Friday, 3 December 2010

Pendirian Yazid Di Sebalik Pembunuhan Husain

Sepertimana ayahnya – Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh, Yazid bin Muawiyah rahimahullah juga terkenal dengan pelbagai keburukan, hasil daripada kisah-kisah sejarah versi Syi‘ah. Antara keburukan yang paling menonjol ialah kononnya Yazid telah memerintah orang-orang bawahannya untuk membunuh Husain bin Ali radhiallahu 'anh. Dalam artikel ini insya-Allah kita akan meneliti sejauh manakah kebenaran kisah tersebut.

Husain menerima surat daripada Kufah.


Setelah Yazid di bai‘ah menjadi khalifah umat Islam, Husain menerima beberapa surat daripada penduduk Iraq, khasnya dari bandar Kufah. Surat-surat tersebut menjemput Husain ke Kufah, kononnya orang-orang di sana ingin mem bai‘ah beliau sebagai khalifah. Sebahagian riwayat menambah bahawa setelah dibai‘ah, mereka akan bersama Husain untuk memerangi dan menjatuhkan pemerintahan Yazid.

Walaubagaimanapun tokoh-tokoh yang utama pada saat itu daripada kalangan sahabat dan selainnya seperti Muhammad bin Hanafiyah, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Ja’far, Abdullah bin Umar, Abu Sa‘id al-Khudri dan termasuklah Yazid, semuanya menasihati Husain agar tidak mengendahkan jemputan tersebut. Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullahmenerangkan hal ini:

“Adapun orang yang merasa kasihan terhadap pemergian Husain adalah semua pencintanya, kerabatnya, para penasihatnya dan orang-orang yang berpegang kepada sunnah-sunnah Islam. Mereka semua mencegah Husain untuk pergi dan mengingatkan beliau tentang akibatnya (yang buruk).” [catitan notakaki kepadaal-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 237]

Sebab utama mereka menghalang pemergian Husain adalah kerana yang menulis surat-surat tersebut ialah orang-orang Syi‘ah dan para pemberontak yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman ibn Affan radhiallahu 'anh. Mereka adalah orang-orang yang suka menimbulkan fitnah dan jemputan mereka kepada Husain hanya bertujuan menimbulkan fitnah yang baru ke atas ahli keluarga Rasulullah secara khusus dan umat Islam secara umum.

Penerangan Syaikh Muhib al-Din al-Khatib sekali lagi menjadi rujukan:

“Orang yang pertama menulis surat kepada Husain ialah para guru Syi‘ahsebagaimana yang diriwayatkan oleh para ahli sejarah, (di antara penulis tersebut ialah) Lut bin Yahya, Salman bin Sordi, Musyab bin Najbah, Rafaah bin Syadad, Hubaib bin Mudhahir dan mereka mengirim surat mereka bersama Abdullah bin Saba’, al-Hamadani dan Abdullah bin Wa’il.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 236]

Namun Husain enggan mendengar nasihat tersebut. Beliau mengumpulkan ahli keluarganya dan memulakan perjalanannya ke Kufah. Sebahagian orang yang ada mengejar Husain sehingga ke pertengahan jalan ke Kufah untuk menasihati beliau, tetapi beliau tetap tidak mahu mengubah pendiriannya. Para ahli sejarah tidak dapat memastikan kenapa Husain tetap berpegang kepada pendiriannya untuk ke Kufah sekalipun semua isyarat-isyarat pada ketika itu mengarahkan beliau agar tetap di Madinah. Pemergiannya itulah yang akhirnya menyebabkan beliau dan sebahagian ahli keluarganya terbunuh.

Setelah mengkaji semua data-data sejarah dan penjelasan para penelitinya, seorang ahli sejarah: Syaikh Darwazah menerangkan hakikat ini dengan penuh rendah diri:

“Kami bersaksi kepada Allah bahawa kami tidak menulis apa yang kami tulis (tentang pemergian Husain) kerana mengikuti hawa nafsu dan benci kepada Husain dan keluarganya. Kami sungguh menaruh perhatian yang sangat tinggi dan rasa cinta kepada mereka termasuk silsilah dan keturunan (mereka kepada) keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia. Akan tetapi kami sebagaimana ahli sejarah yang lain tidak mampu mengungkap selain itu, ……di sini aku utamakan dua pendapat, iaitu pendapat imam yang agung – Ibn Taimiyyah dan ahli sejarah yang sekali gus seorang peneliti – Syaikh Muhammad al-Khudhari.

