Saturday, 12 September 2009

Sistem kuota dihapus


 


Sistem kuota pertandingan jawatan UMNO yang sering menjadi polimek setiap kali menjelang pemilihan parti itu kerana dianggap tidak demokratik dan galak politik wang akan berkubur tidak lama lagi. 

Serentak dengan itu sudah pasti jumlah perwakilan UMNO yang berkuasa menentukan siapa yang dipilih akan lebih dari 2,500 orang seperti sebelum ini. 

Ini dua perkara utama yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di ibupejabat parti itu di PWTC petang Jumaat. 

 

Sistem kuota diperkenalkan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pemilihan parti yang hangat tahun 1987 dimana beliau berentap dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dibawah sistem itu calon jawatan Presiden perlu dapat 30 peratus pencalonan dari 191 bahagian UMNO manakala Timbalan 20 peratus dan Naib Presiden 10 peratus. 

Sistem ini juga melibatkan pemilihan jawatan sayap parti Pemuda,Wanita dan Puteri. 

Sebelum ini kisah kejar mengejar untuk mendapatkan jumlah pencalonan yang mencukupi kuota menjadi perhatian menjelang pemilihan parti. 

Anihnya kerap kali jumlah pencalonan yang diperolehi itu tidak dizahirkan dalam bentuk undi semasa pemilihan sebenar.Ada yang dapat lebih pencalonan dapat kurang undi manakala yang kurang pencalonan lebih undi.
 

Ekoran polimek mengenainya Dr Mahathir sendiri akhirnya turut mencadangkan sistem kuota dihapuskan.Begitu juga halnya dengan kebanyakan pimpinan utama UMNO termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cadangan menghapuskan kedua-dua sistem itu semakin jelas apabila Najib dipilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac lalu.

Dalam ucapannya ketika penangguhan perhimpunan itu, Najib menegaskan sudah tiba masanya sistem kuota dan pemilihan pemimpin parti yang ditentukan kira-kira 2,500 perwakilan dikaji semula.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat kira-kira tiga jam itu, Najib menegaskan bahawa perubahan ini perlu menjurus ke arah membanteras politik wang dan jadikan proses pemilihan lebih telus. 

Ia juga katanya, untuk menunjukkan bahawa UMNO benar-benar inklusif dengan melibatkan seberapa golongan yang ramai dengan asasnya parti dilihat lebih demokratik dalam pemilihan.

Walaupun sistem kuota dihapuskan, ada beberapa kriteria yang tidak mengongkong kebebasan dalam menentukan mereka yang bertanding benar-benar menghayati prinsip matlamat perjuangan parti.

Menurut Najib, pengalaman seseorang calon juga antara kriteria penting pemilihan.

"Sedikit sebnayak pengalaman jadi asas kriteria. Soal-soal lain ada juga dibincangkan... lebih terperinci... satu mesyuarat Biro Politik akan diadakan untuk memuktamadkan cadangan pindaan.. dan akan dibentangkan pada MT akan datang, sebelum perhimpunan Agung," katanya. 

Difahamkan biro itu dijadual bermesyuarat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan Khas (EGM) pada 13 Oktober sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan 2009.

Mengenai jumlah perwakilan pula, Najib berkata mesyuarat MT tidak membuat keputusan muktamad tentang saiz perwakilan yang bakal memilih jawatan-jawatan tertinggi parti.

Sebelum ini ada dilaporkan bahawa akan terdapat sehingga 650,000 perwakilan yang layak untuk memilih pucuk kepimpinan parti berbanding 2,500 sekarang.

Langkah ini bagi memastikan UMNO lebih inklusif serta dilihat lebih demokratik dengan seberapa ramai ahli boleh terbabit pemilihan parti.

Jelas Najib, jumlah perwakilan perhimpunan agung tahunan masa depan pastinya jauh lebih besar daripada jumlah sekarang.

Bagaimanapun, jumlah perwakilan katanya belum muktamad kerana ianya turut mengambilkira soal logistik dan sebagainya.

Beliau juga berkata, pandangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri terhadap pindaan perlembagaan parti turut diambil kira.

Mengenai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional memberitahu, isu itu ada dibincangkan.

Tetapi katanya, bukan tradisi bagi MT mengumumkan nama calon selepas mesyuaratnya. 

Selepas mesyuarat MT,para pemimpin UMNO berbuka puasa bersama dan kemudiannya bersembahyang tarawikh, 

Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi.
-10/9/2009

sumber-agendadaily.com

read more “Sistem kuota dihapus”

Wednesday, 9 September 2009

Kerapuhan pakatan pembangkang tidak dapat diselindung lagi - Zahid

KUALA KRAI: Kerapuhan gabungan pakatan pembangkang tidak boleh diselindung lagi dan tidak mustahil pakatan itu akan terlerai sepenuhnya tidak lama lagi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Perlu diakui PAS mempergunakan DAP dan DAP menjadikan PAS kuda tunggangan mereka dan apa yang berlaku di Kedah hari ini membuktikan pakatan itu rapuh kerana mereka sebenarnya hanya berkahwin mutaah.

"Cukuplah perkahwinan mutaah itu, bubarlah pakatan yang tidak memberi makna dan PAS sertailah kami (Barisan Nasional)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bekas Tentera Malaysia di Masjid Seri Wangsa di Manik Urai Lama di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan DAP Kedah semalam yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS yang gagal menghalang perobohan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.

Dr Ahmad Zahid berkata demi kepentingan negara, PAS sewajarnya mengkaji hubungan tidak bermakna itu kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Sementara itu di Sepang, Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata tindakan DAP Kedah itu membuktikan dakwaan pakatan pembangkang sebelum ini yang menyatakan gabungan mereka cukup kuat merupakan satu pembohongan.

