Wednesday, 11 November 2009

Apabila Ilmu dan Kelayakkan Tiada .

Dibawah adalah kenyataan seorang pegawai Majlis Agama Islam Selangor yang dianggap LEKEH .Berhujjah dan bercakap seolah-olah Agama Allah itu tidak padanya Dalil dan Fakta , bercakap hal yang beliau sendiri samar dan tidak memahaminya lansung .Biarpun saya bukanlah alim ulama namun jika pegawai dibawah ini inggin berhujjah dengan saya hal sejarah islam , saya kira saya lebih mahir !



Waspada 'tajdid' Wahhabi(klik disini)

Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahfuz Muhammad


MALAYSIA adalah negara yang mengamalkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Shafie.

Walaupun aliran ini dominan namun, terdapat juga cubaan menyebar fahaman lain dalam kalangan umat Islam. Antaranya adalah aliran Wahhabi.

Benarlah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Demi diri Muhammad yang berada di tangan-Nya, pasti akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka”. Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Mereka adalah al-Jamaah”. (riwayat Ibn Majah)

Aliran Wahhabi ini pula bukanlah baru kerana

ia sudah menjadi bualan masyarakat Islam di Malaysia sejak 1940-an lagi.

Selain dikenali dengan aliran Wahhabi, ia juga kenali sebagai Aliran Kaum Muda pada sekitar tahun 30-an.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mahfuz Muhammad bagi mengupas isu ini.

Beliau banyak mengkaji tentang fahaman Wahhabi sejak usia belasan tahun. Kajiannya lebih teliti apabila menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1990-1997 dalam bidang bahasa Arab.

Mahfuz kemudiannya menyambung pelajaran Diploma dalam bidang Fatwa di Dar al-Ifta Mesir pada 2000 hingga 2001.

Apakah pengertian golongan Wahhabi?

Golongan ini adalah satu aliran yang diasaskan oleh Muhammad Abd. Wahhab pada kurun ke-12 Hijrah di Najd Jazirah Arabiah.

Fahaman ini dikenali juga sebagai Aliran Kaum Muda di Malaya dan Indonesia pada 1930-an, hingga 1950-an.

Aliran ini dinisbahkan kepada bapa beliau yang merupakan seorang ulama mazhab Hanbali. Telah menjadi adat kaum Arab menisbahkan sesuatu itu kepada bapa, datuk dan ke atas.

Mazhab Shafie juga dinisbahkan kepada moyangnya sedangkan nama pengasas sebenar ialah Muhammad bin Idris.

Walaupun begitu mereka yang berpegang dengan aliran ini tidak selesa dengan gelaran Wahhabi sebaliknya mendakwa mereka dari golongan kaum Salaf atau kaum Ahli Sunah.

Kenapakah begitu? Ini kerana istilah Wahhabi pada hari ini mula diketahui ramai akan kesesatan dalam akidah dan cabang lain.

Oleh kerana itu harus berhati-hati dengan kaum ini kerana mereka kadang-kadang menggunakan nama Ahli Sunah, Salaf dan pelbagai istilah baik-baik. Semuanya untuk mengaburi orang awam daripada mencium kesesatan pegangan mereka.

Adakah ajaran Wahhabi ini turut melibatkan akidah atau bab fikah sahaja?

Ramai orang merasakan golongan ini hanya pembawa bidaah dalam masalah-masalah furu’ (cabang) semata-mata.

Kerana itu ramai dari kalangan pihak berwajib, ulama dan pendakwah merasakan perkara ini tidak ada keutamaan untuk ditangani dengan sungguh-sungguh.

Sedangkan sebenarnya Wahhabi ini membawa sebesar-besar bidaah dalam masalah akidah!

Antara ajaran yang bertentangan dengan akidah ASWJ adalah menolak dan merendah-rendahkan pengajian Sifat 20. Sebaliknya mereka membawa kaedah tauhid yang baru iaitu pembahagian tauhid yang tiga.

Definasi tauhid tiga di sisi Wahhabi ialah:

Pertama, Tauhid Rububiah.

Tauhid bagi mereka yang menyembah berhala. Kononnya mereka menyembah berhala untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sementara berhala merupakan pengantara antara hamba dan Tuhannya.

Kedua, Tauhid Uluhiah.

Tauhid bagi mereka yang beribadah hanya kepada Allah semata-mata dengan tiada sebarang perantara makhluk.

Ketiga, Tauhid Asma wa Sifat.

Beriman dengan ayat-ayat mutasybihat secara zahirnya. Seperti dikatakan Allah itu bersemayam di atas Arasy dan lain-lain lagi.

