Sunday, 23 August 2009

Ancaman Akhbar Perkauman Kepada Perpaduan

POLITIK perkauman di Malaysia, bukan sekadar dapat dilihat dengan kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum, tetapi media massa turut sedemikian sifatnya, terutama media cetak seperti yang ditunjukkan oleh akhbar dan majalah Cina. Mereka ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Serangan dan kecaman akan dilakukan kepada mereka yang tidak sehaluan untuk mempertahankan tindakan mereka.

Inilah akibatnya apabila kita tidak menguatkuasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih malang lagi, kita tidak mengenakan sebarang syarat agar makalah perkauman tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kesempatan ini dipergunakan dengan seluas-luasnya untuk memperkukuhkan lagi kedudukan mereka. Akhirnya, mereka hidup dalam kepompong kiasu dan perkauman yang amat menebal. Menanamkan kebencian terhadap mereka yang difikirkan sebagai ancaman, seperti nasib yang menimpa saya.

Berita sebegini biasanya mendapat sambutan dan mudah dipercayai oleh pembaca mereka. Terbaru akhbar Nanyang Siang Pau memetik beberapa pendapat orang Cina antara lain mereka menyifatkan saudara Cina Islam cuba mendapat simpati orang Melayu dengan menonjolkan keislaman mereka.

Saya ingin menegaskan saudara Islam Cina tidak perlu berbuat demikian terhadap orang Melayu, kerana sifat agama Islam itu sendiri sudah mengajar orang Melayu untuk menerima sesiapa sahaja yang memeluk Islam, tanpa mengira apa latar belakang bangsanya.

Orang Melayu yang memahami Islam tidaklah seburuk yang disangka. Toleransi mereka amat tinggi. Jika mereka boleh menerima orang Cina yang berhijrah ke alam Melayu sebegitu ramai, sehingga menggugat kedudukan mereka sendiri selaku pribumi, adalah tidak mustahil untuk mereka menerima saudara baru Cina Muslim seperti kami. Cuma saya amat hairan, kenapa sehingga ke hari ini, amat sukar untuk orang Cina menerima Cina Muslim sebagai sebahagian daripada mereka?

Inilah sifat Melayu Islam yang amat saya puji. Mereka tidak seperti sesetengah pihak lain yang ultra kiasu. Saya tidak memerlukan simpati sesiapa untuk menulis sesuatu yang benar. Apatah lagi untuk dibayar oleh UMNO seperti yang didakwa oleh akhbar Cina.

Kemuliaan seseorang ditentukan oleh iman dan takwanya, bukan bangsa dan warna kulit. Inilah kemuliaan agama Islam yang bersifat sejagat dan menentang sebarang tindakan perkauman. Dengan sebab itu, tidak sukar untuk orang Melayu menerima orang lain, berbanding dengan mereka yang hanya hidup dalam kepompong kiasu, terutama akhbar yang suka mengecam dan memburuk-burukkan orang lain.

Jika hujah atau fakta saya salah, mari kita perbetulkan bersama dengan hujah dan fakta yang ilmiah, bukannya mengecam dan menanamkan rasa kebencian. Tindakan sebegini adalah amat tidak profesional.

Sebelum saya pergi lebih jauh, izinkan saya menyelusuri sejarah akhbar perkauman ini serba sedikit. Sebenarnya bilangan akhbar harian Cina lebih banyak daripada akhbar harian berbahasa Melayu di bumi Melayu. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bahasa sendiri selaku bahasa kebangsaan ketinggalan di bumi sendiri. Bahasa orang lain menguasai bidang persuratkhabaran dan media massa, sehingga bahasa kebangsaan dikesampingkan. Lebih malang lagi, rata–rata orang Melayu tidak boleh memahami berita dan laporan akhbar perkauman tersebut. Manakala, akhbar Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibaca oleh bukan Melayu.

Jika ditinjau daripada dahulu, laporan akhbar-akhbar ini tidak pernah berubah. Laporannya bersifat perkauman dan kiasu. Sentimen ini selalu dimainkan untuk meraihkan sokongan rakan sebangsa mereka. Dengan cara ini juga, akhbar ini dapat bertahan lama dan meraih keuntungan. Pemikiran mereka tidak pernah berubah, terutama dalam isu-isu ketidakpuasan terhadap dasar-dasar kerajaan yang lebih memihak kepada orang Melayu seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Inilah budaya popular yang selalu digunakan untuk menaikkan semangat dan sentimen orang Cina. Fakta ini pernah diakui oleh Penasihat Parti Gerakan, Lim Keng Yaik yang mengatakan akhbar di Malaysia hanya memperjuangkan satu-satu bangsa sahaja. Akhbar Cina dengan sentimen kecinaannya, manakala akhbar Melayu dengan sentimen kemelayuannya. Stail pemberitaan sebegini kata Keng Yaik amat sukar untuk mewujudkan bangsa Malaysia.

Persoalan saya, bolehkah diwujudkan bangsa Malaysia, jika akhbar bahasa lain yang lebih mendominasi akhbar bahasa kebangsaan? Akhbar bahasa Melayu boleh dikatakan langsung tidak dibeli dan dibaca oleh masyarakat bangsa Cina, kecuali oleh mereka yang berada di Sin Chew, Nanyang Siang Pau, China Press dan lain-lain akhbar Cina. Tujuannya tidak lain untuk mencari berita-berita sensasi untuk lebih disensasikan supaya menjadi lebih kiasu.

Walaupun kadang kala akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia menyampaikan dan menulis berita-berita berbau perkauman, sekurang-kurangnya mereka berterus-terang. Bahasa akhbar tersebut dapat difahami oleh semua warga Malaysia, termasuk mereka berada dalam sektor persuratkhabaran Cina. Persoalannya, bagaimana dengan akhbar bahasa lain? Apa yang diberitakan, tidak sampai langsung kepada orang Melayu.

Perkauman

Saya yakin, jika orang Melayu faham bahasa Mandarin, mereka akan merasa terkejut dengan laporan akhbar perkauman ini. Maka sudah sewajarnya akhbar itu diwajibkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai sisipan untuk difahami oleh semua kaum supaya tidak timbul prasangka. Apatah lagi kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan perlu dihormati dan dipatuhi.

Menurut A.F. Yasin (1986), sejarah persuratkhabaran bukan Melayu di Tanah Melayu khususnya akhbar berbahasa Cina, Inggeris dan Tamil, dilihat tidak mencerminkan semangat nasional, tetapi lebih mementingkan kelompok sendiri.

Sejak dahulu lagi, akhbar-akhbar ini langsung tidak menghiraukan hal-hal berkaitan Tanah Melayu di negara tempat mereka berlindung, tetapi lebih kepada isu-isu kaumnya sahaja. Akhbar bukan Melayu lebih cenderung kepada pembacanya, dan prasangka atau ‘penyerangan’ kepada bangsa Melayu, diberatkan lagi dengan adanya kecenderungan berkiblat kepada negara asalnya. Akhbar Inggeris berkiblat kepada penjajah dan Eropah, sementara akhbar Cina menjadi medan pertarungan ideologi yang berlaku di Tanah Besar China.

Ketika itu, banyak tenaga penggerak akhbar Cina ini diimport khas dari Hong Kong dan China. Kajian beliau juga menunjukkan, dari segi sejarahnya suara Cina sentiasa kontra dengan suara Melayu. Sejarah awal akhbar Cina bermula pada penghujung abad ke-19 dengan menonjolkan usaha imigran dan pedagang Cina berkaitan berita-berita ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan. Bermula dengan akhbar The Chinese Monthly Magazine yang diterbitkan pada 6 Ogos 1815.

Pada tahun 1881, lahir akhbar harian Cina yang pertama Lat Pau (1881-1932), mengambil format dan bentuk akhbar Cina di China dan Hong Kong. Lat Pau mempunyai pengaruh yang kuat ke atas orang Cina kerana liputan beritanya membela kepentingan orang Cina dan berita-berita negeri China.

Hayat Lat Pau tidak lama kerana mendapat saingan yang kuat dari Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh. Antara akhbar lain yang tidak dapat bertahan lama seperti Lat Pau ialah Thien Nan Shih Pao (1898-1905), Jit Shin Pao (1899-1901) dan Theo Lam Jit Poh (1904-1905). Akhbar Cina yang kekal sehingga ke hari ini ialah Sin Chew Jit Poh (15 Januari 1929) dan Nanyang Siang Pau (6 September 1923) dikuasai sepenuhnya oleh ahli perniagaan dan politik Cina.