"Apabila kita mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mereka kata mereka tidak boleh mengadakan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

"Sebab mereka kata kerajaan perpaduan pakatan pembangkang sudah cukup kuat tetapi ternyata apa yang berlaku semalam di Kedah, itu membuktikan ia hanya merupakan satu pembohongan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, projek pertama disiapkan menggunakan kaedah Sistem Binaan Industri (IBS).

Dr Mohd Puad berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini untuk menubuhkan kerajaan perpaduan adalah ikhlas dan serius sebenarnya.

"Kita pun tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa tetapi pada saya, orang yang menentang kerajaan perpaduan ini, ialah kerana dia tidak memikirkan faedah kepada negara," katanya.

Di Kuala Lumpur, Pergerakan Wanita Umno tidak terkejut langsung dengan berita mengenai DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu kerana sudah menjangkakannya.

"Tiada kejutan besar, kita memang tahu perkara ini akan berlaku, sebab pakatan pembangkang begitu rapuh sekali, jadi saya ibaratkan macam kahwin mutaah," kata Ketuanya Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerjasama mereka hanya sekejap masa saja untuk tujuan tertentu dan bukan untuk membela nasib rakyat, kata Shahrizat kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Rakyat pergerakan itu bersama Usahawan Wanita (Jalinan Niaga).

Di ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang negeri bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah telah dijangka kerana parti itu mempunyai agenda politik yang berbeza.

Beliau berkata kerapuhan gabungan pakatan pembangkang dikesan sejak awal lagi ekoran kegagalan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS menyelesaikan pelbagai isu tanpa rundingan dengan parti-parti pembangkang lain.

"Kita lihat kerjasama PAS dan DAP hanya setakat kepentingan politik masingmasing dan isu meroboh pusat penyembelihan babi oleh MBAS semalam adalah rentetan tindakan wakil rakyat DAP yang tidak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri," kata beliau pada sidang media.

Katanya, selain itu, pelbagai isu lagi seperti langkah PAS mahu melaksanakan hukum hudud turut ditentang oleh DAP.

Beliau berkata bagaimanapun Umno negeri berkecuali dan tidak berminat untuk mencampuri urusan pakatan pembangkang dan hanya mahu menumpukan pada projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di negeri itu.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mustapa Mohamed berkata rakyat sepatutnya boleh menilai setakat mana kekuatan pakatan pembangkang dalam menghadapi pelbagai kemelut dan isu.

Pelbagai kemelut yang melanda pembangkang itu membuktikan kerapuhan hubungan mereka, berbeza sekali jika mahu dibandingkan dengan hubungan kukuh dalam Barisan Nasional, katanya.

"Di Pulau Pinang DAP ada masalah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di Kedah pula DAP bermasalah dengan PAS, ini menunjukkan betapa rapuhnya hubungan mereka," katanya kepada pemberita di Kuala Krai.

Katanya beliau percaya apa yang berlaku di kalangan pembangkang membuka mata rakyat terhadap keupayaan BN sebagai satu barisan yang kuat dan terbukti mampu membawa kemajuan di seluruh negara.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menganggap keputusan DAP Kedah mempamerkan sikap sebenar pemimpin parti itu yang sebenarnya tidak boleh bekerjasama langsung dengan PAS.

"DAP hanya mementingkan agenda parti itu ketika bersetuju membentuk kerajaan pakatan pembangkang dengan PAS sedangkan secara prinsipnya mereka hanya tidur sebantal dan berlainan mimpi, " katanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata keputusan yang dibuat DAP itu tidak membawa apaapa perubahan kepada kerajaan PAS negeri itu.

"Sebaliknya DAP Kedah harus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan perpaduan baru Kedah yang akan mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia di negeri ini dan membantu pembangunan negeri itu berdasarkan dasar lebih konstruktif, dinamik dan progresif," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menganggap tindakan DAP Kedah itu hanya sandiwara DAP dan PAS.

"Saya rasa mereka main wayang, kalau DAP nak keluar daripada kerajaan PAS, mereka tak perlu tunggu begitu lama.

"Banyak tindakan-tindakan kerajaan PAS di Kedah yang telah menyeleweng daripada asalnya...tapi baru sekarang mereka (DAP Kedah) buat keputusan ini.

"Mereka memang dah lama tak boleh bersama, dasar tak sama, politik tak sama. Jadi, ini menunjukkan kelemahan dalam parti masingmasing dan kita tak tahu apa lagi wayang kulit yang akan dimainkan DAP dan PAS," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. BERNAMA

read more “Kerapuhan pakatan pembangkang tidak dapat diselindung lagi - Zahid”

Perpaduan kaum hanya retorik


assalamualaikum , saya bersetuju dan merasa perlu untuk kita berkongsi bersama dengan apa yang diperkatakan oleh Prof Teo Kok Seong didalam rencana mingguan dibawah .

SEJAK akhir-akhir ini banyak sekali ditimbulkan isu-isu yang menyentuh mengenai hubungan antara kaum di negara ini. Walaupun sudah 52 tahun mencapai kemerdekaan, perpaduan yang selalu diperkatakan belum dinikmati sepenuhnya.

Antara kaum dihubungkan dengan perasaan curiga dan prasangka.

“Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik,” tegas Felo Penyelidikan Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Prof. Teo Kok Seong kepada wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID ketika diwawancara baru-baru ini.

MINGGUAN: Hingga setakat ini, bagaimana Prof. melihat hubungan kaum di negara ini?

TEO: Secara ikhlas saya katakan hubungan antara kaum di negara ini hanya retorik. Di luar hanya nampak baik tetapi di dalam tidak baik. Perlu ada interaksi yang kerap dan tulen sifatnya supaya ada semangat kenal-mengenali. Di negara ini, sifat curiga mencurigai antara kaum yang menjadi masalahnya. Saya juga melihat keadaan ini berlaku kerana parti yang berasaskan kaum yang jelas memperjuangkan kaum mereka sahaja dan ini akan mengheret soal lain seperti bahasa dan sebagainya.

