Saturday 25 September 2010

Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi


Mendengar cerita seorang anak yang hidup melarat dalam kemiskinan, tentulah menyanyatkan hati. Lebih menyanyatkan hati jika kita ketahui bapanya masih hidup dan kaya raya pulak.

Demikian mendengar dan menonton kisah-kisah kemiskinan dan derita kehidupan akibat kefakiran di negara kita yang disifat kaya dan senang amat menyanyatkan hati. Lebih menyanyatkan apabila kita mengetahui adanya pihak-pihak yang menguruskan zakat dengan mengumumkan lebihan zakat puluhan bahkan ada yang sampai ratusan juta saban tahun.

Sebelum saya meneruskan pena ini, saya terlebih dahulu ingin mengakui banyak hasil kerja dan usaha baik yang telah pun dibuat oleh pihak-pihak yang menguruskan zakat. Juga tulisan tidak ditujukan kepada pihak-pihak yang telah pun melaksanakan amanah mereka. Sebaliknya tulisan mewakili hati dan perasaan kehairanan sebahagian besar kaum muslimin yang tertanya-tanya terutama apabila melihat kisah-kisah duka kemiskinan yang dipaparkan oleh berbagai media.

Ke mana perginya zakat dan pengurusan?! Mengapakah masih ada lebihan zakat, sedangkan lebihan fakir miskin terus wujud?! Zakat tidak mengapa berlebihan jika semua asnaf sudah habis diberikan. Namun amat dukacita jika ramai yang menadah simpati dan tidak diberi, sedangkan zakat masih berbaki. Bahkan kadang-kala saya merasakan seakan program-program derita kemiskinan yang dipaparkan oleh sesetengah media adalah pukulan yang amat perit terhadap institusi zakat kita. Malulah kita hendak dibandingkan badan-badan kebajikan bukan Islam.

Walaupun mereka tidak berkempen sakan untuk mengutip wang, tetapi selalu kita mendengar berita mereka memberi. Sedangkan kefarduan zakat yang ditetapkan oleh ALLAH mempunyai falsafah dan objektif yang amat hebat terhadap pembentukan masyarakat muslim. Nampaknya kita telah berjaya mengumpul, namun belum cukup berjaya membahagikannya.

Saya pernah bertanya hal ini, ada yang menjawab; mana kita tahu, mereka tidak dapat meminta. Sebenarnya, tidak sepatutnya pengurusan zakat terlalu banyak bergantung kepada borang pemohonan. Usaha mencari adalah lebih utama.

Ini kerana kebanyakan ‘mak cik-mak cik’ yang telah tua itu amatlah beban bagi mereka untuk mengisi borang. Bahkan dalam Islam, orang miskin yang tidak meminta itu lebih afdal untuk diutamakan.

Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 273:

(maksudnya): “(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta Yang halal maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.

Orang miskin dikenali dengan ciri-cirinya, sekalipun tidak meminta. Demikian penjelasan ayat ini. Malanglah bagi pengurusan zakat, jika stesyen televisyen dapat menemui mereka yang miskin melarat lagi menderita, tetapi yang diamanahkan untuk menguruskan zakat tidak berjumpa. Islam tidak suka budaya meminta. Ia suka budaya mencari untuk memberi. Menubuhkan badan penyiasat kemiskinan sebahagian dari tanggungjawab pengurusan zakat.

Juga adalah mendukacitakan, jika wang zakat ini diberikan sekadar seratus atau dua ratus yang hanya cukup untuk setengah bulan atau sebulan. Kemudian terpaksalah si miskin menunggu tahun hadapan pula. Lebih malang lagi jika mereka terpaksa menunggu majlis yang dihadiri wartawan untuk mengambil hak zakat mereka. Sepatutnya zakat diberikan dengan kadar yang mengeluarkan si miskin dari daerah kemiskinan.

Dengarlah kata-kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah) Maka Saidina dalam kepimpinannya berusaha mengeluarkan mereka yang fakir dari daerah kefakiran dengan menggunakan harta zakat. Bukan sekadar memberi mereka beberapa suap makanan atau beberapa dirham wang. (lihat: Al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, 2/568, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Ramai muda-mudi yang tidak mampu berkahwin disebabkan faktor kewangan. Bukan tidak mampu menyara isteri, tetapi kos perkahwinannya. Mereka berhak mendapat zakat di bawah peruntukan kemiskinan. Ini kerana perkahwinan adalah sebahagian dari keperluan insan dalam hidup.

Justeru itu pada zaman ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz beliau memerintahkan agar diiklankan setiap hari:

“Sesiapa di kalangan orang yang miskin, yang berhutang dan yang ingin berkahwin sila dapatkan peruntukan dari Baitul Mal” (ibid, 2/569).

Jika hal ini dilakukan dengan baik, tentulah banyak gejala sosial dapat diatasi dan barangkali zakat pun tidak berbaki lagi.