Bagaimana mungkin tauhid itu terbahagi kepada tiga? Sedangkan tauhid itu hanya satu iaitu mengesakan Allah dan tidak sama sekali membeza-bezakan tauhid.

Dengan menerima konsep tauhid rububiah dan uluhiah mengikut pentafsiran seperti ini maka banyak amalan yang diperakui baik, menjadi sesat dan membawa syirik kepada pelakunya.

Contohnya, amalan Maulid Nabi SAW, marhaban, berdiri sewaktu selawat, tabarruk (ambil berkat), tawassul (berwasilah), ziarah makam nabi-nabi, rasul-rasul, aulia dan solehin.

Sementara tauhid asma wa sifat pula membawa implikasi menjisimkan (visual) dan mentasbihkan (menyamakan) zat Allah SWT dengan makhluk. Seperti menyifatkan Allah dengan tempat dan anggota (jarihah).

Ini adalah akidah kaum Musyabbihah Mujassimah yang wujud pada kurun ke-4 Hijrah dan dikembangkan semula oleh Ibnu Taimiyyah pada kurun ke-7 Hijrah dan seterusnya dikembangkan pula oleh Muhammad Abd. Wahhab pada kurun ke-12 Hijrah.


read more “Apabila Ilmu dan Kelayakkan Tiada .”

Wahhabi sesuatu yang tiada hakikat

oleh-abusyuaib

Wahhabi ialah sesuatu yang tiada hakikatnya. Isu ini telah lama didengari dan diperkatakan dari zaman ke zaman, namun ianya tetap akan berterusan selagi mana masyarakat tidak cuba memahaminya secara ilmiah. Sesungguhnya Islam dibina di atas manhaj ilmu iaitu al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w. Oleh kerana itu para ulama’ salaf sering menyatakan ilmu itu ialah apa yang difirmankan Allah dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Ingin diingatkan di sini bahawa janganlah kita bercakap tentang sesuatu perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya.
Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 36:
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan”.

Sekiranya kita bercakap di atas suatu perkara yang kita tidak mengetahuinya dikhuatiri akan terjebak ke dalam kancah fitnah pula. Tetapi fenomena ini berlaku di tengah-tengah masyarakat di mana mereka melabelkan sebahagaian mereka dengan wahabi atau kaum muda. Apabila ditanya kembali apakah itu wahabi, mereka membisu. Ada yang menjawab wahabi itu tidak membaca qunut subuh, wahabi tidak membaca zikir lepas sembahyang beramai-ramai, wahabi tidak membuat kenduri arwah dan sebagainya. Inilah yang dikatakan bercakap tidak atas dasar ilmu. Diulangi sekali lagi bahawa kita akan dipersoalkan di hari akhirat kelak atas apa yang kita perkatakan.

Secara ringkas wahhabi adalah nama yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahab, beliau dilahirkan pada tahun 1115 hijrah di Najd dan meninggal pada tahun 1206 hijrah. Perjuangan beliau ialah mengembalikan kesucian tauhid jauh dari syirik, khurafat. Beliau berjuang menegakkan sunnah dan menentang bid’ah dalam agama. Pergerakan Muhammad bin Abdul Wahab bukan satu mazhab yang baru. Bahkan beliau sendiri bermazhab Hambali. Manhaj yang digunakan dalam berdakwah ialah manhaj Salafus Soleh iaitu manhaj yang dibawa oleh tiga kurun yang pertama dan terbaik sepertimana yang disabdakan nabi s.a.w. “Sebaik-baik manusia ialah kurunku (zaman nabi dan sahabat), kemudian kurun selepasnya (tabiin), kemudian selepasnya (tabi’ tabiin).

Tetapi perjuangan dakwah tidak dihamparkan dengan permaidani merah, sebaliknya perjuangan dakwah akan dirintangi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Begitulah yang dihadapi oleh Muhammad bin Abdul Wahab. Musuh-musuh yang tidak berpuas hati dengannya lalu melabelkannya sebagai Wahhabi. Sepatutnya ianya lebih tepat dengan label Muhammadiyah kerana namanya Muhammad namun untuk mengelakkan masalah yang timbul sekiranya dilabelkan Muhammadiyah lalu dinisbahkan kepada ayahnya Abdul Wahab maka jadilah Wahhabi. Itulah hakikat sebenarnya nama Wahhabi yang tidak diketahui masyarakat kita. Penulisan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab hanya sekitar permasalahan Tauhid seperti yang masyhur Kitab al-Tauhid.

Di Malaysia nama Dr.Yusuf al-Qaradhawi sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat. Begitu juga dikalangan ustaz-ustaz yang memusuhi golongan yang dilabel sebagai wahabi ini. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Awlawiyyat memuji Muhammad bin Abdul Wahab katanya: “Bagi al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab di Jazirah Arab perkara aqidah adalah menjadi keutamaanya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menaggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (hlm. 263, ctk. Maktabah Wahbah Mesir).