(Berkata Ibn Taimiyyah): “Sesungguhnya pemergian Husain tidak menambah kebaikan baik untuk agama mahupun dunia. Adalah pemergiannya dan terbunuhnya termasuk kerosakan dan ini tidak akan terjadi jika beliau tetap di negerinya (Madinah). Tujuan beliau yang ingin mendapatkan kebaikan dan mencegah kejahatan (tidak membuahkan hasil) kecuali menambahkan kejahatan. Ini kerana pemergiannya itulah yang menyebabkan beliau terbunuh, malah mengurangi kebaikan itu sendiri. Terbunuhnya Husain mengharuskan sebab bagi lahirnya beberapa fitnah yang baru.”

(Berkata Syaikh al-Khudhari): “Kesimpulannya bahawa Husain dalam pemergiannya adalah satu kesalahan besar yang menyebabkan umat berada dalam bencana perpecahan dan perbezaan serta runtuhnya tiang yang berlanjutan sehingga sekarang.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 243-244]

Adakah Yazid bertanggungjawab di sebalik pembunuhan Husain?

Apabila Yazid menerima khabar bahawa Husain dan ahli keluarganya tetap memulakan perjalanan ke Kufah, beliau menyuruh gabenornya di Basrah, Ubaidullah bin Ziyad, untuk ke Kufah dan memerhatikan gerakan Husain dan kebangkitan orang-orang Kufah. Yazid memberi arahan khusus kepada Ubaidullah bin Ziyad untuk hanya memerhatikan Husain dan tidak bertindak melainkan jika Husain yang bertindak terlebih dahulu. Akan tetapi dalam suasana yang tegang antara orang-orang Kufah yang ingin menimbulkan fitnah, pergerakan Husain ke Kufah dan sikap Ubaidullah bin Ziyad yang gelojoh, Husain dan sebahagian ahli keluarganya akhirnya terbunuh di sebuah tempat yang bernama Karbala.

Sejarah versi Syi‘ah pantas menuduh Yazid sebagai pembunuh Husain. Mereka mendakwa Yazid telah memberi arahan khusus kepada Ubaidullah bin Ziyad untuk terus memerangi dan membunuh Husain. Malah kononnya Yazid memberi arahan lanjut agar kepala Husain dipenggal dan dibawa ke istananya di Syam sebagai bukti pembunuhan. Setelah itu kononnya kepala Husain dihantar ke Mesir.

Semua ini adalah tidak benar. Syaikh Darwazah menerangkan:

“Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa di sana tidak ada sesuatu (bukti) yang menunjukkan peristiwa pembunuhan Husain memiliki hubungkait dengan Yazid. Yazid tidak memerintah untuk memerangi Husain, apalagi membunuhnya. Segala perintah adalah sekadar untuk mewaspadainya (Husain) dan tidak menyerang kecuali jika Husain menyerang (terlebih dahulu).” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 242]

Adapun kisah kepala Husain dibawa kepada Yazid di Syam, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyahrahimahullah menerangkan kisah yang sebenar:

“Adapun Husain radhiallahu 'anh, maka beliau terbunuh di Karbala berhampiran (sungai) Furat. Jasadnya dikebumikan di tempat terbunuhnya dan kepalanya dibawa ke hadapan Ubadullah bin Ziyad di Kufah. Demikianlah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya dan daripada para imam yang lain.

Adapun kisah dibawanya (kepala Husain) ke Syam kepada Yazid, maka sesungguhnya yang sedemikian diriwayatkan secara terputus (sanadnya) dan tidaklah ia sabit barang sedikit jua. Bahkan dalam riwayat-riwayat tersebut kelihatan sesuatu yang menunjukkan kedustaan yang direka-cipta, kerana di dalamnya disebut bahawa Yazid kononnya telah menusuk gigi taring (Husain) dengan besi dan bahawa sebahagian sahabat yang hadir (pada saat itu) seperti Anas bin Malik dan Abi Barzah telah mengingkari yang sedemikian.