Sepatutnya hanya ada satu bahasa pengantar sahaja. Bahasa lain boleh dipelajari tidak ada masalah namun kepentingan sistem satu bahasa adalah penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Maka politik yang bersifat perkauman ini sangat bahaya dalam usaha kita memupuk perpaduan. Sekarang ini kita hanya melihat perpaduan di peringkat luaran dan tidak ada interaksi yang sebenar antara semua kaum. Komunikasi antara kaum ini ada yang hanya bercakap bahasa pasar sahaja malah ada yang tidak langsung boleh berbahasa Melayu. Maka kita perlu berusaha untuk memupuk satu interaksi tulen antara kaum ini supaya perpaduan yang selama ini kita perjuangkan akan berjaya.

ARKIB : 06/09/2009 utusan rencana

read more “Perpaduan kaum hanya retorik”

Kerapuhan pakatan pembangkang — Zulkiflee Bakar

SEPT 6 — Sebenarnya mana-mana pihak tidak perlu mencemburui seandainya pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti atas satu simbol iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Ia bererti pakatan itu akan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti komponen seperti Barisan Nasional (BN). Kita tidak kisah kerana itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Tetapi persoalan siapakah yang akan dominan? PKR, DAP atau PAS? Berdasarkan kepada senario sejak pilihan raya tahun lalu, PKR dan DAP menguasai pakatan berkenaan manakala PAS hanyalah menjadi pak turut.

Oleh itu, jika pakatan tersebut ditubuhkan secara rasmi, PAS tidak akan menjadi seperti mana Umno dalam BN yang terus menjadi tonggak utama, sebaliknya PAS hanya akan menjadi pengikut. PAS sudah pasti tidak akan diberikan kerusi yang melebihi PKR apatah lagi DAP. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana PAS tidak berupaya melakukan apa-apa.

Justeru tidak mungkin, PAS akan menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang. Sebaliknya PAS hanya akan terus dianggap sebagai pelengkap supaya di dalam pilihan raya tidak ada mana-mana parti-parti pembangkang yang bertanding berasingan menentang BN.

Persoalannya, kalau itulah kedudukan dan layanan yang bakal diterima oleh PAS, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Islamnya dan mampukah PAS memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu tidak terjejas? Sama ada hendak diakui atau tidak, mana-mana pemimpin PAS tidak perlu hipokrit untuk menyatakan bahawa PAS akan memberikan kefahaman secara perlahan-lahan kepada rakan-rakannya dalam pakatan untuk memahami Islam.

Percayalah, kenyataan seumpama itu boleh dianggap kenyataan untuk “menyedapkan hati” sahaja bagi mengelakkan penyokong parti tersebut tidak beralih sokongan mereka.

Sebenarnya PAS memahami kalau pakatan pembangkang didaftar secara rasmi dan bertanding atas satu panji-panji, ia bererti PAS harus melupakan sebarang hasrat untuk melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini. Ia kerana apa juga keputusan yang bakal dibuat berhubung corak pemerintahan atau kepimpinan pakatan berkenaan harus berasaskan kepada suara ramai – ertinya PAS tiada kuasa mutlak untuk menentukan apa yang mereka mahukan.

Berdasarkan hakikat itu, PAS tidaklah perlu bersandiwara lagi. Mereka harus mengakui perjuangan mereka kini hanyalah semata-mata untuk berkongsi kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP. PAS tiada tujuan dan matlamat politik lain, kalau pun ada mereka tidak akan berupaya berbuat apa-apa kerana mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang. PAS hanya akan mengikut telunjuk DAP dan akan patuh kepada arahan PKR.

Bagi PAS, soal meneruskan apa yang mereka hendak perjuangkan sudah tidak menjadi persoalannya. Bagi terlalu dahaga untuk berada di puncak kekuasaan termasuklah menguasai negara. Mereka melihat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, peluang mereka berkuasa bersama-sama PKR dan DAP semakin cerah. Oleh itu PAS cuba menjadi rakan pakatan yang baik.

Kejayaan demi kejayaan dalam pilihan raya kecil yang berlangsung semakin menyakinkan PAS bahawa pakatan pembangkang semakin diterima oleh rakyat. Tetapi PAS terlupa bahawa gelagat mereka yang dilihat sanggup mengorbankan segalanya untuk berkuasa sedang diperhatikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Bagaimanapun kita tidak boleh menghalang hasrat PAS untuk bersama pakatan, apa yang kita harapkan ialah PAS tidak hanya menjadi pak turut. Kita mahu PAS dominan dan menjadi parti penentu kepada pakatan pembangkang. Melalui kedudukan itu, barulah kita yakin bahawa kita tidak perlu khuatir apa-apa lagi terhadap masa depan orang Melayu dan Islam, tetapi persoalannya mampukah PAS melaksanakan misi berkenaan? Sukar untuk dipastikan, ketika ini harapan orang Melayu tetapi bergantung kepada Umno bagi memastikan survival dan kuasa politik mereka di tanah air sendiri tidak berakhir dalam pilihan raya umum akan datang.


RAGAM JADI HALANGAN

DAP memperjuangkan sebuah negara demokratik dan sekular. PAS memperjuangkan sebuah negara Islam. Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan sebuah negara demokratik. Tentu ia tidak dapat menyatakan sama ada untuk mendokong negara sekular atau negara Islam.

Menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada PKR dan PAS. DAP enggan menyertainya kerana menolak fahaman PAS. Ia hanya mahu bekerjasama dengan PKR.

Tetapi hakikatnya kerjasama berlaku antara DAP dan PAS. Penyokong mereka mengundi di antara satu sama lain. begitu juga aktivis mereka membantu di antara satu sama lain.

Melihat perkara ini dari awal pun sudah kelihatan kerapuhan parti-parti pembangkang. Masalah pasti timbul apabila mereka menang di negeri-negeri tertentu untuk menubuhkan kerajaan.