Satu lagi nama yang tidak asing bagi masyarakat kita ialah Dr. Wahbah al-Zuhaili yang memuji Muhammad bin Abdul Wahhab dengan berkata: “Sesuatu yang tidak syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) “Jagan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya”. (surah Hud:85) bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah yang terbesar untuk islah (pembaikan) membina umat, jihad dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab pada kurun yang ke 12 hijrah. Tujuannya adalah untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan pelbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin Abdul Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikan (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan aqidah yang bersih.” ( Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, hlm 57-58).

Adakah Dr.Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menjadi rujukan oleh mereka ini dilabelkan sebagai Wahhabi?

Siapa tidak mengenali syeikh Muhammad Rashid Redha. Beliau antara orang yang mempertahankan dan mengeji mereka yang mengeji dan menfitnah Muhammad bin Abdul Wahab. Antaranya ialah tulisannya dalam muqaddimah kitab ‘Siyanatul Insan ‘An Waswasatil Dahlan’ sebuah kitab yang menolak fitnah dan pembohongan Zaini Dahlan ke atas Muhammad bin Abdul Wahab yang dinamakan ‘Duraru al-thaniyah fi raddi ‘Ala al-Wahhabiah’ yang banyak tersebar di Malaysia.
Antara isinya beliau menceritakan bagaimana beliau tertipu sejak kecil lagi dengan pembohongan dan fitnah yang terdapat di dalam kitab Zaini Dahlan. Beliau menyedari semuanya itu hanyalah fitnah dan dusta selepas beliau berhijrah ke Mesir. Beliau telah mengkaji mengenai gerakan Muhammad bin Abdul Wahab. Beliau juga banyak membaca kitab-kitab, risalah-risalah, fatwa-fatwanya, anaknya, cucunya dan ulamak-ulamak Najd. Dengan pengetahuan tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab beliau membuat kesimpulan :

1- Tidak ada satu pun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab melainkan dusta dan fitnah.

2- Zaini Dahlan dan musuh-musuh Syeikh Muhammad orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, sama ada tidak mengetahui tentang hakikat dakwah Syeikh Muhammad ataupun sebab-sebab lainnya.

Begitulah seperti kata pepatah manusia akan memusuhi sesuatu perkara yang dia jahil terhadapnya. Suatu kisah yang masyhur seorang syeikh selalu berdoa keburukan dan laknat ke atas Muhammad Abdul Wahab, suatu hari anak muridnya meletakkan kitab yang ditulis oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah dikoyak kulitnya supaya syeikhnya tidak mengetahui siapakah penulisnya. Setelah membaca kitab tersebut anak muridnya tadi datang kepadanya lalu bertanya “Wahai syeikh bagaimanakan isi kandungan kitab itu” lalu syeikhnya menjawab kitab ini sangat bagus untuk dijadikan sebagai rujukan dalam aqidah. Selepas itu anak muridnya mengeluarkan semula kulit buku tersebut dan menyatakan inilah kitab Muhammad bin Abdul Wahhab. Syeikh tersebut terkejut dan menangis kerana menyesal. Setelah itu setiap kali beliau berdoa beliau memohon keampunan dan berdoa kebaikan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab.

Suatu perkara yang penting bahawa mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi ini hanya berdalilkan kepada al-Quran dan Sunnah serta membawa perkatan-perkataan para imam yang muktabar seperti para imam mazhab yang empat. Tidak sepatah pun kedengaran nama Muhammad bin Abdul Wahhab apatah lagi perkataan-perkataan beliau. Sebagai contoh masalah berzikir secara sendirian dan senyap selepas setiap kali sembahyang, mereka membawakan kitab Imam Syafie sendiri iaitu al-Umm juga perkataan Imam al-Nawawi dalam syarah Muhazzab yang menyatakan zikir hendaklah secara senyap kecuali untuk mengajar bukannya pendapat Muhammad bin Abdul Wahhab. Adakah Imam al-Syafie dan Imam al-Nawawi Wahhabi? Itulah akibatnya sekiranya jahil tentang permasalahan agama.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini penulisan-penulisan Muhammad bin Abdul Wahab hanya tertumpu kepada permasalahan aqidah. Jadi apa yang diajarkan oleh sebahagian mereka yang dilabelkan sebagai Wahhabi tiada kena mengena dengan Muhammad bin Abdul Wahab namun masyarakat terutamanya golongan agama yang tidak menitik beratkan persoalan ilmu bahkan ada kepentingan tertentu terus melabel dan menfitnah mereka dengan Wahhabi.

