Sunday 29 November 2009

Tak Tahu atau Sengaja Diselewengkan Fakta ?

Dibawah ini diantara artikel yang menyalahi fakta dan tafsiran Ulama , Saya akan menemukan penulis dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menjelaskan fakta yang sahih dan jujur dari kefahaman Para Ulama .Saya berharap perjumpaan ini akan disegerakan .


Wahabi tak taat ulama, ulil amri

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Perbuatan lompatan mental timbulkan huru-hara keilmuan, sosial serius


KALI ini kita akan melihat perbezaan yang ketara dalam perkara hukum Islam dan akhlak fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antaranya ialah bagaimana mereka meringankan peranan ijmak ulama dan menekankan hanya al-Quran dan sunnah saja. Mereka juga tidak berpegang kepada mazhab kerana menafsirkan ia umpama 'menyembah/beribadat' kepada ahli hukum atau agama.

Malah mereka juga membuat penafsiran mengenai hukum dengan tidak mematuhi kaedah hukum arus perdana Ahli Sunnah. Tindakan ini membawa kepada implikasi negatif dalam akhlak, selain hukum.


Dalam bidang hukum, mereka tidak mengambil berat mengenai ijmak dan kias serta mazhab dalam Ahli Sunnah. Ijmak antaranya berdalil kepada ayat yang bermaksud: 'Jalan orang yang beriman' dalam surat al-Nisa. Dalam ayatnya yang bermaksud: "Dan sesiapa yang memerangi Rasul selepas daripada nyata baginya bimbingan yang benar dan ia mengambil jalan selain orang yang beriman, Kami (Allah) membiarkan dia menjalani jalan yang diambilnya dan kemudian mencampakkannya ke dalam neraka, alangkah buruknya tempat kembali." Apabila mereka tidak peduli kepada ijmak, maka pendirian mereka dalam beberapa perkara menyalahi ijmak dan menimbulkan masalah hukum dalam masyarakat Islam.

Apabila mereka tidak patuh kepada ijmak, timbullah akibatnya seperti tidak taat kepada ulil amri di mana mereka berada. Contohnya, walaupun dalam ijmak diwajibkan kepatuhan kepada ulil amri mereka memberontak melawan autoriti Khalifah Uthmaniah, konon katanya, ia menjadi kafir.

Demikian pula pada zaman selepas itu, mereka tidak taat kepada ulil amri yang mana mereka berada kecuali pihak yang mempunyai pegangan seperti mereka. Oleh sebab itu aliran ini jangan dibiarkan berkembang di kalangan orang Melayu kerana bahayanya jelas. Ia akan menimbulkan ketegangan dengan ulil amri di mana mereka berada.

Ketika belum kuat pengaruhnya sudah timbul masalah, inikan nanti apabila jumlah menjadi lagi. Penulis pernah berdepan dengan orang tertentu daripada aliran ini dan apabila disebut kepadanya: "Apabila ulil amri menentukan sesuatu mazhab dalam Ahli Sunnah, maka hendaklah kita patuhi demi maslahat umat," mereka berkata: "Apa ulil amri ulil amri ni?," Ini menandakan bangkangan mereka terhadap konsep ini dalam Ahli Sunnah.

Sikap tidak hormat kepada ulil amri ini berlaku dari segi ilmu juga. Mereka tidak taat kepada sistem dan tradisi ilmu Ahli Sunnah. Kata mereka jika diikut ulama, maka itu menyembah ulama (ibadatul-ahbar). Sama seperti menghormati orang soleh atau mengambil berkat mereka, Wahabi melihat ia menyembah orang soleh ('ibadatul-rahban) dan perbuatan itu syirik. Sebab itu timbul aliran 'la mazhabiah' (aliran tidak pakai mazhab), orang berijtihad secara sendiri-sendiri di kalangan mereka.

Ini dijelaskan dalam buku Hal al-Muslim Mulzam Bittiba'Mazhabin Mu'ayyanin min Mazahib al-Arba'ah oleh Muhammad Ma'sumi al-Khujandi, dan pendirian ini dipertahan dan diperjuangkan oleh Nasir al-Din al-Albani. Jadi dalam hukum, mereka tidak tunduk kepada autoriti ulil amri dari segi sosial dan segi ilmu. Ulil amri dari segi sosial seperti Sultan, pemimpin yang menerima tauliah daripada mereka, manakala dari segi ilmu, mereka tidak menghormati ulama, sebaliknya yang mereka hormat ialah ulama sealiran mereka dan yang lain ditolak.