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang adalah mudah. Ini kerana satu parti yang mendominasi. Kelantan dan Kedah dimenangi oleh PAS sementara Pulau Pinang oleh DAP.

Namun begitu, hakikatnya kemenangan PAS di Kedah adalah kerana sokongan pengundi DAP dan PKR. Tetapi PAS hanya ada kerjasama dengan PKR. maka tertubuhlah kerajaan campuran PAS dan PKR, atau BA. Dengan semangat ini juga Kelantan dianggap kerajaan campuran PAS dan PKR.

Begitu juga dengan Pulau Pinang. DAP tidak boleh menolak sumbangan penyokong PAS dan PKR. Tetapi ia tidak ada kerjasama dengan PAS. Maka kerajaan yang ditubuhkan ialah kerajaan campuran DAP-PKR.

Tetapi di Perak dan Selangor, ketiga-tiga parti itu kena berkerjasama untuk menubuhkan kerajaan negeri. Justeru, walaupun DAP dan PAS bertentangan dari segi fahaman, mereka terpaksa menerima satu asas bersama untuk berfungsi. Demokrasi dan urus tadbir baik menjadi asas, tetapi sekali gus menafikan perjuangan mereka iaitu sekularisme bagi DAP dan negara Islam bagi PAS.

Penyelarasan ini dibuat dengan pengisytiharan penubuhan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada ketiga-tiga parti. Ini bermakna kelima-lima negeri itu bukan lagi diterajui kerajaan PAS atau DAP tetapi Pakatan Rakyat. Maka bermulalah masalah fahaman.

Tetapi hakikatnya fahaman hanyalah satu lapis bagi berlakunya kerapuhan ini. Lapis kedua yang lebih penting menjadikan pakatan ini rapuh ialah soal perkauman dan agama. Walaupun ketiga-tiga parti ini menolak perkauman dan perbezaan keagamaan, tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada soal kedua-dua ini. Ia bukan saja mereka sendiri mempunyai sentimen kaum dan agama, tetapi mereka mesti menuruti rentak pengundi yang rata-rata masih mempunyai semangat kaum dan agama, satu realiti dalam masyarakat Malaysia.

Itulah yang terjadi sejak Mac 2008.

Dalam mesyuarat-mesyuarat Exco Selangor, Perak semasa di bawah mereka, Pulau Pinang dan Kedah, banyak isu timbul yang berkaitan dengan hubungan kaum dan agama. Di satu pihak ialah DAP dan PKR bukan Melayu, berdepan dengan PAS dan PKR Melayu.

Tetapi di kalangan ahli-ahli politik ketiga-tiga parti itu juga beragam. Ada yang kelihatan ekstrem, sementara ada pula yang begitu toleran. Dalam DAP juga pelbagai perwatakan yang berbeza di antara satu sama lain walaupun sama parti. Begitu juga dengan PAS. Ada Erdogan, ada UG (unity government – kerajaan perpaduan).

Dalam PKR lagi pelbagai ragam. Paling rapuh ialah PKR yang sepatutnya menjadi tonggak Pakatan Rakyat. Gara-gara dua ahli politik PKR merintis kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Kejatuhan kerajaan negeri itu menjadi kenyataan dengan tindakan ahli politik DAP.

Dalam hal ini, ia bukan soal fahaman atau perkauman. Tetapi akhirnya pertimbangan ialah kepentingan diri dan kelemahan kepimpinan parti-parti itu, baik PKR dan DAP.

Kelemahan ini juga jelas berlaku di Pulau Pinang apabila pilihan raya kecil Penanti terpaksa diadakan.

Selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak, kini gelora sedang berlaku di Selangor. Pelbagai isu timbul yang kebanyakannya berkaitan perkauman dan keagamaan.


TIADA TAWARAN LEBIH BAIK

Apakah yang pakatan pembangkang boleh tawarkan sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara yang tidak boleh diberikan oleh kerajaan hari ini? Soalan ini sebenarnya sangat mudah kerana sebagai rakyat mereka memerlukan sesuatu yang terbaik dari semua aspek kehidupan. Untuk memberi mandat kepada pakatan pembangkang, sudah tentulah yang ditawarkan jauh lebih baik daripada yang dinikmati sekarang ini.

Nah, apa yang pembangkang boleh berikan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan? Manifesto pembangkang hanya memberikan solekan untuk menarik perhatian rakyat.

Kalau tidak ada tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan, untuk apa kita menggadai masa depan seperti kata pepatah, yang dikendung keciciran yang dikejar tidak dapat. Ini kerana tidak ada perkara baru yang ditawarkan oleh pembangkang selain retorik tentang kebebasan bersuara, mewujudkan negara Islam sejati, memperjuangkan keadilan untuk semua dan membanteras rasuah.

Sekiranya ini yang ditawarkan, lebih baik kita memilih kerajaan yang ada sekarang kerana perkara-

perkara yang mahu diperjuangkan sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Semua ini membuktikan pembangkang tidak menawarkan apa-apa sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara. Sebaliknya mereka mengecil atau menghakiskan yang telah ada atas alasan berkompromi dengan parti komponen dalam pembangkang.

Apakah sekarang tidak ada kebebasan bersuara maka ini menjadi alasan untuk pembangkang melakukan sekiranya diberi kuasa? Apakah bukan kebebasan bersuara dengan wujudnya beribu blog yang menghentam kerajaan dan pembangkang juga mempunyai buletin untuk memaparkan idealisme parti mereka? Berapa banyak pula pemimpin pembangkang yang ditangkap kerana mencerca pemimpin kerajaan?

Pembangkang yang memperjuangkan kebebasan media sebenarnya yang banyak mengambil tindakan undang- undang kepada media arus perdana. Di mana kebebasan yang diperjuangkan? Ini ternyata bahawa pembangkang tidak melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan sekarang.