Akhirnya kita mohon kepada Allah agar ditambahkan ilmu yang bermanfaat serta dihapuskan kejahilan dalam diri. Permasalahan wahhabi tidak wajar ditimbulkan lagi dan ianya sesuatu yang tiada hakikatnya, sebaliknya ianya ajaran islam yang tulen bukan Wahhabi.
Wallahu a’lam.
read more “Wahhabi sesuatu yang tiada hakikat”

Tuesday, 10 November 2009

Buktikan Perlis Amal Fahaman Wahabi

"Buktikan Perlis amal fahaman Wahabi"

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri S:hahidan Kassim mencabar mana-mana pihak membuktikan bahawa negeri itu mengamalkan fahaman Wahabi.

:"Kalau Sunah Wal Jamaah itu dianggap Wahabi, kami reda dipanggil dengan gelaran itu (Wahabi),” katanya ketika mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mahfuz Muhammad dalam sebuah akhbar, semalam.

: Mahfuz dipetik sebagai berkata, fahaman Wahabi diasaskan Muhammad Abd Wahhab pada kurun ke-12 di Najd Jazirah Arabiah dan dikenali sebagai Aliran Kaum Muda di Malaya dan Indonesia pada 1930 hingga 1950.

:Beliau yang banyak mengkaji tentang fahaman Wahabi sejak usia belasan tahun berkata, fahaman Kaum Muda yang berteraskan ajaran Wahabi itu bertapak di Perlis dan beberapa tempat di Pulau Pinang hasil 'gelombang' yang didukung Sheikh Abu Bakar dan Ibrahim al- Aqidi.

Shahidan berkata, Mahfuz tidak layak bercakap mengenai fahaman tersebut kerana beliau tidak mempunyai kelayakan dalam bidang itu walaupun mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar.

“Kalau dia cakap dia banyak buat kajian mengenai fahaman ini, saya juga buat kajian. Tujuh tahun Mahfuz di Universiti Al-Azhar tidak semestinya beliau lulus.

“Di Malaysia hanya seorang layak bercakap mengenai Wahabi, iaitu (seorang yang bernama) Dr Zakaria. Saya sedang mencarinya bagi mendapatkan pandangan mengenai hal ini,” katanya.

Shahidan berkata, kenyataan Mahfuz tidak kukuh dan boleh mengelirukan kerana tidak disertakan dengan dalil yang kukuh.

Mengenai kenyataan Mahfuz yang mengaitkan, antara lain, pembacaan surah Yasin di malam Jumaat dengan 'tadjid' (atau pembaharuan), Shahidan berkata, tiada larangan membaca surah Yasin pada malam Jumaat di negeri itu.

"Tiada tegahan pun. Kalau boleh amalan baik tiap-tiap hari kita galakkan,” katanya.

Beliau berharap tidak ada pihak yang menuding jari dalam perkara itu, tetapi sepatutnya mencari jalan penyelesaian.

"Apa yang pelik ialah ada golongan yang mendakwa sebagai Ahli Sunah Wal Jamaah, tetapi tidak mengaplikasikan sunah Rasulullah dalam kehidupan mereka," katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini.
read more “Buktikan Perlis Amal Fahaman Wahabi”

Monday, 9 November 2009

Misteri Wahhabi Di Malaysia

oleh-drmaza.com

Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).


Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”.Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.


- Gambar Hiasan

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.


- Gambar Hiasan

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

read more “Misteri Wahhabi Di Malaysia”

Fantasi mewujudkan sekolah satu sistem

Mingguan Malaysia, 8 November 2009

Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Sayapun dah berbuih-buih bercakap dan menulis. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan. Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan. Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Negara ini seolah-olah tidak ada identiti berbanding negara lain.

Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian. Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan menggugut sekiranya kerajaan meneruskan niatnya. Desakan dan ugutan mempunyai kaitan rapat dengan politik pilihan raya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk.Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah (1300 SJKC + 530 SJKT). Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina (5 peratus). Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.

Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Kanak-kanak tidak boleh dipisahkan sejak dari kecil. Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah. Wujudnya kelas-kelas peralihan dan penguasaan bahasa Melayu yang rendah di kalangan sekolah vernakular menyebabkan interaksi antara pelajar bukan Melayu dengan Melayu amat berbatas. Akhirnya, mereka kekok, malu dan tidak mahu bercampur. Apatah lagi bahasa kebangsaan tidak dapat difahami. Mereka akan hidup dalam kepompong mereka sendiri. Keadaan ini akan menjadikan mereka menjadi semakin kiasu.