Manakala akhbar China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah ilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.

Apakah niat mereka menggunakan nama China? Saya fikir China Press sahaja yang boleh menjawab akan kiblat mereka.

Sehingga kini, isu-isu perjuangan mereka masih sama, tidak banyak berbeza. Misalnya, hal-hal pendidikan, ekonomi, ketuanan Melayu (pribumi) antara isu-isu yang terus diperdebatkan sehingga kepada kemuncaknya pada tahun 1987. Kesimpulan kajian yang dibuat mereka yang mengkaji sejarah akhbar Cina menunjukkan bahawa akhbar-akhbar berasaskan etnik ini memang tidak lari daripada sentimen perkauman dan kiasu. Mereka kerap ‘menyerang’ orang Melayu dan Islam.

Saya masih ingat ketika akhbar Cina melaporkan berita Perhimpunan Agung UMNO ke-57 (13-17 November 2006). Memang tidak dinafikan, isu-isu perkauman terus dimainkan oleh UMNO. Akhbar-akhbar yang dikuasai oleh orang Cina terus memanipulasikan isu-isu perkauman yang dibincangkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Cina. Presiden UMNO ketika itu terpaksa campur tangan dengan memberi amaran kepada beberapa akhbar Cina supaya tidak memainkan sentimen perkauman selepas beberapa perwakilan UMNO membangkitkan isu-isu sensitif yang meresahkan sesetengah kaum bukan Melayu.

Menurutnya, UMNO boleh bercakap tentang agenda Melayu, MCA juga boleh bercakap soal agenda Cina, begitu juga MIC dengan agenda India. Apa yang penting ialah agenda nasional. Persoalan saya, bagaimana agenda nasional boleh sampai ke akar umbi jika kita terus berada dalam kelompok perkauman dan kiasu?

Jelas di sini bahawa persepsi masyarakat Cina menjadi semakin serius apabila media perkauman suka memperbesar-besarkan (mensensasikan) isu-isu popular yang berhubung kait dengan status agama Islam dan hak istimewa bangsa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Isu ini dipergunakan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan akibat dan kesan yang akan berlaku. Sesuatu yang tidak menyebelahi mereka akan diperjuang habis-habisan. Manakala, isu yang menyebelahi mereka disenyapkan begitu sahaja.

Natijahnya, timbullah pelbagai persepsi yang tidak sihat. Persepsi sebeginilah menjadikan hubungan kaum semakin renggang.
read more “Ancaman Akhbar Perkauman Kepada Perpaduan”

Sunday, 16 August 2009

Dituduh bersalah pada nenek moyang

Dituduh bersalah pada nenek moyang
(Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009)
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya terus dikecam hebat oleh akhbar Cina yang saban hari memanipulasikan tulisan-tulisan saya untuk menagih simpati. Seolah-olah sudah tidak ada berita lain yang ingin disiarkan. Lebih menyedihkan laman-laman web Cina dan bahasa Inggeris turut terikut dengan rentak gendang akhbar rasis ini. Saya dikecam dengan kata-kata yang amat kesat sehingga tidak tergambar masih adakah makhluk seperti ini dalam dunia serba moden.

Saya juga dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Saya ingin bertanya, apa makna pengkhianat? Siapakah pengkhianat sebenarnya? Pengkhianat ialah mereka yang ingin menghalalkan cara untuk mencapai matlamat jahat dan memenuhi nafsu serakah mereka. Sanggup menghina ajaran agama dan bangsa sendiri dengan mempertahankan keburukan. Menjatuhkan maruah manusia dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Itulah pengkhianat bangsa sebenarnya. Mereka ini amat rendah moralnya di sisi Tuhan Yang Esa.

Saya ingin bertanya kepada pembaca Mingguan Malaysia, wajarkah saya menyaman akhbar-akhbar ini? Jika patut, tolong beri tunjuk ajar kepada saya dalam laman blog saya, ridhuantee.blogspot.com, selepas artikel ini disiarkan. Adakah golongan kaduk naik junjung atau pepat di luar rencung di dalam ini, mungkin perlu diberikan pengajaran.

Mudah-mudahan selepas itu mereka akan menjadi lebih bertamadun dan bertata susila dalam menulis berita seperti yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Saya fikir, tujuan akhbar ini, terutama China Press memburuk-burukkan saya, tidak lain untuk menutup kelemahan mereka.

Tidak ketinggalan untuk melindungi kepentingan peribadi orang tertentu dan parti-parti politik tertentu terutamanya DAP, yang baru mula dapat sedikit kuasa, sudah mahu tunjuk belang. Saya mohon Kementerian Dalam Negeri membaca dan menilai berita dan artikel kiasu ini, mereka menyerang peribadi, bukan menyerang hujah, seterusnya menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya. Akhbar ini semata-mata mahu melariskan jualan mereka tanpa memikirkan akibat yang akan ditimbul.

Isu sebenarnya ialah mengenai menghalalkan anak luar nikah atau anak haram. Bila saya bangkitkan daripada perspektif semua agama, adakah itu salah? Saya merujuk kepada semua anak luar nikah dan secara kebetulan peristiwa ini berlaku kepada mendiang. Saya dikecam tidak sensitif kepada keluarga mendiang dan saya dituduh telah melakukan kesalahan besar kepada datuk nenek moyang dan seluruh keturunan saya. Keturunan saya dikatakan sedang berantakkan tulang-tulang mereka di dalam kubur kerana melahirkan orang seperti saya.

Saya terima kecaman ini dengan rasa sedih, pilu dan terhina, walaupun terlampau pahit untuk diterima kerana saya juga adalah manusia. Punya hati dan perasaan. Berita jahat dengan gambar saya sengaja disiarkan di muka hadapan oleh akhbar Cina (China Press, Nanyang Siang Pau) agar saya dipulau dan dibenci oleh orang Cina.

Persoalan saya, kenapa tidak diterjemahkan artikel saya keseluruhan ke dalam akhbar-akhbar untuk tatapan pembaca-pembaca. Biarlah mereka menilai secara adil. Bukan mengambil sebahagian dan dimanipulasikan. Saya fikir keadaan akan berubah jika orang Cina membaca keseluruhan artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia yang tidak ditokok tambah atau diputar belitkan.

Saya memohon pada Allah SWT untuk memberikan kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran sebegini. Sebagai seorang insan yang hidup dalam sebuah negara demokrasi, saya tidak dapat menghalang jika mereka ingin menghina dan mengecam hatta meludah ke arah saya, cuma satu perkara saya pohon, jangan sama sekali menghina agama Islam yang saya anuti. Hidup mati saya adalah untuk Islam. Islam terlalu mulia dan suci. Tidak mengapa saya dipandang hina oleh bangsa sendiri, asalkan saya tidak hina di sisi Allah SWT, InsyaAllah.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagai penganut agama Islam, saya diajar agar menghormati agama-agama lain. Justeru, tidak pernah sama sekali saya mengecam agama lain walaupun saya telah meninggalkan ajaran atau agama tersebut. Saya selalu menonjolkan kebaikan yang dibawa oleh ajaran agama lain, dengan tujuan kita kembali kepada ajaran agama masing-masing. Tanpa agama, siapalah kita hari ini. Sedarlah, kemuliaan kita pada hari ini adalah kerana agama, termasuk mereka yang berada di dalam China Press.

Akhbar China Press ternyata secara sengaja menanamkan kebencian orang Cina terhadap saya. Artikel saya dimanipulasikan dengan niat jahat. Saya tidak pasti sama ada editor mereka faham atau tidak pada bahasa Melayu. Bila saya katakan segelintir daripada orang Cina yakni merujuk kepada DAP yang bersikap ultra kiasu, China Press menterjemahkan sebagai semua orang Cina.

Terus terang, saya tidak pernah menafikan sama sekali kebaikan dan sumbangan orang Cina terhadap pembangunan di negara ini. Cuma, saya ingin mengingatkan akhbar ini agar belajar menterjemah dengan betul. Kita sudah 52 tahun merdeka. Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan perlu difahami dan dijiwai. Jika tidak, kita akan hidup dalam kepompong kiasu.

Inilah akibatnya apabila kita dipisah-pisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan berbeza dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dikuatkuasakan. Akibatnya, niat baik kita disalahfahamkan atau mungkin sengaja disalahfahamkan. Akhbar Utusan Melayu dikatakan sebagai lidah rasmi UMNO, apakah China Press dan yang sekutu dengannya adalah lidah rasmi siapa sebenarnya? Inilah perancangan halus yang mesti kita sedari.