Mengenai gagasan negara Islam, pembangkang mendepani masalah kerana dalam pakatan pembangkang sendiri ada parti yang membantah gagasan tersebut. Jadi, apakah PAS misalnya mampu memberikan definisi “negara Islam” yang lebih Islamik daripada yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat?

Kelantan dan Kedah secara total dikuasai oleh PAS tetapi Pulau Pinang oleh DAP. Ternyata PAS tidak mempunyai suara yang besar untuk menjadikan kerajaan negeri Pulau Pinang lebih Islamik daripada semasa dalam Barisan Nasional dulu. Insiden penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Selangor juga memperlihatkan gagasan Islam cara PAS semasa pilihan raya tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana PAS hanya menumpang PKR dan DAP di Selangor.

Maka, kita sendiri boleh melihat pakatan pembangkang tidak boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding Barisan Nasional. Malah gagasan keadilan yang dibawa oleh pembangkang bukanlah suatu yang baru kerana kerajaan Barisan Nasional juga secara konsisten memperjuangkan keadilan kepada semua pihak. Kalau pakatan pembangkang mendakwa sebagai wira pejuang keadilan, tolong beritahu idealisme parti politik manakah yang tidak memperjuangkan keadilan? Bezanya Barisan Nasional sudah melaksanakan dan terus diberi penambahbaikan dalam perkara ini.

Pakatan pembangkang menjadikan isu rasuah sebagai modal politik. Maka agenda membanteras rasuah menjadi “keutamaan” kepada pakatan pembangkang sekiranya menjadi pentadbir negara ini. Kalau begitu apakah kerajaan sekarang tidak membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini?

Kesimpulannya pakatan pembangkang tidak ada tawaran yang lebih baik daripada kerajaan untuk menyakinkan mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Semua yang ditawarkan kepada rakyat sudah diberikan oleh kerajaan. — Mingguan Malaysia

read more “Kerapuhan pakatan pembangkang — Zulkiflee Bakar”

Monday, 7 September 2009

Details Population Size And Growth By Ethnicity And Geographic Sector In Fiji

read more “Details Population Size And Growth By Ethnicity And Geographic Sector In Fiji”

Malam Lailatul Qadar Di Bulan Ramadhan


Keutamaan Lailatul Qadar sangat besar kerana malam tersebut menyaksikan turunnya al-Qur’an al-Karim, iaitu kitabullah yang menjadi petunjuk bagi mereka yang berpegang dengannya kepada jalan kemuliaan dan mengangkat ke darjat yang mulia dan abadi. Umat Islam yang mengikuti sunnah Rasulnya tidak perlu mengguna pakai tanda-tanda tertentu dan tidak pula memasang lampu-lampu pelita untuk memperingati malam ini, akan tetapi mereka wajar untuk berlumba-lumba bangun di malam harinya dengan penuh iman dan mengharap pahala dari Allah.

Berikut ini adalah di antara keutamaan malam Lailatul Qadar berdasarkan dalil-dalil yang sahih.

1. Keutamaan Lailatul Qadar (Malam al-Qadar)

Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadar dengan mengetahui bahawasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan dan merupakan malam yang diberkahi, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an pada malam al-Qadar, tahukah engkau apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Rabb mereka (untuk mengatur) segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (al-Qadar, 97: 1-5)

Dan pada malam itu dijelaskan segala urusan yagn penuh hikmah:

“Sesungguhnya Kami menurunkan pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (ad-Dukhan, 44: 3-6)
2. Waktunya

Diriwayatkan dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa malam tersebut terjadi pada tanggal malam ke 21, 23, 25, 27, 29 dan malam-malam terakhir dari bulan Ramadhan. (Pendapat-pendapat yang terdapat dalam masalah ini berbeza-beza, Imam al-Iraqi telah mengarang suatu risalah khusus yang diberi judul Syarhush Shadr bi Dzikri Lailatil Qadar yang membawakan perkataan para ulama berkaitan permasalahan ini)

Imam asy-Syafi’i berkata, “Menurut pemahamanku, wallahu a’lam, Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab bertepatan dengan yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada beliau, “Adakah kami mencarinya di malam ini?” Beliau menjawab, “Carilah di malam tersebut”.”

Pendapat yang paling kuat, terjadinya Lailatul Qadar itu pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda:

“Carilah Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/225) dan Muslim (1169))

Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, janganlah sehingga terluput dari tujuh hari terakhir, kerana riwayat dari Ibnu Umar, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput tujuh hari yang selebihnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/221) dan Muslim (1165))

“Aku melihat mimpi kalian telah terjadi, barangsiapa yang mencarinya carilah pada tujuh hari terakhir.”

Telah diketahui di dalam as-sunnah, pemberitahuan ini wujud adalah kerana pada masa itu berlaku perselisihan di antara para sahabat. Dari Ubadah bin Shamit Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada malam al-Qadar, ada dua orang sahabat berdabat, beliau bersabda:

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))

Telah banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa Lailatul Qadar itu pada sepuluh hari terakhir, yang lainnya menegaskan di malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadis yang pertama sifatnya umum, manakala hadis kedua adalah khusus, maka riwayat yang khusus lebih diutamakan daripada yang umum. Dan ada beberapa hadis yang lain turut menjelaskan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan dan yang ini terikat kepada yang mengalami ketidakmampuan dan kelemahan, sehingga tidak ada masalah. Makanya, di sini hadis-hadis yang berkaitan adalah saling bersesuaian dan tidak bertentangan.