Ini adalah satu kerancauan. Sesungguhnya yang menusuk dengan besi adalah Ubaidullah bin Ziyad. Demikian yang tercatit di dalam kitab-kitab sahih dan musnad. Mereka meletakkan nama Ubaidullah bin Ziyad di tempat Yazid. Tanpa diragui, sesungguhnya Ubaidullah telah memerintah agar Husain dibunuh dan dibawa kepala Husain kepada hadapannya. Kemudian sesudah itu (Ubaidullah) bin Ziyad dibunuh disebabkan apa yang dia lakukan.

Malah yang lebih jelas (tentang kedustaan kisah kepala Husain dibawa kepada Yazid) ialah para sahabat yang disebut-sebutkan hadir bersama seperti Anas bin Malik dan Abi Barzah, mereka sebenarnya tidak berada di Syam melainkan berada di Iraq pada ketika itu. Sesungguhnya kejahilan para pendusta tersebut dalam mencipta kisah ini dengan sendirinya membongkar kedustaan mereka.

Adapun kisah dibawa (kepala Husain) ke Mesir, maka ia adalah batil menurut kesepakatan orang ramai. Para ilmuan seluruhnya juga bersepakat bahawa apa yang disebut-sebut sebagai lokasi kepala Husain di Kaherah, Mesir (dikenali sebagai Masyhad al-Husain) adalah sebenarnya batil, di dalamnya tidak terdapat kepala Husain mahupun apa-apa jua daripada bahagian kepala Husain.

Pendapat yang kuat di kalangan ahli ilmu berkenaan lokasi kepala Husain bin Aliradhiallahu 'anhuma ialah seperti apa yang disebut oleh al-Zubair bin Bakr dalam kitabnya Ansab Quraisy dimana al-Zubair bin Bakr adalah daripada orang yang paling berpengetahuan lagi dipercayai dalam masalah ini. Beliau menyebut bahawasanya kepala (Husain) dibawa ke Madinah al-Nubuwwah dan dikebumikan di sana dan inilah pendapat yang munasabah. Sebabnya, di sana (Madinah) letaknya kubur saudaranya Hasan, pakcik ayahnya – al-Abbas, anak Ali dan lain-lain daripada ahli keluarganya.” [Majmu al-Fatawa, (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001), jld 4, ms. 507-509]

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa Yazid tidak memerintahkan pembunuhan Husain dan tidak pula meminta agar kepala Husain dibawa kepalanya di Syam. Bahkan tercatit di dalam kitab-kitab sejarah bahawa beliau menjadi amat sedih apabila mendengar Husain telah dibunuh oleh Ubaidullah bin Yazid. Beliau juga diriwayatkan telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Husain yang terselamat sehinggalah mereka kembali ke Madinah.

Siapakah pembunuh sebenar Husain?

Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada hadis berikut yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) di dalam Shahihnya – hadis no: 5994 dimana Abdul Rahman bin Abi Na’m menerangkan:

“Aku melihat (Abdullah) Ibn Umar ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum darah lalat. Ibn Umar bertanya: “Kamu berasal dari mana?” Lelaki itu menjawab:

“Aku daripada orang-orang Iraq.”

Lalu Ibn Umar berkata: “Lihatlah orang ini, dia bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) membunuh cucu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Mereka berdua (Hasan dan Husain) adalah penyejuk hatiku di dunia”.

Terdapat beberapa sebab kenapa seorang sahabat yang alim yang hidup sezaman dengan Husain bin Ali berkata sedemikian:

1. Orang yang menjemput Husain dari Madinah ke Kufah adalah orang-orang Iraq.

2. Orang-orang Iraq kononnya ingin membai‘ah Husain dan memulakan gerakan bagi menjatuhkan pemerintahan Yazid. Ini menyebabkan Yazid terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memerhati tindakan Husain yang seterusnya. Seandainya Husain bergerak ke satu tempat tanpa tujuan politik, pasti Yazid tidak perlu memerhati beliau.

3. Orang-orang Iraq berura-ura untuk memulakan gerakan menjatuhkan gabenor pemerintahan Yazid di Kufah dan bandar-bandar di sekitarnya. Hal ini menyebabkan Ubaidullah bin Ziyad secara gelojoh mengambil tindakan ketenteraan.

4. Orang-orang Iraq yang pada asalnya ingin membai‘ah Husain dan menjadikan beliau khalifah terus melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidullah bin Ziyad. Maka secara tiba-tiba tinggallah Husain serta ahli keluarganya terperangkap di hadapan tentera Ubaidullah bin Ziyad yang besar jumlahnya.

