Tuesday, 9 February 2010

Menilai Meja Kopi

Saya menulis artikel ini dalam keadaan yang amat letih. Petang Sabtu seperti biasa adalah waktu penamat untuk pengiriman artikel. Pagi tadi (Sabtu) saya baru sahaja sampai dari London. Pergi ke sana hanya dua hari setengah. Sempat untuk mengisi dua ceramah. Satunya khas untuk siswi dan satu lagi majlis yang agak besar. Majlis muzakarah bersama saya itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin politik tanahair.

Di samping itu, saya sempat berjumpa dengan beberapa sahabat karib yang sering bertukar-tukar pandangan. Mereka masih di United Kingdom. Antara mereka penulis terkenal dengan ketajamannya Saudara Maszlee Malik dan peguam yang ternama Saudara Ahmad Jailani. Mereka bakal mendapat Ph.D masing-masing insyaAllah.

Sahabat saya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda juga ada bersama. Berjumpa sahabat-sahabat yang saling memahami kadang-kala lebih membahagiakan dari berjumpa dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan tetapi hidup di alam yang berbeza.

Kami berjumpa seperti biasa. Itulah kami, setiap kali berjumpa berbagai-bagai tajuk akan muncul, dan tidak lupa juga masing-masing bertanya khabar buku atau karya ilmiah baru yang berkaitan. Saudara Maszlee agak jaguh mengenai buku-buku Barat ini. Walaupun dua hari amat singkat untuk kami ‘bersembang’ kesemua tajuk yang membabitkan masa depan umat Islam, negara dan rakyat Malaysia namun seperti biasa ia satu kesempatan yang manis.

Memang jika kita duduk berbincang tajuk-tajuk sedemikian dengan jiwa yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan masa depan dakwah, umat dan rakyat, terlalu lazat dan enak rasanya. Ia meresap dalam jiwa masing-masing. Pembentangan pemikiran, fakta dan penilaian amat mengasyikkan. Bagaikan dibuai angin yang sepoi-sepoi bahasa, waktu berlari selaju meter tajuk-tajuk yang dibincangkan.

Bilik sewaan MSD, meja kopi di Café Italy, Malaysia Hall dan kedai buku terpakai yang kami bertawaf dalamnya menyaksikan berbagai pandangan, impian, hasrat dan kerisauan tentang masa depan Malaysia. Senda gurau dan lawak jenaka menyulami perbincangan di sana sini. Demikian kami dan sahabat-sahabat kami yang lain. Demikian juga saya yakin kebanyakan pembaca sekelian. Berbual dan bersembang bukan tiada faedahnya. Cumanya, apakah yang patut kita isi dalam perbualan dan pertemuan antara kita.

Saya catat hal ini bukan untuk menunjukkan apa yang kami lakukan. Orang lain lakukan lebih baik dari kami. Cumanya, saya ingin ingatkan pembaca tentang kepentingan tajuk ini. Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial. Kita inginkan teman dan rakan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, ‘sembang-sembang’ itu yang penting. Ramai orang membazir masa sahaja kalau bersembang.

Ya, bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menempah berbagai dosa. Namun berbual bersama teman, apatah lagi dengan insan-insan yang berilmu banyak faedahnya. Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.

Diriwayatkan Al-Imam Abu Yusuf Ya’kub bin Ibrahim iaitu ilmuwan besar sahabat al-Imam Abu Hanifah ketika sakit hendak meninggal dunia masih lagi berbual tentang ilmu. Ketika muridnya Ibrahim bin al-Jarrah menziarahinya di dapati beliau pitam kesakitan. Namun apabila beliau sedar sahaja dan melihat wajah muridnya itu, terus dia berbincang dengan muridnya tersebut mengenai hukum syarak. Muridnya berkata:

“Apakah pada waktu yang sebegini?”. Kata Abu Yusuf: “Tak mengapa, kita kaji, mana tahu barangkali menyelamatkan seseorang”. Selepas perbincangan, anak muridnya hendak keluar, tetapi apabila sampai sahaja ke pintu, beliau mendengar tangisan yang hadir tanda gurunya itu telah meninggal dunia. (Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda ‘Ulama, m.s 15).

Ini ilmuwan dan begitulah kita jika ingin mendapatkan ilmu. Sebab itu duduk berbual dan berbicara dengan ilmuwan merupakan perkara yang terpuji dalam agama ini. Pergi berjumpa ilmuwan, mendampingi mereka, mendengar pandangan mereka, mengambil faedah dari hikmah dan ketajaman minda mereka dapat membentuk dan membangunkan seseorang.

‘Auf bin ‘Abdillah pernah berkata kepada isteri sahabat Nabi s.a.w Abu Dardak iaitu Umm al-Dardak:

“Apakah kami duduk bersama engkau menyebabkan engkau jemu?”. Jawabnya: “Aku telah berusaha agar setiap perkara menjadi ibadah. Tiada yang lebih mengubati jiwaku dari duduk bersama ulama” (Al-Nawawi, Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/953).

Perbualan boleh menjadi ibadah jika isi kandungannya mengingatkan kita kepada kebenaran dan kesabaran atas jalan Allah. Ia membangunkan minda dan jiwa. Sepatutnya, setiap kita ambil kesempatan ini. Sekalipun jika tiada ilmuwan atau cerdik pandai besar dalam perbualan kita, kita mesti berusaha menjadikan perbincangan atau ‘meja kopi’ kita dihiasi dengan perkataan dan pandangan yang berusaha kepada kebaikan dan pembangunan pemikiran. Setiap orang dengan kadar ilmunya berbicara kepada rakan apa yang dipelajari dan didapati dari bahan-bahan ilmu yang baik. Maka berfaedahlah waktu makan dan minum kita ketika bersama rakan dan sahabat handai.

Ramai dalam kalangan kita yang tidak menjadikan meja kopinya meja ilmu. Apabila duduk dengan teman dan rakan mereka jadikan perbualan kosong yang tidak membangunkan minda dan jiwa mencuri peruntukan umur yang diberikan kepada mereka. Berbual dan bersenda bukanlah dilarang. Agama ini bukannya sempit dan jumud. Namun setiap perkara dengan kadarnya.

Jika setiap kali duduk di meja kopi dipenuhi dengan perbualan kosong, atau dusta atau menyakitkan orang lain tanpa alasan yang benar adalah melampaui batasan agama. Setiap kita patut meninggalkan meja yang seperti itu. Rosaknya sesetengah masyarakat melayu kerana ‘meja kopi’ yang menelan umur dan membazir hayat.

Tajuk-tajuk perbincangan yang tidak memberikan faedah pada diri ataupun masyarakat bahkan merosakkan diri dan orang lain sering memenuhi kedai kopi kita. Samada pada waktu pagi, ataupun ketika rehat bekerja, meja kopi menjadi tempat membazir pahala dan mengumpul dosa. Ada yang lupa hal diri dan keluarga sendiri, sibuk hal orang lain di kedai kopi. Tanpa rasa malu pada diri, apatah lagi kepada Allah yang memberikan umur kepadanya sanggup pergi balik ke kedai kopi untuk mencari ‘rakan bual kosong’ bagaikan orang ketagihan candu.


- Gambar Hiasan

Di kampung-kampung orang melayu bukan sedikit hal yang demikian. Dari situ munculnya berbagai bisikan dan gossip dalam masyarakat kita. Sudahlah taukeh kedai pun tidak untung seberapa dengan secawan kopi tetapi duduk berjam-jam. Keluarga pula terabai. Masa yang dibazirkan di meja kopi itu jika dikumpulkan, barangkali orang melayu sudah mampu menguasai ekonomi negara ini.

Namun, lawatilah kedai-kedai kopi di sesetengah tempat. Di penuhi dengan ‘kaki-kaki lepak’ yang sebahagian sudah menjelang umur senja. Jika anak muda Melayu ramai yang suka lepak, orang tua-tua melayu yang suka lepak pun peratusnya pun bukan sedikit dalam masyarakat kita.

Sebab itu al-Quran melarang perbuatan lagha atau sia-sia dalam bicara yang berfaedah. Firman Allah:

(maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri dari yang lagha” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3). Kata al-Imam al-Sa’di dalam tafsirnya: “Lagha itu perkataan yang tiada kebaikan dan tiada faedah”.