Kesimpulannya, jika seorang muslim ingin mencari Lailatul Qadar, maka carilah ia pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, 21, 23, 25, 27 dan 29. Sekiranya tidak berupaya mencarinya pada sepuluh hari terakhir, maka carilah pada malam-malam ganjil tujuh hari terakhir iaitu 25, 27 dan 29. Wallahu a’lam.
3. Bagaimana Mencari Lailatul Qadar

Sesungguhnya malam yang diberkahi ini barangsiapa yang terhalang dari mendapatkannya, maka bererti dia telah terhalang dari seluruh kebaikan (baginya). Dan tidaklah terhalang dari kebaikan itu melainkan (bagi) orang yang rugi. Oleh kerana itu dianjurkan bagi kaum muslimin (agar) bersemangat dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap pahala-Nya yang besar, jika telah berbuat demikian niscaya akan diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/217) dan Muslim (759))

Disunnahkan untuk memperbanyakkan do’a pada malam tersebut. Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Beliau menjawab,

“Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Semoga Allah memberkati dan memberi taufiq kepada kita dalam usaha mentaati-Nya. Berdasarkan beberapa penjelasan tadi, maka kita telah mengetahui serba sedikit bagaimana keadaan Lailatul Qadar dan keutamaannya untuk berusaha mendapatkannya. Maka wajarlah kita berusaha untuk bangun (menegakkan ibadah, solat, dan berdoa) pada sepuluh malam-malam yang terakhir. Bersungguh-sungguhlah dalam menghidupkannya dengan ibadah dan menjauhi hubungan suami isteri. Juga perintahkanlah kepada keluarga kita untuk tujuan yang sama iaitu memperbanyakkan perbuatan ketaatan.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memasuki sepuluh hari (terakhir bulan Ramadhan), beliau memperkuatkan ikatan kainnya sambil menghidupkan malam tersebut dan membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/233) dan Muslim (1174))

Juga dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

“Adalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersungguh-sungguh (dalam beribadah) apabila telah masuk sepuluh malam terakhir yang tidak beliau lakukan pada malam-malam pada bulan selainnya.” (Hadis Riwayat Muslim (1174))

4. Tanda-Tandanya

Mudah-mudahan Allah membantu kita dengan pertolongan-Nya dalam memahami datangnya malam al-Qadar. Dalam hal ini, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam menggambarkan (menyifatkan) paginya Lailatul Qadar agar seseorang muslim dapat mengetahuinya.

Dari ‘Ubai radhiyallahu ‘anhu ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ia berkata, “Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan beliau bersabda:

“Siapa di antara kalian yang masih ingat ketika terbit bulan yang ianya seperti syiqi jafnah (separuh mangkuk).” (Hadis Riwayat Muslim (1170). Kalimat syiqi jafnah, syiq membawa erti setengah, jafnah pula ertinya bejana. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Dalam hadis ini menunjukkan isyarat bahawa Lailatul Qadar hanya di akhir bulan, kerana bulan tidak akan berbentuk (berupa) sedemikian rupa ketika terbit melainkan ketika di akhir-akhir bulan”)

Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)

sumber-nawawi.blogspot
read more “Malam Lailatul Qadar Di Bulan Ramadhan”

Isu timbul kerana kejahilan beragama

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.

Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.

Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.

Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.

Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.

Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?

Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.

Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.

Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.

Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.

Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.

Statistik

Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri- negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.

Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.

Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?

Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?

Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.

Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.

Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?

Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.

Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.

Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.

Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?

Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.

Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.

Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.
read more “Isu timbul kerana kejahilan beragama”

PBT DAN AHLI MAJLIS

PBT DAN AHLI MAJLIS

Isu pembinaan istana Dato’ Zakaria Md. Deros tanpa kelulusan dan perlantikan ahli majlis PBT menarik perhatian saya untuk menulis kembali setelah jelek dan menyampah dengan sikap sesetengah ahli politik dan pimpinan PBT yang seolah-olah tidak mengetahui apa yang sedang berlaku atau cuba menutup sebelah mata sahaja apabila kejadian yang menimpa Dato’ Z hangat diperkatakan. Isu membina rumah tanpa kelulusan PBT dan cara perlantikan ahli majlis bukan suatu perkara yang baru, tetapi isu lapok yang telah sekian lama bermaharajalela tanpa apa-apa tindakan. Kebetulan Dato’ Z yang menjadi mangsa keadaan disebabkan oleh ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu yang tidak sehaluan atau mengambil pendekatan bermusuh dengannya. Maka ‘kelemahan’ beliau dijadikan satu ‘peluang’ untuk menjatuhkannya. Saya tidak pernah kenal dengan Dato’ Z, tetapi adalah tidak wajar menuding jari atau menyalahkan beliau semata-mata, yang lain menyucikan tangan dengan mengambil kesempatan yang ada termasuk PBT. PBT sebenarnya dua kali lima. Sekiranya mereka ini efisien dan professional sudah tentu kejadian ini tidak berlaku. Apapun, inilah pengajaran yang Allah ingin tunjukkan kepada manusia di atas kerakusan sesetengah pihak yang menganggap diri mereka kebal. Mereka tidak sedar bahawa ada yang lebih kebal.

Saya adalah rakyat marhaen yang tinggal di Ampang Jaya dan selalu berurusan dengan PBT. Sedikit sebanyak, saya telah masak dengan rentak tari PBT dan ahli majlisnya.
Hal yang sama pernah saya bangkitkan ketika perjumpaan dengan PBT di Ampang Jaya. Sikap PBT yang telalu menjaga orang politik sehinggakan kebajikan rakyat yang memilih mereka diabaikan. Misalnya aduan-aduan mengenai lubang-lubang jalan, masalah sampah, pembiakan nyamuk dan sebagainya.

Masalah jalan yang berlubang-lubang sebagai contoh. Oleh kerana jalan tersebut tidak dilalui atau berdekatan dengan rumah atau pejabat orang-orang besar atau ahli politik, maka dibiarkan sehingga keadaan menjadi teruk baru diperbaiki. Berbeza kiranya kawasan tersebut dilalui oleh orang-orang besar atau ahli politik tertentu, aduan mereka diambil tindakan serta merta terutama kawasan-kawasan Ampang Jaya, di mana golongan elit berada di sana. Tetapi bagi yang lain, aduan-aduan mereka dibiarkan sahaja bertahun-tahun lamanya. Saya mempunyai bukti-bukti dengan apa yang diutarakan ini.

