Tuesday, 14 June 2011

Siyasah Perubahan Dengan Maslahah

Siyasah Perubahan Dengan Maslahah

SIYASAH PERUBAHAN DENGAN MASLAHAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com)

Nabi s.a.w tidak meninggalkan perincian dalam masalah politik. Politik bukanlah ibadah khusus seperti solat, puasa yang seumpamanya yang tidak boleh diubah. Politik itu sesuatu yang bergerak berdasarkan kemaslahatan hidup manusia. Justeru itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan pendetilan tentang politik, sebaliknya hanyalah prinsip-prinsip umum untuk dipegang oleh manusia. Jika ada pendetilan, ia mempunyai faktor tempat dan masa yang terdedah kepada perubahan. Apatahlagi, pentadbiran kerajaan Nabi s.a.w tidaklah sistematik seperti zaman selepas itu. Ini kerana keperluan politik sudah memadai dengan bentuk pengurusan yang lebih menjurus kepada tribal system ketika itu. Maka pengurusan Nabi s.a.w berdasarkan kepada keperluan rakyat. Kemudian politik itu berkembang dan pengurusannya lebih rumit dan terperinci. Tidak sama pula antara satu tempat dengan yang lain, antara negeri dengan negeri, antara negara dengan negara.

Maka, kita dapati banyak perubahan politik yang dilakukan selepas kewafatan Nabi s.a.w, khususnya bermula pada zaman Saidina ‘Umar al-Khattab. Ijtihad dalam politik lebih luas dan terbuka. Terasnya, kemaslahatan rakyat. Islam bersifat luas dalam hal politik. Ini kerana syariat itu dibina atas dasar kemaslahatan manusia. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Ertinya, apa yang penting dalam penegakan syariat adalah tujuan atau maqsad utama syariat itu iaitu kemaslahatan manusia. Bukan soal nama yang penting tetapi matlamat dari perlaksanaan sesuatu perkara yang dikaitkan dengan nama syariah itulah yang paling penting. Jika kita memberikan nama yang ‘islamik’sekalipun, tetapi tidak mencapai tujuan syariah iaitu keadilan untuk manusia, maka ia tidak boleh dianggap islamik. Nama bukan penentu, isi dan pencapaian maqsad itulah yang paling penting. Sebab itu, jika menamakan negara dengan ‘daulah islamiyyah’ tetapi tidak mencapai maqsad keadilan, maka nama itu tidak bererti, bahkan memberikan salahfaham umum terhadap agama yang suci ini.

Realiti Semasa

Untuk mencapai keadilan dan tujuan perlaksanaan syariah, ia memerlukan kefahaman terhadap nas dan penelitian terhadap realiti semasa. Kefahaman yang literal terhadap hadis-hadis siyasah akan menjadikan perlaksanaan Islam dalam bidang tersebut gagal mencapai tujuan sebenar syariat. Sebab itu dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan”. (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani)

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Dalam riwayat Abu Daud:

“Jangan dipotong tangan ketika pemusafiran” (Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani.)

Dalam hadis di atas, Nabi s.a.w mengambil kira persoalan realiti tempat, masa dan kesan terhadap sesuatu perlaksanaan hukum. Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapuhan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati. Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang kondusif itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Demikian juga dalam hadis Anas bin Malik, dia berkata:

“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w enggan menetapkan atau mengawal harga barang (price control policy). Baginda bimbang itu akan menzalimi peniaga. Ini sangat relevan dengan keadaan para peniaga pada zaman baginda, keadaan barangan yang diniagakan dan juga bentuk perdagangan yang ada ketika itu. Namun, apabila zaman berubah, sikap peniaga, keadaan pasaran (market situation) pun berubah. Jika price control policytidak diwujudkan, para pembeli pula mungkin menjadi mangsa. Untuk itu kita dapati para sarjana fekah sejak dahulu ada yang memboleh penetapan harga oleh pihak berkuasa apabila melihat kepada perubahan keadaan.

Kata al-Munawi (meninggal 1031H) :

“Rabiah (bin ‘Abd al-Rahman) telah mengharuskan penetapan harga. Ini sebenarnya Mazhab ‘Umar, kerana itu akan memelihara sistem harga. Kata Ibn al-‘Arabi al-Maliki: sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan”.( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.).

Hal yang sama disebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa.