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar akhbar-akhbar perkauman ini diwajibkan menterjemahkan akhbar mereka dalam bahasa Melayu sebagai sisipan. Ini bertujuan supaya orang Melayu juga dapat membaca dan memahami betapa baiknya niat mereka setiap kali melaporkan berita dan menulis artikel, tidak ketinggalan sebagai menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jangan terlalu asyik menuduh orang lain tidak betul. Adakah kita ini terlampau betul sehingga tidak boleh ditegur?

Berikut saya petik perkara yang saya maksudkan itu. Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi (Mingguan Malaysia 9 Ogos 2009).

Apakah wartawan China Press faham apa maksud segelintir? Segelintir bermakna sebahagian kecil, bukan semua. Tetapi China Press terjemahkan kepada semua. Mungkin editor China Press boleh mencadangkan wartawan tersebut atau editornya termasuk sekali untuk mengikuti kursus bahasa Melayu.

Apakah saya bersalah menegur salah laku yang diharamkan oleh agama lain? Adakah memperkatakan yang benar itu satu dosa? Adakah mereka yang melakukan perbuatan terlarang seperti berzina, tidak berdosa kepada ibubapa dan datuk nenek moyang mereka? Apakah kita mahu menghalalkan semua perlakuan sumbang atas nama demokrasi? Jika begitulah keadaan, tidak perlulah ada undang-undang atau rule of law? Kajilah kemuliaan ajaran agama masing-masing. Ingat, satu jari tuding kepada saya, 4 jari lagi kepada diri sendiri.

Tidakkah China Press sedar, kadang kala ada kalangan yang mengandung anak luar nikah mengambil jalan singkat dengan menggugurkan kandungan tersebut. Tidak kurang juga yang mengambil keputusan membunuh diri. Ada yang terpaksa berkahwin kerana pasangannya telah termengandung. Jika masih tidak mengandung, mungkin seks bebas dan perzinaan akan terus berjalan. Adakah kita mahu menghalalkan yang haram. Tidakkah ini satu penganiayaan kepada kaum wanita? Bayangkan jika perbuatan ini berlaku kepada adik-beradik perempuan kita.

Justeru, dalam hal ini ajaran agama perlu memainkan peranan yang telah menjadi sebahagian rule of law. Tidakkah sebaik-baiknya kita berkahwin secara sah dahulu, selepas itu baru melakukan hubungan yang sepatutnya antara suami isteri. Bukankah itu yang terbaik? Kenapa kita perlu menganiaya kaum wanita. Saya ingin bertanya, adakah kenyataan saya itu salah? Saya amat ingin mengetahui dan mendengar, adakah seks bebas atau seks luar nikah dibenarkan oleh agama lain? Jangan minta pendapat saya.

Yang terjadi telah terjadi. Jadikan ia satu pengajaran. Saya ingin nasihatkan ibubapa supaya menjaga anak-anak mereka baik. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa datang. Yang penting, jangan lakukan perkara yang merosakkan, yang dilarang Tuhan, termasuk minum arak, kerana ia turut dilarang oleh semua agama. Takutlah kepada Tuhan, berbanding dengan manusia dan jangan takut dengan bayang-bayang jika kita berada di pihak yang benar.

Kita juga tidak perlu takut jika kita bukan dari kalangan golongan ultra kiasu. Namun, melihat gelagat-gelagat segelintir mereka ini, memang mereka teramat ultra kiasu. Hati siapa tidak sakit bila melihat gelagat mereka yang diminta memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan? golongan ultra kiasu ini menolak mentah-mentah kerana tidak mahu diMelayukan atau diasimilasikan. Hanya untuk memakai songkok selama dua jam sudah dianggap mereka diMelayukan. Berbanding dengan pemimpin Melayu yang memakan bersepit, memakai pakaian tradisi Cina, mengacau yee sang ketika Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Bila Melayu diakulturasikan sedemikian rupa, mereka kata inilah semangat satu Malaysia. Bila mereka kita suruh pakai songkok dan baju Melayu dalam majlis rasmi, maka kita dituduh menafikan hak-hak bukan Melayu atau mengasimilasikan mereka. Begitu besarnya kontradiksi dan jurang ini?
read more “Dituduh bersalah pada nenek moyang”

Sunday, 9 August 2009

Bahaya Matlamat Menghalalkan Cara

Bahaya Matlamat Menghalalkan Cara (Mingguan Malaysia 09.08.09)
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sekali lagi artikel saya dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Shin Chew, Nanyang Siang Pau dan beberapa laman web pembangkang. Kali ini mereka mengambil beberapa bahagian tertentu dengan ada tujuan yang tersembunyi dengan menyiarkannya di muka hadapan sebagai berita utama (Nanyang Siang Pau).

Beberapa isu dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan. Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya yang akan diputarbelitkan.

Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya jawab tidak. Saya sudahpun jawab dalam artikel minggu lepas. Saya tidak pasti mereka faham atau tidak tulisan saya dalam bahasa Melayu. Tulisan dan idea ini datang dari hati naluri seorang rakyat berbangsa Cina kerdil, yang amat ingin melihat umat Islam sedar, di manakah kedudukan kita sebenarnya.

Malangnya, hanya kerana artikel saya diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, marahnya begitu meluap-luap sehingga emosi menguasai diri. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamirkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri.

Mereka bertanya lagi, adakah saya perlu meminta maaf kepada keluarga mendiang, saya kata tidak perlu, sama sekali tidak. Jika mereka faham betul-betul bahasa Melayu, saya tidak nampak satu pun para artikel saya berniat jahat kepada keluarga mendiang, kecuali niat jahat sebenar akhbar Cina, DAP dan laman web tersebut yang sengaja memutar-belitkan isu ini menjadi perkauman untuk mencari simpati dan publisiti murahan. Siapakah yang sepatutnya meminta maaf, saya atau akhbar dan laman web rasis ini?

Saya dituduh tidak pandai menulis artikel oleh akhbar Nanyang Siang Pau. Justeru, saya pohon kepada editor Nanyang Siang Pau, sila beri tunjuk ajar. Saya juga mahu tahu betapa pandai akhbar-akhbar Cina ini menulis berita dan artikel dalam menjaga kepentingan semua kaum.

Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi.

Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Mereka begitu pandai berpolitik. Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin, mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin besar kepala seperti kaduk naik junjung.

Saya rela menjadi tidak popular di kalangan masyarakat saya sendiri, tetapi bangunlah wahai umatku, jangan lagi kita dipermainkan oleh mereka yang licik ini. Lain di luar, lain di dalam. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri.

Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan.
Kepada para pembaca, nilaikanlah idea yang dilontarkan. Jangan hanya kerana artikel ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia, kita sudah tidak nampak yang benar, yang mana salah. Saya bukan penulis upahan UMNO atau Mingguan Malaysia. Saya hanya mengatakan yang benar dan tidak ada niat langsung untuk melukakan mana-mana pihak yang hidup mahupun yang telah pergi. Saya bertanggungjawab sepenuhnya apa yang ditulis.

Saya cuma mengingatkan kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan kes ini menjadi ‘precedent’, yang akan menghalalkan segala perlakuan sumbang selepas ini?

Sedarkah kita berapa ramai anak luar nikah yang telah lahir daripada hubungan yang tidak sah ini? Apakah kita mahukan ia menjadi budaya hidup kita. Apakah tujuan perkahwinan sebenarnya? Apa tujuan ada akta dan undang-undang undang-undang keluarga, perkahwinan, nikah cerai dan sebagainya diwujudkan? Jika perbuatan sumbang ini hendak dihalalkan maka tidak perlulah ada semua undang-undang dan akta ini? Apakah ini bukan rule of law?

Saya dituduh kerana cuba memasukkan unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya, adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga tidak perlu disahkan. Sila rujuk undang-undang Jabatan Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran dan kematian 1975.

Untuk mengetahui lebih lanjut isu yang dikatakan sensitif ini dan juga rule of law, sila rujuk http://www.malaysianbar.org.my/marriage.html. Bagi mendapatkan makna anak sah taraf dan anak tidak sah taraf, rujuk Undang-undang negara dalam Akta 60, Legitimacy Act 1961, juga akta Jabatan Pendaftaran Negara, http://www.jpn.gov.my/BI/4_2_kelahiran.php.