Sebagai Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, selama 6 tahun hingga kini, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah 6 tahun dipisahkan di sekolah rendah. Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah danpengajian tinggi. Lihatlah apa yang berlaku di IPTA dan IPTS. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Sudah terang lagi bersuluh. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi mana kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertandukpun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan. Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggup kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita? Saya bimbang ketika itu sudah terlambat untuk diperbetulkan.

Berkali-kali telah saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya. Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

Baru-baru ini Universiti Pertahanan Nasional Malaysiatelah menganjurkan persidangan mengenai pendidikan tinggi dan pembangunan bangsa. Kerisauan yang sama diperbahaskan dengan panjang lebar mengenai sistem satu sekolah dalam arus pendidikan perdana seperti saranan Prof. Khoo Kay Kim.

Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Kalau adapun lebih dari satu, sudah lama dihapuskan, bagi mencapai kepentingan masa hadapan dan nasional. Dengan sebab itu, Thailand awal-awal telah menghapuskan dan merobohkan sekolah Cina pada tahun 1930-an (Ye Lin-Sheng, 2003). Sebenarnya Malaysia adalah syurga kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak dapat. Mereka adalah seperti seadanya mereka seperti mana asal mereka. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan. Malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular ini terus ditambah dalam setiap Rancangan Malaysia.

Persoalan saya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik. Sekolah nasional mesti diutamakan berbanding sekolah etnik. Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan. Manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Inilah bara yang masih terus menyala menunjukkan betapa serius politik perkauman di negara kita. Rujuklah artikel sebelum ini di dalamUtusan Malaysia.

Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas seperti yang telah dilakukan oleh negara lain seperti Thailand dan negara-negara lain di dunia. Kerajaan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan. Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka. Tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

Tamadun dunia membuktikan, apabila rakyat dipisahkan sejak dari kecil, kita sebenarnya mengundang bahaya di depan mata. Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat. Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? 20 tahun? 30 tahun? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaanterlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan lagi dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa? Kalau inipun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam perlembagaan? Apakah kita masih belum faham perkara asas ini setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

read more “Fantasi mewujudkan sekolah satu sistem”

Saturday, 7 November 2009

Habis Hujah, Guna Fitnah!

SAYA malu apabila ‘orang agama’ bertindak secara terbuka ‘seakan’ menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk ‘memerangi’ golongan agama.

Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi s.a.w: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” (Riwayat al-Bukhari).

Nampaknya hadis ini tidaklah dapat ditunaikan oleh kebanyakan orang jika seseorang tidak boleh memberikan nasihat agama melainkan selepas mendapat tauliah.

Saya sedang berfikir apa akan jadi jika perkara ini dikuatkuasakan kepada guru-guru yang mengajar dalam kelas di sekolah-sekolah, pensyarah-pensyarah universiti, penceramah-penceramah motivasi yang ingin memasukkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran mereka.

Bahkan sukarelawan-sukarelawan yang ingin menyampaikan nasihat agama seperti jamaah tabligh juga akan terkena tempiasnya. Di kala yang sama, kita bising jika ada gerakan missionary agama lain, tetapi sesama muslimlah jua yang membelenggu tangan pendakwah mereka dengan berbagai peraturan yang memberikan mudarat lebih banyak daripada maslahat.

Saya tidak menafikan kemungkinan perkara tauliah ini boleh dikuatkuasakan di bawah siyasah syar’iyyah (politik islami) yang bertujuan untuk kemaslahatan umat. Namun apabila ia dikuatkuasakan untuk kepentingan kelompok tertentu, maka tujuannya menjadi rosak. Sepatutnya mereka yang sudah mempunyai sijil pengajian Islam yang sah dari institusi-institusi pengajian Islam yang diiktiraf dianggap sebagai berkelayakan.

Apatahlagi jika mereka pensyarah pengajian Islam di universiti-universiti. Seorang muslim juga boleh menyampaikan ucapan kepada masyarakat melalui unsur-unsur agama dengan kadar yang difahaminya. Tidak perlulah setiap orang yang hendak memperkatakan tentang Islam dikehendaki mendapatkan tauliah.

Berapa kerat manusia yang ada tauliah kalau begitu. Maka hanya berapa kerat manusia sahajalah yang boleh menyampaikan nasihat agama dalam ucapan-ucapan mereka dalam negara ini.

Jika pun tauliah hendak diwajibkan, wajibkan kepada mereka yang langsung tiada sijil pengajian Islam rasmi tetapi ingin mengajar bab-bab khusus dalam disiplin ilmu seperti mengajar khusus akidah, hadis, tafsir, fekah dan seumpamanya.

Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran, seseorang yang ingin mengajarnya padahal dia tidak pernah menjalani pengajian formal mengenainya, perlulah diuji. Di sini mungkin sistem tauliah boleh berfungsi.