Kefahaman yang sebegini bukan menolak hadis, sebaliknya berusaha melihat nas dari segi teks dan konteks. Maka, pemimpin muslim yang hendak memimpin umat dalam era ini, tidak boleh terlalu literal dalam memahami nas, tetapi hendaklah melihat Maqasid al-Syariah (The higher objectives of Islamic Law) bagi setiap nas-nas yang berkaitan politik islami.

read more “Siyasah Perubahan Dengan Maslahah”

Sunday, 12 June 2011

'Set Off' Hutang Dengan Servis


'Set Off' Hutang Dengan Servis

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

NORIBA

SOALAN

Ustaz, katalah ada seorang berhutang dengan saya sebanyak RM 12,000 tanpa sebarang faedah, dan berjanji akan membayarnya dalam masa 1 tahun, iaitu RM 1,000 setiap bulan. Disebabkan beliau seorang yang pandai membaca Al-Quran, bolehkah saya memintanya mengajar anak saya mengaji dengan upah sebanyak RM 200 sebulan yang akan ditolak dari hutangnya tadi, maka jadilah setiap bulan hanya perlu membayar RM 800 sahaja. Adakah ini dibenarkan atau jatuh dalam hukum riba?

JAWAPAN

Riba adalah apa sahaja pemberian hutang wang yang mensyaratkan sesutau pulangan yang melebihi jumlah yang diberi. Pulangan itu sama ada dalam bentuk wang juga, atau manfaat-manfaat lain.

Melalui soalan yang diberikan, hutang RM 12,000 yang diberi tanpa faedah, maka ia adalah HARUS.

Kontraknya juga menetapkan pembayaran dibuat dalam tempoh 1 tahun. Dengan bayaran RM 1,000 setiap bulan, ini juga dibenarkan.

Kemudian, disebabkan khidmat atau servis mengajar mengaji, melalui aqad yang berasingan iaitu aqad ujrah ‘ala amal( upah atas kerja ) dia akan menerima bayaran sebanyak RM 200 sebulan, yang kemudian saudara ingin memotongnya dari jumlah RM 1,000 yang wajib dibayar olehnya.

Isu memotong hutang sebegitu dinamakan Al-Muqassah di dalam Fiqh Islam, ia hanya dibenarkan jika kedua-dua pihak bersetuju. Jika pihak pengajar al-Quran tadi tidak bersetuju, maka hendaklah saudara menepati janji dengan membayar RM 200 setiap bulan, kemudian dia pula akan tetap dengan janjinya untuk membayar RM 1,000 sebulan pada waktu yang berlainan.

Setiap orang mempunyai keperluan tersendiri dan tidak dapat dijangka keperluan seseorang pada waktu tertentu. Oleh itu, penolakan secara kontra itu hanya boleh menjadi HARUS bila persetujuan dicapai oleh keduanya.

RIBA ATAU TIDAK?

Ia boleh jatuh dalam riba dan boleh tidak jatuh dalam hal ini. Ia akan menjadi RIBA jika bayaran upah biasa (harga semasa) bagi pengajaran Al-Quran di kawasan saudara adalah RM 500 sebulan, namun disebabkan pengajar itu mempunyai hutang maka ia dikurangkan kepada RM 200. Jika itulah sebab pengurangan itu dibuat, transaksi itu mempunyai elemen riba yang dilarang.

Itu adalah kerana, secara tersembunyi, saudara sudah dikira mengambil hak tenaga pengajar hanya kerana dia berada keadaan berhutang dengan saudara. Ia dikira manfaat tambahan disebabkan hutangnya. Tatkala itu ia termasuk didalam larangan Baginda Nabi s.a.w.

Namun, jika bayaran upah yang diberi tiada terkesan sama sekali dengan posisi hutangnya pengajar tadi, dan semua pertimbangan dibuat tanpa mengambil kira hutang tadi. Ia adalah halal dan diharuskan.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

read more “'Set Off' Hutang Dengan Servis”

Muzakarah JAKIM Berkenaan Hukum Forex Trading

Muzakarah JAKIM Berkenaan Hukum Forex Trading

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

forexcrazy

Setelah berhempas pulas melayan sebahagian bantahan, komentar dan tidak puas hati pedagang matawang asing ( Forex Trader) sejak tahun 2008, iaitu sejak dari awal saya menyediakan kajian ringkas yang dipaparkan di web ini, boleh dirujuk artikel tersebut di link berikut :-

1. Hukum melabur dan berniaga Forex
2. Hukum Leverage Haram.
3. Perosak Forex Trader

Saya bersyukur kerana semalam telah diadakan satu muzakarah besar yang dihadiri oleh lebih 200 orang ilmuan Shariah, ulama, ahli ekonomi, bankers dan peguam. Tiga kertas kerja dibentangkan.