Misalnya, ulama seperti ibn Qudamah al-Maqdisi, pengarang kitab klasik rujukan standard Mazhab Hanbali al-Mughni, berhubung soal melawat kubur Nabi, katanya dalam kitab itu: Sunat menziarahi kubur Nabi berdasarkan riwayat al-Daraqutni dengan isnadnya daripada (Abdullah) ibn Umar, katanya bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan haji kemudian menziarahi kuburku selepas daripada wafatku, maka seperti ia menziarahiku pada waktu hayatku. Dalam riwayat lain yang bermaksud: "Sesiapa yang menziarahi kuburku wajib baginya syafaatku,". Disebut lagi al-Maqdisi (hadis): kata Imam Ahmad dalam riwayat Abdullah daripada Zaid bin Qasit daripada Abu Hurairah bahawa nabi SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada seorang daripada orang Islam yang memberi salam kepadaku di kuburku, melainkan Allah mengembalikan rohku sehingga aku menjawab balik salamnya."

Bagaimanapun, ia disanggah dan ditolak huraian imam ini kerana ia berlawanan dengan sikap 'al-din al-nasihah' dalam Ahli Sunnah yang memastikan kita merujuk kepada ulama yang muktabar sebagai dasar taklid dalam erti 'mengikut kesarjanaan yang muktabar dalam syarak' (following qualified scholarship in Islamic sacred science). Ini bukannya diterjemah 'taklid buta' kerana yang ada ialah keilmuan, kesarjanaan, 'scholarship', manakala yang mujtahid menjadi rujukan dan yang bukan mujtahid disuruh merujuk.

Ini ketertiban keilmuan dalam Islam. Dalam al-Quran ia, termasuk ke dalam maksud 'bertanyalah kepada ahli ilmu jika tidak mengetahui', juga terkandung dalam maksud '... taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada ulil amri kamu (ulil amri sosial, ulil amri ilmu atau kedua-duanya). Jika tidak, kita akan terbabit dalam kebiadaban intelektual yang membunuh diri sendiri. Nauzhu billah min zalik.

Sikap golongan ini membawa kepada ciri akhlak yang mengaibkan dan membahayakan masyarakat dan negara. Ia bermula dengan penafian autoriti sosial dan epistemologis atau autoriti dalam hal ilmu. Mereka mengambil autoriti mengikut diri sendiri; merekalah yang menentukan ajaran daripada al-Quran (wahyu) dan nubuwwah (sabda Nabi); mereka membuat lompatan mental beribu-ribu tahun, mengambil keputusan terus daripada al-Quran dan Sunnah tanpa mempedulikan panduan kerangka ilmu dan kaedah ilmu Ahli Sunnah itu – al-Quran dan hadis ditafsir sendiri tanpa mengambil kira panduan atau pandangan pakar wacana arus perdana umat (without the mediation of the mainstream intellectual tradition) selaras dengan 'jalan orang Mukminin' yang disebut dalam surah al-Nisa itu). Perbuatan lompatan mental inilah yang menimbulkan huru-hara keilmuan dan sosial yang serius. Ini yang penulis maksudkan kebiadaban rohani dan intelektual itu.

Akibatnya, mereka tidak menghormati autoriti dan institusi dalam masyarakat, tidak menghormati fatwa yang diputuskan padahal ia sah kerana ulil amri yang memberi autoriti itu dan mereka membuat keputusan berdasarkan autoriti keilmuan dalam masyarakat. Sebaliknya, ia tidak dihormati oleh pihak yang mengamalkan 'sikap intelektual koboi' ini.

Oleh itu, kita kini mendengar bahasa kesat, kasar dan tidak beradab walaupun daripada orang yang educated, ada unsur maki hamun, gelak tertawa dalam majlis ilmu yang serius; perceraian rumah tangga; kata-kata seperti 'sesat', 'bidaah', 'tidak bernas' dilempar oleh orang yang sukar kita percaya tanpa bukti.

Penolakan mereka terhadap tasauf memberi kesan menjadikan mereka beradab kasar, melihat sesuatu hanya pada zahir: halal haram, iman kufur dan bidaah sunnah. Kita mesti mengelak diri daripada membantu melahirkan generasi biadab seperti ini. Wallahu alam.

3 comments:

Anonymous said...

jahil inggin jadi ulama , ginilah jadinyer

Anonymous said...

agen orentalis yg masih belum hapus

azri said...

bukan tak tahu , tapi memang tak nak tahu