Bersembang, berbual dan duduk di meja kopi bukan salah. Namun pengisiannya itu mestilah diislamisasikan. Jangan jadikan ia meja ‘lagha’ atau sia-sia. Jangan jadikan ia meja dosa. Jadikan ia meja pahala. Meja yang membangunkan minda. Menmbangunkan ilmu dan kebaikan, bukan membangunkan kejahatan dan mensia-siakan umur. Jika tidak mampu jadikan ia meja kebaikan, lebih baik tinggalkan sahaja!!

read more “Menilai Meja Kopi”

Menang pada satu pihak

Mingguan Malaysia, 7 Februari 2010

Insiden ceramah berbau perkauman dalam program Rapat 1Malaysia baru-baru ini, perlu dijadikan teladan oleh semua pihak, terutama dalam membangkitkan perkara-perkara yang sensitif yang menyentuh sensitiviti kaum. Sudah menjadi amalan politik di negara kita, satu kesalahan yang dilakukan akan dijadikan senjata untuk menarik seseorang jatuh dengan melupakan seribu kebaikan yang pernah dilakukan. Inilah hakikat yang perlu kita terima.

Dengan sebab itu, kita perlu berhati-hati dalam berhujah agar tidak masuk perangkap. Hujah-hujah yang dikemukakan mesti disertai dengan fakta yang bernas. Hujah yang beremosi hanya akan memakan diri dan menjatuhkan maruah agama kita, apatah lagi jika tidak disokong dengan fakta ilmiah.

Insiden ini mengingatkan saya akan jemputan pemuda MCA pada 2 Februari 2010 baru-baru ini yang mahukan saya berdebat dengan barisan pemuda mereka mengenai sistem pendidikan Cina bersama-sama Profesor Khoo Kay Kim. Saya terpaksa menarik diri menyertai debat tersebut kerana pihak penganjur agak tidak professional dalam cara pengendaliannya.

Sebelum jemputan dibuat, saya telah beberapa kali mengingatkan pihak penganjur agar memilih tempat yang agak neutral untuk berdebat seperti di dewan-dewan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bukannya dewan perhimpunan Cina sebagaimana yang dicadangkan, atau paling tidak, dewan berhampiran iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun, cadangan saya tidak diambil berat.

Alasan penganjur amat simplistik, semua dewan IPTA penuh, kecuali dewan perhimpunan Cina. Saya berasa amat pelik, takkan ketua pemuda mereka, seorang timbalan menteri pelajaran, tidak dapat mencari dewan lain atau sekurang-kurangnya dewan sekolah di bawah seliaan kementeriannya. Namun, saya tetap bersetuju untuk hadir walaupun diadakan di tempat yang penuh ultra kiasu, sebab pihak penganjur berkata debat tersebut akan disiarkan secara langsung melalui salah satu saluran televisyen swasta.

Saya berasa lega jika dapat disiarkan secara langsung. Bukan apa, saya tidak mahu debat dan hujah saya dimanipulasikan selepas itu. Dua hari sebelum debat berlangsung, pihak penganjur mengatakan bahawa, tidak ada siaran langsung, hanya debat biasa sahaja, yang akan dihadiri oleh sekumpulan ultra kiasu. Saya terpaksa membatalkan keputusan untuk menyertai debat tersebut disebabkan oleh sikap bias pihak penganjur. Jangan tuduh saya penakut pula untuk berhadapan dengan mereka.

Persoalan saya, kenapa kita begitu beriya-iya benar nak mengadakannya di dewan perhimpunan Cina? Tidak ada tempat lainkah yang lebih baik? Alasan lain mengatakan forum terpaksa diadakan di sana disebabkan Tahun Baru Cina semakin hampir bukanlah alasan yang kukuh. Masa masih panjang. Apa yang penting ialah forum tersebut mesti dianjurkan secara professional, di tempat yang neutral, agar dapat dihadiri oleh semua peringkat masyarakat. Barulah adil kepada saya.

Saya tidak mahu menjadi mangsa manipulasi akhbar-akhbar perkauman dan kumpulan ultra kiasu. Cukuplah dengan apa yang telah saya alami selama ini. Satu perkara yang saya ingin ingatkan bahawa menegakkan kebenaran itu adalah suatu perjuangan yang pahit. Kita perlu banyak bersabar. Kesabaran ini perlu diikuti dengan usaha menimba ilmu melalui pembacaan dan kajian. Perkara ini amat penting supaya fakta atau hujah yang dikemukakan sukar untuk untuk dipatahkan mahupun dipertikaikan.

Lebih baik lagi biarlah hujah tersebut mengikut bidang kepakaran masing-masing, agar ia mempunyai lebih berotoriti. Kadang kala saya amat pelik yang bila mana mereka yang tidak ada kaitan dengan bidang kepakaranpun, beriya-iya hendak menulis dan bercakap sehingga tulisan dan pendapat mereka tersasar jauh. Inilah salah satu ciri ultra kiasu.

Budaya ini juga disebut oleh Syed Hussein al-Attas sebagai budaya pandir, yang merujuk kepada budaya politik yang tidak ada nilai-nilai intelektual. Teringat saya kepada kata-kata pujangga Islam, kita sepatutnya menjadi orang yang tahu, dia tahu, yang dia tahu, inilah yang terbaik. Kalau tidak boleh, jadilah golongan seterusnya iaitu orang yang tahu, dia tidak tahu, yang dia tahu atau mereka yang tidak tahu, dia tahu, dia tidak tahu. Kategori ini masih boleh diterima. Tetapi janganlah jadi manusia yang amat rendah darjatnya iaitu dia tidak tahu, dia tidak tahu, bahawa dia tidak tahu atau dia tidak tahu, pura-pura buat macam tahu. Kategori akhir ini jahil namanya. Perkara inilah yang perlu dihindari apabila mengemukakan hujah.

Dalam membicarakan lanskap politik Malaysia, budaya pandir ini yang amat sukar untuk dihapuskan. Kita suka melabelkan seseorang yang tidak disukai tanpa menilai fakta yang cuba dikemukakan. Lebih serius sampai kita sanggup kita menolak kebaikan yang dilakukan disebabkan oleh sentimen berpolitik.

Lihat sahaja budaya politik antara pemerintah dengan pembangkang, iaitu UMNO (BN) dengan PAS, PKR dan parti ultra kiasu. Di mata pembangkang, tidak ada satupun kebaikan UMNO yang memerintah selama ini, semuanya buruk. Termenung memikirkan, adakah selama ini tidak ada sedikitpun jasa UMNO terhadap negara kita? Adakah apa yang kita nikmati selama ini berlaku secara semulajadi tanpa perancangan? Sekurang-kurangnya berilah pandangan kalaupun tidak banyak, sedikitpun tak apa, akan beberapa kebaikan UMNO. Begitu juga sebaliknya, pandangan UMNO terhadap pembangkang. Jangan tolak semua. Politik pandir sebegini perlu dihentikan. Ia tidak menguntungkan sesiapa.

Selaku ahli akademik, saya melihat UMNOpun ada peranan, pembangkang juga ada peranan dalam demokrasi. Kedua-duanya memberikan sumbangan dalam pembangunan politik, baru ada check and balance. Tetapi, janganlah bertindak kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Disebabkan oleh seorang yang membawa masalah, maka kita pukul rata itulah kesemuanya. Satu dua orang yang terlibat dengan rasuah, maka semua dikatakan rasuah. Persoalan saya, adakah bila kita memerintah, semuanya baik belaka, tidak ada rasuah langsung?

Sebagai umat Islam, kita harus memuji usaha-usaha untuk memerangi rasuah, tidak kira negeri mana sekalipun kerana kita perlu mengikhtiraf kebaikan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Tetapi jangan kerana satu kesalahan, sehingga kita sanggup lupa seribu kebaikan yang telah dilakukan orang lain. Saya masih teringat kata-kata seorang ahli tasauf yang begitu terpahat di sanubari sehingga ke hari ini. Katanya, jika mahu hidup selamat dan sepakat, ingat dua perkara dan lupakan dua yang lain.