Kertas kerja pula bukanlah disediakan oleh individu tetapi dibuat secara berkumpulan. Ini bermakna kertas kerja tersebut wajar diberikan lebih kredit kerana merupakan buah fikiran dan kajian secara kolektif yang sememangnya akan lebih kukuh berbanding kajian dan pandangan dari seorang individu. Bukan sekadar itu, malah kumpulan pengkaji juga telah mencuba sendiri berdagang melalui salah satu platform forex bagi mendapatkan kejelasan maksimum sebelum menyimpulkan sebarang hukum. Selain itu, mereka juga telah bertemu dengan penyedia platform FOREX itu sendiri di samping beberapa siri temubual dengan pedagang FOREX yang berpengalaman. Justeru, saya kira, perdagang FOREX tidak boleh sama sekali mempertikaikan kefahaman para pengkaji kerana penyelidikan mereka jauh lebih dalam dari hanya sekadar 'pengalaman', tambahan pula penyelidik juga menrima informasi rasmi dari pihak Bank Negara Malaysia selaku 'regulator'.

KUMPULAN PERTAMA

Hasil daripada kajian kumpulan pengkaji pertama yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Bin Som, Dr. Marjan Muhammad, Ust Luqmanul Hakim Hussain, En. Wan Norhaziki Wan Abdul Halim. Kesimpulan mereka mencatatkan seperti berikut :-

“1. Spot forex yang dijalankan oleh individu melalui platform internet agak berbeza daripada konsep spot forex yang dijalankan di peringkat inter-bank. Dari satu sudut, ia dibuat berdasarkan spot forex dari segi harga lani (value spot), tetapi dari segi penyelesaian ia tidak berlaku berdasarkan T+2. Malah penyelesaian tidak akan berlaku selagi pedagang tidak menutup posisi yang dibukanya.

Namun, dari sudut yang lain, spot forex dilihat lebih mirip kepada forward forex, kerana apabila pedagang membeli sesuatu matawang daripada broker, beliau tidak akan dapat memiliki matawang yang dibelinya. Sebaliknya, pedagang akan menikmatinya setelah beliau menjualnya semula kepada broker pada waktu hadapan. Apa yang membezakan spot forex oleh individu dengan forward forex ialah kadar tukaran matawang masa hadapan adalah tetap iaitu kadar yang dipersetujui pada tarikh transaksi, manakala kadar tukaran matawang dalam spot forex tidak tetap, tetapi berdasarkan turun naik harga pasaran matawang yang didagangkan.

2. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah. Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1),(2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran
Wang (AKPW) 1953. Mana-mana individu dilarang sama sekali berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

3. Berdasarkan beberapa isu syariah yang diketengahkan termasuk isu qard = leverage, riba al-nasi’ah = rollover interest, qabd, menjual matawang yang tiada dalam pegangan (qabd) dan spekulasi yang melibatkan perjudian, ternyata operasi spot forex secara online oleh individu adalah tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jualbeli matawang (bay‘ alSarf).”

KUMPULAN KEDUA

Manakala satu kumpulan lagi datangnya dari Universiti Utara Malaysia yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib, Dr. Muhammad Nasri Hussain. Kertas mereka menyimpulkan seperti berikut :-

“Berdasarkan perbincangan di atas, perdagangan forex online adalah tidak dibenarkan oleh Syarak kerana adanya perkara-perkara yang menyalahi Syarak iaitu.

i. Pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak Sarf dan mengandungi unsur riba.

ii. Sekiranya pembelian kredit itu ditakyifkan sebagai pemberian pinjaman oleh broker, perkara tersebut masih termasuk dalam aktiviti yang dilarangkan oleh Syarak kerana mengandungi unsur mendapat manfaat dari pinjaman, dan larangan mengumpulkan ‘pinjaman’ dan jual-beli’.

iii. Menjual matawang secara menangguhkan penyerahan adalah dilarang oleh Syarak. Syarat qabd dalam majlis tidak wujud di dalam transaksi ini. Keharusan melewatkan penyerahan (qabd) tidak boleh diaplikasi dalam urusniaga ini kerana tidak termasuk di dalam konsep ‘darurat’ bagi transaksi ‘bonafide’.

iv. Urusniaga broker secara online ini mengandungi unsur bay’ al-najsy iaitu peniaga menawarkan harga bukan untuk memiliki matawang sebaliknya untuk memberi faedah kepada penjual melalui kenaikan harga.

v. Urusniaga ini juga mengandungi ihtikar yang dilarang oleh Syarak.

vi. Urusniaga ini juga mengandungi unsur perjudian yang bergantung kepada turun naik harga atau angka.”

