Sunday 16 August 2009

Dituduh bersalah pada nenek moyang

Dituduh bersalah pada nenek moyang
(Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009)
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya terus dikecam hebat oleh akhbar Cina yang saban hari memanipulasikan tulisan-tulisan saya untuk menagih simpati. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain yang ingin disiarkan. Lebih menyedihkan laman-laman web Cina dan bahasa Inggeris turut terikut dengan rentak gendang akhbar rasis ini. Saya dikecam dengan kata-kata yang amat kesat sehingga tidak tergambar masih adakah makhluk seperti ini dalam dunia serba moden.

Saya juga dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Saya ingin bertanya, apa makna pengkhianat? Siapakah pengkhianat sebenarnya? Pengkhianat ialah mereka yang ingin menghalalkan cara untuk mencapai matlamat jahat dan memenuhi nafsu serakah mereka. Sanggup menghina ajaran agama dan bangsa sendiri dengan mempertahankan keburukan. Menjatuhkan maruah manusia dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Itulah pengkhianat bangsa sebenarnya. Mereka ini amat rendah moralnya di sisi Tuhan Yang Esa.

Saya ingin bertanya kepada pembaca Mingguan Malaysia, wajarkah saya menyaman akhbar-akhbar ini? Jika patut, tolong beri tunjuk ajar kepada saya dalam laman blog saya, ridhuantee.blogspot.com, selepas artikel ini disiarkan. Adakah golongan kaduk naik junjung atau pepat di luar rencung di dalam ini, mungkin perlu diberikan pengajaran.

Mudah-mudahan selepas itu mereka akan menjadi lebih bertamadun dan bertata susila dalam menulis berita seperti yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Saya fikir, tujuan akhbar ini, terutama China Press memburuk-burukkan saya, tidak lain untuk menutup kelemahan mereka.

Tidak ketinggalan untuk melindungi kepentingan peribadi orang tertentu dan parti-parti politik tertentu terutamanya DAP, yang baru mula dapat sedikit kuasa, sudah mahu tunjuk belang. Saya mohon Kementerian Dalam Negeri membaca dan menilai berita dan artikel kiasu ini, mereka menyerang peribadi, bukan menyerang hujah, seterusnya menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya. Akhbar ini semata-mata mahu melariskan jualan mereka tanpa memikirkan akibat yang akan ditimbul.

Isu sebenarnya ialah mengenai menghalalkan anak luar nikah atau anak haram. Bila saya bangkitkan daripada perspektif semua agama, adakah itu salah? Saya merujuk kepada semua anak luar nikah dan secara kebetulan peristiwa ini berlaku kepada mendiang. Saya dikecam tidak sensitif kepada keluarga mendiang dan saya dituduh telah melakukan kesalahan besar kepada datuk nenek moyang dan seluruh keturunan saya. Keturunan saya dikatakan sedang berantakkan tulang-tulang mereka di dalam kubur kerana melahirkan orang seperti saya.

Saya terima kecaman ini dengan rasa sedih, pilu dan terhina, walaupun terlampau pahit untuk diterima kerana saya juga adalah manusia. Punya hati dan perasaan. Berita jahat dengan gambar saya sengaja disiarkan di muka hadapan oleh akhbar Cina (China Press, Nanyang Siang Pau) agar saya dipulau dan dibenci oleh orang Cina.

Persoalan saya, kenapa tidak diterjemahkan artikel saya keseluruhan ke dalam akhbar-akhbar untuk tatapan pembaca-pembaca. Biarlah mereka menilai secara adil. Bukan mengambil sebahagian dan dimanipulasikan. Saya fikir keadaan akan berubah jika orang Cina membaca keseluruhan artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia yang tidak ditokok tambah atau diputar belitkan.

Saya memohon pada Allah SWT untuk memberikan kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran sebegini. Sebagai seorang insan yang hidup dalam sebuah negara demokrasi, saya tidak dapat menghalang jika mereka ingin menghina dan mengecam hatta meludah ke arah saya, cuma satu perkara saya pohon, jangan sama sekali menghina agama Islam yang saya anuti. Hidup mati saya adalah untuk Islam. Islam terlalu mulia dan suci. Tidak mengapa saya dipandang hina oleh bangsa sendiri, asalkan saya tidak hina di sisi Allah SWT, InsyaAllah.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagai penganut agama Islam, saya diajar agar menghormati agama-agama lain. Justeru, tidak pernah sama sekali saya mengecam agama lain walaupun saya telah meninggalkan ajaran atau agama tersebut. Saya selalu menonjolkan kebaikan yang dibawa oleh ajaran agama lain, dengan tujuan kita kembali kepada ajaran agama masing-masing. Tanpa agama, siapalah kita hari ini. Sedarlah, kemuliaan kita pada hari ini adalah kerana agama, termasuk mereka yang berada di dalam China Press.

Akhbar China Press ternyata secara sengaja menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya. Artikel saya dimanipulasikan dengan niat jahat. Saya tidak pasti sama ada editor mereka faham atau tidak pada bahasa Melayu. Bila saya katakan segelintir daripada orang Cina yakni merujuk kepada DAP yang bersikap ultra kiasu, China Press menterjemahkan sebagai semua orang Cina.