Lihat juga, http://www.thefreedictionary.com/illegitimate+child. Baca juga Non-Muslim Family Law dalam, http://www.reunite.org/edit/files/Islamic%20Resource/Malaysia%20text.pdf.

Manakala dari segi hak-hak penjagaan anak-anak tidak sah taraf ini pula, sila rujuk http://www.johorebar.org.my/CustodyGuardianship.html. Adakah ini bukan rule of Law. Saya hanya memberikan beberapa pandangan agama yang menjadi rule of law, maka saya akan dituduh kolot dan ekstremis.

Kes yang sama berlaku di Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis. Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam, dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai ekstremis atau pelampau. Manakala tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan majoriti umat Islam, di halang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor.

Saya masih ingat amanat Tunku Abdul Rahman mengenai pandangannya terhadap Bandaraya Shah Alam. Tunku pernah berpesan agar Shah Alam mesti bebas daripada arak dan kelab malam. Jika orang lain mahu melakukan perbuatan haram ini, mereka boleh pergi ke Kuala Lumpur, minumlah arak dan kunjungilah kelab malam sehingga tidak sedar diri kerana mungkin agama mereka membenarkan. Jika ditakdirkan Buddha dan Nabi Isa hidup hingga ke hari ini, rasa fikir tindakan manusia pelampau DAP sebegini akan dicela dan dikutuk.

Sejak memenangi banyak kerusi dalam PRU 12, DAP ternyata semakin biadab dan kurang ajar kerana turut campurtangan dalam hal-ehwal agama Islam yang menjadi agama persekutuan. Apakah hak parti politik ekstremis ini untuk campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam? Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah Negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?

Tindakan DAP ini teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis? Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari, perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif, malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama Islam.

Persoalannya, adakah mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif? Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu. Bila isu berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap tidak penting.

Justeru, saya minta parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan cara. ISA amat relevan untuk orang seperti ini.

DAP cuba menarik perhatian orang Cina untuk menghalalkan arak yang secara terangkan diharamkan oleh Buddha, yang kini telah menjadi budaya hidup mereka, sama seperti hubungan seks luar nikah. Manakala PAS tetap dengan pendirian mengharamkan arak sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. PKR belum lagi membuat keputusan kerana cuba memenangi hati kedua belah pihak untuk mengekalkan kedudukan.

Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu. Sebarang percubaan untuk mengIslamkan atau meMelayukan identiti negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah pernah berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk menegakkan Negara Islam.

Saya amat berharap PAS mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini. Lebih baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak. Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan Islam.

Sekarang terbukti, kerjasama seperti tidur sebantal, mimpi lain-lain. Lebih malang lagi, mimpi mereka saling bercakaran dan berprasangka. Saya ingin bertanya sekali lagi kepada DAP dan orang Cina keseluruhannya, agama apa yang menghalalkan arak? Apa yang saya belajar daripada tidak Islam dahulunya, sampai memeluk agama Islam, tidak ada satu agamapun yang mengatakan arak itu dibenarkan. Bagaimana matlamat boleh menghalalkan.

DAP perlu diingatkan bahawa mereka tidak akan menang banyak kerusi dalam PRU 12 baru-baru ini, tanpa sokongan orang Melayu. Justeru, jangan seperti kaduk naik junjung. Pernahkah sekali kita mendengar DAP meminta maaf apabila mereka menyinggung perasaan orang lain disebabkan oleh keceluparan dan kebiadaban mereka? Sudah tentu tidak. Tetapi apabila tiba giliran orang lain seperti saya, maka melalaklah mereka meminta kita umat Islam meminta maaf. Begitu juga pendirian parti politik Cina yang lain seperti MCA dan Gerakan.

DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama.

Tambahan pula, kematian manusia tidak mengenal usia. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, bila-bila masa, tidak kira tua atau muda. Cuma kita diminta bersedia untuk mati. Tujuannya, tidak lain agar bila kita pergi nanti, kita telah membuat segala persediaan secukup, termasuk terhadap mereka yang kita tinggalkan agar tidak menderita. Justeru, kita perlu melakukan yang terbaik sepanjang waktu dan ketika.
Kita selalu berhujah untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya, apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita bertanggungjawab selepas itu.

Persoalan saya, bagaimana jika selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa?Sudah tentu wanita. Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa terbela.

Saya mempunyai beberapa kenalan Cina dan Melayu yang telah terlanjur melakukan seks bebas, kemudian ditinggalkan oleh teman lelakinya. Apa akan terjadi dengan anak luar nikah yang dikandung?

Akan bersambung....
read more “Bahaya Matlamat Menghalalkan Cara”

Monday, 3 August 2009

Bila Kacang Lupakan Kulit

BILA KACANG LUPAKAN KULIT (Mingguan Malaysia 2 Ogos 2009)
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Saya dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk ‘Nasib Melayu di Bumi Melayu’. Saya dituduhkan sebagai penulis upahan UMNO, lupa asal usul diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini. Saya mengucapkan terima kasih atas yang respon yang telah disampaikan. Saya tidak berhasrat untuk memberikan respon, kerana saya malas melayan idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan bahawa mereka ini seorang yang profesional. Orang sebegini tidak selayaknya untuk dilayan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa yang saya maksudkan.

Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar nikah yang dikandung oleh teman wanitanya. Sedangkan simpati dan pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung. Ini menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina. Saya dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf. Terus terang, saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata yang benar. Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama apa sekalipun. Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan, adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian. Sebelum memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan Kristian. Kedua-dua agama ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah. Persoalan sama ada mereka yang melakukan perbuatan sedemikian akan bertanggungjawab atau tidak, itu tidak berbangkit. Apakah kita mahu menghalalkan perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita? Apakah kita mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita?

Justeru, bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat Malaysia atau bangsa Malaysia, bukannya orang Cina. Ini bertujuan supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias. Jika orang Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang lain. Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya? Sudah tentu tidak kerana saya perlu berkata benar. Jika orang Cina baik, saya akan puji sebab itu kenyataan. Begitulah sebaliknya, jika ada kelemahan, kita terpaksa terima walaupun pahit.

Pada saya, hujah yang dikemukakan mesti dibalas dengan hujah berasaskan fakta dan ilmu, bukan menyerangkan peribadi. Untuk makluman semua, saya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang politik dan kerajaan. Tajuk tesis saya berkaitan dengan ‘persepsi orang Cina terhadap gerakan politik UMNO’. Hujah yang saya lontar itu adalah datang daripada dapatan sebahagian kecil kajian yang dibuat terhadap politik silang budaya kedua kaum ini secara kuantitatif dan kualitatif. Apakah saya tidak layak untuk memperjelaskan isu ini? Apakah yang berkokok itu pernah membuat kajian atau sekadar emosi yang menghantui diri sehingga tidak sedar diri?

Itupun nasib baik saya tidak rekod-rekod yang buruk sebelum ini seperti ahli politik dan penulis yang lain. Jika tidak, semua peribadi buruk akan diungkit dan digunakan sebagai senjata untuk mengecam saya. Inilah budaya perkauman dan budaya ‘pandir’ yang telah dicanangkan sejak sekian lama, terutama apabila kerajaan gagal mendidik mereka memahami sejarah sehingga menjadi manusia yang tidak mengenang budi ini. Malah mereka menjadi semakin ultra kiasu dan tidak mahu menerima hakikat yang sebenar.

Saya hanya cuba mengatakan yang benar. Saya tidak mendapat satu sen daripada UMNO apabila artikel tersebut disiarkan. Begitu jua saya tidak mendapat satu sen pun wang zakat setelah 24 tahun memeluk Islam. Saya tidak ada banglo mewah, kereta mewah dan lain-lain kemewahan. Saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang ada, hidup sebagai rakyat biasa. Malangnya, bila ada komen saya menyebelahi kerajaan/UMNO saya akan dituduh bermacam-macam. Bila idea saya menyebelahi pembangkang, saya akan dipuji melambung. Saya bukanlah dalam kategori yang mudah lupa diri bila dipuji. Saya sentiasa memuhasabah diri apabila dikeji. Sifat ini perlu ada pada semua manusia.

Saya menulis atas kebenaran. Saya adalah kalangan orang Cina yang celik sejarah dan celik perlembagaan. Saya tahu asal usul saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang saya tulis sama ada di dunia mahupun di akhirat. Saya tidak fikir tulisan sedemikian rupa akan menyebabkan Allah SWT mencampakkan saya ke dalam neraka, berbanding mereka yang selalu mengumpat dan menyerang peribadi orang tidak sudah-sudah.