PERANAN SAYA

Saya hanya berfungsi sebagai pengulas dalam majlis semalam. Secara dasarnya hampir kesemua kesimpulan yang dibuat oleh kedua-dua kumpulan adalah sama dengan kesimpulan yang telah saya simpulkan sejak tahun 2008 yang lalu, dengan itu, saya menyeru kepada semua pedagang matawang yang tidak berpuas hati dan menolak pandangan yang mengharamkan pedagangan matawang ini untuk berfikir kembali demi kebaikan iman dan pendapatan masing-masing.

read more “Muzakarah JAKIM Berkenaan Hukum Forex Trading”

Saturday, 11 June 2011

Mengalu-alukan Kenyataan Presiden Pas Tentang Negara Islam

MENGALU-ALUKAN KENYATAAN PRESIDEN PAS
TENTANG NEGARA ISLAM

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.

Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic statemuncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atauIslamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.

Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.

peta_malaysia.jpg

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

4 Jun 2011

read more “Mengalu-alukan Kenyataan Presiden Pas Tentang Negara Islam”

Sunday, 5 June 2011

Semangat Melayu dan ultra kiasu

Semangat Melayu dan ultra kiasu

Sinar Harian, 5 Jun 2011

Ultra kiasu begitu bernafsu untuk menguasai Putrajaya. Berbagai cara dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan prinsipnya. Mereka sanggup lakukan apa juga cara, termasuk strategi terbaharu memikat anak muda Melayu untuk menyertai mereka. Mereka tahu generasi lama, terutama yang lahir sebelum dan awal 13 Mei 1969, tidak akan menyertai mereka. Apatah lagi jika mereka faham perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maka peluang digunakan untuk memikat generasi muda hari ini yang dikatakan tidak ada lagi perasaan 13 Mei di hati mereka.

Dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya, parti ultra kiasu mahu menonjolkan imej sebagai parti untuk semua. Parti ini telah melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-ultra kiasu.

Roketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej ultra kiasu. Ultra kiasu menuduh Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa ultra kiasu adalah anti-Melayu. Menurut Setiausaha Agong parti ultra kiasu itu, perjuangan mereka adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Benarkah?

Bagi membuktikannya, parti ultra kiasu telah melantik bekas wartawan akhbar, berbangsa Melayu sebagai sebagai editornya. Tahniah kepada editor tersebut. Saya amat mengharapkan editor tersebut, yang saya kenali dapat mempergunakan pengalamannya, bagi menyedarkan umat Islam akan bahayanya ultra kiasu ini.

Jangan duduk di situ, seterusnya bersekongkol untuk menjatuhkan Melayu dan Islam. Benar, saya bersetuju, generasi muda mahu perubahan. Sayapun mahu perubahan. Tidak ada sesiapapun yang rasional suka kepada rasuah, korupsi, penyelewengan dan banyak lagi perkara mungkar. Tetapi jangan lupakan sejarah. Jadikan sejarah sebagai iktibar untuk dijadikan panduan melayari masa hadapan. Masih banyak lagi parti altenatif yang boleh dipilih jika kita tidak suka kepada parti yang memerintah hari ini. Tetapi bukan dengan memilih parti ultra kiasu.

Parti ini terlalu bahaya kepada kita sebagai umat Islam. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura. Apabila mereka berkuasa, apa yang terjadi kepada nasib Melayu di bumi Melayu. Melayu terus terpinggir dan tidak dipercayai. Jika ada Melayu yang menentang, akan dibuang jauh-jauh seperti yang berlaku kepada Melayu Singapura, Dr. Lily Zubaidah. Melayu tidak lagi dilantik menjadi presiden. Ultra kiasu lebih mempercayai bangsa lain.

Namun, jika adapun Melayu yang dipercayai, mereka akan mengambil Melayu yang sudah tidak ada darah Melayu, tidak ada semangat Melayu dan apatah lagi semangat Islam. Inilah yang sedang berlaku di sana. Apabila perkara ini berlaku, mudahlah untuk mereka memperkudakan Melayu. Akhirnya, Melayu merempat di buminya sendiri.