Contoh lain, rakyat marhaen yang ingin membina atau membaik pulih (renovate) rumah dikenakan syarat ini dan itu. Tetapi bila kena pada ahli politik, semua pihak berdiam diri.

Sedangkan siapakah mereka jika rakyat tidak mengundi mereka. Dato’ Z tidak boleh dipersalahkan semata-mata atas isu ini. Beliau mungkin menjadi mangsa keadaan akibat sistem yang tidak telus. Banyak lagi projek PBT yang boleh diketengahkan. Ada projek yang tidak layak mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF), tetapi dengan campurtangan ahli politik, semuanya lulus.

Cara pemilihan ahli majlis perbandaran amat menjelekkan sama sekali. Saya mengambil contoh PBT di kawasan tempat tinggal saya. Saya seringkali berdamping dengan mereka kerana banyak isu-isu berkaitan dengan perbandaran yang selalu dikemukakan. Sepanjang pengamatan saya, tidak ada seorangpun wakil ahli professional yang dilantik untuk duduk kerusi ahli majlis. Semuanya wakil parti-parti politik, yang mana kemampuan mereka untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat amat meragukan. Mereka adalah ketua bahagian UMNO, MIC, MCA, dan Gerakan. Tidak dinafikan ada ketua bahagian parti-parti politik yang professional. Namun, inilah praktis yang berlaku disemua PBT yang amat jelek sama sekali. Apatah lagi jika ditinjau dari segi kelulusan mereka. Disebabkan oleh mereka pemimpin bahagian parti politik maka mereka secara otomatik akan dilantik menjadi ahli majlis. Lebih menjengkelkan lagi ialah kebanyakan projek-projek PBT dibolot oleh mereka dan kroni-kroni mereka. Pernah berlaku, di kawasan saya ada ahli majlis bergaduh sesama sendiri (sesama parti) dalam mesyuarat kerana berebut projek PBT. Tidak puas hati kerana projek-projek PBT tidak jatuh ke tangan kroni-kroninya.

Saya ingin mencadangkan supaya ahli-ahli majlis ini turut dilantik dari kalangan professional, selain daripada pemimpin politik. Mereka mungkin ketua bahagian UMNO, MCA, MIC atau Gerakan, tetapi pastikan professional dan benar-benar meletakkan kepentingan masyarakat di hadapan dan bukannya menjaga periuk nasi mereka sahaja sepertimana yang berlaku pada masa kini. Wakil-wakil lain yang boleh diketengahkan ialah NGO-NGO yang aktif, wakil-wakil mengikut bidang profesionalisme, seperti perubatan, kejuruteraan, motivasi, agama, undang-undang, sosial dan sebagainya. Jadikan mesyuarat majlis sebagai tempat percambahan pemikiran, idea dan sumbangan yang boleh membangunkan dan memakmurkan PBT serta kawasan di bawah penyelenggaraannya. Ini selaras dengan pembangunan modal insan yang selalu dilaung-luangkan oleh YAB Perdana Menteri. Mesyuarat ahli majlis hendaklah diperluaskan skopnya, bukan sekadar menjadi medan untuk meluluskan projek-projek perbandarannya.

Bagi saya, sebenarnya PBT dan ahli majlis ini boleh bertindak sebagai ‘think tank’ atau tangki pemikiran. Ahli majlis cum ‘think tank’ akan menjadi medan berfikir, mengolah dan memerah idea demi kesejahteraan rakyat jelata.

PBT jangan lupa bahawa apa asas utama agenda local 21 yang diberikan penekanan oleh kerajaan pada masa kini, terutama oleh kerajaan Negeri Selangor? Ia tidak lain untuk memastikan persekitaran yang kondusif dan ceria, warganya yang berakhlak mulia, dan tidak berlaku vandalisme. 7 sifat pengguna yang ingin dilahirkan dalam agenda 21 ialah berbudi bahasa, bertimbang rasa, mengambil berat, berterus terang, kreatif, berani dan bijak.

Justeru, ahli majlis juga hendaklah mengambil sikap turun padang. Menyelami hakikat, dan masalah yang sebenar. Banyakkan membaca dan membuat R&D. Ini juga tugas sebenar wakil rakyat, ketua bahagian, cum ahli majlis. Bila semua ini berlaku, siapakah yang untung? Bukan ahli majlis? Kerana elaun mereka sikit sahaja. Yang untung ialah kerajaan dan PBT, demi masa depan agama, bangsa dan negara.

sumber -ridhuan tee.blogspot.com
read more “PBT DAN AHLI MAJLIS”

Thursday, 3 September 2009

Merdekakan Pendidikan Perkauman

Pendidikan adalah merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Bentuk pendidikan yang lahir akan menentukan sama ada agenda nasional dapat dicapai atau tidak. Jika sistem pendidikan berbentuk perkauman, maka perkaumanlah penyudahnya.

Setakat ini, hanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai mengikut kaum atau vernakular. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan tertentu sebagai salah satu kekuatan Malaysia. Ya, dari satu sudut ia memang satu kekuatan. Tetapi dari sudut yang lain, kita lihat bila ada ura-ura kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan berasaskan konsep 1Malaysia, tanpa menafikan hak-hak kaum lain mendapat pendidikan ibunda mereka, serta-merta golongan ini akan membuat laporan polis dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan.

Saya amat menyanjungi sikap bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi, kerana mereka tidak menuntut sekolah berasaskan kaum. Jika tidak, saya tidak tahu ke manakah hala tuju pendidikan negara?

Ini tolak ansur yang mesti dihargai. Orang Melayu dan bumiputera tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang dipraktikkan di seantero dunia. Jika adapun sistem pendidikan perkauman, ia telah lama dihapuskan. Semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia dan negara-negara maju yang lain.

Kita perlu berfikir jauh ke hadapan walaupun pahit untuk diterima. Setelah 52 tahun merdeka, sistem pendidikan kita masih belum merdeka dan terbelenggu. Setiap kaum masih leka dalam kepompong sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu masih percaya kepada sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, tetapi tetap dengan sistem perkauman, India dengan cara India dan Cina dengan cara Cina. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing.