Saya menulis apa yang benar, apa yang salah. Saya tidak menuding jari terhadap siapa yang benar atau siapa yang salah. Saya tidak ada masalah untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk berhujah secara ilmiah dan akademik, bukan berasaskan sentimen, politik sempit dan jumud. Janganlah jadi pengecut, melepaskan geram yang menampakkan kebodohan diri sendiri. Janganlah terlampau ultra kiasu kepada kaum sendiri. Tindakan ekstrem tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Malah akan mengusutkan lagi sesuatu yang telah kusut.

Terus terang saya katakan, setelah membanding Malaysia dengan negara-negara lain di dunia, ternyata Malaysia adalah sebuah lain dari yang lain. Amat unik dan toleransinya amat tinggi, terutama kalangan orang Melayu. Selaku rakyat berbangsa Cina, saya amat berasa bertuah hidup di bumi bertuah ini. Orang Cina (juga India) bernasib baik kerana kerajaan Malaysia sejak sebelum dan selepas merdeka, tidak banyak berusaha sama sekali mengasimilasikan mereka walaupun kerajaan berhak melakukannya terhadap mereka yang berhijrah. Mereka adalah seperti orang Cina seadanya seperti mereka di negeri China. Bersekolah, berbudaya, bertutur dan semua cara hidup berasaskan keCinaan (atau keIndiaan). Mana ada negara di dunia seperti ini?
Berbanding dengan negara lain, seperti Thailand dan Indonesia serta lain-lain negara dunia, mereka yang berhijrah mesti diasimilasikan dahulu sebelum menjadi warga negara di sana. Kita lihat di Thailand, pada tahun 1930an semua identiti kaum Cina dihapuskan termasuk meroboh semua sekolah Cina. Hari ini, orang Cina di Thailand sudah tidak seperti orang Cina. Mereka telah diasimilasikan menjadi orang Thai (Siam). Tidak ada beza antara orang Thai dan orang Cina. Cina yang sudah tidak ada semangat Cina. Malah mereka tidak ada keinginan langsung untuk pergi ke negeri China. Begitu juga di Indonesia. Banyak lagi contoh lain yang boleh saya ketengahkan. Ini yang menjadikan saya sedar diri dan bersyukur.

Berbeza dengan di Malaysia, sudahlah namanya bertukar daripada Tanah Melayu kepada Malaysia, keadaan masih tidak banyak berubah. Orang Cina tetap dengan kecinaannya. Lebih menyedihkan ada di kalangan mereka (ramai) tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mereka langsung tidak mahu diasimilasikan. Mereka tidak mahu ambil tahu langsung tentang adat budaya Melayu. Malah, mereka malu berbahasa Melayu sebab mereka memandang rendah pada orang Melayu. Istilah-istilah yang digunakan terhadap orang Melayupun istilah-istilah menghina yang tidak perlu saya tulis di sini, kerana sebagai orang Cina saya tahu apa yang berlaku. Justeru, dapatan kajian saya tidak mengejut, orang Cina akan berjuang habis-habisan sebarang percubaan untuk mengasimilasikan mereka dan percubaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan kepada satu sekolah. Pendek kata, hidup mati orang Cina adalah dengan sekolah Cina dan semangat keCinaan mereka.

Saya merasa bersyukur kerana dilahirkan di kampung Melayu, tetapi dibesarkan dalam keluarga yang begitu kuat berpegang kepada tradisi Cina. Alhamdulillah, saya dapat memahami orang Melayu dengan lebih mendalam melalui pergaulan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya tahu sensitiviti orang Melayu dan cara hidup Melayu. Latar belakang sebegini, tidak semestinya menjadikan saya orang Melayu, kerana saya adalah orang Cina yang dijadikan Allah SWT, darahnya tetap darah Cina. Jika saya ditakdir lahir di kawasan orang Cina, saya fikir saya tidak banyak berubah, sebab saya celik sejarah, celik perlembagaan serta sedar diri. Pokoknya, kita mesti sedar diri dan memahami sejarah negara.

Sejarah Malaysia adalah berakarkan kepada sejarah Melayu. Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan bangsa Melayu. Sejarah inilah yang tidak dapat dipisahkan juga dengan istilah ketuanan Islam dan ketuanan Melayu. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu. Tetapi jika istilah ini digunakan untuk menunjukkan bahawa penduduk Melayu adalah pribumi asal, pada saya ia tidak salah sepertimana yang pernah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketuanan Melayu bukanlah merujuk kepada hubungan antara ‘tuan’ dan ‘hamba’. Saya tidak fikir istilah ketuanan Melayu akan digunakan jika sekiranya nama Malaysia kekal seperti nama asalnya dahulu iaitu Tanah Melayu. Nama Malaysia tidak menampakkan identiti Melayu. Dengan sebab itu, istilah ketuanan Melayu digunakan. Justeru, tidak salah penggunaan istilah ini jika dengan maksud dan tujuan yang baik dan bukan menghina bangsa lain.
Pada hemat saya, jika istilah ketuanan Melayu hanya digunakan untuk merujuk kepada sejarah Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang termaktub dalam perlembagaan dan sebagainya berkaitan dengan Melayu, saya fikir itu tidak salah. Identiti ini sekadar hendak menunjukkan bahawa inilah keadaan Malaysia yang sebenar, sebelum dan selepas merdeka. Apa yang penting perlaksanaan dasar mesti tidak mendiskriminasikan semua kaum yang ada di negara ini. Jika ada pun diskriminasi atau ketidakadilan yang berlaku, yang patut dipersalahkan mereka yang melaksanakan dasar, bukannya menolak sesuatu dasar yang telah dipersetujui bersama. Adakah saya rasis apabila memperkatakan perkara ini?
Saya masih teringat apabila Teresa Kok dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor, perkara pertama yang beliau ucapkan adalah idea untuk mewujudkan sebuah bandar Cina di mana di situ ada kawasan perindustrian Cina dan institusi pengajian Cina untuk menarik pelabur-pelabur daripada negara China. Adakah idea ini tidak rasis? Adakah saya yang membangkitkan isu ini rasis? Bila saya membela Cina tidak rasis, bila mana saya membela Melayu dan Islam, saya dituduh rasis. Jangan jadi gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak begitu jelas. Bila isu menyebelahi Cina atau India, kita senyap. Bila isu menyebelahi Melayu, bagaikan nak runtuh satu Malaysia? Adakah politik sebegini tidak rasis? Saya harap kita jangan bertindak seperti kacang lupakan kulit.
Tolak ansur yang berjalan selama ini tidak ada tolok bandingnya. Saya masih tidak lupa, ketika segelintir pertubuhan Cina mahu mendirikan tugu Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun atau Malayan People’s Anti- Japanese Army (MPAJA) di Taman Peringatan Nilai, sebagai memperingati pejuang-pejuang Cina yang gugur menentang Jepun ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945. Tugu tersebut telah didirikan atas alasan memperingati mereka yang telah terkorban mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu. Fakta ini salah dan menyeleweng.
Ketika tugu ini sedang didirikan, beberapa pertubuhan Melayu dan juga bukan Melayu yang memahami sejarah (lihat artikel saya dalam Utusan Malaysia 26.12.2006), mahukan fakta sejarah tersebut diperbetulkan dan tugu tersebut tidak dibina. Mereka bukan pejuang kemerdekaan tetapi mereka bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun.
Ini disebabkan oleh sejarah politik/perang/permusuhan antara Jepun-China pada tahun 1894, 1895 dan 1937. Jepun dan China saling berperang dan berdendam antara satu sama lain. Penentangan Cina terhadap Jepun dan penganiayaan Jepun terhadap orang Cina, lebih kepada isu membalas dendam bukannya perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. MPAJA adalah alat PKM. Justeru, kita lihat apabila Jepun meninggalkan Tanah Melayu, PKM mempunyai cita-cita tinggi untuk memerintah Tanah Melayu. Pada masa sama sebelum itu, MPAJA diperalatkan British untuk menentang Jepun. Dalam hal ini, tidak timbul langsung isu MPAJA memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Jikapun benar, kenapa MPAJA tidak menentang Malayan Union yang diperkenalkan British selepas Jepun menyerah kalah?