Perkara ini telahpun kita nampak di Pulau Pinang, walaupun tidak secara jelas. Mereka tidak boleh lakukan secara terang-terang, kerana dari segi strategi tentunya akan menghilang sokongan. Maka dibuat secara perlahan-lahan dan terancang. Menghimpit dan dihimpit. Akhirnya, Melayu berasa tidak ada lagi ketenangan berada di pulau, maka berhijrahlah mereka ke Tanah Besar. Inilah strategi Yahudi di Singapura. Begitulah cara yang digunakan oleh Yahudi untuk menghalau umat Islam di Palestin.

Umat Islam tidak boleh duduk diam melihat keadaan ini. Jika begitulah keadaannya, saya amat mengharapkan supaya Umno segera berubah kerana orang lain dan bangsa lain sudah jauh berubah. Jangan terlalu memperjuangkan bangsa. Umno perlu menukar perjuangannya daripada kebangsaan Melayu kepada Melayu Muslim. Elok juga ditukar nama Melayu kepada Melayu Muslim. Tetapi masih mengekalkan nama Umno, menjadi United Malay Muslim National Organization (Umno), cuma ditambah perkataan Muslim. Mungkin agak sukar, tetapi tidak mustahil. Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Melayu dan Islam sudah sinonim. Lebih cantik dan molek perkataan Melayu Muslim digandingkan kerana ia lebih Islamik dan dapat mengetuk lebih ramai bangsa yang mahukan Islam.

Perlembagaan Umno yang menjunjung bangsa hendaklah diletakkan di tempat kedua. Fasal 3 asas dan tujuan Umno hendaklah diubah kepada Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang memartabatkan Islam dan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Jika Umno melakukan sedemikian, saya yakin ramai orang yang akan menyertai Umno, terutama mereka yang berada di atas pagar.

Ingat, parti ultra kiasu kini bercadang untuk bertanding di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu bagi menguji penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Sebagai permulaan, mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan bandar yang majoritinya adalah orang Cina dahulu, tetapi di negeri majoriti Melayu. Jika berhasil, tidak mustahil selepas ini mereka akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri yang pecahan kaumnya tidak menampakkan majoriti-minoriti, seperti Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Suka saya bertanya kepada sekutunya PAS dan PKR, jika ultra kiasu ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu, kerusi siapa yang hendak diambil, PKR atau PAS? Saya tidak pasti sama ada PKR atau PAS sanggup menyerahkan kerusi mereka. Jika diserahkan, terbuktilah bahawa mereka semakin tunduk kepada parti ultra kiasu ini.

Inilah strategi licik parti ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Parti ultra kiasu ini mesti membuktikan bahawa mereka dapat diterima oleh semua kaum. Pada saya, mereka tidak layak untuk bertanding di kawasan Melayu. Jika mereka benar-benar ikhlas, serahkan kerusi-kerusi parlimen Kuala Lumpur yang majoritinya orang Cina kepada calon Melayu untuk bertanding. Benarkan calon ultra kiasu Melayu bertanding di Bukit Bintang, Kepong, dan sebagainya. Barulah tidak nampak ultra kiasu. Jika tidak, ultra kiasu, tetap ultra kiasu dan tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Sedarlah orang anak muda Melayu.

Diharapkan PAS tidak terperangkap demi masa depan Islam. Berhati-hati jika berkawan dan melayan kawan. Takut tergadai badan. Saya amat mengharapkan supaya kempen kesedaran dilakukan bagi menjauhi umat Islam menyertai parti ultra kiasu yang selalu berkata “langkah mayat aku” (over my dead body) jika mahu menegakkan negara Islam. Apakah kita masih terus bersangka baik?

Ramai yang beranggapan bahawa parti ultra kiasu telah berubah. Mereka bukan seperti dahulu, kuat menentang Islam. Sejak berkawan dengan Pas, mereka sudah berubah. Mula mendekati, memahami dan menerima Islam. Banyak buku dan kitab mengenai Islam telah dibeli dan dibaca oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Golongan muda ultra kiasu juga dikatakan jauh berbeza dengan golongan tua yang dikatakan sudah tidak relevan lagi. Atas alasan inilah agak-agaknya mereka mahu mengambil pendekatan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai panduan mentadbir. Saya pernah juga diberitahu bahawa pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang telah mengatakan hasratnya memeluk Islam.