Sebagai permulaan, biarlah saya mulakan dengan kajian yang telah saya lakukan terhadap sistem pendidikan Cina khususnya, selaku majoriti kedua terbesar. Secara umumnya, orang Cina terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan dikenali sebagai Hua Ch'iao (orang Cina seberang laut) yang masih berwarga negara China. Satu lagi ialah Ma Hua, menganggap diri mereka sebagai Malayan Chinese, kebanyakan lahir di Tanah Melayu menganggap Tanah Melayu adalah negara mereka.

Wang Gungwu (1970), membahagikan orang Cina Malaysia kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C. Kumpulan A boleh dikategorikan dalam kumpulan minoriti berbanding dengan kumpulan lain. Mereka masih mengekalkan hubungan dengan politik di China, sama ada secara langsung atau tidak, serta masih mengambil berat akan masa depan negara China. Kumpulan ini tidak sedominan kumpulan B dan C.

Kumpulan B pula terdiri dari kalangan yang keras kepala. Majoriti bersikap realistik dan yang secara tidak langsung mengambil berat soal politik perniagaan dan pertubuhan komuniti. Kebanyakan mereka amat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengaruh mereka amat mendalam dalam komuniti masyarakat Cina, malahan kerap memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah kumpulan ultra kiasu yang selalu saya sebut. Kumpulan ini berada dalam pertubuhan pendidikan (NGO), politik dan persuratkhabaran.

Kumpulan C pula, mereka menunjukkan minat yang mendalam serta aktif dalam politik negara. Wang Gungwu yang meletakkan mereka dalam kategori orang yang tidak pasti tentang identiti mereka sendiri tetapi secara umumnya mempunyai ketaatan kepada negara.

Pendapat Gungwu turut dikongsi oleh Rita Sim dan F.K. Soong, daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP). Menurut mereka, terdapat dua jenis kumpulan Cina daripada keseluruhan berjumlah 6.5 juta.

Kumpulan pertama, mewakili 85-90 peratus orang Cina, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Manakala, selebihnya mewakili kumpulan kedua 10-15 peratus, adalah English- speaking group atau kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris, yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary.

Pengkategorian ini sudah cukup untuk membuktikan kajian Yew Yeok Kim (1973, 1982) dan Leo Suryadinata (1989) mengenai sikap mereka yang mendapat pendidikan Cina dan bukan aliran Cina. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris (termasuk pendidikan kebangsaan) kurang identiti kecinaannya, lebih mudah bergaul dengan kaum lain dan memudahkan proses integrasi nasional. Manakala, mereka yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah bersikap sebaliknya.

Semua bukti ini jelas menunjukkan kedudukan dan polarisasi masyarakat di negara kita akibat sistem pendidikan yang wujud sekian lama. Sistem ini yang telah mewarnai kehidupan kita hari ini. Akibatnya, lahirlah golongan yang meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Bahasa kaum sendiri lebih didaulatkan berbanding bahasa kebangsaan.

Kita ambil contoh kedudukan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu berbanding dengan bahasa Cina yang diajar setiap hari. Ini tidak termasuk matapelajaran lain seperti Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan yang turut diajar dalam bahasa yang sama. Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran menambahkan waktu pembelajaran matapelajaran bahasa Melayu, sekurang-kurang sama waktunya dengan mata pelajaran bahasa Cina. Jika tidak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak ada ertinya.

Saya berkongsi pandangan ini kerana saya mempunyai pengalaman yang agak luas berinteraksi dengan sekolah Cina. Boleh dikatakan kesemua anak saya mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina. Secara kebetulan, saya juga adalah Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan guru (PIBG), di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajar-pelajar Cina yang datang dari sekolah rendah Cina (SJKC). Keadaan ini menjadikan saya lebih faham mengenai masalah bangsa saya sendiri, terutama dalam soal penguasaan bahasa Melayu dan pendidikan ibunda.

Melalui pengalaman dan pemerhatian, secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar Cina adalah rendah. Dengan sebab itu, kelas peralihan terpaksa diwujudkan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Bagi mereka yang berada di kelas bukan peralihan pun, itu bukan bermakna penguasaan bahasa Melayunya baik. Bahasa Melayu lebih sekadar hafalan untuk menghadapi peperiksaan berbanding bagi tujuan interaksi dan pemahaman sebagai bahasa kebangsaan. Inilah dilema sistem pendidikan kebangsaan hari ini.

Kadangkala saya amat hairan kenapa setiap kali kerajaan cuba untuk menyeragamkan sistem pendidikan tanpa menafikan hak setiap kaum terhadap pendidikan mereka, mendapat tentangan yang begitu hebat. Mereka mempunyai prasangka bahawa ia adalah agenda kerajaan untuk menghapuskan sekolah Cina secara terancang. Inilah bentuk pemikiran yang telah bertapak setelah 52 tahun kita merdeka.

Kini, kedudukan pendidikan Cina tidak pernah tergugat, malah semakin kuat, termasuk kedudukan kewangannya. Di SJKC tempat anak saya belajar, penyata kewangan berakhir setiap tahun melebihi RM1 juta. Ini menunjukkan bahawa sokongan yang ditunjukkan oleh orang Cina terhadap pendidikan mereka semakin padu dan jitu. Manakala pendidikan kebangsaan semakin tergugat dan terhakis. Walaupun pelbagai usaha cuba dilakukan oleh kerajaan untuk mengadakan sistem satu sekolah dengan tidak mengenepikan hak kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda, namun ia tetap ditolak.

Pada hemat saya, jika inilah bentuk pendidikan yang lahir, kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Pemikiran kita masih dibelenggu dengan pemikiran perkauman. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52.
read more “Merdekakan Pendidikan Perkauman”