Malangnya, hari ini tugu MPAJA telah berdiri megah di Taman Peringatan Nilai, dan menjadi pusat penyembahan. Apakah saya membangkitkan isu ini bermakna saya rasis. Adakah yang membina tugu itu tidak rasis?
Adakah kewujudan bandar Cina atau China Town di setiap bandar itu tidak rasis. Pernahkah kita dengar ada Malay Town di negara bertuah ini. Atau terdapatkah universiti kepunyaan UMNO di negara ini? Tetapi kita ada Kolej/Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Asian Institute of Medical Science and Technology (AIMST-MIC) dan bermacam-macam lagi institusi berasaskan kaum. Adakah ia tidak rasis? Siapakah sebenarnya yang rasis? Cuba kaji berapa banyak peruntukan yang diberi oleh kerajaan terhadap universiti kepunyaan MCA, Gerakan dan MIC ini?
Ini tidak termasuk nama-nama jalan yang ingin diubah kepada nama individu tertentu dan menggunakan nama jalan pelbagai bahasa atas alasan agar pelancong dapat tahu nama-nama jalan tersebut. Perlukah kita mengajar pelancong ini dengan bahasa mereka sendiri. Bukankah pelancong datang ke sini untuk memahami budaya dan bahasa rasmi di sini. Bukankah kita ada satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh semua kaum, yang perlu didaulatkan. Adakah ini tidak rasis?
Ke manakah kita nak bawa negara Malaysia? Apakah akar Melayu perlu dibuang langsung. Pada hemat, apapun yang berlaku kita perlu menghormati orang Melayu selaku penduduk asal di negara ini dari segi sejarah. Manakala orang Melayu juga perlu menghormati orang bukan Melayu. Pendek kata, kita perlu saling hormat-menghormati perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama, walaupun ia nampak lebih menyebelahi orang Melayu. Tetapi hak kita sebagai bukan Melayu tidak diabaikan.
Saya bangkitkan isu kuil dan rumah ibadat kerana itulah hakikat yang sebenar. Saya tidak fikir semua rumah ibadat dibina sendiri, menggunakan wang sendiri mereka. Kebanyakan rumah ibadat kaum-kaum lain dibina di atas tanah kerajaan. Bukan Melayu tidak boleh membandingkan agama mereka dengan Islam, kerana terdapat peruntukan istimewa kedudukan Islam dalam perlembagaan. Perkara ini telah dipersetujui secara bersama ketika perlembagaan digubal. Justeru, keistimewaan agama Islam perlu dihormati. Sudah pasti dalam hal ini hak bukan Islam tidak terabai kerana Islam menghormati hak agama-agama lain.
Begitu juga dengan DEB. Ia tidak boleh dilihat dari perspektif negatif semata-mata. Berapa ramai orang bukan Melayu mendapat habuan daripada kejayaan orang Melayu dalam DEB? Sila baca buku yang ditulis oleh Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan dalam bukunya the Chinese Malaysian Contribution. Mereka melihat bagaimana orang Cina mendapat habuan apabila orang Melayu turut berjaya. Jika orang Melayu berjaya melalui DEB, sebahagian besar pengeluar adalah orang Cina. Ini bermakna, bila orang Melayu berjaya, orang Cina dapat percikan dan kejayaan sama. Adakah kejayaan Cina disebabkan usaha mereka semata-mata. Jawabannya tidak, banyak faktor yang menyumbang seperti dasar-dasar kerajaan, kejayaan DEB dan sebagainya. Janganlah anggap apa yang kita ada hari ini semata-mata kerana usaha kita sendiri tanpa melihat bagaimana kejayaan itu dicapai.

Dengan sebab itu, sebelum kenyataan dihamburkan, mereka mesti mengetahui asal-usul sejarah Malaysia terlebih dahulu. Bagaimana Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Bagaimana identiti sesebuah negara tercabut disebabkan oleh tolak ansur meraikan semua pihak. Sedangkan kita tahu bahawa Tanah Melayu, boleh terus kekalkan menjadi nama Tanah Melayu. Begitu juga di Singapura, boleh terus kekal menjadi salah sebuah negara Melayu di kepulauan Melayu. Kenapakah sebuah negara Melayu boleh terlepas menjadi negara Cina di kepulauan Melayu. Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya nasib kita berada di sini.
Kita perlu ingat, bermasyarakat majmuk bukan berlaku secara semulajadi. Tidak ada satu negara di dunia bermula dengan masyarakat majmuk. Semua negara bermula dengan satu bangsa. Nama bangsa tersebut, biasanya akan menjadi nama sesebuah negara itu. Misalnya, Melayu – Tanah Melayu, Cina – China, India – India, Siam – Siam (Thai), Vietnam – Vietnam, Arab – negara-negara Arab, barat – negara-negara kulit putih dan sebagainya. Kemajmukan sesebuah negara berlaku disebabkan oleh penghijrahan. Justeru, kaji sejarah ini. Kenapa ia boleh berlaku sedemikian rupa? Setelah dikaji, bandingkan, siapakah atau negara manakah yang lebih bernasib baik? Orang Melayu tidak ada lagi tempat dituju melainkan di negara-negara kepulauan mereka sendiri. Sedangkan orang lain mungkin ada tempat yang hendak dituju.
Bandingkan juga dengan Singapura. Sebuah negara Melayu yang telah jatuh kepada orang majoriti Cina. Adakah nasib Melayu terbela? Adakah kerajaan Singapura mempercayai orang Melayu? Berapa ramai orang Melayu dilantik menjadi menteri dan jawatan-jawatan tinggi dalam tentera, polis, imigresen dan lain-lain? Kerajaan Singapura lebih mempercayai orang India yang majoritinya lebih kecil daripada Melayu? Orang Melayu merempat di bumi sendiri. Adakah kita mahu ia berlaku di Malaysia?

Dalam isu Beng Hock, saya sudah terus terang mengatakan bahawa kematian beliau perlu dibela. Cuma, saya timbulkan janganlah kita mengeluarkan pandangan-pandangan yang boleh mengguris hati orang lain. Orang Melayu tidak hanya ada dalam PKR dan PAS sahaja, Melayu juga dalam UMNO, parti-parti lain dan ada yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Adakah kerana kita berada dalam Pakatan, bermakna kita hanya perlu menjaga hati bukan Melayu dalam PR sahaja. Bagaimana dengan yang lain? Saya mengaitkan isu Beng Hock dengan agama, kerana kita adalah masyarakat yang beragama. Mana ada satupun agama yang membenarkan hubungan seks sebelum berkahwin. Jika adalah orang Islam yang terlibat dalam seks bebas sebelum berkahwin, itu adalah salah individu. Jangan pula agama disalahkan. Agama itu terlalu suci. Kalau tidak faham agama sendiri, belajarlah, jangan jadi jahil. Bila saya bercakap seumpama ini saya dituduh tali barut UMNO.

Apakah UMNO terlalu buruk? Apakah UMNO tidak ada jasa langsung terhadap orang Cina atau Melayu yang lain? Adakah kejayaan orang Cina ini hari berlaku dengan secara semulajadi? Apakah UMNO itu terlalu buruk sehingga kepentingan kaum lain dinafikan sama sekali? Memang tidak dinafikan bahawa UMNO ada kelemahan, kerana UMNO itu ditadbirkan oleh manusia. Jika ada penyelewengan dan korupsi dalam UMNO, itu adalah segelintir individu, masih ramai orang UMNO yang baik-baik yang masih boleh dijadikan kawan dan didakwahkan. Adakah kita terlampau baik sehingga tidak boleh ditegur? Janganlah seperti kacang lupakan kulit.

sumber-Ridhuan Tee
read more “Bila Kacang Lupakan Kulit”

Nasib Melayu Dibumi Melayu

Nasib Melayu di bumi Melayu
Oleh
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan suruhanjaya bebas diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock. Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini. Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina MCA, Gerakan (BN) dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak nafikan ada yang tidak kena dengan cara SPRM mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan yang lebih ekstrim mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang bakal lahir yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock ‘dibinkan’ atau diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah ketua wanita MCA bahawa betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukareala) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini?

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfucius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan ketua wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan bersekedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya masih tidak faham kenapa hari ini, terlalu ramai di kalangan kita suka menjadikan wanita sebagai mangsa dengan melakukan hubungan seks (sehingga mengandung) sebelum dinikahkan? Ajaran agama manakah yang membenarkan hubungan haram ini? Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrim. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebalik. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1988. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan parti PAS dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Kes yang hampir sama berlaku, saya masih teringat pada November 2005, kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar-akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat saya, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrim MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga Cina tetapi seorang gadis Melayu.

Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikan dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum.

Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibarat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini. Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uigur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama ISLAM, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat seperti cacing kepanasan.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu Murtad (Lina Joey), berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrim ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntung sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, UPNM (email: mrtee@upnm.edu.my)
Disiarkan: Utusan Malaysia, 26 Julai 2009
read more “Nasib Melayu Dibumi Melayu”

Bahasa Melayu Mesti Diperkasakan

Saya menyokong penuh kenyataan Senator Dr Mohd Fuad Zarkashi dalam perhimpunan Agong UMNO semalam, agar bahasa Melayu dapat didaulatkan dalam segala aspek cara hidup di Negara kita, apatah lagi mengenai pengajaran bahasa Melayu dalam semua aspek akademik di sekolah. Beliau mengambil contoh bagaimana pelajar-pelajar Melayu menjadi mangsa apabila matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya kajian demi kajian telah dibuat oleh pakar-pakar akademik di universiti-universiti tempatan sebelum ini, akan padahnya pengajaran bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan matematik. Namun, kajian ikhlas bernas mereka tidak diendahkan, kita ‘tongsampahkan’ kajian mereka. Kita banyak bersangka buruk terhadap mereka. Malah kajian mereka dikecam. Mereka dituduh sebagai golongan anti pembangunan, chauvanism atau amat tebal perkauman Melayu.

Bagi saya, ini bukan soal anti pembangunan atau tebal semangat perkauman Melayu. Ini adalah soal maruah dan masa depan bahasa Melayu dalam sebuah Negara berakarkan bangsa Melayu (Tanah Melayu). Terus terang, saya adalah orang bukan Melayu, berbangsa Cina. Namun saya amat prihatin soal pembinaan bangsa Malaysia berakarumbikan bahasa Melayu. Inilah satu-satu caranya untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan bangsa Melayu agar tidak pupus ditelan zaman. Adalah suatu yang amat malang apabila sesuatu bangsa atau bahasa pupus di tanahair sendiri. Mengikut sejarah Negara bangsa dunia,,semua Negara ditegakkan berasaskan kepada bangsa dan bahasa yang dijadikan oleh Allah SWT

Cuba bayangkan cantiknya kejadian Allah SWT. Apabila dijadikan atau dikumpulkan orang Cina, maka terbentuklah sebuah Negara yang bernama China. Bangsa India membentuk negara India. Bangsa Arab membentuk negara-negara Arab. Bangsa Melayu membentuk negara Melayu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain. Pendek kata, sesebuah bangsa itu akan membentuk berasaskan nama bangsa dan bahasa mereka tersendiri. Usaha-usaha diambil oleh negara bangsa ini akan memperkasakan bahasa dan agama mereka dengan sebaik mungkin tanpa diganggugugat oleh anasir-anasir dan pengaruh luar.

Cuba kita kaji, berapa ramaikah orang bukan Melayu hatta menteri kabinet sendiri yang fasih atau boleh berbahasa Melayu dengan baik. Apabila ditanya atau diinterview oleh wartawan, bahasa Melayunya amat meloyakan. Apakah ini pembinaan bangsa Malaysia yang ingin kita jana? Kajian hendaklah dibuat secara serius mengenai penguasaan bahasa Melayu di kampung-kampung baru Cina atau di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Berapa peratuskah yang boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mengikut pengalaman saya, ada segelintir yang tidak boleh langsung bertutur dalam bahasa Melayu. Untuk fasih jauh sekali.

Kajian juga mesti dibuat terhadap keputusan UPSR pelajar-pelajar jenis kebangsaan. Rata-rata pelajar-pelajarnya tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Untuk makluman, UPSR di sekolah jenis kebangsaan mempunyai 7 matapelajaran, tambah 2 matapelajara bahasa Cina. Sebenarnya tidak ramai yang mendapat 7A. Rata-ratanya 5A. Kerana mereka tidak dapat A dalam 2 matapelajaran bahasa Melayu. Majoritinya gagal dan mendapatkan skor yang amat rendah dalam bahasa Melayu.

Bayangkan, berapa ramai yang boleh menguasai bahasa kebangsaan ini dengan baik?. Berapa banyak kelas peralihan yang terpaksa disediakan untuk membantu mereka ini memahami bahasa Melayu. Itupun tidak banyak membantu kerana bila mereka tidak dapat memahami bahasa Melayu, segala apa yang diajar dalam Melayu di sekolah menengah tidak dapat difahami. Ini mengakibatkan pelajar bukan Melayu ketinggalan dan tercicir..

Pengalaman Negara jiran kita, Thailand sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita. Thailand, adalah antara Negara yang paling cepat membangun dengan kekuatan semangat ‘kesiamannya’. Thailand telah menghapuskan sama sekali sekolah berasaskan kaum sejak 1930an, dan yang ada hanya sekolah satu aliran sahaja. Tujuannya tidak lain untuk memperkasakan bangsa dan bahasa Siam itu sendiri. Hasilnya, Thailand amat berjaya melahirkan sebuah negara Siam yang beridentiti dan bermaruah. Walaupun, ada berlaku kudeta, tetapi ia tidak menghalang negara ini untuk terus meningkat maju. Rakyatnya begitu unik sekali, menjunjung bahasa Siam dan agama Budhha. Ini senjata perpaduan nasional yang paling berkesan.
Kerajaan Thailand berjaya ’mensiamkan’ rakyatnya yang terdiri dari berbilang kaum, tidak kira Cina atau Melayu. Semua orang melayu dan Cina fasih berbahasa Siam. Selain dari sistem pendidikan mereka berteraskan bahasa Siam, semua urusan seharian mesti berakarumbikan bahasa Siam. Semua iklan, produk (barangan), drama dan filem dari luar akan dialihbahasakan ke dalam bahasa Siam termasuk cerita-cerita Bollywood dan barat. Tetapi, apa jadi dengan Negara kita?. Adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kita menerima semua filem daripada luar, tanpa dialih bahasakan ke dalam bahasa Melayu. Lebih menyedihkan lagi, stesen-stesen TV dan radio kita kadangkala beroperasi seolah-olah kita tidak berada di Malaysia tetapi berada di Hong Kong, di Amerika atau negara lain.

Lebih menyedihkan lagi, kita membenarkan sekolah berasaskan kaum ini beroperasi dengan penuh semangat perkauman sebelum dan selepas merdeka tanpa dipantau dengan bersungguh-sungguh. Sekarang ini merebak kepada universiti perkauman (Universiti Tunku Abdul Rahman - MCA dan Universiti Terbuka Wawasan –Gerakan). Dasar ini amat merbahaya dan ancaman kepada perpaduan nasional. Kenapa kita tidak bangunkan Malaysia dengan semangat ’kemalaysiaan’ berakarumbikan bahasa Melayu. Kalaulah sekolah dan universiti perkauman sudah menjadi dasar kerajaan, maka pemantauan hendaklah dilaksanakan tanpa kompromi. Bahasa Melayu mesti didaulatkan dan diperkasakan ditempat-tempat sebegini.

Mengikut kefahaman saya, yang menganut berbagai agama sebelum memeluk agama Islam, tidak ada satupun agama didunia ini yang menolak untuk mempelajaran bahasa asing. Apatah lagi agama Islam. Tuntutan Islam mengenai perlunya mempelajari bahasa lain amat jelas. Nabi Muhammad SAW amat menuntut umatnya menuntut mempelajari bahasa lain sebagai mesej dakwah hatta sampai ke negeri China sekalipun. Tetapi janganlah sampai keghairahan mempelajari bahasa lain sehingga bahasa sendiri di kesampingkan. Kita mesti ingat, bahasa ini adalah anugerah Allah SWT. Setiap bangsa yang dijadikan oleh Allah SWT mempunyai kekuatannya tersendiri. Kita tidak boleh memperlekehkan bahasa atau agama sendiri. Kerana ia anugerah Allah. Apatah lagi jika ada yang sanggup mengatakan ‘saya kelihatan bodoh (stupid) jika bercakap dalam bahasa Melayu’.

Kita mesti ingat bahawa, Malaysia dari segi sejarahnya adalah sebuah negara Melayu. Malaysia berasal dari akar kata Tanah Melayu. Ini kerana kejadian asalnya. Allah kumpulkan orang Melayu di kepulauan Melayu, maka terbentuklah sebuah negara bangsa bernama Tanah Melayu. Malangnya, semua dasar negara kita tidak berasaskan Melayu malah berbau perkauman yang ketara, sekolah perkauman, universiti perkauman, parti perkauman, surat khabar perkauman, stesen radio dan tv perkauman, NGO perkauman dan berbagai contoh lagi.