Justeru sekalipun yang membunuh Husain ialah tentera dibawah arahan Ubaidullah bin Ziyad, faktor sebenar yang menyebabkan Husain terbunuh ialah orang-orang Iraq itu sendiri.

Timbul soalan seterusnya, kenapakah orang-orang Iraq yang pada asalnya ingin membai‘ahHusain dan menjadikan beliau khalifah terus melarikan diri tanpa membela Husain? Jawapannya adalah mudah, mereka pada asalnya tidak memiliki apa-apa keinginan untuk menjadikan Husain sebagai khalifah. Tujuan mereka hanyalah untuk menimbulkan fitnah yang baru, yakni dengan melagakan Husain dengan pemerintahan Yazid. Perkara lain yang menarik untuk diperhatikan adalah, penduduk Iraq pada ketika itu kebanyakan mereka adalah orang-orang Syi‘ah.


Hafiz Firdaus Abdullah

read more “Pendirian Yazid Di Sebalik Pembunuhan Husain”

Thursday, 2 December 2010

Pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Terhadap Yazid bin Muawiyah

Yazid bin Muawiyah adalah salah seorang individu yang mendapat perhatian di dalam sejarah Islam. Umat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan apabila berinteraksi dengannya. Ada yang mencela beliau serendah-rendahnya, ada yang memuji beliau setinggi-tingginya dan ada yang mengambil sikap pertengahan antara mencela dan memuji. Sikap orang-orang yang dipertengahan adalah sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dan sememangnya begitulah sikap orang-orang berilmu lagi adil yang berada di atas kebenaran.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah memiliki sebuah penjelasan yang menarik dalam perkara ini. Ikutilah ia:

“Tidak berlaku sebelum ini perbincangan berkenaan Yazid bin Muawiyah dan tidak pula berbincang mengenainya menjadi salah satu urusan agama. Hanya setelah itu, setelah berlaku beberapa peristiwa, segolongan orang melaknat Yazid bin Muawiyah secara terang-terangan. Bahkan mungkin dengan sedemikian mereka ingin melanjutkan laknat tersebut kepada orang-orang yang lain pula.

Padahal kebanyakan Ahl al-Sunnah membenci perbuatan melaknat seseorang secara khusus. Setelah mendengar (perbuatan melaknat) sedemikian, maka timbul pula segolongan orang yang berkeyakinan bahawa Yazid adalah daripada kalangan sahabat yang utama dan seorang imam yang memberi petunjuk.

Maka golongan yang melampaui batas berkenaan Yazid terdiri daripada dua golongan yang saling bertentangan. (Golongan yang pertama), mereka berkata bahawasanya beliau (Yazid) adalah seorang kafir zindiq dan sesungguhnya beliau telah membunuh anak perempuan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (para sahabat dari kalangan) Anshar serta anak-anak mereka pada peristiwa al-Hurrah (pembebasan kota Madinah) untuk membalas dendam ahli-ahli keluarganya yang terbunuh, seperti datuk sebelah ibunya yang bernama Utbah bin Rabi‘ah dan pakciknya yang bernama al-Walid dan selain mereka. Juga disebut-sebut tentang beliau sebagai peminum arak dan melakukan maksiat secara terang-terangan.

(Golongan yang kedua pula) berkeyakinan bahawa Yazid adalah seorang imam yang adil, yang mendapat petunjuk lagi memberi petunjuk dan beliau daripada generasi sahabat atau daripada sahabat yang utama, malah daripada kalangan wali-wali Allah Ta’ala. Bahkan sebahagian mereka ada yang berkeyakinan bahawa Yazid adalah daripada kalangan Nabi-nabi dan mereka berkata: Sesiapa yang menentang Yazid maka Allah akan menghentikannya di dalam neraka jahannam……

Maka kedua-dua golongan ini bersikap melampaui batas terhadap Yazid dan mereka menyelisih apa yang disepakati oleh para ilmuan dan imam. Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dan tidak pernah bertemu dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu berdasarkan kesepakatan para ilmuan, beliau bukanlah daripada kalangan generasi sahabat. Beliau juga bukanlah masyhur dari sudut keagamaannya dan keshalihannya. Beliau hanyalah seorang dari kalangan pemuda-pemudi Islam.