Selalu ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang. Ingat, salah kita pada orang, lupakan salah orang pada kita. Tidakkah kita boleh berpolitik berlandaskan akhlak sedemikian? Bukankah kita beragama Islam dan bersaudara! Kenapa kita terlalu berkira dan ingin membalas dendam sesama sendiri?

Semua insiden ini mengingatkan saya satu lagi insiden yang hampir sama bila mana orang kuat parti Gerakan, pernah mengeluarkan kenyataan orang Melayu adalah juga pendatang. Kenyataan ini teramat sensitif, namun tidak ramai yang tampil ke hadapan mendesak beliau meletak jawatan. Lebih hiba lagi, kumpulan ultra kiasu ini menyokong kenyataan ini.

Insiden ini memperlihatkan seolah-olah ada pakatan senyap yang begitu licik. Bersatu dalam senyap. Begitu juga isu kalimah Allah yang banyak dibincangkan secara bebas di laman-laman web ultra kiasu. Kadangkala naik ngeri membaca artikel dan komen-komen yang dilontarkan. Mereka yang tidak menyembah Allah pun tidak menyokong kita atau melakukan protes? Ini belum campur lagi ultra kiasu yang menghina kedudukan raja-raja Melayu dan yang terbaru Almarhum Sultan Johor? Bayangkan pula ucapan-ucapan sesama mereka yang tidak dapat difahami oleh kita semua. Kenapa segelintir ultra kiasu ini masih bebas dan tidak dikenakan tindakan?

Itulah yang selalu saya kata, bila kena pada Melayu, heboh satu Malaysia, seolah-olah tidak ada cerita lain. Bila kena pada diri sendiri atau kumpulan sendiri, buat-buat senyap. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bila kesalahan dilakukan oleh orang Melayu maka dipaksa letak jawatan dan memohon maaf secara terbuka. Bila kena pada mereka, adakah desakan itu dibuat? Pernahkah mereka meminta maaf secara terbuka sedangkan perbuatan mereka juga amat mengguris hati umat Islam? Saya fikir ahli parlimen Jelutung faham apa yang saya maksudkan.

Saya lihat hubungan kaum di kalangan kita semakin rapuh. Jarang sekali berlaku situasi menang-menang (win-win). Apa yang selalu kita lihat adalah satu pihak menang besar, di pihak lain pula kalah terduduk. Persoalannya, sampai bilakah budaya pandir ini mahu diteruskan? Dalam hidup ini, kita perlu telus dan jangan hanya pandai memanipulasikan isu bagi mendapatkan publisiti murahan.

Saya sungguh teruja melihat cara ultra kiasu mempolitikkan gagasan 1Malaysia. Apa-apa juga kekurangan atau sesuatu yang dirasakan tidak adil, maka gagasan 1Malaysialah disalahkan. Sedangkan mereka sendiri bukan tidak faham akan maksud gagasan itu yang sebenar. Saya masih teringat, satu majlis makan malam yang secara kebetulan dalam majlis tersebut banyak menghidangkan makanan berdaging berbanding vegetarian, kerana bilangan bukan Islam boleh dikira dengan jari. Mereka yang tidak makan daging serta merta memberontak meninggalkan majlis sambil menghamburkan kata-kata, “ini bukan 1Malaysia”? 1Malaysia disalahkan kerana tidak berasaskan sama rata sama rasa iaitu 1 = 1 atau satu daging = satu sayur.

Dalam menyelesaikan kemelut ini, penegasan perlu dibuat segera bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep sama rata sama rasa tetapi bersandarkan kepada perlembagaan persekutuan. Perlembagaan adalah sesuatu yang hidup. Justeru, ia mesti dijadikan rujukan asas dalam memahami kehidupan bernegara. Inilah asas ucapan 1Malaysia yang perlu ada apabila kita diberi peluang untuk berucap di khalayak, agar apa yang kita sampaikan, tidak dimanipulasikan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Menang pada satu pihak”

Sunday, 31 January 2010

Masalah Pendidikan di Malaysia

Mingguan Malaysia, 31 Januari 2010

Konflik antara Zulkifli Nordin (PKR) dan Khalid Samad (PAS) berkaitan kalimah Allah amat menarik perhatian dalam meneliti politik Melayu Islam. Tidaklah perlu saya ulas akan pandangan UMNO terhadap kalimah Allah. Awal-awal lagi UMNO telah dituduh menangguh di air yang keruh dalam isu ini. Pendek kata, tidak ada yang baiknya UMNO di mata parti kedua pembangkang Melayu ini, sama juga yang bukan Melayu. Kalimah Allah dikatakan sebagai sandiwara UMNO untuk menagih simpati pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Pelik sungguh saya, dahulu mereka menuduh UMNO tidak mengamalkan demokrasi, adakah mereka mengamalkan benar-benar memperjuangkannya? Takut juga saya jika mereka memerintah nanti? Jika kita mendakwa benar-benar mengamalkan kebebasan bersuara, kenapa perlu mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin? Tidakkah Zulkifli Nordin perlu diberikan kebebasan bersuara? Sebagai umat Islam, Zulkifli Nordin bebas untuk bersuara dalam ruang lingkup yang dibenarkan? Saya tidak nampak apa yang Zulkifli Nordin lakukan bercanggah dengan Islam atau demokrasi? Jangan jadi paku dulang paku serpih, mengatakan orang dia yang lebih? Kasihan Zulkifli Nordin, saya amat bersimpati dengan nasib saudara. Mudah-mudahan rakyat Malaysia khasnya Melayu Islam celik mata melihat sandiwara mereka juga. Jangan asyik menuduh orang lain bersandiwara.

Termenung saya memikirkannya, sampai bilakah umat Islam Melayu akan bersatu? Kenapakah dalam perkara sebegini asas kita masih tidak boleh bersatu? Tidakkah terdetik dalam hati kita agar kalimah Allah ini perlu dipelihara walaupun sedikit, atau mungkinkah kita redha pihak lain menggunakan sesuka hati kalimah suci ini demi menjaga kepentingan politik? Kenapa kita perlu berpecah dalam segala aspek kehidupan? Jika tidak bersetuju 100 peratus, sekurang-kurang kita boleh bersetuju 50 peratus atau 40 peratus, atau setidak-tidaknya 10 peratus, agar tidak menampakkan kita bergaduh besar atau berpecah daripada A sampai Z.

Ini tidak, kita bergaduh dalam semua aspek. Semua yang baik ditolak mentah-mentah kerana hanya datang daripada sekumpulan yang tidak bersefahaman dengan kita. Kadang-kadang saya amat kasihan melihat umat Islam. Sampai bilakah kita harus begini? Bilakah mereka boleh duduk semeja untuk mencapai persetujuan bersama dalam perkara-perkara bersifat fundamental? Memang saya tidak nafikan kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi takkan dalam semua perkara. Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju dengan perkara-perkara asas. Sayangnya, dalam perkara asaspun bergaduh juga.

Sebagai umat Islam, kita berasa amat malang, kerana mereka yang tidak ada kena mengenakan dengan kalimah Allahpun tidak menyokong kita atau setidak-tidaknya bersikap neutral. Saya hanya mendengar kenyataan presiden MCA sahaja yang bersikap neutral, mahukan kita berhenti menuding jari kepada UMNO dalam isu ini. Namun, kenyataan beliau dikecam hebat dalam laman web dan kumpulan ultra kiasu. Beliau dikatakan cuba menagih simpati UMNO dan menutup masalah dalaman MCA.

Kumpulan ultra kiasu juga menentang habis-habisan UMNO dan umat Islam yang mahu mempertahankan kalimah Allah. Jika mereka ikhlas, sudah tentu kalangan mereka yang bukan Kristian yakni beragama Buddha-Taoism-Konfucius akan bertindak neutral, sebab mereka tidak menyembah Allah. Ini tidak, mereka secara terang menyokong penggunaan kalimah Allah kalangan Kristian, wal hal isu ini tiada kaitanpun dengan mereka. Inilah nasib UMNO selalu sendirian dalam mempertahankan Islam di dalam dan di luar Barisan Nasional. Tertanya-tanya saya bilakah masanya orang bukan Islam akan menyokong Melayu Islam. Adakah benar parti ultra kiasu ini menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS? Apakah umat Islam tidak sedar kadang kala mereka diperalatkan?

