Ditanya”

Selesaikan masalah menerusi dialog

Mingguan Malaysia 23 Januari 2011

Nampaknya hari demi hari isu-isu agama sentiasa menghantui masyarakat kita, seolah-olah tidak pernah habis. Belumpun reda isu azan dan novel interlok, kini timbul isu pelatih PLKN beragama sikh dipotong rambutnya oleh pelatih-pelatih lain sekhemah dengannya. Sama ada benar atau tidak, atau sengaja dibuat-buat, kita tunggu hasil siasatan. Saya yakin selepas ini akan timbul lagi, lagi dan lagi. Punca dan tujuan dibangkitkan Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kita tidak boleh duduk diam.

Apakah kita akan terus dilingkungi dengan masalah-masalah sebegini? Tidakkah lebih baik masa yang ada digunakan untuk memikirkan bagaimana menjayakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan? Di manakah titik toleransi untuk kita bekerjasama?

Pada saya, sudah sampai masanya dialog antara agama dan peradaban mengambil tempat seperti yang dipelopori Islam sejak zaman berzaman. Dialog bukan bertujuan untuk mencari siapa yang salah atau siapa yang betul. Tetapi pendekatan lebih kepada untuk mencari kebenaran. Dialog tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan kita sahajalah yang terbaik, sedangkan orang lain tidak. Jika itulah kesudahannya, dialog tidak akan mencapai persetujuan. Yang wujud adalah pertegangan leher antara kedua belah pihak. Gagasan 1Malaysia perlu menjadikan dialog sebagai agenda utama.

Sebagai agama yang bersifat universal, kepentingan dan keperluan dialog amat jelas dan tuntas dalam Islam. Menurut Ramli Awang (2008), Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia. Umat Islam diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain.

Dalam sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Bekas Presiden Iran, Mohammed Khatami, telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menamakan tahun 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban.

Menurut Diez-Hochleitner (2009) pemimpin-pemimpin negara (dunia) jangan sesekali berhenti untuk melibatkan diri dalam dialog, dan bekerjasama atas nama kewujudan bersama secara harmoni. Barat seharusnya berhadapan dengan Timur secara bersemuka atas dasar sama rata.

Walaupun kita mempunyai asal usul budaya dan kepercayaan yang berbeza, kita telah menunjukkan di dalam dialog, bahawa betapa luasnya titik persamaan kesefahaman kita dalam usaha untuk memberi khidmat kepada manusia dan juga alam semula jadi. Daripada terlibat dalam pertembungan peradaban, lebih bermakna lagi jika kita memberi tumpuan kepada berdialog dan bekerjasama, terutama pada ketika seluruh dunia sedang mengalami ketidakpastian dan kebimbangan yang semakin menjadi-jadi akibat dominasi kuasa-kuasa besar.

Islam telah mempelopori dialog sejak dahulu lagi. Dialog pertama antara Muslim dan Kristian telah berlaku semasa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah. Disebabkan umat Islam ditindas dan ditekan oleh kaum Musyrikin Mekah. Menurut Menurut Martin Lings atau nama Islamnya, Abu Bakr Siraj Ad-Din, rombongan tersebut disertai oleh 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya lebih 1400 tahun dahulu (Ramli Awang, 2008). Justeru, tidak timbul soal Islam tidak bersifat terbuka dan mengambil pendekatan esktrim seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ramai percaya dalam syarat-syarat berdialog, kedua pihak mesti bersetuju mempunyai kesefahaman dengan kepercayaan orang lain, menghormati perbezaan fikiran dan keyakinan, berilmu, menjaga adab dialog, bebas memilih, dan tidak menggunakan pendekatan teologi. Pun begitu, jika pendekatan teologi mahu digunakan haruslah jangan sampai menghina agama lain.

Namun demikian, dalam keadaan-keadaan tertentu, kadangkala dialog tidak mampu mengambil tempat, terutama apabila adanya tangan-tangan zalim yang dengan tidak semena-mena menyerang dan merompak kekayaan sesebuah negara.

Dalam situasi sebegini, Islam menyarankan pembelaan diri dan meminta kepada pihak yang dizalimi agar bangkit untuk melawan semampunya untuk merebut kembali hak mereka yang dirampas. Misalnya, keadaan yang berlaku di Palestin. Dialog antara peradaban tidak dapat mengambil tempat kerana hak umat Islam telah dirampas oleh Yahudi Zionis. Lebih dahsyat lagi, umat Islam telah dibunuh saban hari. Tidak ada gunanya dialog, melainkan dengan berjihad. Malangnya, umat Islam hanya melihat apa yang berlaku di sana.

Maka tidak hairanlah jika dialog tidak dapat mengambil tempat kerana ada pihak yang mengambil pendekatan berat sebelah. Dalam hal ini, adalah tidak mustahil jika pandangan Samuel Huntington (1997) dan Francis Fukuyama (1992) ditolak kerana kecenderungannya lebih kepada dendam dan bersifat monopoli. Pendirian kedua-dua cendekiawan Amerika Syarikat ini mendapat protes meluas dari banyak pemikir dan cendekiawan dunia, termasuk orang Barat sendiri. Akhirnya, Huntington dan Fukuyama terpaksa membetulkan pandangannya dan mengakui akan kemungkinan kebangkitan peradaban Islam.

Justeru, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, kita perlu mengambil langkah ke hadapan. Dialog perlu dijadikan budaya masyarakat, bukan mengambil pendekatan hentam keromo.