Pada waktu yang sama, beliau tidak kafir dan tidak zindiq. Beliau memegang jawatan khalifah selepas ayahnya di atas kebencian sebahagian umat Islam dan keredhaan sebahagian yang lain. Beliau memiliki keberanian dan kemuliaan dan tidaklah beliau menampakkan perbuatan-perbuatan maksiat sebagaimana yang dihikayatkan oleh musuh-musuhnya.

Pada masa pemerintahannya, telah terjadi beberapa peristiwa yang besar.Peristiwa pertama adalah pembunuhan Husain radhiallahu 'anh sedangkan beliau tidak memerintahkan pembunuhan tersebut, tidak menampakkan kegembiraan terhadap pembunuhan tersebut, tidak menusuk gigi taring (Husain) radhiallahu 'anh dengan besi dan tidak (memerintah agar) dibawa kepala Husain radhiallahu 'anh ke Syam. Akan tetapi yang beliau perintahkan ialah agar memerhatikan Husain radhiallahu 'anh dan menahan urusannya, sekalipun sehingga perlu memeranginya. Akan tetapi orang suruhannya telah melebihi daripada apa yang diperintahkan dan al-Syamarzi telah mendorong Ubaidullah bin Ziyad untuk membunuh Husain dengan tenteranya……

Maka mereka membunuh Husain secara zalim, demikian juga terhadap sebahagian daripada ahli keluarganya, radhiallahu 'anhum. Pembunuhan Husain radhiallahu 'anh adalah satu musibah yang besar. Sesungguhnya pembunuhan Husain dan pembunuhan Usman sebelum itu merupakan sebab utama berlakunya fitnah ke atas umat ini manakala pembunuh kedua-dua mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah.

Tatkala ahli keluarga Husain radhiallahu 'anhum menghadap Yazid bin Muawiyah, beliau memuliakan mereka dan menghantar mereka ke Madinah. Diriwayatkan bahawa Yazid melaknat Ubaidullah bin Ziyad atas pembunuhan Husain…… akan tetapi di sebalik itu semua Yazid tidak menampakkan pengingkarannya terhadap peristiwa pembunuhan Husain, beliau tidak menyokongnya dan tidak pula menghukumnya padahal itu (menghukum orang-orang yang bertanggungjawab) adalah satu kewajipan ke atas dirinya. Ini menyebabkan para ahli kebenaran mencelanya disebabkan sikapnya yang meninggalkan kewajipan (menjatuhkan hukuman) dan juga disebabkan oleh beberapa perkara lain. Adapun musuh-musuh Yazid, mereka menokok tambah ke atasnya pelbagai kedustaan yang lain.

Adapun peristiwa kedua adalah berkenaan penduduk Madinah yang membatalkan bai‘ah mereka kepada Yazid dan menghalau keluar orang-orang Yazid serta ahli keluarganya. Maka Yazid menghantar sepasukan tentera kepada mereka dan memberikan syarat – jika mereka tidak taat dalam masa tiga hari, beliau akan memasuki kota Madinah dengan pedang dan menghalalkan darah mereka. Setelah tiga hari, tentera Yazid memasuki kota Madinah dan membunuh penduduknya, merampas harta mereka dan menodai kesucian wanita mereka. Kemudian Yazid menghantar tenteranya ke kota Mekah yang mulia dan mengepungnya. Namun Yazid mati dalam suasana tenteranya sedang mengepung kota Mekah. Ini semua merupakan permusuhan dan kezaliman yang dilakukan di atas perintahnya.

Di atas peristiwa-peristiwa ini, Ahl al-Sunnah dan para imam umat ini berkeyakinan untuk tidak mencela atau mencintai Yazid. Berkata Shalih bin Ahmad bin Hanbal, aku bertanya kepada ayahku: “Satu kaum mereka berkata bahawa mereka mencintai Yazid.” Ayahnya (Imam Ahmad bin Hanbal) menjawab: “Wahai anakku! Bagaimana mungkin seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat boleh mencintai Yazid?” Aku bertanya lagi: “Wahai ayahku! Maka kenapakah engkau tidak melaknat Yazid?” Ayahnya menjawab: “Wahai anakku! Sejak bila engkau melihat ayah engkau melaknat seseorang?”

Dalam riwayat yang lain, orang berkata kepada (Imam Ahmad bin Hanbal): “Adakah engkau menulis hadis daripada Yazid bin Muawiyah?” Beliau menjawab: “Tidak, tidak ada kemuliaan pada dirinya. Bukankah dia telah melakukan ke atas penduduk Madinah apa yang dia lakukan?”