Saya dapat simpulkan di sini, maknanya, apa yang umat Islam lakukan, tetap akan dianggap salah disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Saya amat takut dengan gejala yang berlaku. Orang lain bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat perpecahan dan kelemahan kita dan mungkin menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Cuba kita ambil ikhtibar bagaimana bersatunya orang lain. Jangan bercakap soal perkara agama yang bersifat fundamental, sudah semestinya mereka bersatu. Lihat sahaja contoh terbaru berkaitan dengan pendidikan menengah mereka. Ketika pihak kerajaan sibuk meningkatkan mutu pendidikan negara melalui penambahbaikan sekolah rendah dan menengah kebangsaan, persatuan-persatuan Cina yang diketuai oleh Dong Jiao Zong pula sibuk memperkatakan akan keperluan kepada bantuan dan penambahan bilangan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Sekolah vernacular ini memerlukan sejumlah wang 300 juta setahun untuk menampung kos operasinya. Kini sebuah lagi sekolah dibuka di Kulai Johor menjadi 61 buah kesemuanya dengan lebih 60,000 murid. Alasan mereka cukup simplistik, permintaan ke atas sekolah ini semakin tinggi dan kos operasi semakin meningkat. Bantuan kerajaan amat diperlukan bagi meringankan beban komuniti Cina dan pihak-pihak yang bertanggungjawab. Kesan dan akibat kemunculan sekolah ini tidak pernah dikaji, terutama dari segi prestasi bahasa Melayu dan pergaulan mereka dengan orang Melayu dalam sebuah negara berakarkan Melayu.

Saya tidak pernah terkejut dengan peningkatan permintaan ke atas SMPC ini. Hatta, jika dibina 100 buah lagipun, ia tidak akan pernah cukup. Selagi ada sekolah jenis kebangsaan di dalam sistem pendidikan negara, selagi itulah permintaan ke atas SMPC menengah akan bertambah. Saya amat yakin, usahawan-usahawan, alumni-alumni, persatuan-persatuan dan badan-badan perniagaan Cina akan terus memberi sokongan dan bantuan kewangan yang tidak berbelah bahagi. Begitulah bersatu-padunya mereka, seolah-olah merekalah yang sebenarnya menyahut seruan Islam seperti mana Firman Allah dalam Al-Quran, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah (Al-Imran: 102)

Ditakdirkan pengecualian cukai diberikan terhadap mereka yang membantu SPMC ini, saya yakin kebanyakan cukai pendapatan akan dicurahkan ke sekolah-sekolah ini. Itulah sikap mereka selama ini saya puji, bersatu dalam senyap tanpa mengira latar belakang mahupun ideologi politik. Pada mereka, pendidikan nenek moyang perlu diutamakan, berbanding yang lain-lain termasuk perkara berkaitan dengan pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme. Ini belum termasuk bantuan mereka terhadap Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti Kolej dan Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan sebagainya.

Pada saya, selagi sekolah vernakular wujud dalam sistem, selagi itulah isu SMPC akan terus berkumandang. Saya teramat yakin jika sekiranya SMPC dibiayai oleh kerajaan atau dibina dengan lebih banyak lagi suatu hari nanti, lihatlah tidak ada seorangpun pelajar Cina akan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Bayangkanlah keadaan negara kita pada ketika itu. Adakah perpaduannya akan semakin kuat atau rapuh?

Saban minggu ada sahaja isu-isu pendidikan Cina yang dibangkitkan oleh Dong Jiao Zong dan sekutunya dalam akhbar-akhbar perkauman dan sewaktu dengannya. Kelihatan seolah-olah isu pendidikan negara kita tidak pernah selesai. Saya tidak nampak mereka menghadapi masalah kewangan seperti mana yang diwar-warkan. Ia sengaja ditimbulkan bagi menarik simpati dan strategi pilihan raya akan datang. Sepatutnya kita berpakat-pakat memberi input bagaimanakah sekolah kebangsaan yang sedia ada dapat dipertingkatkan lagi kualitinya. Ini tidak, mereka asyik menyanyi tak sudah-sudah dan memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah strategi ultra kiasu yang mesti kita lihat seharus serius dan ditangani secara berhati-hati.

Pada hemat saya, kita tidak perlu bising-bising lagi membangkitkan masalah itu dan sini, kekurangan peruntukan sana dan sini. Formulanya mudah sahaja, masukkan kesemua mereka ke sekolah menengah kerajaan. Mereka telah ada asas yang baik dalam bahasa mandarin ketika berada di sekolah vernakular. Kenapa perlu gatal tangan membuka sekolah jenis kebangsaan persendirian? Bila mengalami kesempitan, maka kerajaan yang disalahkan kerana tidak membantu sekolah persendirian. Yang buruknya semuanya UMNO, yang baik hanya mereka. Bayangkan selepas ini, selesai sahaja penamatkan pengajian di SMPC, mereka meneruskan pengajian ke IPTS perkauman. Bilakah masanya mereka dapat bergaul dan bercampur dengan pelajar Melayu?

Saya amat yakin, keadaan ini wujud disebabkan oleh sikap kita terlalu perkauman dan memandang rendah kepada keupayaan sekolah kebangsaan. Kalau tidak percaya, buat kajian di untuk melihat pandangan mereka terhadap sekolah kebangsaan berbanding dengan sekolah vernakular. Majoriti akan mengatakan sekolah vernakular lebih baik dari Sekolah Kebangsaan. Guru-guru mereka lebih rajin dan berdedikasi berbanding guru-guru Sekolah Kebangsaan. Pendek kata, semua yang baik adalah sekolah perkauman, manakala yang kurang baik itu adalah Sekolah Kebangsaan.

Kadangkala sedih juga dengar pendapat guru besar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Johor baru-baru ini, apabila ditanya resepi kejayaan sekolah sehingga terpilih menjadi kumpulan pertama 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Jawapannya begitu simplistik, kerana amalan baca yasin dan salam cium tangan guru. Secara prinsip, saya tidak menafikan kedua faktor tersebut turut menyumbang. Tetapi mesti ada faktor lain yang lebih solid yang boleh kita tonjolkan berasaskan kepada kajian dan penyelidikan dalam memberikan jawapan yang lebih bernas. Janganlah beri jawapan simplistik sedemikian. Bukan apa, dibimbangi ultra kiasu akan mengambil kesempatan dengan memanipulasikan hujah sebegini.

Lagipun, saya bimbang selepas ini para pelajar akan bertindak membaca yasin saban hari dan bersalam mencium tangan guru tanpa mahu berusaha lagi. Hujah simplistik harus berhati-hati ketika mahu digunakan. Islam bukanlah sebegitu mudah sebagaimana yang disangka. Sama juga kepercayaan bahawa dengan meminum air zam-zam boleh membawa berkat dan menjadi penerang hati. Jika begitulah mudahnya Islam, tidak perlu kita bersusah-payah lagi. Kumpulkan pelajar-pelajar yang gagal peperiksaan atau yang jahat-jahat, kemudian pakat-pakat minum air zam-zam, maka cerdiklah atau baiklah mereka selepas itu. Inilah bentuk pemikiran yang perlu diubah dan berubah. Perlu dibezakan antara hujah utama dan hujah tambahan, tanpa menafikan faktor Islam sebagai asas kecemerlangan. Jangan salah faham dengan konsep tawakkal.

Pada saya, guru besar tersebut perlu berhujah secara lebih akademik dengan mengambil kira faktor dedikasi guru-guru Melayu Islam (juga bukan Islam) di sekolah kebangsaan tersebut, dan banyak lagi faktor lain seperti latar belakang murid-murid, keprihatinan ibu bapa, lokasi, dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali pergi ke tempat tersebut. Bukan sahaja sekolah, malahan masjid dan bandar di sana turut ditadbirkan dengan baik dan pernah menerima beberapa anugerah peringkat nasional. Tahniah!