Dialog ini penting kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah. Lantaran itu, dialog antara agama perlu dijadikan medan untuk bertukar-tukar pandangan tentang masalah dan kehidupan kemanusiaan yang berlandaskan agama masing-masing. Realitinya, agak sukar untuk dialog berjalan dengan baik selagi masing-masing penganut masih diselaputi bibit-bibit prasangka dan kecurigaan.

Untuk mengurangkan sifat negatif ini, dialog harus memiliki tujuan yang positif bagi mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Jika perkara ini dapat difahami, saya yakin matlamat gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti. Kita tidak mahu perkara yang telah selesai dipertikaikan. Permohonan maaf isu azan yang menimbul keributan baru-baru ini bukan bermakna, perkara ini tidak akan berbangkit lagi. Masih banyak lagi yang terpendam sebenarnya. Puncanya jelas, kita kurang memahami sensitiviti hidup umat Islam dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Di pihak Islam pula, jika isu azan jika tidak ditangani dengan betul akan merugikan dakwah Islam. Sudahlah bilangan yang memeluk Islam kalangan bukan Islam kurang daripada satu peratus, mewakili setiap bangsa di negara kita, jika dipolitikkan lagi, sudah tentu minat untuk mendekati Islam semakin menurun.

Saya tidak pasti sama ada orang bukan Islam masih tidak dapat membezakan antara azan, tarhim, bacaan Quran dan zikir, yang selalu berkumandang pada pembesar suara masjid dan surau. Begitu juga dengan ceramah yang menggunakan pembesar suara.

Namun, jika azan itu tidak dapat dibezakan, alangkah malangnya setelah lebih 54 tahun merdeka perkara ini masih tidak difahami sedangkan ia dialunkan saban hari. Maka, sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menerangkan kepada orang bukan Islam hakikat yang sebenar.

Kadangkala saya tidak menyalahkan bukan Islam, kerana kita yang mengelirukan ajaran Islam yang sebenar. Saya masih lagi mencari jawapan kenapa tarhim, zikir, bacaan Quran dan wirid selalu diperdengarkan dengan kuat pada awal-awal pagi sebelum masuk azan solat subuh? Wajarkah amalan peribadi ini tersebut menggunakan pembesar suara?

Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita adab menghormati jiran. Sehinggakan jika bacaan Quran yang kuat boleh mengganggu jiran, maka kita disuruh perlahankan suara. Inilah pula menggunakan pembesar suara dihening pagi yang amat kerap dilakukan di surau-surau dan masjid-masjid.

Sepanjang bacaan saya, tidak ada nas yang membenarkan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang lain. Islam adalah agama yang sentiasa menghormati orang lain dan hak mereka. Walaupun bacaan Quran, wirid dan zikir amat baik, tetapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya. Apatah lagi semuanya dikategorikan sebagai amalan individu.

Nabi SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain.

Bayangkan ketika kita membaca Quran dengan kuat, masih ada kalangan jamaah yang masih bersolat, sudah tentu bacaan kita mengganggu kekhusukan mereka yang bersolat. Saya tidak mengambil peduli jika semua penduduk sekitarnya beragama Islam. Namun, jika di kawasan tersebut dihuni oleh mereka yang berbilang kaum, maka tindakan ini perlu difikirkan semula. Dalam kariah saya, terdapat surau dan masjid, empat puluh minit sebelum masuk waktu subuh, akan dikumandangkan tarhim, bacaan Quran, zikir dan wirid dengan kuat. Tindakan ini adalah tidak wajar dan harus difikirkan semula?

Satu pesanan saya hargailah toleransi yang ada seperti pesan Perdana Menteri dan Timbalannya. Pada masa sama, belajarlah memahami sejarah dan perlembagaan. Bukan apa, kadangkala kita mempertikaikan sesuatu yang terlah termaktub dalam perlembagaan yang sudah tidak perlu didialogkan. Misalnya, bacaan doa dalam majlis rasmi. Islam selaku agama rasmi dan agama persekutuan, perlu mendapat tempat dalam majlis-majlis rasmi. Dengan sebab itu, kita lihat ada bacaan doa. Takkan bacaan doa itupun mahu dipertikaikan.

Akhirnya, dialog boleh mengambil tempat mengenai boleh atau tidak, umat Islam bekerja di premis yang menjual arak. Apakah tindakan itu dikira bersubahat? Sama juga umat Islam yang bekerja di bank konvensional. Jika semuanya bersubahat, apakah bidang kerja yang sesuai untuk umat Islam? Apakah mungkin nanti akan wujud pasaraya Islam dan pasaraya bukan Islam?

Saya amat bimbang jika kita tidak dialogkan masalah ini dan terus menjatuhkan hukum, apakah altenatif yang dapat disediakan kepada umat Islam yang ingin mendapatkan rezeki yang halal? Bagaimana pula dengan paramugari yang bekerja di atas kapal terbang yang dihidangkan dengan arak? Halal atau haram? Ini belum termasuk soal pakaian mereka yang kurang bersopan yang direkabentuk sedemikian rupa seperti Air Asia dan Firefly.

Paramugari tidak salah kerana mereka terpaksa mencari rezeki di bawah majikan yang ramai Islam, tetapi tidak ada roh Islam dalam jiwanya. Sedangkan paramugari Singapore Airlines dan Thai Airways masih kekal dengan pakaian tradisi yang begitu bersopan walaupun mereka tidak Islam tetapi nampak lebih Islamik. Apakah perkara ini juga perlu didialogkan? Sama-sama kita mencari kebenaran!

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Selesaikan masalah menerusi dialog”