Maka di sisi para ilmuan dan para imam kaum muslimin, Yazid adalah seorang raja daripada raja-raja. Mereka tidak mencintainya seperti mencintai orang-orang yang shalih dan wali-wali Allah. Pada waktu yang sama mereka tidak mencelanya. Ini kerana mereka (para ilmuan dan para imam kaum muslimin) tidak suka melaknat seorang muslim secara khusus.

Ini berdasarkan sebuah hadis di dalam Shahih al-Bukhari daripada Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki yang digelar ‘Himar’ sering meminum arak. Setiap kali dia dihadapkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dia dipukul (sebagai hukuman hudud). Maka (setelah beberapa ketika) berkata seorang lelaki: “Semoga Allah melaknatnya. Berapa kali dia sudah dihadapkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam!” Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Jangan melaknat dia kerana sesunguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Namun demikian segolongan daripada Ahl al-Sunnah membolehkan melaknat Yazid kerana mereka berkeyakinan bahawa beliau telah melakukan kezaliman yang membolehkan laknat ke atas pelakunya. Manakala segolongan yang lain berpandangan boleh mencintai Yazid kerana sesunguhnya beliau seorang muslim yang memegang jawatan khalifah pada zaman para sahabat dan dibai‘ah oleh para sahabat. Malah mereka berkata, tidaklah sah apa yang dinukil tentang (kezaliman-kezaliman) Yazid padahal beliau memiliki beberapa kebaikan atau beliau seorang mujtahid dalam apa yang dilakukannya.

Yang benar adalah apa yang diperkatakan oleh para imam bahawa mereka tidak mengkhususkan kecintaan kepada Yazid mahupun melaknatnya. Sekalipun beliau seorang yang fasiq atau zalim, maka Allah akan mengampuni seorang yang fasiq dan zalim jika orang itu memiliki beberapa kebaikan yang besar. Sesungguhnya al-Bukhari di dalam Shahihnya telah meriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Pasukan tentera yang pertama menyerang Konstantinopel, maka Allah mengampunkan mereka”. Pasukan pertama yang menyerang Konstantinopel adalah dibawah pimpinan Yazid bin Muawiyah.”

Demikian penjelasan Ibn Taimiyyah, dinukil secara berpisah daripada Majmu al-Fatawa, jld. 3, ms. 409-413.


hafiz firdaus

read more “Pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Terhadap Yazid bin Muawiyah”

Sunday, 28 November 2010

Fahami erti sebenar patriotisme

Mingguan Malaysia 28 Nov 2010

Setelah membaca berita terbaharu buletin parti-parti politik bukan Melayu, Malaysiakini dan Malaysianinsider mengenai patriotisme, saya fikir kita sudah tidak rasional dan profesional dalam membincangkan isu ini. Niat tersembunyi mereka semakin terserlah, termasuk menemubual bekas tentera bukan Melayu yang telah bersara, dengan provokasi tertentu, agar individu tertentu menjadi sasaran bagi mendapatkan political mileage. Apakah perancangan halus sebegini masih tidak dapat membuka mata hati kita?

Ternyata pemahaman mereka terhadap makna patriotisme tersasar jauh. Mereka begitu beriya-iya menonjolkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon dan hujah kuat patriotisme. Hujah ini bukan sahaja tidak tepat, malah menyimpang dari sejarah sama sekali. Penubuhan MPAJA bukan untuk mempertahankan tanahair tetapi disebabkan oleh dendam dan permusuhan antara China dengan Jepun.

Fakta ini sepatutnya telah jelas, tetapi sengaja dimanipulasikan. MPAJA tidak ada kaitan dengan semangat patriotisme. MPAJA adalah komunis. Begitu juga dengan memberi nama muzium Sun Yat Sen oleh kerajaan Pulau Pinang. Apa kaitan Sun Yat Sen sejarah negara dan patriotisme? Tanyalah guru sejarah, jika itu bukan bidang kita. Saya harap PKR dan Pas tidak buta dengan pakatan ini dan mampu bersuara antara hak dengan batil.

Mengambil data kuno sebelum tahun 1971 dengan menunjukkan betapa ramainya bukan Melayu menyertai pasukan tentera menampakkan betapa sindrom ultra kiasu masih membelenggu kita. Ketika itu, kita baru sahaja mengecapi nikmat hidup tanpa dijajah dan semangat patriotisme begitu berkobar-kobar. Kini sudah lebih 40 tahun berlalu, rujuklah statistik terbaharu, barulah nampak lebih rasional dan tidak sangat untuk menegakkan benang basah. Lepas itu, buatlah kajian kenapa minat mereka begitu berkurang berbanding dahulu.