Saya bukan bertujuan untuk mengapi-apikan isu ini. Tetapi saya tidak mahu lagi dengar sekolah kebangsaan dipandang rendah dan dihina serta dihentam oleh kumpulan ultra kiasu. Inilah kebenaran yang amat pahit untuk ditelan tetapi terpaksa diluahkan. Sebenarnya, sekolah kebangsaan banyak yang hebat dan mungkin lebih baik dari sekolah vernakular, cuma kadangkala kita tidak pandai untuk menonjolkannya sebagaimana ultra kiasu menonjolkan sekolah dan diri mereka. Mereka begitu pandai berlakon, memberi publisiti untuk mengaburi mata kita sehingga kadangkala kita terpesona dan terpengaruh tanpa mahu menoleh ke ke belakang lagi. Ingat, hari ini mereka sibuk dengan kempen keahlian di kalangan Melayu Islam. Justeru, dalam usaha untuk mengalihkan perhatian mereka dan menjadikan kita lebih relevan, maka kita perlu berhujah berasaskan ilmu dan kajian, bukan memberi hujah yang pelik-pelik dan emosi semata-mata.

Bila saya bentangkan contoh-contoh ini, saya mohon saudara seIslam saya mengambil ikhtibar betapa orang lain sudah menggapai bintang. Apakah kita masih terus mahu berada di awan? Pernahkah kita duduk semeja berbincang mengenai tahap pendidikan kebangsaan kita? Bagaimanakah tahap perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara? Sejauhmanakah kita memahami hubungan antara majoriti-minoriti? Apakah garis panduan dan formula yang perlu dipakai? Ataupun kita mahu menggunakan pendekatan hak asasi manusia yang kadang kala langsung tidak berasas?

Saya fikir sudah sampai masanya umat Islam bersatu dan berfikir akan masa depan mereka. Jangan terlalu berpolitik. Ia tidak menguntungkan kita, malahan akan menghancurkan. Kenapa kita sanggup cabar-mencabar dan kadang kala hampir mahu menggunakan kekerasan sesama sendiri? Apakah ia menguntungkan? Tidakkah kita boleh berbincang untuk memperkasakan pembinaan sebuah negara bangsa bertunjang Islam sebagai agama persekutuan?

Kita perlu berfikir dan memerah keringat untuk memperkasakan perkara asas beragama dan bernegara dalam masyarakat berbilang kaum. Kita tidak boleh menafikan hak orang bukan Melayu kerana kita telah menerima mereka seadanya. Namun demikian, itu bukan bermakna kita perlu mengikut segala kehendaknya. Kita ada perlembagaan sebagai asas kehidupan bernegara. Ia perlu dipertahankan dan diterjemahkan secara berani. Apatah lagi mempertahankan kalimah Allah yang suci murni ini. Syabas saya ucapkan kepada Zulkifli Nordin. Teruskan perjuanganmu.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Masalah Pendidikan di Malaysia”

Monday, 25 January 2010

Tidak ada kebebasan mutlak di dunia ini

Apabila artikel saya tidak disiarkan dalam akhbar ini minggu lepas, ramai pembaca tertanya-tanya kenapa saya tidak menulis lagi, apa yang telah berlaku? Terharu saya, akan pertanyaan sedemikian. Tidak sangka penulisan yang kerdil daripada insan kerdil masih mendapat perhatian. Kekerdilan inilah yang menjadikan saya sentiasa sedar diri dan bersyukur atas nikmat yang dianugerahkan Ilahi di bumi bertuah ini.

Selama ini saya bersabar menghadapi pelbagai penghinaan dan kutukan daripada mereka yang tidak bersetuju dengan penulisan saya. Ada juga yang mendoakan agar saya cepat mati dan seterusnya masuk neraka. Lebih ekstrim lagi ada yang menyenaraikan saya dalam buku daftar kematian. Alhamdulillah, saya masih ada kekuatan untuk menghadapi tekanan dan cabaran sebegini. Saya amat menghargai rakan-rakan seagama yang sentiasa memberikan dorongan dan kekuatan untuk saya terus menulis dan tidak takut kepada ugutan dan amaran.

Jika kita terlalu takut dengan manusia, di manakah keyakinan kita terhadap Allah SWT? Semua ini mengingatkan saya erti menganut Islam yang sebenar. Jika selama ini saya boleh menghadapi segala tohmah dan mehnah dari mula memeluk Islam sehinggalah ke hari ini, kenapa saya harus berundur sekarang? Saya bukannya melakukan dosa besar atau kejahatan. Saya hanya mahu menyedarkan rakan-rakan seagama agar tidak leka dan bangun mempertahankan agama suci ini, jangan sampai ia dipermainkan. Adakah itu satu pengkhianatan terhadap bangsa sendiri? Bukankah keturunan saya patut dihargai kerana tindakan saya ini?

Saya pasrah, akan takdir yang ditentukan oleh Allah SWT. Hidup ini tiada yang lebih utama selain mendapat keredhaanNya. Dialah yang menjadikan manusia maka, Dialah juga menentukan ajal maut seseorang.

Saya disenarai hitamkan dan dituduh sebagai hipokrit kerana menghantar anak-anak saya belajar di sekolah vernakular. Apakah mereka tidak faham apa yang saya tulis? Saya berulang kali mengatakan dalam penulisan sebelum ini, sememangnya kesemua anak saya belajar di sekolah vernakular dan saya tidak pernah berselindung. Mereka yang hipokrit adalah mereka yang tidak membaca keseluruhan artikel saya. Mereka hanya mengambil yang negatif, kemudian manipulasikan ayat tersebut agar saya dibenci, dihina dan dikeji. Inilah provokasi ultra kiasu yang amat bahaya dalam politik Malaysia. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendapatkan laba dan kepentingan politik, bagi meraih simpati untuk mendapatkan kuasa secara bacul.

Terus terang, anak-anak saya mempunyai latar belakang yang baik dalam bahasa Melayu (BM). Mereka tidak pernah gagal dalam BM, apatah lagi untuk masuk kelas peralihan selepas tamat sekolah rendah. Justeru, adakah salah saya menghantar anak saya ke sekolah vernacular selagi ia berada dalam sistem pendidikan? Malah saya pernah mencadangkan, jika sekolah vernacular ini mahu terus diwujudkan, lebih elok jika orang Melayu belajar di sekolah vernacular, manakala bukan Melayu perlu belajar di sekolah kebangsaan. Dengan maksud, orang Melayu dapat menguasai bahasa bukan Melayu, manakala orang bukan Melayu boleh berbahasa Melayu dengan baik. Tidakkah itu lebih adil dan dapat mencapai perpaduan nasional? Apapun, perkara ini tidak akan berlaku.

Lagipun, dengan menghantar anak-anak saya ke sekolah vernacular, sekurang-kurang saya bercakap serupa bikin. Menulis berasaskan fakta dan realiti. Jika tidak, saya bercakap tidak serupa bikin. Saya tidak mahu syok sendiri atau berteori semata-mata. Bila anak saya berada di sana, bermakna saya tahu perkembangan dan apa yang berlaku di sekolah tersebut. Jika ada yang saya bangkitkan tentang sekolah vernacular itu tidak betul, sila betulkan, tetapi jangan menyerang peribadi sehingga ibu bapa dan nenek moyang yang tidak bersalahpun dimaki hamun bermula dari hidup hinggalah yang mati.

Kepada mereka yang mengikuti penulisan saya, temanya berkait rapat dengan pembinaan bangsa dalam sebuah negara bangsa yang mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Saya tidak nampak apa yang saya tulis tidak benar. Saya suka berterus terang. Jika tidak benar, marilah kita berhujah secara akademik, jangan menuduh yang bukan-bukan.

Selama ini kita yang selalu bercakap kebebasan bersuara atau freedom of speech. Apakah kita menghormati kebebasan bersuara? Terkadang-kadang saya termenung memikirkan apakah kebebasan bersuara akan diberikan seluas-luasnya jika ultra kiasu memerintah. Saya hanya memberikan sedikit pandangan yang agak berlainan, apakah tidak boleh? Jangan asyik menuduh orang lain tidak mengamalkan demokrasi. Bila kena batang hidung sendiri, benarkah kita mengamalkan demokrasi sepenuhnya? Jika akhbar perkauman bebas menulis apa yang mereka fikirkan mahu ditulis, apakah saya tidak boleh berbuat demikian? Apa lebihnya mereka, apa kurangnya saya? Janganlah meludah ke langit terkena muka sendiri.

Apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara? Kebebasan bersuara bukanlah bermakna kita boleh bercakap sesuka hati secara hentam keromo. Kebebasan bersuara adalah mengemukakan hujah-hujah bernas yang dapat memberikan kebaikan kepada orang lain. Menjadikan mereka boleh berfikir jauh, bukan berfikiran jumud dan sempit.

Adalah tidak bermoral apabila kita mempertikaikan sesuatu yang telah menjadi hak sesuatu kaum, apatah lagi jika ianya sudah termaktub dalam perlembagaan. Kita amat sedih bila mana ada segelintir kumpulan yang tidak bersyukur mempertikaikan cara hidup Islam, sedangkan orang Islam tidak pernah mempertikaikan cara hidup mereka seperti membina rumah ibadat sesuka hati tanpa permit dan lesen, hatta di bawah pokok dan di tepi-tepi jalan.

Islam mengambil pendekatan menghormati hak-hak manusia asasi manusia. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, hak persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya. Semua kebebasan ini tertakluk kepada neraca hidup bernegara.

Janganlah kita terkeliru dengan kebebasan yang ditaja oleh barat. Barat mencanangkan kebebasan bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu walaupun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur. Misalnya, perkahwinan sesama jantina. Hari ini mereka mula sedar, bahawa kebebasan mutlak telah menjahanamkan mereka. Malah bekas Presiden Amerika, George Bush menyeru barat supaya kembali kepada Kristianiti. Hak asasi manusia yang bercanggah dengan agama hendaklah ditinggalkan. Apa yang amat memelikkan adalah, di kala barat sudah menyedari dan mengakui akan kesilapan dan keruntuhan mereka, kenapa kita pulak yang berada di timur ini sibuk membincangkan kekebasan mutlak yang telah menjahanamkan barat?

Islam sejak awal lagi sudah menjamin kebebasan manusia selaras dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Perlu dingatkan, fitrah kejadian manusia tertakluk kepada undang-undang Pencipta. Dengan sebab itu, kita melarang seseorang Muslim bebas bertukar agama tanpa sebarang had. Kalimah syahadah adalah sebagai satu ikrar atau perjanjian yang termeteri antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ikrar dan perjanjian itu wajib dikota, dan sesiapa yang murtad bererti dia sudah melanggar perjanjian itu. Maka adalah wajar jika mereka dikenakan hukuman, kerana kebebasan tersebut telah disalahgunakan.

Kebebasan yang dibenarkan adalah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak berkaitan. Kebebasan ini meliputi kebebasan akhbar dan internet yang menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum, bukannya berita yang tidak benar, penuh umpatan, kata-kata lucah dan nista, cerita yang tidak berfaedah atau menyiarkan gambar-gambar merendahkan martabat manusia.

Janganlah kita berhujah dengan menyatakan kitalah yang paling banyak membayar cukai pendapatan negara maka kita bebas melakukan dan mendapatkan apa sahaja tanpa sekatan. Cukai yang dibayar ada timbal balasnya. Sedarkah kita cukai yang dibayar itu juga digunakan menjaga keselamatan, keamanan dan kestabilan negara? Nikmat keamanan inilah yang menyebabkan kita dapat mengumpul dan membuat duit dengan banyak. Siapakah yang lebih mendapat keuntungan dengan nikmat keamanan ini? Hargailah ia, janganlah terlalu ultra kiasu.

Laman blog saya dihentam dengan begitu dahsyat, maki hamun, kata-kata nista, pernahkah saya membalasnya dengan kata-kata yang hampir sama? Saya rela diperlakukan sedemikian. Saya mengambil prinsip jangan ikut seperti mereka. Jika saya turut memberikan reaksi yang sama, apa beza antara saya dengan mereka? Perlukah saya menurunkan maruah diri saya ke tahap seperti mereka? Sudah tentu tidak. Saya menulis berdasarkan kajian dan pembacaan. Jika tidak setuju, kemukakan fakta, kita bahaskan. Jika mahu berdebat, buatlah secara professional. Jangan ajak saya berdebat di tempat yang penuh ultra kiasu. Janganlah terlalu beremosi hingga membakar diri? Sikap inilah yang membantut pembangunan negara. Saya pula tidak pernah mengundang untuk mereka datang melawat dan membaca blog saya. Mereka bebas untuk akses seribu satu laman atau blog lain, terutama laman dan blog ultra kiasu. Pergilah baca dan komenlah sebanyak mungkin, saya tidak pernah melarang. Bukankah itu dinamakan kebebasan?

Hari ini kita perlu bertanya apa yang boleh kita sumbangkan kepada negara bukannya berkata apa yang negara boleh berikan pada kita setelah kita membayar cukai pendapatan. Saya cukup yakin mereka yang banyak bercakap inipun tidaklah terlalu banyak membayar cukai. Syarikat-syarikat besar yang membayar cukai sebenarnya menghargai keamanan yang telah disediakan, walaupun tidak dinafikan ada segelintir yang lari dan membawa wang keluar untuk dilaburkan di luar negara. Tidak kurang pula yang telah menyerahkan kewarganegaraan dan menjadi rakyat negara lain. Kita tidak perlu berasa rugi, kerana manusia seperti ini adapun serupa tiada, bila adapun menyusahkan sahaja.

Hanya orang yang tidak waras sahaja yang mengikhtiraf kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam kehidupan insan yang bergelar manusia yang bertamadun. Teringat saya kepada kata-kata Dr Carmen Lawrence (2006), the survival of our democracies depends not on our capacity to hit back at the terrorists, but on our capacity to think for ourselves.

Justeru, janganlah hairan jika umat Islam tampil mempertahankan hak mereka kerana itu termasuk dalam ruang lingkup kebebasan. Kebebasan mempertahankan maruah dan hak masing-masing. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan maruahnya adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya adalah syahid.” (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi)

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat bertamadun kerana masyarakat bertamadun ialah masyarakat yang dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang. Golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai panduan bukanlah masyarakat yang bebas, sebaliknya adalah masyarakat yang sesat, sesesat-sesatnya. Kebebasan harus ada batasnya. Bagi orang Islam, kebebasannya berpandu kepada Quran dan Sunnah. Manakala bukan Islam berpandukan kepada kitab masing-masing. Dalam konteks kehidupan bernegara pula, perlembagaan itulah panduan kepada ertinya kebebasan. Justeru, rujuklah perlembagaan bila ada masalah dan percanggahan. Jika kita menginterpretasi perlembagaan ikut kepentingan dan nafsu sendiri, maka buruklah padahnya.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Tidak ada kebebasan mutlak di dunia ini”

Friday, 22 January 2010

Penyelesaian Isu Penggunaan Nama Allah Oleh IKIM

Muzakarah Pakar : “Terjemahan God Sebagai Allah:
Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya”

Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010. Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :

“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada ‘God’ tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.

Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :


1. Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

2. Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan denganmenyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.

3. Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, makasuasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu. Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.

Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan diakhir sesi muzakarah berkenaan.

Kenyataan Media oleh Tiga Panel Muzakarah Pakar :

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Dr Mohd Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Dr Mohd Asri Zai

read more “Penyelesaian Isu Penggunaan Nama Allah Oleh IKIM”

Wednesday, 20 January 2010

Kuiz Ramalan Nasib Di FaceBook


kuiz

Bagi mereka yang mendaftarkan akaun Facebook dan aktif menggunakannya pasti sedia maklum bahawa antara aplikasi menarik di dalam Facebook ialah membuat kuiz. Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook boleh mencipta apa sahaja kuiz dengan hanya mengikuti aturan-aturan yang mudah. Kini, kedapatan lambakan bentuk kuiz yang tersedia dalam Facebook, dan sesetengah pengguna menjadi ketagih dengan kuiz-kuiz ini.

Dari sisi positif, aplikasi kuiz ini boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah yang menarik. Iaitu dengan mencipta kuiz-kuiz berbentuk ilmiah dan keagamaan. Sekurang-kurangnya pencipta kuiz boleh mempelajari skill membuat soalan yang berkesan dan pengguna yang menyertainya pula dapat mengulangkaji maklumat-maklumat yang mungkin sudah lama ditinggalkan.