Terus terang, saya tidak pernah menafikan sama sekali kebaikan dan sumbangan orang Cina terhadap pembangunan di negara ini. Cuma, saya ingin mengingatkan akhbar ini agar belajar menterjemah dengan betul. Kita sudah 52 tahun merdeka. Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan perlu difahami dan dijiwai. Jika tidak, kita akan hidup dalam kepompong kiasu.

Inilah akibatnya apabila kita dipisah-pisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan berbeza dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dikuatkuasakan. Akibatnya, niat baik kita disalahfahamkan atau mungkin sengaja disalahfahamkan. Akhbar Utusan Melayu dikatakan sebagai lidah rasmi UMNO, apakah China Press dan yang sekutu dengannya adalah lidah rasmi siapa sebenarnya? Inilah perancangan halus yang mesti kita sedari.

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar akhbar-akhbar perkauman ini diwajibkan menterjemahkan akhbar mereka dalam bahasa Melayu sebagai sisipan. Ini bertujuan supaya orang Melayu juga dapat membaca dan memahami betapa baiknya niat mereka setiap kali melaporkan berita dan menulis artikel, tidak ketinggalan sebagai menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jangan terlalu asyik menuduh orang lain tidak betul. Adakah kita ini terlampau betul sehingga tidak boleh ditegur?

Berikut saya petik perkara yang saya maksudkan itu. Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi (Mingguan Malaysia 9 Ogos 2009).

Apakah wartawan China Press faham apa maksud segelintir? Segelintir bermakna sebahagian kecil, bukan semua. Tetapi China Press terjemahkan kepada semua. Mungkin editor China Press boleh mencadangkan wartawan tersebut atau editornya termasuk sekali untuk mengikuti kursus bahasa Melayu.

Apakah saya bersalah menegur salah laku yang diharamkan oleh agama lain? Adakah memperkatakan yang benar itu satu dosa? Adakah mereka yang melakukan perbuatan terlarang seperti berzina, tidak berdosa kepada ibubapa dan datuk nenek moyang mereka? Apakah kita mahu menghalalkan semua perlakuan sumbang atas nama demokrasi? Jika begitulah keadaan, tidak perlulah ada undang-undang atau rule of law? Kajilah kemuliaan ajaran agama masing-masing. Ingat, satu jari tuding kepada saya, 4 jari lagi kepada diri sendiri.

Tidakkah China Press sedar, kadang kala ada kalangan yang mengandung anak luar nikah mengambil jalan singkat dengan menggugurkan kandungan tersebut. Tidak kurang juga yang mengambil keputusan membunuh diri. Ada yang terpaksa berkahwin kerana pasangannya telah termengandung. Jika masih tidak mengandung, mungkin seks bebas dan perzinaan akan terus berjalan. Adakah kita mahu menghalalkan yang haram. Tidakkah ini satu penganiayaan kepada kaum wanita? Bayangkan jika perbuatan ini berlaku kepada adik-beradik perempuan kita.

Justeru, dalam hal ini ajaran agama perlu memainkan peranan yang telah menjadi sebahagian rule of law. Tidakkah sebaik-baiknya kita berkahwin secara sah dahulu, selepas itu baru melakukan hubungan yang sepatutnya antara suami isteri. Bukankah itu yang terbaik? Kenapa kita perlu menganiaya kaum wanita. Saya ingin bertanya, adakah kenyataan saya itu salah? Saya amat ingin mengetahui dan mendengar, adakah seks bebas atau seks luar nikah dibenarkan oleh agama lain? Jangan minta pendapat saya.

Yang terjadi telah terjadi. Jadikan ia satu pengajaran. Saya ingin nasihatkan ibubapa supaya menjaga anak-anak mereka baik. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa datang. Yang penting, jangan lakukan perkara yang merosakkan, yang dilarang Tuhan, termasuk minum arak, kerana ia turut dilarang oleh semua agama. Takutlah kepada Tuhan, berbanding dengan manusia dan jangan takut dengan bayang-bayang jika kita berada di pihak yang benar.

Kita juga tidak perlu takut jika kita bukan dari kalangan golongan ultra kiasu. Namun, melihat gelagat-gelagat segelintir mereka ini, memang mereka teramat ultra kiasu. Hati siapa tidak sakit bila melihat gelagat mereka yang diminta memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan? golongan ultra kiasu ini menolak mentah-mentah kerana tidak mahu diMelayukan atau diasimilasikan. Hanya untuk memakai songkok selama dua jam sudah dianggap mereka diMelayukan. Berbanding dengan pemimpin Melayu yang memakan bersepit, memakai pakaian tradisi Cina, mengacau yee sang ketika Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Bila Melayu diakulturasikan sedemikian rupa, mereka kata inilah semangat satu Malaysia. Bila mereka kita suruh pakai songkok dan baju Melayu dalam majlis rasmi, maka kita dituduh menafikan hak-hak bukan Melayu atau mengasimilasikan mereka. Begitu besarnya kontradiksi dan jurang ini?