Seterusnya mereka berpendapat semangat patriotisme tidak hanya boleh dinilai dengan menyertai pasukan tentera, tetapi melalui pematuhan undang-undang, bekerja keras, berusaha mengumpul kekayaan dan membangunkan negara. Tidak ketinggalan tindakan menentang ketidakadilan dan kerajaan hari ini, juga tergolong dalam erti patriostime. Pemahaman seperti ini sekali lagi jauh tersasar.

Mereka mengukur patriotisme berasaskan benda atau materialistik, walhal makna patriotisme lebih daripada itu. Patriotisme melibatkan unsur kerohanian (agama), penyerahan jiwa raga sehingga nyawa sebagai gadaian. Ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan adalah satu contoh jelas patriotisme. Katanya: “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.”

Jelas sekali ketika itu, para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah, agar agama, bangsa dan negara terbela. Patriotisme boleh sampai ke tahap jihad jika matlamatnya benar. Inilah faktor utama yang menyatukan umat Melayu Islam melalui kebangkitan nasionalisme menghalau penjajah sehingga ramai yang syahid mempertahankan Tanah Melayu.

Justeru, saya kurang setuju apabila definisi patriotisme disempitkan dengan menyamakan dengan definisi wathaniyyah atau cintakan negara sahaja. Benar, istilah patriotisme datang dari barat, tetapi tidakkah kita bertanggungjawab untuk mengislamisasikannya? Cinta kepada bangsa dan negara dibenarkan jika bertujuan untuk memelihara agama. Bacalah pendapat Ibnu Khaldun sama.

Rakyat Malaysia sepatutnya mengkaji kenapa Menteri Pertahanan berkata demikian? Apakah kaitannya semangat patriotisme dengan bidang ketenteraan (pasukan keselamatan)? Menyertai pasukan keselamatan melibatkan pengorbanan jiwa raga untuk agama dan negara. Adakah kita sanggup untuk melakukannya sekiranya kita diselubungi dengan kiasi atau takut mati? Saya harap mereka yang membangkitkannya boleh faham maksud tersebut.

Kita perlu membezakan antara makna patriotisme, nasionalisme dan taat setia, kerana ia saling berkaitan. Tidak ada patriotisme selagi tidak ada taat setia. Taat setia mesti diukur dari segi menghormati dan mematuhi kepada Perlembagaan negara terlebih dahulu. Bukannya dengan berkata saya cintakan negara ini 1,000 kali atau menggunakan nama blogging seperti “Malaysian”, “I am Malaysian”, “Malaysian Heart”, atau melaungkan saya diperanakkan di sini dan membayar cukai dan sebagainya. Jika itulah hujahnya, buruh asing pun membayar cukai dalam bentuk “levi”. Setiap rakyat mesti taat setia kepada negara. Perlu nationalistik dan patriotik, barulah akan lahir patriotisme. Pada saya, tidak sukar untuk rakyat Malaysia bersatu jika mereka mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Patriot adalah orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara, sehingga sanggup menggadaikan nyawa. Kesemua ini istilah jika diadunkan tidak bertentangan dengan Islam jika agama tidak di kesampingkan.

Persoalannya, di manakah patriotisme jika tidak ada taat setia dan rasa hormat kepada Perlembagaan negara termasuk peruntukan-peruntukan sensitif seperti Perkara 3(1) kedudukan agama Islam, Perkara 152, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153, Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan Raja-raja Melayu. Sebenarnya sudah terhakis taat setia, nasionalisme dan patriotisme apabila kita mempertikaikan kedaulatan perlembagaan tersebut. Mempertahankan perlembagaan bermakna mempertahankan kedaulatan negara.

Berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin sebelum merdeka (kontrak sosial) dan dirakamkan di perlembagaan adalah nasionalisme. Nasionalisme atau “perasaan mencinta negara sendiri” perlu berpusat kepada perkataan “negara sendiri”. Bermakna, tidak ada lagi perasaan bangga kepada negara asal. Tidak lagi mengagung-agungkan meningkatnya kuasa ekonomi China dan India, tetapi bolehlah digunakan sebagai contoh untuk berhujah dari segi akademik. Inilah bibit-bibit ke arah patriotisme. Termasuk juga melebihkan eksport lebih dari import supaya imbangan perdagangan (balance of trade) menjadi baik bagi negara kita. Atau mengelakkan mengimport barangan atau perkhidmatan yang tidak berkualiti, sehinggalah mutu dan teknologi barangan di negara-negara tersebut diakui baik di peringkat antara bangsa.

Patriotisme memerlukan perasaan cinta yang amat mendalam terhadap tanah air dan mempertahankannya adalah satu kemestian (agama). Ini termasuk kesanggupan mengangkat senjata dan memerangi musuh apabila diisytiharkan, terutama ketika berlaku peperangan, termasuk juga yang tidak diisytiharkan atau “undeclared war”. Misalnya, Konfrantasi Malaysia-Indonesia ketika cadangan penubuhan Malaysia 1963.

Apakah ukuran patriotisme jika jumlah yang sanggup berkhidmat dalam pasukan keselamatan hanya sekelumit? Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak mahu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara. Mereka lebih selesa menggunakan nama bangsa sahaja, kerana dengan sebutan bangsa itu sudah boleh membawa dua makna iaitu bangsa itu sendiri dan negara asal.

Sama juga respon yang diberikan apabila Kempen Sekolah Satu Sistem mencadangkan suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersepadu berasaskan satu bahasa serta satu sekolah untuk semua. Belum apa-apa lagi pertubuhan-pertubuhan perkauman ini membantah sekeras-kerasnya dan mengeluarkan kata-kata mengarut seperti “a nation within a nation”, “multi-nation state” dan sebagainya.

Justeru, sudah sampai masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran, memberi penerangan sepenuhnya kepada rakyat. Jelaskan makna taat setia, nasionalisme dan patriotisme yang sebenar. Sekurang-kurangnya, konsep-konsep asas ini perlu diserapkan dalam mata pelajaran sejarah apabila ianya mula diperkenalkan sebagai subjek di sekolah-sekolah mulai tahun 2013.

Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus. Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah 3 peratus. Salah siapa? Fikirkan secara rasional daripada menyalahkan orang lain.

Lagi pula, berdasarkan kajian oleh MCA tahun 2007, menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia-belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel. Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Lagipun profesion mempunyai kaitan rapat dengan sikap kiasi atau takut mati

Berbeza dengan orang Islam, kita percaya dalam patriotisme itu terungkap konsep jihad, tanpa mengambil kira soal pangkat dan darjat. Jihad yang paling besar adalah mempertahankan agama, diikuti bangsa dan negara. Inilah faktor yang kuat menyatukan umat Islam terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa. Malangnya hari ini, kita asyik bergaduh dan bertelagah. Kita sanggup mengkafirkan konsep patriotisme dan nasionalisme, mengatakan ia adalah perancangan barat untuk memporak-peranda umat Islam sehingga kita tidak dapat bersatu. Sedangkan ia hanyalah satu istilah yang didefinisikan oleh barat secara sekular tanpa mengaitkannya dengan agama. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk mengIslamkannya, bukan mengkafirkannya hanya kerana ia datang daripada barat? Inilah sebenarnya punca kepada perpecahan umat Islam.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Fahami erti sebenar patriotisme”

Friday, 26 November 2010

Maksud Hadis ‘Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..’

MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM..’
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Soalan: Dr Asri, saya ada seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain lagi. Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya, tapi beliau sering berdalil “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Sejauh manakah penafsiran hadis ini ?

Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.

Jawapan: Saudara, sebagai ingat; dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama. Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab persoalan yang dikemukan maka di sini disebut beberapa perkara;

1. Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.

2. Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.

3. Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani (w. 1182H):

“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).

4. Ertinya, menyerupai sesuatu yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur. Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi berdosa.


Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.

5. Saya menyokong pendapat yang menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama. Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.

6. Sekali lagi hendaklah kita jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum. Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan agama.

7. Dalam hadis “Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus agama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):

“Rasululah s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).

8. Meniru perkara yang baik dan bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah. Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:

“Apabila Nabi s.a.w ingin menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.

9. Berdasarkan hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:

“Jika puak fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).

Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.

10. Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.

11. Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.

read more “Maksud Hadis ‘Sesiapa Menyerupai Sesuatu Kaum..’”