Malangnya, kebebasan mencipta kuiz di Facebook telah disalahgunakan oleh sesetengah pengguna dengan membuat kuiz-kuiz yang boleh mencemarkan akidah dan kepercayaan. Antaranya kuiz horoskop, kuiz ramalan nasib, kuiz ramalan jodoh, kuiz ramalan di mana dan bila anda mati dan lain-lain.

Contohnya, dalam kuiz ‘Singkap Rahsia di Sebalik Nama’, jika seseorang bernama ALI menyertainya, setelah mengikuti aturan ringkas, jawapan yang akan diberikan adalah seperti di bawah:

ALI: 1+3+9=13
1 + 3 = 4

Nombor Rahsia disebalik nama anda ialah : 4

Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika anda mengikuti kuiz ‘Singkap Rahsia Nombor Lahir Anda’ pula, dan anda memasukkan sebagai contoh tarikh 1 Januari 1979, maka ramalan yang tertera ialah:

1 + 1 + 1979 = 1981
1 + 9 + 8 + 1 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1
Nombor Tarikh Lahir anda ialah :1
Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.

Tidakkah satu kejahilan tentang agama dan kebebalan yang melampau, apabila sikap seseorang insan boleh diketahui melalui ejaan namanya atau susunan tarikh lahirnya? Sejak bilakah Allah Taala menjadikan ejaan nama seseorang dan susunan tarikh lahir sebagai alamat bagi sifatnya?

Malah, terdapat juga kuiz-kuiz yang lebih dahsyat seperti kuiz meramalkan di mana dan bilakah anda mati. Berdasarkan soalan-soalan dalam kuiz seperti ini, saya percaya bahawa orang yang membuat kuiz ini hanya main-main sahaja. Tidak berdasarkan kepada mana-mana teori atau falsafah.

Contohnya, saya menjawab secara rambang satu kuiz bertajuk ‘Di mana kamu mati’. Jawapan yang tertera ialah:

Di Rumah.
Lu mati jatuh dari tangga paling atas ke bawah tanggal 03 Maret 2014.

KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH

Berdepan dengan kemunculan tukang ramal dan ahli nujum moden di dalam Facebook, kita sebagai orang beriman wajib mempelajari dan memelihara akidah yang sahih. Agar dapat mengelak daripada kemurkaan Allah, dan membezakan antara hak dan batil.

Ramalan nasib, ramalan kematian, dan ramalan jodoh yang berasaskan kepada kaedah nama, warna kegemaran, dan seumpamanya adalah satu pencemaran dalam akidah Qadha’ dan Qadar. Kerana ilmu tentang perkara ghaib adalah hak mutlak Allah Taala, yang tidak dikongsikan dengan sesiapa pun kecuali yang dikhabarkan kepada rasul-rasulNya.

Allah menegaskan dalam Al-Quran:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ

Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya. (Al-Jinn: 25-26).

HUKUM BERTANYA TUKANG RAMAL

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang umatnya daripada bertemu dengan tukang ramal, apatah lagi mempercayai ramalannya.

Sabda baginda:

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam”. (Direkod oleh Muslim).

Di dalam hadis lain:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُول فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّد

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad”. (Direkod oleh Ashab Al-Sunan).

Mendatangi tukang ramal bukanlah satu kekufuran atau syirik secara mutlak. Menurut Syeikh Al-Utsaimin, ia boleh dibahagikan kepada tiga katagori.

Pertama: Orang yang datang kepada tukang ramal untuk bertanya ramalan sesuatu, tetapi tidak mempercayainya. Perbuatan ini adalah haram, dan balasannya ialah tidak diterima sembahyang selama 40 hari.

Kedua: Orang yang bertanya tukang ramal, dan mempercayai apa yang diramalnya. Perbuatan ini selain haram, ia menyebabkan jatuh kafir kepada Allah. Kerana mempercayai bahawa tukang ramal mengetahui perkara-perkara ghaib yang merupakan hak mutlak Allah. Ia juga satu bentuk mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa ilmu ghaib adalah kepunyaan Allah semata-mata.

Ketiga: Orang yang bertanya tukang ramal kerana maslahah untuk menyelidiki dakwaannya. Supaya dapat dijelaskan pendustaannya atau diambil tindakan terhadapnya. Tindakan ini adalah harus sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bertanya beberapa soalan terhadap Ibn Shoyyad.

Justeru, sebelum pengguna Facebook menyertai kuiz-kuiz ramalan, pastikan dulu dia termasuk dalam kategori manakah.

SEKADAR MAIN-MAIN

Sesetengah penagih kuiz-kuiz ini mempertahankan tindakan mereka dengan hujah kuiz-kuiz ramalan itu hanyalah satu bentuk permainan merehatkan minda sahaja, tanpa mempercayainya.

Sedarkah mereka bahawa dalam perkara Akidah, kita dilarang menjadikannya sebagai main-mainan dan olok-olokan? Bolehkah akidah tentang qadha dan qadar dijadikan main-mainan? Akidah bahawa Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib boleh dijadikan bahan mainan?

Di samping itu, adakah kita pasti kuiz-kuiz seperti itu langsung tidak memberi kesan kepada akidah pengguna Facebook yang rata-ratanya adalah remaja dan muda-mudi? Bagi saya, kuiz-kuiz ramalan di dalam Facebook adalah satu fitnah terhadap pengguna-pengguna Muslim, terutama mereka yang cetek ilmu agama.

Mereka yang bertanggungjawab mencipta kuiz-kuiz ini, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana perbuatan mereka boleh membawa fitnah dan bencana kepada akidah orang Islam lain. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar. (Al-Buruj: 10).

oleh-abuumair

read more “Kuiz Ramalan Nasib Di FaceBook”

Saturday, 16 January 2010

Kemanisan Dalam Ujian

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.


Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)

“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).

Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.


- Gambar Hiasan

Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.

Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.

Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.

Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)

“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 25).

Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.

Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.

Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.

Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.

Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.

Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.

Firman Allah: (maksudnya)

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:

“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (”W

read more “Kemanisan Dalam Ujian”

Friday, 15 January 2010

Apa yang masih tinggal pada kita?

(Perhatian: Artikel ini tidak dapat disiarkan oleh akhbar pada 10 Januari 2010, disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah, seperti biasa artikel seterusnya akan menyusul Ahad ini)

Saya terpanggil untuk menulis mengenai polemik kalimah Allah yang telah diputuskan oleh mahkamah yang berpihak kepada Kristian Katolik baru-baru ini. Penulisan yang menyokong keputusan mahkamah memenuhi setiap ruang laman-laman web ultra kiasu tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Begitulah wajah sebenarnya mereka yang selalu menuduh media lain tidak betul, siapakah sebenarnya yang betul? Kumpulan ini tidak pernah bersyukur, malah semakin berani menunjukkan belangnya.

Saya tidak menafikan hak agama lain untuk menggunakan kalimah Allah, sekurang-kurangnya kalimah ini menjadi sebutan mereka, manalah tahu suatu hari ini merekapun turut ikut bersunat. Namun, saya amat musykil, tetapi kenapa baru sekarang menjadi isu besar? Apakah tujuan di sebaliknya? Siapakah sasaran mereka? Sebagai umat Islam kita perlu memahami isu ini.

Bagi mereka yang tidak menyertai NGO, mungkin mereka tidak berapa nampak niat mereka yang sebenar. Tetapi bagi kami yang selalu berdamping dengan NGO, kami sudah masak dengan teknik dan taktik mereka ini. Mereka tidak akan berhenti untuk menuntut sehingga cita-cita mereka tercapai. Mereka akan menuntut semaksima mungkin, walaupun nampak seolah-olah tuntutan tersebut amat ekstrim. Mereka tahu, jika kerajaan tidak memenuhi kesemuanya, sekurang-kurangnya kerajaan akan memberi sebahagian. Sebahagian itu adalah kemenangan besar kepada mereka. Dengan sebab itu, kerja mereka hari ini ialah menuntut dan mendesak, apatah lagi ketika umat Islam dilanda perpecahan yang begitu melemahkan. Saya tidak fikir mereka sebegitu berani jika umat Islam bersatu. Sejarah menunjukkan bahawa apabila sesebuah bangsa itu kuat, biasanya ia akan digeruni.