Antara perkara yang mendukacita juga tentang zakat kita ialah, fokus pemberian zakat kepada para pelajar yang tidak berkemampuan banyak tertumpu kepada bidang agama. Sedikit pula perhatian atau jumlah zakat yang dikeluarkan kepada para penuntut ilmu yang bukan pengkhususan agama. Bidang-bidang perubatan, persenjataan, ekonomi dan seumpamanya kurang diberikan perhatian.

Ini berlaku atas beberapa sebab. Antaranya; sempitnya konsep ilmu dan kefahaman tentang keperluan umat di zaman ini. Pada hal bidang-bidang itu adalah kritikal dan antara penentu kepada survival umat. Mungkin juga ada yang menganggap, mereka itu telah mendapat bantuan. Sebenarnya, jumlah umat Islam yang diperlukan untuk sesetengah bidang tersebut amat tinggi.

Sementara kuota bantuan kerajaan adalah terhad. Ramai yang tidak dapat menyambung pelajaran ke bidang-bidang tersebut disebabkan tidak mampu kerana tiada bantuan. Ke mana perginya wang lebihan zakat?! Pelajar-pelajar yang mendapat habuan zakat untuk jadi ustaz sudah ramai. Mungkin kita dah terlebih ‘ustaz’. Tapi kita masih kurang pakar-pakar perubatan dan teknologi yang lain.

Dr Yusuf al-Qaradawi ketika membahaskan tentang peruntukan zakat untuk para penuntut ilmu menyebut:

“Bukanlah ilmu yang dituntut itu hanya terhad kepada ilmu agama semata. Bahkan merangkumi setiap ilmu yang bermanfaat yang kaum muslimin memerlukannya di dunia ini seperti ilmu kesihatan, pengembangan ekonomi dan bangunan, peningkatan kekuatan ketenteraan mengatasi musuh dan seumpamanya. Itu semua fardu kifayah. Ini seperti mana yang diputus oleh para penganalisa hukum. Maka tidak hairan kita dapati para ahli fekah Islam menetapkan mengenai hukum zakat; bahawa ia diberikan kepada penuntut ilmu sepenuh masa, dan diharamkan kepada ahli ibadah sepenuh masa. Ini kerana ibadah dalam Islam tidak memerlukan untuk seseorang meninggal segala urusan sepenuh masa seperti mana ilmu dan pengkhususannya. Demikian juga manfaat ibadah ahli ibadah itu hanya untuk diri seoarang sahaja, sedangkan ilmu penuntut itu untuk dirinya dan seluruh manusia. Bukan setakat itu sahaja, ahli-ahli fekah Islam menyatakan: “Harus untuk mereka yang fakir mengambil zakat untuk membeli buku-buku ilmu yang diperlukan yang semestinya untuk kepentingan agamanya dan dunianya. Kita mendapati pula ahli-ahli fekah mazhab Hanafi membolehkan dipindahkan zakat daripada satu negeri ke negeri yang lain –menyanggahi kaedah biasa- sekiranya pemindahan itu untuk penuntut ilmu yang memerlukan” (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/570).

Jikalau kefahaman kita diluaskan sehingga sebegini, maka banyak peluang akan terbuka kepada anak-anak kaum muslimin meneruskan pengajian dalam berbagai bidang. Tidak ada lagi cerita insan yang tidak mampu ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran. Juga tidak ada lagilah kisah pelajar kita yang tidak mampu membeli buku rujukan dalam bidang-bidang yang tinggi kosnya seperti perubatan, sedangkan zakat kita berlebihan.

Di negara kita ini, dalam masalah muamalah nampaknya –alhamdulillah- kita sudah mula mesra berbagai mazhab. Banyak pandangan agama kita sudah mula terbuka. Kita mesti terus melihat lebih dari satu mazhab dalam masalah fekah selagi mana ia berteraskan dalil-dalil yang diiktiraf oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Apa sahaja pandangan yang boleh menyempitkan fungsi zakat, mestilah dielakkan.

Melainkan ada dalil yang jelas. Dahulu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah mengkritik fahaman kita tentang zakat. Katanya dalam tulisannya Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir : “Aku masih teringat, beberapa tahun dahulu aku telah melawat negera-negara Asia Tenggara. Antaranya Indonesia dan Malaysia. Di sana antara soalan penting yang berulang kali ditanyakan kepadaku, khas di Malaysia, oleh Canselor Universiti Malaya, para pensyarah dan pelajarnya ialah: “Adakah wajar siasah ekonomi Islam yang tidak mewajibkan zakat kepada peladang-peladang besar yang memiliki ratusan, bahkan ribuan hektar tanaman getah, atau teh, atau kelapa, atau mangga dan lain-lain, dalam masa yang sama mewajibkan zakat ke atas petani-petani kecil yang bertani gandum atau padi dalam kawasan yang kecil? Mungkin mereka juga tidak memiliki tanah pertanian tersebut, sebaliknya hanya menyewa?!!.

