Mingguan Malaysia 7 Nov 2010
Desakan ahli Parlimen Bukit Mertajam, mahukan guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Cina (SJKC) mesti menguasai bahasa Cina bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran jelas menunjukkan siapa mereka sebenarnya. Lebih ekstrim lalu, beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya guru bahasa Cina mengajar mandarin di sekolah kebangsaan jika tidak memahami bahasa Melayu. Dua isu yang jauh berbeza.
Pertanyaan saya, di manakah negara manakah kita berada sebenarnya? Anak-anak bukan Melayu sepatutnya sejak kecil sudah menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Kenapa perlu perkenalkan guru bahasa Melayu sedemikian rupa di sekolah vernakular? Bahasa Melayu di peringkat sekolah adalah untuk tujuan pemantapan, bukannya untuk belajar mengeja dan belajar bertutur. Tidakkah kita sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nombor satu negara yang mesti dikuasai dan dituturkan sejak anak-anak ini masih rebung?
Selaku ahli parlimen yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau memberikan input untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, bukan sekolah perkauman. Pemantapan masa depan amat penting generasi akan datang. Sekolah perkauman tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan yang sedia ada, jika tidak diperbaiki dan di atasi kelemahan yang sedia ada. Saya teramat sedih melibat kerajaan masih lagi berpolitik dalam isu ini.
Apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memperkasakan anak bangsa dan rakyat negara ini semuanya ditentang. Semuanya tidak betul. Bayangkan jika mereka memerintah, sudah tentu guru-guru bahasa Melayu, yang kebanyakannya guru Melayu, akan dipaksa untuk memperkasakan sekolah vernakular. Maklum sahajalah guru bukan Melayu tidak mahu mengambil option bahasa Melayu sebab tidak ada nilai komersial. Apakah mungkin sekolah kebangsaan juga akan ‘divernakularkan’?
Persoalannya, susah sangatkah belajar bahasa Melayu? Cuba kita buat perbandingan bagaimana mereka yang datang ke negara kita untuk mencari rezeki seperti pekerja Bangladesh, India dan sebagainya, bagaimanakah mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa begitu cepat tidak sampai setahun. Hari ini kita bukan bercakap jangka masa setahun, tetapi sudah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kalau ada yang boleh, cara percakapannya amat meloyakan.
Begitu juga jika kita pergi belajar di negara seperti German, Perancis, Rusia dan negara luar yang lain, kenapa dalam masa setahun kita dapat menguasai bahasa tersebut tanpapun bahasa tersebut diterjemahkan dalam bahasa lain untuk difahami mereka yang mendatang? Logiknya amat mudah, tidak perlu dibahaskan di parlimen, kerana kita ada kepentingan. Kita paksakan diri untuk belajar. Berbeza dengan di sini, kita tidak ada kepentingan, bahasa tidak ada nilai komersial, boleh berbahasa Melayu atau tidak, tidak meninggalkan sebarang kesan atau menjamin apa-apa. Jadi kita mengambil jalan mudah, tidak perlu belajar. Bahasa Melayu tidak ada kaitan dengan semangat patriotism, apatah lagi untuk dikomersialkan.
Mungkin cadangan saya ini nampak ultra kiasu, satu istilah yang saya tidak mahu lagi gunakan untuk golongan ini, tetapi sudah sampainya penguasaan bahasa kebangsaan dikuatkuasakan melalui undang-undang secara paksaan, seperti mana di negara-negara jiran kita amalkan. Jika telah diberi peluang, tidak ada perubahan juga, faham-faham sahajalah apa yang perlu dilakukan.
Parti ini selalu mencanangkan bahawa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, begitu juga dengan keahliannya. Siapa yang rasis sebenarnya? Semangat patriotism kita berada pada tahap yang begitu rendah. Malang sekali ada juga orang Melayu yang menyertai parti. Lebih malang, mereka langsung tidak bersuara, apabila jatidirinya dirobek-robek. Di manakah maruah kita sebenarnya? Saya menyeru kepada orang Melayu keluarlah daripada parti rasis ini. Ia tidak mendatang kebaikan untuk masa depan, apatah untuk Islam dan bahasa kebangsaan. Bayangkan apabila mereka memerintah nanti, apa akan terjadi kepada guru-guru bahasa Melayu yang akan dipaksa untuk mempelajari bahasa yang bukan optionnya. Saya tidak nafikan menguasai bahasa asing adalah satu kredit, tetapi janganlah terlampau ekstrim, sehingga bahasa negara diketepikan. Orang Melayu yang tidak sedar diri tidak juga kurang bilangannya.
Parti ini terlalu marah kepada mereka yang berkata I am Malay first, sebab pada mereka, sepatutnya I am Malaysian first. Malangnya, tindak tanduk mereka langsung tidak mencerminkan I am Malaysian first. Kita seolah-olah menjunjung langit lain. Jika kita benar-benar Malaysian, mari kita bersama-sama memperkasakan masa depan negara ini, terutama dalam isu bahasa, dan sejarah sistem pendidikan kebangsaan. Kepentingan negara mesti diutamakan, apatah lagi ia yang telah menyinari perlembagaan.
Kenapa kita tidak mahu mengakui kelemahan sekolah vernakular dan sistem yang sedia ada. Kita tidak serius dan langsung tidak mahu bertolak ansur. Sebarang idea kerajaan untuk campurtangan dan memartabatkan bahasa Melayu di sekolah vernakular di anggap sebagai menggugat bahasa ibunda. Misalnya, isu tambahan masa bahasa Melayu, penyeragaman silibus bahasa Melayu dan sebagainya. Saya yakin suara ini bukan suara satu parti ini sahaja. Inilah politik senyap atau bersatu dalam senyap yang tidak ada dalam parti politik orang Melayu yang mendakwa mereka semuanya memperjuangkan Islam.
Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di bumi sendiri adalah teramat pahit. Apatah lagi sejarah bumi bertuah ini tidak difahami dan mahu diputarbelitkan. Langkah kerajaan untuk memperkasakan dan mewajibkan mata pelajaran adalah amat tepat dan perlu disegerakan tanpa bertangguh lagi. Apatah lagi melayan kerenah-kerenah golongan yang tidak sedar diuntung ini. Mereka tidak mahu sejarah negara ini diceritakan dalam konteks sebenarnya. Pada mereka, sejarah harus menekankan kerjasama dan sumbangan semua, terutama sumbangan ekonomi.
Umum mengetahui bahawa kerjasama erat antara kaum hanya dapat dijalin ketika menjelang kemerdekaan negara. Sebelum itu, kehidupan kita terpisah-pisah berasaskan bangsa, daerah dan kegiatan ekonomi masing-masing. Kesannya masih dirasai hingga ke hari ini. Nama-nama seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin dan Sambanthan, hanya kedengaran dan popular ketika tahun-tahun 1950an. Bermakna, sejarah sumbangan kaum ini adalah sebahagian kecil daripada sejarah Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, dalam sejarah yang begitu panjang.
Memang tidak dapat dinafikan sumbangan bukan Melayu kepada perkembangan ekonomi negara sebelum merdeka. Tanpa mereka, bandar-bandar utama negara kita hari ini mungkin masih belum membangun sepenuhnya. Tetapi kita perlu sedar juga, mereka turut mengaut keuntungan dan dapat mengubah diri di bumi bertuah ini. Ada timbal baliknya. Bayang jika tidak berlaku penghijrahan, apakah nasib mereka sama seperti apa yang mereka rasai hari ini? Bacalah sejarah faktor-faktor penghijrahan dan keadaan yang berlaku di negara-negara asal-usul mereka ketika itu.
Apa yang berlaku ke atas mereka juga berlaku ke atas keluarga nenek moyang saya. Mereka turut berhijrah bersama, disebabkan tekanan dan kemelaratan yang berlaku. Saya amat bertuah dengan penghijrahan tersebut. Tanpa penghijrahan tersebut, apakah saya masih ada peluang untuk menghirup udara di bumi bertuah ini. Apa yang saya rasai hari ini adalah disebabkan oleh ruang dan peluang serta toleransi pribumi yang menerima kami dan seterusnya membenarkan kami menjadi kaya tanpa ada rasa cemburu. Ini yang menjadikan saya semakin bersyukur, bukannya kufur nikmat.
Saya bersuara bukan kerana saya menentang bangsa saya, sekadar mengajak mereka supaya belajar bersyukur dan berterima kasih, tetapi bukan menjadi pak turut atau ‘yes man’ atau pembodek sehingga tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Tegurlah dan tentanglah kerajaan dan kepimpinan yang ada, jika mereka ada kelemahan dan melakukan kesalahan, serta menyeleweng daripada demokrasi. Cuma satu yang saya pohon, jangan runtuhkan apa yang selama ini kita bina bersama. Meruntuhkan memang mudah, tetapi membina kembali mengambil masa yang begitu lama.
Cubalah fahami sejarah akar negara ini, tanpa mengungkit secara keterlaluan sejarah sumbangan kita. Pada saya, sejarah yang menjadi akar dan tidak kurang pentingnya, adalah sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu menentang penjajah. Setelah orang Melayu di jajah ratusan tahun, orang Melayu bangkit berasaskan bangsa sendiri dengan agama Islam yang menjadi pegangan. Mereka sanggup berkorban jiwa dan raga. Berapa ramai yang telah gugur syahid mempertahankan bumi tercinta. Tokoh-tokoh seperti Tok Janggut dan Datuk Maharaja Lela adalah nama-nama besar yang tidak mungkin dalam terpadam dalam sejarah, bagaimana pribumi sanggup menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi. Adakah sejarah ini pernah dialami oleh bangsa lain sebelum dan selepas itu? Apa yang saya tahu bangsa lain, mendapat perlindungan daripada penjajah barat demi kepentingan ekonomi mereka. Bangsa yang merana adalah bangsa Melayu. Mereka bangun kerana mereka tidak rela bumi bertuah ini dirobek-robek penjajah, tanpa bermusuh dengan yang berhijrah.
Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas dan teras. Negara Singapura sedang cuba dan telahpun memadamkan asas sebegini. Kenapa parti-parti politik ini tidak memberitahu kerajaan Singapura, jangan padamkan sejarah ini.
Sudah sampai masanya, saya fikir parti-parti politik tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Kepada orang politik, pergi jaga kawasan dan kerusi masing-masing, serta laksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
Saya masih teringat ketika Tuanku Azlan Shah menerima ijazah kehormat kedoktoran undang-undang daripada Universiti Malaya, semasa menjadi Ketua Hakim Negara kira-kira 30 tahun lalu, baginda ada bertitah bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisma Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009)
Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
9 years ago
1 comment:
Bangsa haram jadah ni dah naik tocang. Melayu tak pergi negeri Cina cari makan, depa yang datang sini beramai-ramai. Masuk sini ikut peraturan sini. Kalau tidak pergi berambos.
Post a Comment