Rakan-rakan facebook saya mengadu, ada kalangan orang Melayu Islam telah keluar daripada Islam dan menganut agama lain. Kumpulan ini begitu aktif menjalankan kerja dakwah mereka walaupun mereka tahu ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Hal yang sama pernah berlaku kepada Siti Hasnah Vengarama atau Banggarma Subramaniam baru-baru ini. Kita begitu hairan kenapa orang bukan Islam begitu berani ‘menikahkan’ Banggarma dengan lelaki bukan Islam yang ternyata bertentangan dengan perlembagaan dan salah di sisi undang-undang.

Walaupun Banggarma mengatakan bahawa dia sudah tidak Islam lagi, tetapi beliau masih tertakluk kepada undang-undang syariah, tidak kiralah sama ada dia beramal dengan Islam ataupun tidak. Mereka yang bertanggungjawab menikahkan beliau, sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa agama, sebagai tanda penghormatan ke atas agama Islam. Ironinya, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa agama Islam. Tidakkah ini dinamakan toleransi?

Saya masih ingat, apabila isu ini disensasikan, belum apa-apa lagi kita lihat reaksi Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Mahkamah Syariah membenarkan Banggarma menganut agama Hindu dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Paderi Kristian selaku presiden MCCBCHST berpendapat, murtad itu sah kerana menganut agama Islam pada masa kecil sahaja dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Paderi tersebut mendesak agar memberikannya kebebasan memilih agama kerana ia berumur lebih 21 tahun. Mahkamah Syariah dikatakan tidak layak kerana tidak mempunyai bidang kuasa ke atas ‘mereka yang tidak mengamalkan agama Islam’.

Persoalan saya, siapakah paderi tersebut untuk mengatakan sama ada Mahkamah Syariah layak atau tidak mengadili kes ini. Janganlah bertindak seperti hakim. Kita harus bersifat professional dan bukan beremosi serta bersentimen. Hormatilah kedudukan Islam selaku agama persekutuan. Ini tidak, belumpun perkara ini dibawa ke mahkamah, mereka sudah menjadi hakim. Saya amat bimbang jika wujud hakim seperti ini dalam mahkamah.

Berbalik kepada kes kalimah Allah ini, semua badan NGO bukan Islam bersatu hati mahukan kita menghormati keputusan mahkamah. Ironinya, bila keputusan menyebelahi bukan Islam, kita disuruh menghormati mahkamah dan keputusan itu adalah keputusan yang adil, tetapi bila keputusan menyebelahi orang Islam, kita kata mahkamah berat sebelah dan telah dipengaruhi tangan-tangan tertentu. Adakah tindakan ini wajar? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional?

Apa jua alasan kita mengenai isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, mudarat dan sakitnya lebih dirasai oleh umat Islam. Sepanjang pengamatan saya, di negara-negara barat majoriti Kristian, kalimah Allah tidak pernah digunakan sama sekali, sama ada digereja-gereja mahupun percakapan harian. Malah dalam filem-filem merekapun, saya tidak pernah menonton atau mendengar kalimah Allah digunakan.

Tidak dinafikan bahawa kalimah Allah telah digunakan di Indonesia dan beberapa negara Arab yang lain. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah ia bermakna negeri lain perlu terikut sama?

Saya cukup hairan kenapa kita harus melayan tuntutan Kristian di Semenanjung yang hanya berjumlah kurang dari 9 peratus, berbanding dengan agama lain yang lebih dari itu. Seperti yang saya sebut sebelum ini, walaupun mereka sedikit, publisiti mereka sehingga menenggelamkan agama yang lain. Sedangkan kita tahu dari segi hak, mereka yang beragama Buddha, Konfucius dan Taoisme mempunyai lebih sedikit hak, sebab mereka ada 22 peratus.

Pada saya, apapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama Allah, perlu ada pertimbangan antara mudarat dan sensitiviti umat Islam serta kesesuaiannya dengan perlembagaan negara kita. Bukanlah bermakna kita takut dengan dakyah Kristian, tetapi berpada-padalah dengan kedudukan mereka yang hanya 9 peratus. Kementerian Dalam Negeri dan Majlis agama Islam negeri mesti bertindak tegas ke atas mereka tanpa kompromi jika adalah risalah yang cuba untuk mengelirukan umat Islam. Perkara ini amat penting bagi menghindarkan mudarat lebih besar yang boleh menimpa orang awam Islam yang agak lemah dan mengelakkan konflik.

Justifikasi beberapa cendekiawan dan pertubuhan Islam yang tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan mereka, agak berat juga untuk diterima. Alasan mereka, “umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Quran pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah”. Benarkah begitu? Mereka seolah-olah mendakwa Allah ‘membenarkan’ namaNYA digunakan oleh bukan Islam bagi merujuk kepada Tuhan Bapa, Jesus, dan segala sembahan yang bathil dan syirik itu.

Selaku bekas penganut Kristian bersama-sama beberapa rakan lain, kami tahu benar bagaimana orang Kristian bekerja. Cuma, saya ingin mengingatkan umat Islam supaya lebih berwaspada dan berhati-hati. Kalimah Allah ini merupakan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu ketika dahulu. Walaupun IFC belum berjaya ditubuhkan, mereka berselindung di bawah MCCBCHST. Boleh dikatakan hampir kesemua 14 tuntutan yang mereka kemukakan telah berjaya dipenuhi. Tuntutan ini ternyata menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Antara tuntutan mereka adalah, pertama: seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam. Kedua, orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ketiga, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil. Keempat, tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam. Kelima, orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Keenam, seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.

Ketujuh, orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya. Kelapan, kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kesembilan, orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya. Kesepuluh, bibel dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

Kesebelas, pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah. Keduabelas, program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan ketigabelas: orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam dan akhirnya, sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Persoalan saya, hampir kesemua tuntutan telah tercapai, tidak cukupkah lagi toleransi yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan umat Islam hari ini? Pada saya, kita sudah terlebih memberi, atas dasar demokrasi dan takut kepada ugutan mereka. Inilah kelemahan kita yang menyebabkan orang lain berani memijak kepala.

Toleransi umat Islam telah sampai ke tahap yang cukup tinggi. Seingat saya, umat Islam tidak pernah atau amat jarang campurtangan dalam hal ehwal agama bukan Islam. Apatah lagi untuk mengganggu-gugat istilah agama mereka seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dan sebagainya. Ini disebabkan oleh prinsip kita yang menghormati agama lain.

Justeru, adakah salah kita ingin mempertahankan sedikit yang masih ada? Jika sedikit ini terus mahu diambil dan dikongsi, apakah yang masih tinggal pada umat Islam di buminya sendiri? Justeru, tindakan kerajaan melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong oleh semua umat Islam tanpa berbelah bahagi. Pada masa sama janganlah bertindak di luar batasan agama seperti membakar gereja, itu sudah ekstrim namanya. Jika berlaku peperangan sekalipun, Islam tidak membenarkan kita meroboh atau memusnahkan rumah ibadat mereka. Begitulah indahnya Islam. Pun begitu, kita masih belum tahu siapakah sebenarnya yang membakar gereja? Mungkin orang Islam? Mungkin tidak? Atau mungkin juga orang bukan Islam yang mahu menangguh di air yang keruh? Pokoknya, jangan mudah menuding jari dengan mengatakan orang Islam yang buat.

Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita hanya mempertahankan kalimah Allah untuk tidak digunakan sewenang-wenangnya. Syarat-syarat ketat hendaklah dikenakan sekiranya kalimah ini ingin digunakan. Kuasa yang ada dalam perlembagaan hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan dan menyelamatkan maruah agama tercinta ini. Saya dengan penuh takzim menyembah ke bawah duli Tuanku, Majlis Raja-Raja Melayu untuk campurtangan menyelamatkan kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan yang cuba mengotori kesucian ad-deen ini. Ambillah pengajaran yang berlaku ini untuk kita bangkit kembali menjadi aktif serta proaktif, dan bukannya action-oriented. Bila sudah berlaku barulah kelam-kabut. Tidakkah kita perlu sentiasa bersedia dan beristiqamah mempertahankan maruah agama mulia ini dan bukannya bermusim? Semoga Islam akan terus menyinar dan bersinar.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
read more “Apa yang masih tinggal pada kita?”