Dalam hati saya berkata: “Alhamdulillah, kerana Pas berjaya mentarbiyyah dan memberikan kefahaman Islam terhadap mereka walaupun hanya berkawan dalam jangka masa singkat”. Persoalannya, adakah semua ini benar? Saya masih tertunggu-tunggu.

Bandingkan pula dengan Umno selama berkawan dengan parti-parti komponennya dalam BN, sekurang-kurangnya saya lihat beberapa menteri kanan bukan Islam memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin dan Datuk Leo Michael Toyad. Tahniah, saya tumpang gembira dan bersyukur.

Tertanya-tanya pula saya, mengapa mereka yang tidakpun menyebut atau menjaja nama Umar Abdul Aziz, tiba-tiba boleh pula memeluk Islam. Manakala mereka yang terlalu obsess dengan gaya Umar Abdul Aziz, tidak juga nampak tanda-tanda untuk memeluk Islam. Inilah selalu saya bangkitkan, mesti ada udang di sebalik batu. Slogan Umar Abdul Aziz hanya mahu ‘mencairkan’ hati kita. Wal hal sebenarnya mereka ada agenda lain seperti musang berbulu ayam.

Malangnya, kita tidak pernah mengambil pengajaran. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada mentor mereka di Singapura. Sehingga ke hari ini, pemimpin tua ultra kiasu yang tidak lagi menjadi Perdana Menteri, masih lagi berkuasa menentukan hala tuju dan masa depan Singapura. Ultra kiasu Singapura tidak pernah bersangka baik dengan orang Melayu, apatah lagi Melayu di negara kita. Hatta, sehingga ke akhir hayat isteri mentor tersebut masih sempat berpesan supaya jangan percaya kepada Melayu, kerana mereka kuat berpegang kepada Islam

Sebenarnya, ultra kiasu tidak pernah berubah. Perjuangan mereka tetap sama, tidak kira golongan tua atau muda. Malah lebih ultra lagi berbanding dahulu. Apa juga berkaitan dengan Islam akan ditentang habis-habisan walaupun nilai-nilai Islam juga akan kaitan dengan agama mereka. Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu, sudah tentu mereka akan cuba menambat hati Melayu dengan memakai pakaitan tradisi Melayu ketika pembukaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Ini tidak, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.

Kerajaan Kelantan cuba mengharamkan nombor ekor atau loteri. Adakah mereka bersetuju? Fahamkah mereka kepada Islam setelah berkawan dengan parti Islam? Jika tidak percaya, cuba kerajaan Kelantan haramkan arak, judi dan sebagainya adakah mereka akan bersetuju? Jawapannya ini sudah cukup memberikan gambaran sebenar akan ‘belang’ mereka. Tetapi kita tidak pernah serik.

Cuba tanya parti ultra kiasu antara PKR dan Pas, yang mana satukah pilihan mereka? Saya teramat yakin, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR berbanding Pas. Buat sementara ini, mereka terpaksa menerima Pas kerana pengaruh dan kekuatan Pas masih mencengkam kalangan orang Melayu. Ditakdirkan kekuatan Pas semakin merosot, tunggulah masanya untuk ditendang keluar.

Dalam Islam, memang kita sepatutnya bersangka baik daripada berprasangka, apatah lagi melabelkan mereka. Tetapi tindak-tanduk mereka yang sudah jelas menyatakan penentangan mereka terhadap Islam membuatkan saya ragu-ragu. Mungkin Pas akan bertanya bagaimana pula dengan MCA, Gerakan dan MIC? Tidakkah mereka juga turut tidak bersetuju dengan negara Islam dan dasar-dasar Islam? Jawapannya, mereka juga tidak banyak bezanya, kerana mereka tetap satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Saya cuma mengajak kita membuka mata. Ambillah pengajaran setiap yang berlaku.

Apapun sebelum mempercayai orang lain, lebih baik menaruh harapan terhadap saudara seagama. Hassan Al-Banna pernah berpesan, pendirian kita terhadap kepelbagaian kumpulan Islam yang wujud hendaklah berasaskan kasih sayang, persaudaraan, saling bantu membantu dan memberikan janji setia. Agama Allah adalah mudah dan penuh hikmah. Seseorang yang bersikap keras dalam agama, dia akan dikalahkan.
read more “Semangat Melayu dan ultra kiasu”