Amatlah dukacita, di kala umat kahausan ilmu, golongan muda tercari-cari, isu-isu agama makin banyak yang belum terjawab, penularan pemikiran yang salah merebak dengan pantas dalam era globalisasi, unsur-unsur pengajaran yang bercanggah dengan ajaran tersebar di sana-sini, tiba-tiba di kala itu dihalang golongan pendakwah dan mereka yang mempunyai pengajian Islam untuk menyampai ilmu atau memberi nasihat agama di ‘mana saja’ melainkan dengan tauliah.

Sudahlah ramai ilmuwan dihalang dari bercakap dalam masjid dan surau hanya kerana isu tauliah yang sebahagian mereka berulang kali memohonnya tetapi tidak dapat, di tempat lain pun di haling.

Tidakkah pernah pihak-pihak berkenaan terkenangkan ayat Allah: (maksudnya): "Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar”. (Surah al-Baqarah ayat 114).

Kata al-Imam as-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir: “Yang dimaksudkan dengan menghalang masjid-masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya ialah menghalang sesiapa mendatanginya untuk solat, tilawah, zikir dan pengajian. Sementara maksud berusaha merobohkannya ialah berusaha untuk membinasakannya dan merosakkan bangunannya.

Ia boleh juga membawa maksud mematikan fungsinya berkaitan ketaatan kepada Allah yang ditetapkan untuknya...juga merangkumi setiap perkara yang menghalang tujuan pembinaan masjid, seperti mempelajari ilmu dan mengajarkannya, duduk iktikaf dan menunggu solat” (1/144, Beirut: Dar al-Khair).

Senjata Fitnah

Minggu lepas saya telah sebut tentang senjata fitnah ini. Memang sejak dahulu, ada kelompok yang apabila sahaja melihat atau mendengar tentang idea-dea pembaharuan terus sahaja dilebelkan wahabi.

Senjata ini telah dihalakan kepada Prof Hamka, Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi dan ramai lagi. Senjata fitnah jugalah dikenakan oleh sesetengah kelompok agama kepada tokoh-tokoh reformis sepanjang sejarah. Bak kata orang ‘apabila habis perkakas hujah, lalu dipakai perkakas fitnah’. Apakah itu wahabi? Ia masih lagi misteri.

Orang seperti saya bukan susah hendak cari kesesatan pemikiran jika ada. Saya bukan insan yang ghaib bersembunyi, saya ada tulisan, ada buku, ada siaran media elektronik dan berbagai lagi yang pemikiran saya boleh disiasat menerusi ucapan dan tulisan.

Mengapa membuat tuduhan tanpa mendatangkan bukti?!! Saya teringat kata-kata Prof Hamka menjawab sikap suka memfitnah ini, katanya: “Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam Kerajaan Turki.

Bukunya ‘Shawahidul haq’ penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan…kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum-tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu.

Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak.

Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu.

Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada serangan.

Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda”. (Prof Hamka, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76).

Saya amat terkejut apabila semalam Utusan menyiarkan temubual dengan seorang wakil JAIS yang menyatakan antara kesalahan akidah kelompok wahabi ialah pembahagian perbincangan tauhid kepada tiga; tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat.

Inilah yang dianggap kesalahan akidah puak ini. Wakil JAIS itu barangkali lupa; perbahasan tauhid seperti ini dipakai dalam pendidikan sekolah dan universiti tempatan. Bahkan inilah yang dipakai dalam ratusan universiti di dunia Islam, di Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir dan berbagai negara lagi.

Separuh umat Islam Indonesia dan separuh umat Islam di selatan Thai. Apakah mereka ini semuanya wahabi dan sesat?! Dengan itu, inilah kes sesat-menyesat yang terbesar dalam sejarah umat Islam. Amat malanglah, jika umat Islam berbalah disebabkan kedengkian dan hasad lalu pergi ke daerah sesat-menyesat seperti ini.

Namun, apa boleh buat, nasib yang sama menimba insan yang jauh lebih mulia, Nabi Muhammad s.a.w, daripada seorang yang digelar al-Amin, lalu dipanggil tukang sihir dan gila. Ini semua akibat dari tidak mampu bersaing di pasaran pemikiran.

Padahal, dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan rasulNya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah. Namun, bak kita kata tadi, apabila habis perkakas hujah, ada yang guna perkakas fitnah.

read more “Habis Hujah, Guna Fitnah!”

Friday, 6 November 2009

Sajak Pencinta AL-Quran Hadis Yang Digelar Wahabi

Aku nasihatkan, rujukan kita adalah al-Qur'an dan sunnah Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku katakan, hadis hendaklah dipastikan sahih dari Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku cuba amalkan ibadatku mengikut cara Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku cuba amalkan solat mengikut cara Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku nasihatkan bahawa amalan itu dan ini bukan dari Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku katakan ramai guru-guru kini tidak mengajar dengan kaedah yang asli
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku bertanya guru, apakah dalil sahih untuk aku ikuti
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku katakan agama ini tidak semesti semuanya mengikut as-Syafie
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku katakan, khurafat, syirik dan bid'ah amat dilarang oleh Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku tidak hadiri kenduri arwah kerana ianya dilarang oleh Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku mengatakan kenduri arwah juga dilarang oleh as-Syafie
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku katakan amalan khusus Nisfu Sya'ban bukan diajar oleh Nabi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku juga katakan ianya juga dilarang oleh al-Qaradhawi
Lalu aku dipanggil Wahabi

Aku pun tidak tahu, siapakah sebenarnya Wahabi?

Kata mereka Wahabi adalah Wahabi

Aku bertanya lagi, siapakah sebenarnya Wahabi?

Kata mereka Wahabi adalah Wahabi

Aku semakin bingung siapa itu Wahabi

Namun ...

Jika benar Wahabi adalah yang nak ikut sunnah Nabi... Biarlah aku
dipanggil Wahabi

Jika benar Wahabi yang melarang khurafat, syirik dan bid'ah dari diikuti... Biarlah aku dipanggil Wahabi

Jika Wahabi hanya beramal dengan amalan yang sahih dari
Nabi...Biarlah aku dipanggil Wahabi

Aku ingin mendapat keredhaan dari Ilahi
Biarlah aku dipanggil Wahabi
Semoga di akhirat bersama Nabi aku berdiri
Biarlah aku dipanggil Wahabi
Aku hanya inginkan syafaat Nabi untuk syurga yang kekal abadi
Biarlah aku terus dipanggil Wahabi...


sumber : http://lobaitampin.blogspot.com
read more “Sajak Pencinta AL-Quran Hadis Yang Digelar Wahabi”

Tuesday, 3 November 2009

Solat Sunat Dhuha

Ramai juga yang bertanya tentang hadis solat sunat dhuha, mereka mendengar sebahagiannya menyatakan hadis solat sunat dhuha merupakan hadis-hadis yang lemah (dhoif). Hairan rasanya mereka yang berkata sedemikian kerana antara hadis-hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Maka saya bersangka baik bahawasanya kemungkinan mereka menyatakan ada beberapa hadis yang dihukumkan sebagai lemah.

Hadis-hadis solat sunat dhuha

Daripada Abu Hurairah r.h. dia berkata: Kekasihku (Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara iaitu berpuasa 3 hari setiap bulan, 2 rakaat dhuha dan berwitir sebelum tidur. (Al-Bukhari 1981, Muslim 721)

Daripada Abu Zar daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda: setiap pagi setiap orang mesti melakukan sedekah, maka setiap tasbih itu sedekah, dan setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, Amar Makruf itu sedekah, Nahi mungkar itu sedekah, dan ianya sudah dikira sedekah dengan 2 rakaat solat dhuha. (Muslim 720)

Daripada Abu Hurairah r.h. Nabi bersabda: tidak ada yang menjaga solat dhuha kecuali Awwab. Dan itulah solat al-Awwabin. (Al-Tabrani, dan Ibn Khuzaimah, lihat sahih al-Targhib wa al-Tarhib 673, dan silsilah al-sahihah 703)

Awwab bermaksud orang yang banyak bertaubat dan kembali kepada Allah.

Melalui hadis-hadis ini maka hukum solat dhuha ialah mustahab dan ianya sunnah muakkadah (dituntut melakukannya).


Nama lain bagi solat dhuha

1- Solat sunat Ishraq – iaitu dipermulaan waktu naiknya matahari. Maka solat sunat Ishraq ialah solat dhuha yang dilakukan di awal waktu naiknya matahari.

2- Solat sunat Awwabin – solat sunat awwabin merupakan solat dhuha seperti hadis yang telah dinyatakan. Adapun sebahagian mereka yang melakukan solat sunat sebanyak 6 rakaat antara maghrib dan isyak dan mereka namakan sebagai solat awwabin maka ini merupakan suatu kesalahan, bahkan tiada dalil berkenaan solat sunat tersebu
t.

Waktu solat dhuha

Bermulanya waktu solat dhuha apabila matahari naik kadar 2 meter sehingga sebelum masuk waktu diharamkan solat sebelum tergelincir matahari.

Waktu yang afdhal ialah apabila matahari sudah mula memanas atau mengeluarkan bahangnya. Jika waktu sekarang lebih kurang jam 10 ke atas.