Saya tidak kisah sama ada kementerian yang menjaga bahasa Melayu ini diletakkan di bawah menteri Melayu atau bukan Melayu, apa yang penting ktia mesti mempunyai DASAR yang mesti dipatuhi oleh semua kaum dan pihak. Tidak ada gunanya kita letakkan Menteri Melayu menjaga bahasa Melayu, jika orang ini tidak ada roh untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

sumber-Ridhuan Tee blospot.com
read more “Bahasa Melayu Mesti Diperkasakan”

Sunday, 2 August 2009

Shahidan bersama skuad Perlis


KUALA LUMPUR – Nizaruddin Yusof menutup tirai Liga Super musim ini dengan dua jaringan yang bukan sahaja berjaya menjulang dirinya untuk ditabal sebagai penjaring terbanyak dengan 18 gol malah meletakkan Perlis selaku naib juara di belakang Selangor.

Gol Nizaruddin pada minit ke-53 dan 79 itu cukup untuk membolehkan Perlis menewaskan Polis Diraja Malaysia 2-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam walaupun pada satu ketika ketinggalan hasil jaringan pemain lawan, Khairul Azwan Abdullah pada minit ke-51.

Malang bagi pencabar Nizaruddin untuk merebut gelaran Kasut Emas, Mohd. Ashaari Samsudin apabila dia hanya mampu menjaringkan satu gol ketika Terengganu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, Ashaari yang terikat 16 gol dengan Nizaruddin, mencipta jaringan pada minit ke-21 sebelum S. Kunalan menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-84.

Kedah pula menduduki tempat ketiga musim ini selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Ini diikuti Johor FC di tempat keempat selepas pasukan bertaraf kelab itu menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang.

Terengganu pula di tempat kelima diikuti Kelantan, Negeri Sembilan, KL PLUS, Kuala Muda Naza, Perak, UPB-MyTeam, Pulau Pinang, Pahang dan PDRM.

Kedudukan mutakhir itu diperoleh selepas turut mengambil kira keputusan perlawanan yang menyaksikan KL PLUS menewaskan Kuala Muda Naza 5-0 di Stadium KLFA Cheras dan Perak seri 1-1 dengan UPB-MyTeam di Stadium Perak, semalam.

sumber-utusan

read more “Shahidan bersama skuad Perlis”

Saturday, 1 August 2009

Melayu Mesti Kiasu Untuk Berjaya

Melayu mesti ‘kiasu’ untuk berjaya
Pendapat

SAYA amat tertarik dengan syarahan Profesor Diraja Ungku Aziz, di Universiti Malaya minggu lalu. Beliau menyarankan orang Melayu supaya mempunyai sikap ‘kiasu’ untuk berjaya seperti mana amalan orang Cina.

Kiasu adalah perkataan Hokkien (Cina) bermaksud takut kalah. Kiasu boleh diaplikasikan dalam berbagai keadaan aspek hidup. Takut kalah dalam sebarang persaingan atau pertandingan atau peperangan. Dalam konteks ini, sudah tentu persaingan dan pertandingan yang sihat dalam perkara kebaikan. Dalam konteks Melayu, kiasu dengan bangsa lain dan mahu hidup gagah, dipandang hebat di bumi sendiri.

Sebenarnya, budaya hidup orang Melayu telah lama tersemat dengan sikap kiasu sejak mereka menerima Islam 600 tahun lalu. Terbukti, orang Melayu pernah berjaya mentadbir dan menguruskan negara sendiri iaitu kerajaan Melayu Islam Melaka sehingga terkenal seantero dunia, termasuk menjadi tarikan kerajaan negara China.

Tamadun Melayu pernah mengalami pasang surut. Melayu pernah hidup mewah dan pernah hidup susah. Pernah tinggal di bandar dan tidak kurang di kampung-kampung, pernah berniaga dan pernah mengusahakan hasil tani.

Pengalaman yang dilalui telah menjadikan mereka mempunyai semangat kental. Kita jangan lupa, siapa yang mengusir penjajah keluar kalau bukan orang Melayu. Inilah sikap kiasu. Takut kalah di bumi sendiri. Takut dijajah di bumi sendiri.

Inilah perkara yang cuba dibawa oleh Ungku Aziz. Tamadun Melayu Islam menjadi hebat juga disebabkan oleh ilmu. Kekuatan ilmu ini yang telah mencorakkan sikap Melayu untuk berdaya saing. Kekuatan ilmu telah menjadi orang Melayu mahu berfikir lebih jauh ke hadapan. Mereka tidak mengambil jalan singkat, tetapi sentiasa berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Penjajah demi penjajah datang, akhirnya berjaya mereka halau.

Cuma hari ini, mereka mulai lupa jerit pahit tok nenek moyang mereka. Mereka menjadi manusia yang malas berfikir, tetapi mahu hidup mewah. Akhirnya mencari jalan pintas.

Semangat kepahlawanan telah hilang. Semangat bendahara dan hulubalang telah lunyai. Mereka hanya berbangga menjadi ‘tuan’ negara ini. Mereka sudah lupa bagaimana ‘ketuanan’ itu wujud sebelum ini.

Budaya berfikir sudah tidak wujud lagi seperti sabda nabi, berfikir seminit lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Berfikir adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Ada yang suka membaca tetapi tidak mahu berfikir. Sekadar membaca tidak cukup kerana membaca tanpa berfikir tidak akan memberikan kesan. Inilah konsep generasi ulul albab yang diperbahaskan dengan panjang lebar dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sebenarnya kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh telah lama mempelopori istilah ini. Saya sering kali ke sana memberikan penerangan mengenai istilah ulul albab. Sebenarnya istilah-istilah dalam al-Quran, penuh dengan semangat kiasu. Cuma kita sahaja yang tidak mahu mencungkilnya.

Selain istilah ulul albab, ada satu lagi istilah yang membawa makna mengalahi kiasu ialah ulil absar, orang yang memiliki pandangan atau wawasan.

Dalam konteks ini, orang yang memiliki pandangan atau wawasan yang jauh ke hadapan. Orang yang memiliki fikiran dan wawasan jauh ke hadapan akan tetap kiasu.

Kalau kita bandingkan dengan orang Cina di negara kita, sejak awal-awal lagi mereka kiasu. Takut kalah di bumi orang. Takut merempat di bumi orang.

Sebab itu istilah Cina seberang laut, berbeza dengan Cina di tanah besar. Cina seberang laut, boleh dikatakan lebih berjaya daripada orang Cina di negeri China. Cina seberang laut mempunyai semangat kiasu luar biasa sehingga dapat membentuk sebuah negara sendiri iaitu Singapura yang asalnya sebuah negara Melayu. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Kerana mereka percaya kepada ‘satu Cina’ walaupun terdapat berbagai kumpulan atau istilah Cina, mereka tetap kiasu. Ke mana pun mereka pergi, mereka tetap Cina walaupun apa juga nama, kumpulan, bahasa, dan ideologi.

Berbeza dengan orang Melayu. Semua yakin bahawa Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Hanya ada ‘satu Melayu’ iaitu mereka yang beragama Islam. Tetapi Melayu Islam ini dipecah-pecahkan mengikut semangat kedaerahan, kumpulan, bahasa, parti politik dan ideologi. Tidak pada orang Cina, walaupun kita lihat di kalangan orang Cina itu sendiri ada berbagai-bagai agama seperti Buddha, Confucius, Toaism, Kristian dan Islam (ini tidak termasuk kelainan bahasa, dialek dan sebagainya) tetapi mereka berpegang kepada semangat ‘satu Cina’.

Sebenarnya, orang Melayu lebih mudah, sebab mereka hanya ada satu, ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ iaitu Melayu Islam. Jika mereka mempunyai pemikiran dan wawasan berjuang atas nama ‘satu Islam’ maka banyak masalah yang boleh diselesaikan.

Satu Islam untuk semua manusia, tak kira apa bangsa sekalipun. Kita hanya ada satu kiasu. Tetapi semangat satu kiasu tidak tertonjol kerana kita membesar-besar perbezaan, lebih-lebih lagi perbezaan pendapat dan latar belakang politik.

sumber-Ridhuan Tee
read more “Melayu Mesti Kiasu Untuk Berjaya”