Bentuk dan cara soalan ini bukan sekadar khayalan atau rekaan. Bahkan ia menggambarkan keadaan yang berlaku di sana. Keadaan yang digunakan kesempatan tersebut oleh golongan komunis dan seumpamanya untuk memburukkan gambaran dan hakikat zakat mempengaruhi golongan muslim yang berpendidikan…sebab hal ini berlaku ialah kerana majlis-majlis agama Islam mereka terikat dengan mazhab yang diamalkan di sana iaitu mazhab al-Syafi’i r.a. Ia adalah sesempit-sempit mazhab empat dalam mewajibkan zakat tumbuhan dari bumi. Mazhab al-Syafi’i tidak mewajibkan melainkan apa yang menjadi makanan asasi sahaja, dan tidak selain itu. Bukan di sini untuk di bincangkan pandangan tersebut. Aku telah bincangkannya dalam bukuku Fiqh al-Zakah, sila rujuk. Apa yang ingin aku katakan di sini ialah; sesungguhnya pendapat al-Imam al-Syafi’i atau imam-imam yang lain (r.ahum) hanyalah ijtihad. Empunya diberikan pahala, samada salah ataupun betul. Maka menjadi hak kita untuk meninggalkan pendapat tersebut apabila ternyata kepada kita ia lemah dan selainnya lebih kuat” (Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Likai Tanjah Muassasah al-Zakah fi al-Tatbiq al-Mu’asir, m.s. 15-16, Beirut : Muassasah al-Risalah 1994).

Pandangan-pandangan yang lebih luas patut dilihat. Antara masalah kita ialah sesetengah pihak terikat terlalu ketat dengan anggapan bahawa zakat sesuatu negeri tidak boleh dipindahkan ke negeri lain. Walaupun pendapat itu mempunyai alasan dari segi nas dan kepentingan setempat, namun ada kelonggarannya. Ada yang kata negeri kami semua dah cukup, sebab itu lebih.

Lagi pun zakat tidak boleh pindah ke negeri lain. Inilah barangkali sebab berlakunya lebihan zakat. Sebenarnya anggapan ini salah.

Para mujtahid Islam (ahli ijtihad) berijmak (sepakat) bahawa zakat boleh dipindahkan ke negeri lain jika ahli negeri zakat tersebut sudah mencukupi atau tidak memerlukan lagi. Lihatlah perbahasan hal ini dalam kitab-kitab fekah. Pemerintah atau pengeluar zakat itu sendiri boleh membawa zakat ke negeri atau tempat yang lain, jika berdasarkan keyakinan adanya keperluan atau kemaslahatan yang patut diutamakan di tempat atau negeri yang lain. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/820). Bahkan pendapat al-Imam al-Bukhari mengharuskan secara mutlak dipindahkan zakat ke negeri lain di atas keumuman dalil Surah al-Taubah ayat 60 yang hanya menyebut asnaf yang layak menerima zakat tanpa dikhususkan tempat. (lihat: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 3/357, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf. Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak.

Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam. Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah.

Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka. Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan saudara baru yang sedia pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam.

Banyak perkara jika hendak bincangkan tentang kesan zakat jika ia berfungsi dengan baik. Amanah ALLAH kepada pengurusan zakat dalam ayat 60 Surah al-Taubah itu hendaklah dipandang berat.

Firman ALLAH: (maksudnya) Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Wang zakat bukan milik pihak pengurusan. Sebaliknya amanah yang mesti diserah dengan jaya kepada yang berhak dan berfungsi dengan baik. Janganlah jadikan golongan yang berhak itu bagaikan peminta sedekah yang menagih simpati pengurusan zakat. Janganlah pula kereta para pegawai zakat sudah berulang tukar, sedangkan si miskin masih dengan rumahnya yang hampir roboh, anak yang sakit tidak berubat, yuran pengajian yang tidak mampu dibayar dan segala kesedihan yang lain. Janganlah pula si fakir terpaksa mencari tambang untuk datang ke pejabat zakat, sedang pegawai zakat hanya tersandar di kerusi cantik menunggu peminta datang.

Jika zakat benar-benar berfungsi, tentulah nasib umat tidak sebegini. Namun hanya kepada ALLAH kita mengadu. Umat kehairanan. Mereka kadang kala bertanya: adakah pengurusan zakat hanya bijak mencari, tapi tidak bijak memberi dan membahagi.

Saya tidak tujukan tulisan untuk semua pihak yang menguruskan zakat. Bagi yang telah menepati pengurusan yang baik, hal ini tiada kaitan dengan mereka. Jika yang belum, tulisan patut diberi perhatian. Jangan kita ini dibantah pada Hari Mahsyar. Biarlah ada yang membantah hari ini. Jika kita sudah menepati, al-hamdulillah. Jika belum kita masih berpeluang untuk membaikinya.

No comments: