Wednesday, 25 July 2012

Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah


Adab-adab berhubung dengan ibadat mestilah merujuk kepada apa yang ditunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ada sebahagian pihak yang cenderung untuk mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung ini, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana itu boleh mengurangkan keletihan dan sekaligus menghilang kelebihan puasa. Sedang di dalam hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam Sunannya, Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman meriwayatkan:

قَالَ الَّذِي حَدَّثَنِي لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

بِالْعَرْجِ يَصُبُّ الْمَاءَ عَلَى رَأْسِهِ

مِنَ الْعَطَشِ أَوْ مِنَ الْحَرِّ.

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda
ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas”. 


Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. [Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut]

Apa yang penting di dalam bulan Ramadhan ialah adab-adab ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran atau al-Sunnah. Dalam artikel ini penulis ingin memberi perhatian kepada adab-adab berbuka puasa. Di antaranya adalah:

Pertama: Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya daripada Sahl bin Sa`d, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ.

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa”
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1957]

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallamyang menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata al-Tibi (meninggal 743H):

Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ianya menyanggahi ahli bid`ah yang berpendapat wajib melewatkannya. [al-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut]

Kedua: Berbuka Puasa dengan rutab, tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ianya kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ianya mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ

عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ.

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat
dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar
dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air.

[Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah]

Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar dan sekiranya tiada maka dengan air … Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ianya menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. [al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut]

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Ketiga: Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan rutab, tamar atau air sekiranya makanan belum dihidangkan.
Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan rutab, tamar atau air sebelum bersolat maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, antaranya daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ الْمَغْرِبِ

وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ.

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ianya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib
dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 672]

Dalam hadith yang lain daripada `Abd Allah bin `Umar,  baginda bersabda:

إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ

فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ وَلَا يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ.

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu sedangkan solat (jamaah) telah didirikan,
maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim, rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 674]

Riwayat di atas juga  menambah:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ وَتُقَامُ الصَّلاَةُ

فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ

وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ.

“Bahawa Ibn `Umar apabila dihidangkan untuknya makanan manakala solat pula sedang didirikan,
maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan
sedang beliau mendengar bacaan imam.”

Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” [al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut]

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat maghrib. Namun ianya juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” [al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir]

Malangnya ada di kalangan orang yang kurang faham lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jamaah. Inilah punca kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat,  sebaliknya tujuan arahan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabah) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jamaah. [Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut]

Keempat: Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepat dengan firman AllahSubhanahu wa Ta‘ala:

“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebih. Sesungguhnya Dia (Allah)
tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan.” [Surah al-`Araf 7:31]

Di dalam hadithnya baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyebut:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ

فَإِنْ كَانَ لاَ مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ

وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ.

Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya
(memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan,
satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan.

[Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302 dan beliau berkata: “Hadith ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan]


Hadith ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi shallallahu 'alaihi wasallammenyuruh umatnya jika makan hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima, kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

Kelima: Berdo`a ketika berbuka. Ini berdasarkan hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ.

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

[Riwayat Ibn Majah di dalam kitab Sunannya – hadis no: 1753. Sanadnya pada nilaian hasan ke atas. Salah seorang perawinya, Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur‘ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif]

Maka kita boleh berdo`a dengan apa sahaja do`a yang kita hajati. Do`a orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan dari kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

“Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggunjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota” [Faidh al-Qadir, 2/500]

Terdapat sebuah do`a yang ditunjukkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketika berbuka dan disunatkan untuk kita membacanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ لأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.

“Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berbuka, baginda bersabda: “Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insyaAllah.”

[Riwayat Abu Daud di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2010, sanadnya hasan]

Keenam: Berdo`a kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka sebagaimana terang Anas bin Malik:


أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ

فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ فَأَكَلَ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ

وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ.

“Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang kepada (rumah) Sa`ad bin `Ubadah.
Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda:
“Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik
dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

[Riwayat Abu Daud, al-Diya al-Maqdisi di dalam al-Ahadith al-Mukhtarah 5/518 menyatakan ianya sahih]

Maka berdo`alah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikianlah antara adab-adab berbuka puasa yang terkandung di dalam sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Semoga pengamalan adab-adab ini akan menambahkan lagi pahala puasa kita.


read more “Adab-Adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah”

Monday, 23 July 2012

Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.


Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah


Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah satu perintah agama yang dikenali oleh semua umat Islam, malah termasuk oleh kebanyakan orang bukan Islam. Kewajipan ini bermula kira-kira pada tahun 2 Hijrah di Kota Madinah. Sehingga kini, lebih daripada 1400 tahun yang telah berlalu. Dalam tempoh masa yang lama ini, terdapat beberapa amalan dan hukum yang merupakan sebahagian daripada ibadah puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan umat. Pada waktu yang sama terdapat beberapa amalan dan hukum yang bukan merupakan sebahagian daripada ibadah puasa yang telah ditokok tambah. Yang memberatkan, sebahagian daripada peninggalan atau penambahan ini berasal daripada ahli fiqh itu sendiri, semoga Allah merahmati mereka semua.

Dalam menghadapi suasana ini, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah jelas, iaitu kebenaran tetap diukur berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sekali pun kita menghormati dan mengiktiraf ketinggian ilmu para ahli fiqh, ia tidaklah bererti kita mengunggulkan mereka dan meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih di tangga yang kedua. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah)
- jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu),
dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]

Perhatikan dalam ayat di atas, terhadap Allah dan Rasul-Nya, ia didahului dengan perintah “taat”. Akan tetapi perintah “taat” ini tidak mendahului “Ulil Amri”. Ini menunjukkan bahawa ketaatan kita, orang-orang yang beriman, kepada Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada Ulil Amri ia bersyarat selagi mana mereka mengeluarkan hukum yang selari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ulil Amri ditafsirkan kepada sesiapa yang memegang urusan umat Islam, termasuk di dalam pengertian ini ialah para ahli fiqh yang bertanggungjawab menjelaskan hukum-hukum agama kepada umat Islam.

Perhatikan dalam rangkap seterusnya, Allah berfirman bahawa jika kita berbantah-bantahan atau berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, hendaklah kita kembalikan perkara tersebut – bukan kepada para ahli fiqh – tetapi kepada Allah dan Rasul-Nya. Pada masa kini, ia adalah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ayat ini menggariskan kaedah yang amat penting bagi kita, bahawa apabila timbul perselisihan pendapat, hendaklah kita ambil pendapat yang berasal daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika perselisihan tersebut merupakan satu perkara yang diijtihadkan, maka hendaklah kita memilih ijtihad yang paling mendekati dalil dan tujuan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.[1]

Penghormatan dan pengiktirafan kita kepada para ahli fiqh tidaklah sehingga ke tahap kita meletakkan taraf maksum kepada mereka. Para ahli adalah manusia yang tidak terlepas daripada beberapa kekurangan, khasnya:
  1. Mereka adakalanya berhujah dengan hadis yang mereka sangka sahih padahal yang benar ia adalah tidak sahih.
  2. Mereka adakalanya menokok tambah hukum atas dasar ingin berhati-hati dan memilih jalan yang selamat (conservative). Tokok tambah ini akhirnya menjadikan hukum-hukum fiqh Islam tersasar jauh daripada roh syari‘at yang sentiasa memberi penekanan kepada kemudahan dan keampunan.

Dalam membicarakan amalan dan hukum puasa yang telah ditinggalkan dan ditokok tambah, penulis membahagikan risalah ini kepada dua bahagian. Bahagian A membicarakan amalan dan hukum yang telah ditinggalkan manakala Bahagian B membicarakan amalan dan hukum yang telah ditokok tambah. Walaubagaimanapun pemisah antara yang ditinggalkan dan ditokok tambah tidaklah jelas kerana kadangkala wujud satu amalan atau hukum yang memiliki kedua-dua peninggalan dan penambahan. Oleh itu para pembaca diminta mengkaji risalah ini secara keseluruhannya. 

Bahagian A: Perkara yang ditinggalkan




[1]               Lebih lanjut, rujuk buku penulis Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Baru) terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.
read more “Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.”

Sunday, 22 July 2012

Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Dalam Bulan Ramadhan.


Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Dalam Bulan Ramadhan.
Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah


Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?

Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

(al-Qur’an) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.
[al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.[1]


Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
[al-Waqiah 56:77-80][2]


Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuzmanakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3] Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh:Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.
[al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.

Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.
Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.


Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.
Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawirahimahullah (676H):[5]

Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:
  1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

  2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.
Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7] Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita,  sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8]

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.

Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah(728H):[9]

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabishallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada paraUmmul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.


Kesimpulan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya;
ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.


 

[1]               Sahih: Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82.
[2]               Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat wajib berwudhu’ sebelum memegang al-Qur’an, baik bagi lelaki atau wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib berwudhu’. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekalipun tanpa berwudhu’.
[3]               Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.
[4]               Dha‘if: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha‘if. Shaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). LihatIrwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf,jld 1, ms 83-84.
[5]               Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).
[6]               Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).
[7]               Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu’).
[8]               Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.
[9]               Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla(Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).

read more “Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Dalam Bulan Ramadhan.”