Bilangan rakaat

Bilangan yang paling sedikit sebanyak 2 rakaat kemudian 4, 6, 8.

Kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perbuatan Rasulullah s.a.w. ialah 8 rakaat seperti di dalam hadis Abdul Rahman bin Abi Laila yang diriwayatkan oleh al-Bukhari 1176 dan Muslim 336.

Dan kebanyakkan riwayat yang tsabit dari perkataan Rasulullah s.a.w. ialah 12 rakaat seperti di dalam hadis Abu Darda’ Nabi bersabda:

Sesiapa yang solat dhuha 2 rakaat tidak akan di tulis di kalangan orang-orang yang lalai, dan sesiapa yang solat 4 rakaat ditulis baginya dikalangan orang-orang yang kuat beribadah, sesiapa yang solat 6 rakaat maka cukuplah baginya pada hari itu, sesiapa yang solat 8 rakaat Allah menulis dia di kalangan orang yang khusyuk. Sesiapa yang solat 12 rakaat Allah akan bina baginya rumah di syurga. (Hadis riwayat Tabrani fi al-Kabir, di hasankan oleh Al-Albani di dalam sahih al-Targhib dan al-Tarhib 671)

Wallahu a’lam

sumber-abusyuaib.blogspot.com
read more “Solat Sunat Dhuha”

Sunday, 1 November 2009

Shahidan minta Dr Asri tolak pelantikan YDP YADIM dan gesa yayasan itu diaudit segera

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap memorandum fitnah yang dilemparkan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Shahidan membuat kenyataan ini berikutan sidang media tergempar yang dibuat oleh Mohd Asri semalam, bagi menjelaskan mengenai tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadapnya dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Tuduhan itu menurut Mohd Asri berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terhadapnya.

Shahidan yang menghubungi mStar Online dari Nottingham, UK sebentar tadi berkata, beliau berpendapat Agong tidak mungkin akan campur tangan dalam perlantikan Mohd Asri sebagai YDP YADIM.

Kata Shahidan, sebagai raja yang adil dan bijakasana, baginda akan menapis segala maklumat dan akan cuba mendapatkan penjelasan dari semua pihak berhubung dengan agama Islam, sekiranya baginda tidak berpuas hati.

Memorandum yang merupakan serangan peribadi terhadap Mohd Asri itu juga antara lain ada menyatakan bahawa umat Islam Malaysia dan Perlis khususnya tidak berpuas hati dengan beliau.

"Ini adalah fitnah dan saya boleh ceritakan keadaan sebenarnya satu hari nanti. Fitnah puak-puak ini tidak sewajarnya mempengaruhi mana-mana pihak untuk membuat apa-apa keputusan kerana semasa di Perlis, Dr Asri tidak membuat apa-apa perkara baru. Sebaliknya, beliau hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

"Majlis agama dan kerajaan sentiasa bersama. Mengapa pula PGSM lebih pandai dari kami membuat analisa?," tanya Shahidan.

Berhubung dengan perkembangan terbaru yang berlaku, Shahidan meminta Mohd Asri supaya tidak menerima perlantikan dalam YADIM.

"Biarlah mereka yang ada sekarang, pegang jawatan sampai mereka puas hati. Mungkin mereka saja yang terbaik di Malaysia. Walaubagaimanapun YADIM haruslah diaudit segera," katanya.

Menurut Shahidan, memorandum fitnah itu mengingatkannya tentang apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.

"Saya juga pernah disebut untuk menjadi Pengerusi Tabung Haji tetapi didiamkan kerana kononnya saya ini dari puak 'Wahabi' dan mereka juga tidak menjelaskan apa itu 'Wahabi'," kata Shahidan yang akan kembali ke tanah air pada Selasa depan.

Shahidan juga hairan kenapa perkara pelantikan itu boleh meleret sampai ke peringkat ini.

"Apa lagi hukuman yang mereka hendak jatuhkan kepada kami, saya pun tidak tahu. Saya hanya bersabar dan berserah pada Allah jua.

"Saya juga meminta kepada semua sahabat-sahabat supaya berdoalah pada Allah dengan Doa Huzaifah di zaman Nabi S.A.W untuk percepatkanlah taubat atau azab kepada mereka yang menzalimi kami", katanya.

Kepada mereka yang hebat mendakwa, kononnya mendapat sokongan umat Islam di Malaysia jika dibandingkan dengan Mohd Asri, beliau berkata: "Eloklah media elektronik dan media cetak membuat survey berhubung hal ini."

sumber mstar

read more “Shahidan minta Dr Asri tolak pelantikan YDP YADIM dan gesa yayasan itu diaudit segera”